Khamis, 26 September 2019

Membongkar sejarah pendatang

pendatang

Menafikan bani China yang bermastautan di Tanah Melayu ini berasal dari Tanah Besar China dan bani India berasal usul dari benua India adalah satu jenayah sejarah.

Sama seperti menafikan Amerika telah meledakkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagsaki pada 6 dan 9 Ogos 1945.  Menafikan fakta ini samalah seperti menafikan fakta bahawa dalam perang dunia kedua 20 juta soldadu dan warga Soviet Union gugur di tangan Nazi German.

Dalam konteks sejarah penafian sedemikian dipanggil – revisionist history – pengubahan sejarah – pemesongan sejarah - atau mengubah fakta sejarah dengan memberi pandangan baru yang berlawanan dengan fakta sejarah.

Betul – fakta baru tentang sejarah terus dimunculkan hasil kajian baru yang dibantu oleh teknologi baru. teknologi membuktikan Peking Man telah wujud 750,000 tahun dahulu.

Java Man telah wujud di Pulau Jawa 700,000 tahun dahulu manakala di Lembah Lenggong - Orang Perak – Perak Man - datuk nenek moyang kepada Sakai dan Proto Melayu telah merayau-rayau dalam hutan belantara Tanah Melayu 11,000 tahun dahulu. 

Ini fakta bukan lebong (tipu). Garam tetap masin walau pun dibalut dan disira dengan gula.

Jika semua fakta sejarah awal wahid ini telah diterima maka tulisan ini senang difahami secara tuntas dan jelas. Tidak ada eek … tidak ada oook… Khalas. Maka kita kembali kepada tujuan asal kenapa wacana ini dibuka. Kenapa kita wajib membincangkan kembali agenda pendatang baru dan pendatang lama? Wacana ini secara jujur dan terang bertujuan untuk melahirkan negara bangsa.

Semenjak 9 Mei 2018 dengan kemenangan Pakatan Harapan kelihatan jelas naratif agama, bangsa, pendatang baru dan pendatang lama menjadi berita perdana.

Kuil diserang. Pegawai bomba gugur. Naratif- naratif ini sedang membakar dan memanaskan iklim politik tanah air kita. Suasana ini pada hemat saya tidak sihat. Naratif yang sedang ditaburkan ini sedang meracun fikrah anak semua bangsa. Ianya bukan sahaja akan menggagalkan niat mendirikan negara bangsa. 

Malah berkemungkinan naratif songsang ini akan menjadikan 13 Mei sebagai pesta hari jadi.
Naratif songsang ini berjaya mara ke hadapan untuk diterima pakai kerana selama 60 tahun minda kita semua - anak semua bangsa – telah dijajah oleh United Malays National Organisation.

Parti politik yang mengakui sebagai pejuang Melayu ini telah melakukan banyak pembelotan terhadap bani Melayu. Manifestasi terbaru daripada pembelotan ini ialah kemunculan pendatang baru bernama Zakir Naik dan pendatang lama bernama Dong Zong.

Pada hemat saya, selama ini kita ini gagal membincangkan secara historikal dan secara ilmiah serta secara berilmu tentang latar dan adunan untuk membina negara bangsa.

Hari ini dalam era internet semua perkara (IOT) - kita tidak boleh lagi menangguhkan perbincangan agenda pendatang lama dan pendatang baru. Hakikatnya kehadiran lambakan maklumat dan bahan sejarah membolehkan kita berwacana secara rasional. Kata kunci di sini ialah rasional. Ini berbeza daripada cara lama kita berbicara sebelum masuk ke era internet semua perkara.

Juga selama ini kita – bani Melayu, bani China dan bani India terperangkap – dalam penghujahan emosi. Berhujah bersama emosi degil yang bebal. Memiliki emosi bukan satu yang salah. Tanpa emosi kita bukan insan. Tanpa emosi kita bukan manusiawi. Tetapi dalam konteks mencari jalan untuk melahirkan negara bangsa kita wajib pinggirkan emosi. Kita asaskan pebincangan kita secara rasional, ilmiah dan historikal.

Tapi awas dan waspada dalam era semua benda internet - kita juga wajib memiliki keilmuan dan kewaspadaan ilmiah untuk menapis dan menangkis dan mengenepikan fakta yang boleh ditafsir malah berbentuk fakta walhal ianya hanyalah lebong.

Lebong juga boleh disalut oleh kajian ilmiah. Lebong ilmiah berbantalkan emosi. Lebong ilmiah ini hanya satu tujuan untuk mengenepikan sejarah alam Melayu. Kata-kata lucah seperti orang Melayu adalah juga pendatang; kita semua di Malaysia ini adalah pendatang; buktinya ialah Zahid Hamidi adalah pendatang dari Jawa; Najib adalah pendatang Bugis dari Sulawesi.

Kenyataan ini adalah kenyataan bangang lagi bodoh. Kenyataan ini berniat jahat. Kenyataan ini samalah seperti memberi kenyataan bahawa Mao Zedong yang tinggal di Beijing adalah seorang pendatang dari Provinsi Hunan yang jauhnya 1,339 kilometer dari kota Beijing.  Fakta membuktikan bahawa Mao memiliki bahasa loghat yang berbeza daripada loghat dan bahasa di Beijing. Tetapi satu dunia tahu Mao masih ditakrif sebagai bani China.

Walhal Tan Melaka dari Medan yang hanya 970 kilometer dari Melaka tapi tidak pula ditakrif sebagai bani Melayu. Provinsi Hunan didiami oleh bani China. Bejing juga didiami oleh bani China. Medan didiami oleh bani Melayu. Melaka didiami oleh bani Melayu.  Kenapa yang tinggal di Medan bukan bani Melayu? Apa yang saya utarakan adalah hujah ilmiah lagi rasional untuk menepis sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Melayu juga pendatang di Tanah Melayu ini.

Siapa pendatang dan siapa anak watan wajib difahami dengan jelas. Bila perkara ini telah difahami mari kita beralih ke babak ke dua.

Ini babak pendek. Babak dengan pertanyaan – kenapa dan bagaimana bani China dan bani India meluru masuk ke Tanah Melayu?

Jawabnya jelas bani China dari Tanah Besar China dan bani India dari benua India meluru masuk ke Tanah Melayu untuk menjadi buruh.  Buruh ini diperlukan dalam sistem ekonomi kapitalis Inggeris untuk menjarah kekayaan bumi Tanah Melayu. Sebelum berundur Inggeris telah menyediakan boneka politik untuk mengambil alih kuasa. Budak suruhan Inggeris ini diberi nama United Malays Natioanal Organisation.

Parti politik ini - lebih tepat lagi budak suruhan tajaan Inggeris ini melakukan pembelotan terhadap kepentingan menyeluruh bani Melayu. Justeru pembelotan inilah yang membolehkan pendatang masuk dan terus bermastautin di Tanah Melayu. Tidak cukup dengan pembelotan di Semenanjuang pada tahun 1957 - pada tahun 1965 Singapura terpisah dari ibu kandung Semenanjung.

Pembelotan parti Ketuanan Melayu ini berbeza dengan sikap Parti Komunis China. Parti Komunis China terus menerus mengakui bahawa Taiwan adalah sebahagian dari wilayah China. Walau pun pesisir pantai terdekat antara Tanah Besar China dengan Taiwan ialah 220 kilometer.

Bayangkan betapa dekatnya Singapura dengan Semenajung. Jika kita berkompang di Stulang Laut akan kedengaran bunyi kompang Johor di Woodland. Ini satu bukti yang sahih bagaimana United Malays National Organisation telah belot menjual Singapura kepada pendatang.

Untuk menghalalkan kemasukan pendatang sebelum 1965 bani Melayu didodoikan dengan apa yang dihebohkan, dengan apa yang dipanggil - kontrak sosial.  Ini dikatakan – perjanjian sosial - antara anak watan Tanah Melayu dengan pendatang asing. Kontrak sosial apa? Perkataan kontrak yang diketahui oleh bani Melayu pada ketika itu ialah - kuli kontrak. Hakikatnya mengenai kontrak sosial pandangan bani Melayu tidak diambil. Malah mereka tidak tahu apa pun yang berlaku. Bani Melayu tidak ditanya. Tidak dirujuk. 

Ini sama seperti Inggeris menukar nama Kwantung kepada Canton. Tanpa persetujuan anak watan Kwantung. Menukar nama Mumbai kepada Bombay tanpa persetujuan anak watan Maharashtra. Menukar nama Al Khairah kepada Cairo tanpa persetujuan anak watan Al Khairah.

Pada tahun 2019 ini anak semua bangsa wajib diberi tahu bahawa tidak ada rujukan, tidak ada pungutan suara, tidak ada referendum yang bersangkutan dengan perjanjian kontrak sosial ini. Semua ini hanyalah lebong United Malays National Organisation, elit Melayu dan kaum feudal Melayu. Tiga kumpulan ini telah berkomplot menipu dan menjual kepentingan bani Melayu.

Parti nasionalis Melayu, parti kiri – Parti Komunis Malaya telah diharamkan. Cadangan dan usul mereka tentang rupa bentuk negara bangsa di Tanah Melayu yang merdeka telah tidak dipedulikan.

Pemimpin nasionalis dan orang kiri yang tidak ke hutan angkat senjata melawan Inggeris telah ‘disikat’ dan masuk penjara. Kontrak sosial tanpa rujukan dengan anak watan Tanah Melayu sabenarnya satu pembelotan yang paling besar dilakukan oleh United Malays National Organisation terhadap bani Melayu. Pembelotan ini hanya satu tujuan sahaja. United Malays National Organisation membelot – menjual hak Melayu - untuk mendapat kuasa daripada kolonial Inggeris. Parti Ketuanan Melayu ini mahu menjadi pengganti Inggeris.

Sementara itu, kaum feudal yang makan tanggung dan berak cangkung tidak tahu satu habuk. Kaum feudal yang memiliki kesetiaan adat istiadat Melayu dan faham erti bangsa dan watan Melayu seperti Datuk Bahaman, Datuk Sagor, Maharaja Lela atau Tengku Yusoff telah dibunuh atau dihalau dari Tanah Melayu.

Inggeris menjanjikan makan tanggung berak changkung dengan gaji yang lumayan kepada kaum feudal. Untuk menipu dan menggula-gulakan bani Melayu dikatakan bahawa Raja Melayu ini adalah kepala agama Islam.

Apa makna kepala agama Islam ini tidak ada siapa yang tahu. Guru Nanak pun tidak mengetahui apa kaitan Raja dan Sultan Melayu dengan Islam. Kaum agamawan yang sedar akan tanggung jawab mereka telah dipinggirkan. Mereka mempersoalkan kenapa diterima pendatang asing untuk menjadi warga Tanah Melayu.

Justeru sampai ke hari ini kita ada terdengar sayu-sayu bunyi ucapan pemimpin Parti Islam PAS yang mempertikakan konsep jus soli. Apakah tulisan saya ini ungkit mengungkit. Jawabnya tidak. Ini bukan ungkit mengungkit. Bangsa Yahudi menimbulkan hak mereka yang terpendam selama 2000 tahun dahulu di Palestin.

Bangsa Maori di New Zealand makin lantang bersuara untuk merampas kembali naratif sejarah mereka.
Bagaimana pendatang masuk telah kita ketahui. (bersambung)

Salin dari blog HISHAMUDDIN RAIS  tukartiub.blogspot.com

Related Posts

Membongkar sejarah pendatang
4/ 5
Oleh