Sabtu, 4 Februari 2012

Hasan Ali ambil alih Pemimpin KITA

Perwakilan negeri Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), sebulat suara mendesak Presiden mereka, Datuk Zaid Ibrahim, meletak jawatan secara terhormat setelah gagal menerajui parti.

Pada masa sama, mereka juga berhajat untuk mempelawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, mengisi jawatan itu.
Ketua Kita Kedah, Zamil Ibrahim, berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu meninggalkan parti dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber untuk menerajui parti yang baru setahun ditubuhkan itu.

Beliau berkata, perwakilan dari setiap negeri termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak tidak teragak-agak menyingkirkan Zaid jika itu merupakan cara yang terbaik menyelamatkan parti.

“Zaid gagal menerajui parti dan cuba menconteng arang ke muka kami, kononnya pemimpin Kita di negeri-negeri tidak memberi kerjasama. Itu semua pendapat peribadinya dan tiada kena-mengena dengan parti.

“Saya minta 10,000 ahli Kita bertenang. Presiden tidak boleh membubarkan parti ini sesuka hati kerana ia bukan syarikat persendirian, sebaliknya beliau harus membubarkannya melalui mesyuarat luar biasa (EGM) dan perlu sokongan tiga perempat ahli,” katanya.

Ditanya mengapa Kita berminat mendapatkan khidmat Hasan, Zamil berkata, buat permulaan pihaknya akan bekerjasama dengan Hasan kerana berpendapat beliau pemimpin yang mempunyai pendirian jelas dan perjuangannya hampir selari dengan parti berkenaan.

“Hasan mempunyai pengaruh yang kuat dan saya percaya, sekiranya beliau menerajui parti ini, tidak mustahil Kita akan kukuh dan menjadi kuasa ketiga, sesuai dengan konsep dibawa Hasan yang selari dengan perjuangan parti ini.

“Sekarang Kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum. Di Kedah, 18 calon dikatakan telah menawarkan diri, jadi di mana maruah kami apabila ada pemimpin yang akan dicalonkan, tiba-tiba partinya pula dibubarkan,” katanya lagi.

Dua hari lalu, Zaid mengumumkan bahawa parti tersebut akan dibubarkan ekoran kegagalan beliau membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi dan juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti tersebut.

Dalam kenyataan yang dibuat beliau di laman sesawang rasmi parti berkenaan, Zaid turut menegaskan, pembubaran tersebut dilakukan bagi menghapuskan dakwaan bahawa parti Kita tidak memihak kepada pembangkang.

Dalam kenyataannya itu, Zaid turut menyalahkan peranan yang dimainkan media yang dilihat yang lebih berminat melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada parti tersebut.

Kita dilancarkan Januari lalu dengan moto “moderat, demokratik dan liberal.” Ia sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.

Parti itu digerakkan sejurus Zaid keluar PKR akhir tahun lalu selepas mendakwa wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam komponen Pakatan Rakyat itu.

Related Posts

Hasan Ali ambil alih Pemimpin KITA
4/ 5
Oleh