Khamis, 9 Februari 2012

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Datuk Mahfuz Omar mendakwa pentadbiran Najib enggan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) kerana bimbang lebih banyak rahsia terbongkar termasuk penglibatan pemimpin Umno dalam projek ternakan lembu itu.

Selain itu, beliau juga mencabar Putrajaya agar mendedahkan butiran perjanjian NFC kepada umum sekiranya yakin tiada penyelewengan yang berlaku dalam skandal itu.

“Kalau betul kerajaan yakin tiada unsur penyelewengan saya minta tubuhkan suruhjaya diraja siasatan dan mendedahkan perjanjian projek serta perjanjian pinjaman...dedahkan kepada umum supaya kita boleh lihat sama ada perjanjian itu meletakkan syarat bahawa wang yang diberikan hanya boleh dibelanjakan untuk perkara yang berkaitan dengan projek ternakan lembu.

“Kalau perjanjian itu kata wang itu hanya boleh digunakan untuk perkara yang berkaitan dengan projek maka pembelian kondomoninium itu apa statusnya? Sebab itu suruhanjaya diraja siasatan perlu ditubuhkan, saya libat banyak perkara yang perlu diteliti terutamanya butiran perjanjian itu yang saya sendiri tidak tahu apa kandungannya,” tegas beliau merujuk kepada pembelian kondominium mewah oleh NFCorporation (NFCorp), syarikat yang menguruskan NFC.

Sambil menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai, Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena ini menegaskan hanya suruhanjaya diraja dapat menyiasat skandal itu dengan telus dan terperinci.

“PAS tidak berganjak daripada pendirian yang mana perlunya menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan kerana kita lihat ada sesuatu yang tidak kena dengan siasatan dilakukan SPRM ke atas pengurusan NFC,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mahfuz berkata siasatan SPRM lebih kepada penyelewengan yang berlaku dalam NFC tetapi tidak kepada isu utama iaitu tentang pemberian projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail, suami kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Siasatan SPRM tidak melihat kepada isu pokok iaitu mengenai pemberian projek kepada syarikat NFCorp yang dimiliki keluarga Shahrizat, saya tidak nampak fokus sebenar (siasatan SPRM).

“SPRM tahu kalau lihat kepada bagaimana projek ini diberikan, ia akan melibatkan semua orang termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan menteri berkenaan ketika itu dan juga bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Semalam Shahrizat yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM, Putrajaya.

Difahamkan kehadirannya di pejabat SPRM sebagai isteri kepada pengerusi NFCorp, yang mana Shahrizat sebelum ini menegaskan tidak mempunyai kaitan dalam projek itu.

Selain suami Shahrizat, anak-anaknya juga terlibat dalam pengurusan projek itu sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu.

Mahfuz sebelum ini pernah mendesak Putrajaya agar menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan untuk menyiasat projek ternakan lembu yang berpusat di Gemas, Negeri Sembilan.

“Nampaknya kerajaan takut untuk ambil tindakan tegas, Najib takut untuk ambil tindakan tegas terhadap Shahrizat...saya percaya Shahrizat akan dilepaskan daripada pertuduhan ini kerana saya percaya Shahrizat akan dedahkan penglibatan orang lain sekiranya dituduh terlibat.

“Nampak Najib begitu takut kepada kekuatan yang ada pada Shahrizat,” kata Mahfuz.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati terdapat “kecelaruan” dalam projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Shahrizat itu.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

Namun demikian, NFCorp menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

Leave a Reply

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Politik kedai kopi - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -