Rabu, 29 Februari 2012

Najib Razak yang suka berjanji



Sebelum kapal mewah Titanic karam, arkitek kapal tersebut pernah berkata bahawa ianya sangat teguh sehinggakan Tuhan pun tidak dapat menenggelamkannya. Demikanlah kata-kata terakhir yang tercatat dalam sejarah sebagai ungkapan yang penuh ironi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan bahawa dari segi fakta saintifik, projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan di Pahang itu selamat. Malah, lebih daripada itu, beliau dengan berani mengatakan nadir bumi itu tidak berbahaya kerana bagi mereka yang menggunakan telefon pintar, mereka terdedah kepada nadir bumi setiap hari.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Najib memberikan jaminan beliau terhadap sesuatu hal. Dalam tahun 2011 sahaja, pelbagai jaminan telah diberikan apabila orang ramai bangkit menyuarakan bantahan kepada beberapa isu.

Jaminan-jaminan Najib

Jaminan-jaminan ini hanya seperti mendodoi bayi tidur. Ia seolah-olah menjadi kata muktamad untuk mematikan segala hujah rasional yang rakyat lontarkan seperti kita ini sudah kembali semula ke zaman kerajaan mengetahui segala-galanya.

Sewaktu skandal penyalahgunaan wang pinjaman ternak lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikendalikan oleh NFCorp untuk membeli kondo mewah mula hangat diperkatakan dahulu, Najib dengan berani tampil ke hadapan mempertahankan keluarga pengarah NFCorp yang mempunyai hubungan rapat dengan seorang Menteri Kabinet dan menjamin tiada sebarang penyelewengan yang telah berlaku.

Walau bagaimana pun, laporan media baru-baru ini mendedahkan bahawa pihak polis sendiri telah mengesyorkan supaya para pengarah NFCorp disiasat di bawah tuduhan pecah amanah, salah satu bentuk penyelewengan.

Dalam temu ramah dengan media antarabangsa CNN pula, Perdana Menteri pernah menjamin yang tiada kekasaran dan keganasan dilakukan oleh pihak polis terhadap penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada tahun lalu.

Namun, umum mengetahui kepalsuan jaminan itu. Kita dapati yang pihak polis bukan sahaja telah melakukan provokasi melampau, malahan mereka telah mengasari penunjuk-penunjuk perasaan yang terbabit.

Kedua-dua contoh ini sahaja sudah memadai untuk menunjukkan bagaimana jaminan-jaminan Perdana Menteri ini tidak ada kredibilitnya. Setiap kali beliau mengutarakan sesuatu pendapat atau jaminan, sudah kita sedia maklum yang beliau bukannya bercakap dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi lebih sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Reaksi beliau selama ini adalah langkah terdesak untuk melindungi air muka beliau dan kepentingan politik UMNO-BN. Sebab itu jugalah Najib sanggup merayu undi supaya rakyat memberi majoriti dua pertiga kepada UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang jika mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi lebih kuasa.

Layakkah Najib memberi jaminan keselamatan nyawa manusia?

Jadi, wajarkah rakyat yang cerdik mempercayai jaminan Najib berkaitan isu nadir bumi Lynas ini? Sedangkan dalam isu yang lebih mudah difahami seperti NFC dan BERSIH pun beliau boleh ‘tersilap’ memberi jaminan.

Wajarkah dalam isu yang lebih rumit seperti Lynas ini, kita berasa selamat dan yakin tiada sebarang kemudaratan dan kecelakaan akan menimpa penduduk Gebeng dan Kuantan serta seluruh Pahang kelak?

Najib tidak ada kelayakan sama ada dari segi saintifik mahu pun kredibiliti untuk memberi keyakinan kepada mana-mana pihak terhadap keselamatan projek itu. Jika disemak latar belakang beliau, tidak dinyatakan yang beliau pernah dianugerahkan apa-apa ijazah dalam bidang sains, biar pun daripada Universiti Curtin sekali pun.

Memang ada pakar sains yang mengakui nadir bumi yang telah diproses menjadi cip mikro bagi telefon pintar itu rata-ratanya tidak berbahaya. Namun begitu, yang menjadi kekhuatiran ramai ialah sisa toksik daripada bahan mentah tersebut. Jika tidak dilupuskan dengan betul, sisa-sisa radioaktif inilah yang sebenarnya akan membawa kemudaratan kepada penduduk-penduduk sekitar terutamanya di Gebeng dan kawasan sekitar Kuantan.

Kemalangan skala besar boleh berlaku kerana masalah yang kecil sahaja. Loji Chernobyl di Ukraine (dahulu Soviet Union) dahulu telah dikendalikan oleh pakar-pakar nuklear yang terkemuka, namun itu tidak dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan ngeri yang memberi kesan kepada lebih 200,000 orang. Selepas siasatan dijalankan, didapati kemalangan tersebut berpunca daripada sesuatu masalah teknikal yang kecil.

Australia tolak, Malaysia terima

Persoalannya, sanggupkah kita melihat rakyat kita sendiri merana jika apa-apa terjadi kelak? Beberapa faktor seperti bentuk daratan yang dipenuhi dengan sungai dan kepadatan penduduk yang tinggi menjadikan Malaysia calon yang amat tidak sesuai untuk projek pemprosesan nadir bumi. Jika sisa radioaktif itu terserap dalam tanah dan sistem perairan kita, semestinya aktiviti dan kesihatan kita turut terjejas.

Projek sebegini memerlukan kawasan yang luas dan tidak berpenghuni. Dengan kata lain, kawasan dengan kepadatan penduduk yang rendah. Dalam hal ini, kawasan gurun amatlah bersesuaian untuk melaksanakan projek nadir bumi ini kerana sisa-sisa radioaktif dapat dilupuskan tanpa membahayakan kesihatan orang ramai.

Sudah tentu Australia dilihat sebagai lokasi yang ideal untuk membangunkan projek Lynas. Justeru, cukup musykil apabila Australia sendiri menolak tawaran Lynas dengan tidak membenarkanya beroperasi di negara itu. Penolakan oleh Australia itu sepatutnya sudah cukup untuk rakyat Malaysia bangkit menentang Lynas daripada beroperasi di negara kita.

Jika berlaku sesuatu bencana yang amat buruk dan ngeri, apakah yang dapat Najib jamin pada saat itu? Janganlah kita jadikan kata-kata jaminan Najib itu sebagai satu lagi kata-kata terakhir yang penuh ironi apabila nyawa rakyat bakal terjejas akibat radiasi kelak.

Ahad, 26 Februari 2012

Himpunan Hijau 2.0:Menjunjung tradisi gemilang Mat Kilau

"Kita mahu menjunjung tradisi gemilang Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain. Seandainya mereka sanggup lawan orang asing tatkala tanah Malaya dijajah, sanggupkah kita sebagai warga negara yang merdeka, berpeluk tubuh melihat tanahair kita dicabuli kuasa asing?"

Demikianlah kata-kata Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Wong Chin Huat yang kini telah berada di Kuantan untuk menyatakan solidariti terhadap Himpunan Hijau 2.0, yang bakal diadakan pada jam 9.30 pagi, hari ini.

Secara terus-terang, aktivis sosial itu mengakui bahawa pihak penganjur berhasrat untuk mengelakkan sebarang masalah menjelang Himpunan Hijau 2.0 yang bakal dijalankan beberapa jam lagi. Namun, Wong memberi amaran, seandainya polis mula menangkap walaupun seorang, beliau berharap 1,999 orang tampil menawarkan diri untuk ditangkap polis.

"Kami nak lihat sama ada kerajaan Najib mampu berdepan dengan tajuk besar akhbar, berbunyi 2,000 orang ditangkap kerana membantah kilang pemprosan tanah nadir dari Australia?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat media yang diadakan Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, jam 8.30 semalam di Hotel Mega View, Kuantan. Selain Wong Chin Huat , Sasterawan Negara A.Samad Said, aktivis dari NGO seperti Maria Chin, Ho Yock Lin dan lain-lain turut hadir untuk menyatakan solidariti mereka.

Di samping itu, Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack menjangkakan lebih 30 ribu orang bakal hadir dalam Himpunan Hijau 2.0 yang bakal diadakan di Padang MPK4, jam 9.30 pagi nanti. Pihaknya mengharapkan sejarah bakal dicipta di Kuantan pada 26 Februari 2012.

Rabu, 22 Februari 2012

Perjuangan bangsa boleh menjadi ‘asabiyah’ yang ditentang Islam

Perjuangan bangsa boleh menjadi ‘asabiyah’ yang ditentang Islam

KUALA LUMPUR, 22 Feb — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata perjuangan atas nama bangsa boleh menjadi “asabiyah” yang ditentang Islam menambah ia boleh membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada bangsa lain.
Bagaimanapun beliau berkata Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan bangsa sendiri jika ada keperluan ke arah itu selain tidak mewujudkan permusuhan dengan bangsa lain.
“Ada pun asabiyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.
 “Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.”
Asri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu perlu mempertahankan hak mereka di negara ini selain mengatakan Nabi Muhammad juga berbuat demikian.
Harussani berkata Nabi Muhammad sendiri telah menyeru kepada bangsa Quraisy pada waktu itu supaya mempertahankan bangsa mereka.
“Ada orang kata kalau kita bercakap bangsa Melayu dikatakan kita ini orang yang nasionalis. Nabi juga bercakap tentang kaumnya.
“Kita pertahankan bangsa kita bukan bermakna taksub dan memang wajib pun kita pertahankan kerana negara ini adalah kepunyaan orang Melayu,” katanya pada pelancaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan “Jati” pimpinan Datuk Dr Hasan Ali semalam.
Jati merupakan platform terbaru Hasan selepas dipecat PAS awal Januari lalu untuk meneruskan agenda memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.
Tambah Asri, usaha memartabatkan bangsa bukan prinsip perjuangan Islam namun boleh menjadi keperluan sementara apabila keadaan mendesak.
“Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa,” katanya menambah prinsip Islam melampaui semua aspek termasuk bangsa.
“Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.”
Beliau menambah perjuangan menentang bangsa lain bukan ajaran Islam.
Sementara itu Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata kenyataan Harussani itu perlu diteliti dengan sebaik-baiknya kerana ia bertentangan dengan fakta sejarah.
“Kenyataan itu perlu teliti dan diteliti. Dari sudut perkataan nabi dan sejarah, nabi memang tidak ada fakta seperti itu.
“Tentang pertahan kaum, nabi suruh pertahan yang hak dan yang benar. Kena bela kaum masing-masing tapi bukan atas asas kezaliman,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau juga menambah “asabiyah” ditolak Nabi Muhammad kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

Jumaat, 17 Februari 2012

Kenyataan Anwar terhadap Isu Israel

Kenyataan Anwar terhadap Isu Israel

KEADILAN JUNJUNG ASPIRASI DAN HASRAT RAKYAT PALESTIN

Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, "I support all efforts to protect the security of the state of Israel," (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel) sedangkan kenyataan penuh selepas itu, "a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians." (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya.

Media, pimpinan UMNO dan Dato' Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin

Kenyataan saya kepada Asian Wall Street Journal secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin .

Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama Kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan Menteri Luar nya, Putera Saud al Faisal bahawa:

"This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. Israel can't keep the land and want security at the same time. It has to withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, the Arab states will put an end to the state of war. That will give Israel its security".

Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:

"The Palestinian right to statehood and their cry for justice and a homeland free of occupation remain the Arab people's foremost cause. In Jordan, the "final-status" issues-including borders, refugees, security and Jerusalem-are at the heart of our priorities. This means making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status issues and guarantees security for Israel."

Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru.

Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan dari Yasser Arafat.

Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin :

"If Israel withdraws to the '67 borders, then we will establish a peace in stages.. Number one, we will establish a situation of stability and calm which will bring safety for our people - what (Hamas founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If Israel declares that it will give the Palestinian people a state and give them back all their rights, then we are ready to recognise them".

Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. Parti Islam SeMalaysia berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

Walaupun begitu Parti Keadilan Rakyat berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Ini berbeza dengan adu domba UMNO yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka.

Tatkala media UMNO menyerang saya sebagai ejen Israel, Menteri Luar dari UMNO secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu .

Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, Menteri Pertahanan dari UMNO jugalah yang duduk berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel pada tahun 2009 , walaupun perkara ini cuba dipadamkan.

Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu Perdana Menteri Israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994.

Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan UMNO bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke 15 terbesar. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.

Sikap bermuka UMNO dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di Palestin.

Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi.

Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan masuk ke Gaza akibat sekatan Israel.

Sengsaranya rakyat Palestin bila mana 80% dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90% hidup dalam kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari dan lebih 60% kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.

Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai.

Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.

Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama tersebut.

Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.

Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini.

Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin.

Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, "a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians." (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM
PARTI KEADILAN RAKYAT

Rabu, 15 Februari 2012

Nazri Aziz perlekeh kesucian agama Islam

Nazri Aziz perlekeh kesucian agama Islam

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan menyifatkan Datuk Seri Nazri Aziz memperlekehkan kesucian agama Islam kerana mempersoalkan pengharaman sambutan Hari Kekasih di kalangan penganut agama itu.

“Itu menunjukkan betapa dangkalnya beliau , beliau juga telah memperlekehkan kesucian agama Islam kerana mendorong umat Islam melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Nasrudin kepada The Malaysian Insider.

Tegas beliau, Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, perlu menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf kepada umat Islam di negara ini.

“Kalau beliau seorang yang bertanggungjawab saya nasihatkan beliau agar tidak membuka ruang untuk umat Islam melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dan rujuk perkara ini kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya minta beliau tarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam,” katanya.

Semalam Nazri berkata, orang Islam seharusnya dibenarkan untuk menyambut Hari Kekasih.

“Kenapa tidak boleh disambut? Saya tidak bersetuju ... ia bukannya satu bentuk sembahyang,” katanya.

Menteri berkaitan undang-undang ini turut mengulas kenyataan menteri berkaitan Islam Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata pihak berkuasa agama Islam akan melancarkan kempen besar-besaran seluruh negara bagi mencegah umat Islam menyambut Hari Kekasih semalam.

Beliau turut mengkritik PAS kerana melaksanakan kempen menetang Hari Kekasih, dan menambah usaha seperti itu adalah “mengarut”.

Pada Jumaat lalu, Khutbah Jumaat turut melarang umat Islam meyambut sambutan Hari Kekasih kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyatakannya bertentangan dengan ajaran Islam.

Selasa, 14 Februari 2012

Rafizi Ramli :Berapa lagi perjanjian pinjaman seperti NFC

Rafizi Ramli :Berapa lagi perjanjian pinjaman seperti NFC

Saya merujuk kepada kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana wang tersebut boleh digunakan. NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

Pengakuan ini menimbulkan seribu satu persoalan baru:

1. Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

2. Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

3. Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

4. Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

Untuk merungkai segala persoalan ini, saya mengesyorkan supaya Najib Razak dan Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada umum supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

Pendedahan ini juga mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.
Menentang rasuah yang “halal”

Menentang rasuah yang “halal”

Oleh kerana tarikh pilihan raya umum ditentukan oleh Perdana Menteri yang mewakili parti pemerintah, maka United Malays National Organisation (UMNO) dan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan untuk berbelanja sakan kepada rakyat menjelang pilihan raya.

Dalam bahasa yang lebih mudah, kerajaan UMNO-BN sekarang menggunakan wang rakyat – kutipan cukai dan hasil sumber negara – yang dipakejkan sebagai “duit kerajaan” untuk ditawarkan sebagai gula-gula politik kepada rakyat.

Pemberian ini dilakukan menerusi pelbagai skim bantuan di pelbagai tempat atau lokasi kepada pelbagai golongan.

Baik memanglah baik, tetapi hakikat kerja menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah membuat dasar dan memastikan pelaksanaan dasar, bukan semata-mata memberi habuan kepada rakyat yang perlu dibalas budi dengan memberi undi kepada sang pemberi.

Ada cerdik pandai mengatakan pemberian itu berupa rasuah politik. Ini kerana, selain dari sebab-sebab yang betul, pemberian itu juga adalah atas motivasi untuk meraih undi di musim pilihan raya yang semakin dekat ini.

Maka pemberian sebenarnya ialah rasuah, tidak kira ianya berbentuk wang, baucar, skim, baja, beras atau apa sahaja. Namun, mengapa masih ramai antara kita tidak menganggap ini sebagai rasuah?

Rasuah yang canggih

Dalam kes rasuah parti politik yang bertopengkan kerajaan ini, modus operandinya adalah dengan menggunakan dana kerajaan, kakitangan kerajaan dan nama kerajaan. Motifnya pula amat ketara bila mana terdapat banyak sekali bantuan yang diberikan itu tidak ada dalam Bajet 2012.

Kita tidak nafikan hak rakyat untuk dibantu atau hak kerajaan untuk membantu, tetapi persoalannya ialah niat tidak menghalalkan cara. Apatah lagi, niat yang ikhlas tetapi dilakukan tanpa ada ketelusan ke atas harta rakyat. Isu ketelusan inilah yang menjadi punca rasuah.

Justeru, soalan yang sama – mengapa ini tidak dianggap sebagai kes rasuah yang perlu disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak berkuasa? Bukankah antara tuntutan utama Bersih 2.0 mengenai pilihan raya bersih dan adil itu jelas mahukan kerajaan mengukuhkan institusi awam dan menghentikan rasuah? Bukankah Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab dalam hal ini?

Atau apakah kita semua sudah lali dan sanggup menerima yang “haram” sebagai “halal” kerana telah putus asa dan terlalu sinis dengan sebarang usaha meformasikan institusi termasuk amalan pilihan raya bersih?

Silap mata terhebat

Untuk persoalan ini, penjelasannya harus merujuk tentang bagaimana latar belakang dan amalan yang sedang berlaku dalam demokrasi di Malaysia. Seperti yang kita sebutkan di atas, tarikh pilihan raya itu sendiri sudah memberi hak eksklusif dan advantage kepada parti yang memerintah.

Apatah lagi dengan segala amalan dan tindakan kerajaan dalam kes ‘belanja rakyat’ ini, pastinya ia akan memberi kelebihan kepada parti tersebut. Amalan ini disahkan oleh undang-undang yang kebanyakannya digubal di Parlimen oleh majoriti dikuasai oleh parti UMNO dan BN sebelum pilihan raya 2008.

Dan, lebih malang lagi undang-undang yang melindungi amalan politik yang salah ini tidak jelas batasan atau pemisahan antara tanggungjawab dan kuasa kerajaan dengan batas peranan parti politik.

Akhirnya, amalan ini menjadi budaya dan ianya sah/halal dari aspek undang-undang dan tidak dapat didakwa sebagai amalan rasuah yang salah.

Malah, ia sendiri tidak dilihat sebagai amalan politik yang kotor. Inilah bahayanya rasuah, bukan sahaja harta benda awam akan hilang, malah moral dan akidah sebagai manusia juga akan terhakis.

Silap mata ini telah berjaya diamalkan lebih dari lima puluh tahun UMNO-BN memerintah Malaysia. Parti pembangkang, institusi awam dan rakyat hanya melopong kerana diperbodohkan secara sistematik.

Bersaing di atas lantai yang senget

Apakah keupayaan kita sebagai rakyat untuk menangani kehebatan silap mata UMNO-BN ini?

Oleh kerana suara alternatif kepada UMNO-BN adalah Pakatan Rakyat, maka secara amnya kita terima bahawa Pakatan adalah lambang suara rakyat.

Jadi langkah awal yang paling logik untuk Pakatan adalah dengan mengenepikan dahulu perbalahan-perbalahan kecil yang tidak memberi apa-apa manfaat untuk rakyat dan perubahan politik yang lebih besar. Ungkapan ini kita sudah dengar sendiri dari Pakatan Rakyat, namun gerakan yang tuntas masih dilihat lemah olah rakyat.

Kes-kes penyelewengan wang rakyat baik dalam isu NFC, Zakat, KLIA2, kerugian Proton, skandal saham MAS, skandal PKFZ hinggalah ke skandal Perwaja Steel harus diperjuangkan secara konsisten hingga ia mampu menjadi ‘gula-gula getah’ oleh rakyat – mudah difahami oleh masyarakat seperti mengunyah chewing gum. Inilah cabaran Pakatan Rakyat untuk memujuk, menterjemah dan meyakinkan rakyat.

Kes-kes salah guna kuasa lain seperti juga NFC, kes pita Linggam yang mendedahkan kepincangan sistem kehakiman hinggalah kepada kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing hendaklah diiklankan setaraf dengan iklan Coca Cola, Hugo Boss atau paling tidak iklan “Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia!”

Aktiviti mempromosikan penyelewengan UMNO-BN menerusi iklan dan media, akan lebih mudah difahami oleh rakyat. Jika dilakukan secara betul di samping promosi tawaran PR, ia mampu mengubah persepsi menjadi undi kepada Pakatan. Hanya itu yang kita mampu.

Setidak-tidaknya rakyat bersama dengan Pakatan untuk membawa perubahan, selain membantu negeri-negeri pimpinan Pakatan melaksanakan ikrar yang jauh lebih baik daripada janji-janji manis UMNO-BN.

Biarlah UMNO-BN berbelanja sakan merasuah rakyat. Sebaliknya, Pakatan Rakyat harus menunjukkan contoh teladan yang baik dan sopan untuk meraih undi rakyat.

Mustahil rakyat Malaysia yang waras tidak boleh membezakan antara amalan politik buruk dengan yang baik. – Roketkini.com

Jumaat, 10 Februari 2012

Najib ‘gadai akidah’ JATI akidah senyap sunyi PERKASA terus sembunyi

Najib ‘gadai akidah’ JATI akidah senyap sunyi PERKASA terus sembunyi

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

Khamis, 9 Februari 2012

Pemimpin yang diundi pada PRU13 nanti.

Bagaimana pemimpin yang akan kita cari menjelang PRU ke 13 nanti.
Macam gambar ni.....


atau yang ini....

Pilihan berada diUNDI anda.
Fikirkanlah....
PAS cabar Putrajaya dedahkan kandungan perjanjian NFC, tubuhkan RCI

PAS cabar Putrajaya dedahkan kandungan perjanjian NFC, tubuhkan RCI

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Datuk Mahfuz Omar mendakwa pentadbiran Najib enggan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) kerana bimbang lebih banyak rahsia terbongkar termasuk penglibatan pemimpin Umno dalam projek ternakan lembu itu.

Selain itu, beliau juga mencabar Putrajaya agar mendedahkan butiran perjanjian NFC kepada umum sekiranya yakin tiada penyelewengan yang berlaku dalam skandal itu.

“Kalau betul kerajaan yakin tiada unsur penyelewengan saya minta tubuhkan suruhjaya diraja siasatan dan mendedahkan perjanjian projek serta perjanjian pinjaman...dedahkan kepada umum supaya kita boleh lihat sama ada perjanjian itu meletakkan syarat bahawa wang yang diberikan hanya boleh dibelanjakan untuk perkara yang berkaitan dengan projek ternakan lembu.

“Kalau perjanjian itu kata wang itu hanya boleh digunakan untuk perkara yang berkaitan dengan projek maka pembelian kondomoninium itu apa statusnya? Sebab itu suruhanjaya diraja siasatan perlu ditubuhkan, saya libat banyak perkara yang perlu diteliti terutamanya butiran perjanjian itu yang saya sendiri tidak tahu apa kandungannya,” tegas beliau merujuk kepada pembelian kondominium mewah oleh NFCorporation (NFCorp), syarikat yang menguruskan NFC.

Sambil menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai, Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena ini menegaskan hanya suruhanjaya diraja dapat menyiasat skandal itu dengan telus dan terperinci.

“PAS tidak berganjak daripada pendirian yang mana perlunya menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan kerana kita lihat ada sesuatu yang tidak kena dengan siasatan dilakukan SPRM ke atas pengurusan NFC,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mahfuz berkata siasatan SPRM lebih kepada penyelewengan yang berlaku dalam NFC tetapi tidak kepada isu utama iaitu tentang pemberian projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail, suami kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Siasatan SPRM tidak melihat kepada isu pokok iaitu mengenai pemberian projek kepada syarikat NFCorp yang dimiliki keluarga Shahrizat, saya tidak nampak fokus sebenar (siasatan SPRM).

“SPRM tahu kalau lihat kepada bagaimana projek ini diberikan, ia akan melibatkan semua orang termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan menteri berkenaan ketika itu dan juga bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Semalam Shahrizat yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM, Putrajaya.

Difahamkan kehadirannya di pejabat SPRM sebagai isteri kepada pengerusi NFCorp, yang mana Shahrizat sebelum ini menegaskan tidak mempunyai kaitan dalam projek itu.

Selain suami Shahrizat, anak-anaknya juga terlibat dalam pengurusan projek itu sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu.

Mahfuz sebelum ini pernah mendesak Putrajaya agar menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan untuk menyiasat projek ternakan lembu yang berpusat di Gemas, Negeri Sembilan.

“Nampaknya kerajaan takut untuk ambil tindakan tegas, Najib takut untuk ambil tindakan tegas terhadap Shahrizat...saya percaya Shahrizat akan dilepaskan daripada pertuduhan ini kerana saya percaya Shahrizat akan dedahkan penglibatan orang lain sekiranya dituduh terlibat.

“Nampak Najib begitu takut kepada kekuatan yang ada pada Shahrizat,” kata Mahfuz.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati terdapat “kecelaruan” dalam projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Shahrizat itu.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

Namun demikian, NFCorp menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

Selasa, 7 Februari 2012

Hutang negara mencecah RM456 billion pada penghujung 2011

Hutang negara mencecah RM456 billion pada penghujung 2011

Pakatan Rakyat (PR) hari ini menuduh Putrajaya menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyembunyikan kadar hutang mereka dengan menawarkan skim perumahan yang kononnya "mulia" untuk golongan berpendapatan rendah.
Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua dan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan bersama mereka memberi amaran skim berkenaan akan menjadi punca Malaysia mengalami "krisis kewangan."

"Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar seharusnya menjelaskan mengapa mereka memilih dana persaraan rakyat dan sebab sebenar kerajaan tidak membiayai sendiri skim perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.

MoF seharusnya menyelesaikan masalah kewangan mereka dahulu bukannya meletakkan beban kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada pekerja Malaysia," jelas mereka.

Pua dan Izzah, yang masing-masing merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Lembah Pantai, menjelaskan, di bawah keadaan yang biasa diamalkan, setiap program kebajikan membantu golongan miskin akan dibiayai kerajaan menggunakan hasil kutipan cukai.

Tambah mereka, kerajaan seharusnya menaikkan kadar bond bagi membiayai defisit.

Oleh itu, kedua-dua mereka menegaskan Putrajaya boleh memberikan KWSP bond berkenaan dan membantu golongan susah bagi pembiayaan perumahan.

"Agak pelik Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan bahawa dana KWSP akan digunakan sebanyak RM1.5 billion sebagai pinjaman terus kepada mereka yang tidak layak membuat pinjaman bank bagi pembelian rumah.

“Fakta bahawa kerajaan mungkin boleh dengan mudah memintasi keseluruhan kontroversi itu ... membangkitkan syak wasangka yang berlakunya sesuatu kesalahan,” kata Pua and Nurul Izzah.

Penjelasan sebenar menurut mereka, adakah MoF cuba menyembunyikan hutang mereka dengan meminta KWSP memberikan pinjaman terus berjumlah RM1.5 billion kepada peminjam dan memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman tersebut.

"Dengan cara ini, RM1.5 billion itu tidak memberi kesan kepada peningkatan hutang kerajaan persekutuan," tambah mereka.

Kadar hutang negara mencecah RM456 billion pada penghujung 2011, jelas mereka, yang mana menyaksikan 88.4 peratus peningkatan daripada RM242 billion pada 2006.

"Berbillion ringgit projek infrastruktur telah diluluskan kerajaan seperti projek Lembah Klang MRT dan Lebuhraya Pantai Barat yang akan menyaksikan peningkatan kadar hutang untuk tahun-tahun berikutnya," kata mereka lagi.

"Malangnya, mereka cuba memberi gambaran kepada rakyat bahawa kerajaan adalah "pejuang bagi golongan miskin", kerajaan sekarang sedang menggunakan dana KWSP bagi menyembunyikan hutang mereka," kata Pua dan Nurul Izzah.
UMNO-BN Pulau Pinang pinggirkan 400 keluarga miskin

UMNO-BN Pulau Pinang pinggirkan 400 keluarga miskin

EORGE TOWN, 6 FEB: Selepas tiga tahun diminta penjelaskan, akhirnya Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mengakui bahawa bantuan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) sebanyak RM1.1 juta pada 2009 telah diberikan kpeada 301 keluarga miskin di negeri itu.

Zainal selaku Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini telah dilaporkan oleh Berita Harian pada 26 Februari 2009 bahawa dana RM1.1 juta telah diperuntukan untuk SPKR untuk membantu 22 keluarga miskin tegar sahaja.

Dengan itu, ia bermakna bantuan SPKR adalah untuk 301 keluarga, dan bukannya 22 keluarga sebagaimana yang dilaporkan oleh media kawalan UMNO-BN berkenaan tiga tahun lalu.

Penjelasan Zainal menunjukkan bahawa setiap dripada 301 keluarga miskin itu memperolehi RM3,654.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa hanya 301 keluarga miskin yang mendapat faedah sedangkan ada lebih 700 keluarga miskin tegar di Pulau Pinang.

“Mengapa 400 keluarga miskin tegar lain tidak mendapat perhatian daripada kementerian yang diwakili oleh Datuk Zainal?

“Satu lagi perkara yang menarik ialah kenyataan Datuk Zainal bahawa jumlah RM1.1 juta itu adalah sebahagian daripada bantuan keseluruhan SPKR sebanyak RM22.9 juta di Pulau Pinang dari 2008 hingga 2012 untuk membantu 3,938 peserta miskin dan miskin tegar.

“Ini bermakna 22.9 juta telah diberikan dalam lebih 3 tahun ini kepada 3,938 peserta miskin atau pun secara purata setiap keluarga dapat RM5,815,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, ini menimbulkan persoalan bagaimana 3,938 keluarga miskin dipilih oleh Zainal atau pihak kementerian kerana masih ada ramai keluarga miskin yang tidak menerima bantuan RM5,815 tersebut.

Namun, beliau tetap mengalu-alukan kesediaan Zainal, walau pun selepas menanti selama tiga tahun, untuk memberikan maklumat tentang 301 keluarga miskin tegar dan miskin yang mendapat bantuan SPKR pada 2009.

Beliau telah menugaskan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Phee Boon Poh untuk mendapatkan maklumat keluarga miskin atau miskin tegar yang diberikan bantuan daripada Zainal untuk dibandingkan dengan senarai keluarga miskin dan miskin tegar tulen agar bantuan sampai benar-benar ke tangan mereka. – Roketkini.com
PRU 13:Tuan Guru Abdul Hadi Awang kekal bertanding

PRU 13:Tuan Guru Abdul Hadi Awang kekal bertanding

PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13.

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat. Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agong abad ini.

Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah. Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin.

Sabtu, 4 Februari 2012

Hasan Ali ambil alih Pemimpin KITA

Hasan Ali ambil alih Pemimpin KITA

Perwakilan negeri Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), sebulat suara mendesak Presiden mereka, Datuk Zaid Ibrahim, meletak jawatan secara terhormat setelah gagal menerajui parti.

Pada masa sama, mereka juga berhajat untuk mempelawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, mengisi jawatan itu.
Ketua Kita Kedah, Zamil Ibrahim, berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu meninggalkan parti dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber untuk menerajui parti yang baru setahun ditubuhkan itu.

Beliau berkata, perwakilan dari setiap negeri termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak tidak teragak-agak menyingkirkan Zaid jika itu merupakan cara yang terbaik menyelamatkan parti.

“Zaid gagal menerajui parti dan cuba menconteng arang ke muka kami, kononnya pemimpin Kita di negeri-negeri tidak memberi kerjasama. Itu semua pendapat peribadinya dan tiada kena-mengena dengan parti.

“Saya minta 10,000 ahli Kita bertenang. Presiden tidak boleh membubarkan parti ini sesuka hati kerana ia bukan syarikat persendirian, sebaliknya beliau harus membubarkannya melalui mesyuarat luar biasa (EGM) dan perlu sokongan tiga perempat ahli,” katanya.

Ditanya mengapa Kita berminat mendapatkan khidmat Hasan, Zamil berkata, buat permulaan pihaknya akan bekerjasama dengan Hasan kerana berpendapat beliau pemimpin yang mempunyai pendirian jelas dan perjuangannya hampir selari dengan parti berkenaan.

“Hasan mempunyai pengaruh yang kuat dan saya percaya, sekiranya beliau menerajui parti ini, tidak mustahil Kita akan kukuh dan menjadi kuasa ketiga, sesuai dengan konsep dibawa Hasan yang selari dengan perjuangan parti ini.

“Sekarang Kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum. Di Kedah, 18 calon dikatakan telah menawarkan diri, jadi di mana maruah kami apabila ada pemimpin yang akan dicalonkan, tiba-tiba partinya pula dibubarkan,” katanya lagi.

Dua hari lalu, Zaid mengumumkan bahawa parti tersebut akan dibubarkan ekoran kegagalan beliau membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi dan juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti tersebut.

Dalam kenyataan yang dibuat beliau di laman sesawang rasmi parti berkenaan, Zaid turut menegaskan, pembubaran tersebut dilakukan bagi menghapuskan dakwaan bahawa parti Kita tidak memihak kepada pembangkang.

Dalam kenyataannya itu, Zaid turut menyalahkan peranan yang dimainkan media yang dilihat yang lebih berminat melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada parti tersebut.

Kita dilancarkan Januari lalu dengan moto “moderat, demokratik dan liberal.” Ia sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.

Parti itu digerakkan sejurus Zaid keluar PKR akhir tahun lalu selepas mendakwa wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam komponen Pakatan Rakyat itu.

Khamis, 2 Februari 2012

KITA akhirnya dibubarkan

KITA akhirnya dibubarkan

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang dipimpin Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan pembubarannya.
Pengumuman tersebut dibuat di laman sesawang rasmi parti berkenaan hari ini.

"Keputusan ini perlu dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa kami tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

"Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan. Ini jelas membuktikan bahawa mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan semata-mata mahu memalukan dan mencemuh pihak pembangkang," tegas Zaid dalam kenyataan di laman sesawang rasmi parti Kita.

Tambahnya, peranan media yang dilihat yang lebih berminat melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada parti tersebut.

"Cukup ramai orang di luar sana yang hanya berminat dalam mengkritik kepimpinan saya di dalam Kita, dan yang menggemburkan cerita-cerita dengan tujuan untuk mencemuh saya," tambah Zaid.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," tegasnya lagi.

Selain itu, menurut Zaid, ideanya untuk menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

"Saya tidak berjaya membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai awam.

"Saya juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti, dan teman-teman yang telah berjanji untuk membantu telah akhirnya memutuskan untuk menarik balik," tambahnya.

Zaid turut menjelaskan, beliau juga tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mempercayai bahawa kenikmatan dalam memberi perkhidmatan kepada awam, kerana negara mampu menjalankan perkhidmatan ini dengan kehormatan dan maruah.

Di akhir kenyataannya itu, Zaid membuat permohonan maaf kepada ahli-ahli parti yang masih setia dengan partinya itu dan beliau menyatakan, kemandirian demokrasi bergantung kepada daya maju pembangkang itu sendiri.

"Sekiranya ia dimusnahkan, seperti yang ingin diperlakukan oleh Barisan Nasional (BN) — maka tidak akan ada demokrasi, tiada kebebasan dan tiada dasar-dasar yang bersifat sederhana lagi," jelasnya.

Kita dilancarkan Januari lalu dengan moto “moderat, demokratik dan liberal.” Ia sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.

Parti itu digerakkan selepas Zaid keluar PKR akhir tahun lalu selepas mendakwa wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam komponen Pakatan Rakyat itu.

Rabu, 1 Februari 2012

Datuk Jamil Khir Baharom dan Jakim tak faham tulisan Jawi



BARU-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom telah melancarkan Kempen Kesedaran Halal berkaitan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Berita mengenainya sekali lagi disiarkan oleh sisipan Mega Utusan Malaysia pada Jumaat pada 13 Januari 2012.

Pada majlis tersebut Jamil Khir memperkenalkan logo halal yang baru keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Difahamkan logo tersebut akan dicetak pada semua bungkusan makanan atau barang-barang lain oleh syarikat-syarikat tempatan di mana barang-barang keluaran mereka mendapat kelulusan halal dari Jakim.

Dukacita pada logo tersebut terdapat kesilapan pada ejaan jawi di mana nama negara Malaysia telah dieja kepada Malayzia. Dan difahamkan nama Malayzia tidak ada disebut oleh mana-mana negara di dunia ini. Di negara-negara Arab di Timur Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.

Jakim sewajarnya mencontohi Bank Negara Malaysia (BNM) di mana semua wang kertas keluaran BNM didapati betul dalam ejaan tulisan jawi.

Ejaan betul pada semua wang kertas tersebut dieja 'min lam ya sin ya alif' dan bukannya ejaan salah iaitu 'min alif lam ya zai ya alif' seperti terdapat di logo halal tersebut.

Nama negara Malaysia ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia mestilah dihormati sama ada dalam bentuk ejaan pada semua tulisan atau sebutan. Dengan kesilapan itu seolah-olah Jakim tidak prihatin kepada tulisan jawi dalam ejaan Melayu. Kesilapan itu juga boleh membawa kepada kekeliruan di kalangan murid-murid sekolah.

Saya percaya Jakim telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk memperkenalkan logo baru itu termasuklah mencetak sijil halal, banner, baju pegawai penguatkuasa yang ada logo tersebut dan lain-lain lagi.

Atas kelemahan dan kesilapan itu, syarikat-syarikat juga akan mengalami kerugian kos atau tenaga kerja jika pembetulan grafik di logo itu terpaksa dibuat pada bungkusan-bungkusan keluaran mereka yang sudah siap dicetak dan hanya menunggu untuk diedarkan di pasaran tempatan atau ke luar negara.

HAMID DAUD
Kuala Lumpur