Sabtu, 14 April 2012

Senjata Melayu yang di nafikan oleh melayu sendiri

Pahlawan Melayu Aceh

Semasa di sekolah dan  membuka buku sejarah. apa yang kita  lihat ? Hulubalang Melayu memegang tombak. Panglima Melayu menghunus keris. Tak cukup dengan itu , anak-anak zaman sekarang ini dihidangkan lagi dengan filem 'buta sejarah' seperti Puteri Gunung Ledang. Logikkah, tentera dari sebuah empayar yang kaya, pergi berperang memakai baju senipis tisu? Logikkah, pahlawan Melaka dahulu berperang memakai keris dan tombak sahaja? Setahu saya, zaman Arab Jahiliyah pun mempunyai pedang. Agaknya, inilah sebab mengapa filem berbajet RM 20 juta itu gagal meraih trofi ketika Festival Filem Malaysia.

Gambar lukisan raja Melayu di atas gajah, dengan askar-askar Melayu menentang penjajah Portugis menggunakan tombak dan keris. Bertembokkan pancang-pancang kayu dan batang pisang . Gambar askar Melayu mati ditembak istinggar musuh. Gambar rumah beratap rumbia musnah dibedil meriam. Terlihat lagi gambar gabenor British bercekak pinggang dengan orang-orang Melayu berpakaian selekeh, miskin dan nampak kurang berpendidikan.(bodoh)

Bagaimana seorang berpendidikan seperti Menteri Kebudayaan, Tenaga dan Komunikasi boleh membiarkan sejarah tamadun bangsanya dipadamkan dari peta sejarah?

Inilah fikiran yang di jajah dan diwariskan kepada kita sehinga kini,dan ada menteri ketika masa  penjajahan dahulu berkata  “hendak buat sebatang jarum pun tak mampu”(inilah fikiran melayu yang dijajah oleh penjajah)  Benarkah begitu?

Beribu-ribu tahun dahulu, di Lembah Bujang, terdapat satu peradaban yang makmur. Kota-kota yang besar dan istana-istana yang mengagumkan. Di satu kawasan, terdapat kilang-kilang membuat peralatan logam;kilang melebur besi.dan betapa orang-orang Melayu pada masa dahulu pandai mencipta meriam dan menggunakan senjata api.

Zaman berganti zaman, tahun berganti tahun, peperangan demi peperangan, hasad dengki, khianat, kekejaman dan penipuan menghiasi tabir. Jatuh dan bangun. Bina kembali peradaban. Berperang lagi…hancur semuanya….bangkit kembali membina empayar…perang saudara…kedatangan bangsa Eropah yang tamak dijajah…dijarah…

Apabila teknologi meriam semakin maju pada abad ke-14, seluruh dunia berlumba-lumba mendapatkan teknologi ini. Kerajaan-kerajaan Eropah, wilayah-wilayah bekas Empayar Abbasiah dan Turki Uthmaniyyah, Empayar China dan kerajaan Ayutthia berusaha tidak ketinggalan dalam soal mengambil tahu atau memiliki meriam malah merekrut rakyat mereka mempelajari cara membuat meriam.

Adakah Sultan-sultan Melaka yang memiliki Pelabuhan Paling Kaya di Timur menjadi pekak, tuli, buta dan bisu dengan perkembangan ini?

Padahal raja-raja Melayu Brunei dan Sulu ketika itu sudah biasa bermain dengan pistol dan menjadi pengeluar meriam kecil terbaik dunia? Sebab itu Sepanyol gerun dan tidak mampu mencabut ‘kemelayuan mereka.

Adakah para pedagang yang tiba di pelabuhan Melaka semuanya berpakat untuk menyorokkan berita-berita tentang meriam, istinggar (musket) dan ubat bedil? Adalah amat tidak logik jika Sultan Melaka yang pernah menakluk sebahagian Sumatera dan tanah semenanjung malah mengalahkan tentera Siam menggunakan keris dan lembing sahaja. Tiada satu pun kerajaan yang boleh mengalahkan Melaka ketika itu kecuali gabungan tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam ditambah dengan pembelot dan pengkhianat dalaman dari para pedagang asing dan orang Melayu sendiri.

Ada riwayat mengatakan bagaimana semasa serangan Portugis terhadap Melaka, Melaka tidak mudah tumbang.
Hanya filem-filem dan drama pendekar di Malaysia sahaja menggambarkan pendekar Melayu berperang menggunakan keris dan lembing selepas bergaduh di warung berdinding buluh dan beratapkan rumbia. Sungguh memalukan.

Apabila orang luar membuat filem tentang Melayu, mereka menggambarkan pendekar Melayu menggunakan pistol, meriam dan senapang. Malah pendekar Melayu memakai baju kulit dan sesetengahnya memakai baju zirah, baju besi untuk mengelakkan serpihan peluru meriam melukai daging kulit. Dari mana mereka mengorek rahsia ini? Dari catatan-catatan sejarah mereka yang diluar kawalan Raffles, Winsted, Swettenham dan Leyden.

Nama-nama Melayu, senjata yang dikatakan asing bagi orang melayu.

Cannon : Meriam, Lela

Portable Cannon/swivel gun : Lela Rentaka

Flintlock Musket : Istinggar

Blunderbuss : Pemuras

Pistol : Terakol






Pemuras adalah antara senjata yang gemar digunakan oleh orang-orang Melayu dahulukala. Dalam Perang Naning, catatan askar Inggeris menyatakan orang-orang Melayu amat pandai menggunakan Pemuras ini sehingga Inggeris terpaksa menghantar beberapa kali pasukan tenteranya menentang Dol Said dan Perang Naning juga berlaku dalam beberapa siri.

Pemuras atau dalam bahasa Inggeris, blunderbuss adalah sejenis alat bedil muat hadapan dengan laras berkaliber pendek, besar, yang mempunyai muncung peledak hadapan yang berbentuk kembang (funnel-shaped muzzle ). Pemuras ini menggunakan peluru timah hitam (lead).

Penggunaan Pemuras (blunderbuss) ini adalah amat popular dikalangan pelaut, lanun dan pedagang. Ini kerana ia sesuai untu pertempuran secara pantas dan berdepan kerana ia mampu mencederakan beberapa orang musuh dengan hanya satu tembakan dari jarak dekat.

Pemuras biasanya amat pendek, dengan laras kurang dari 60 cm (dua kaki), pada ketika laras senapang lantak biasanya melebihi 90 cm (tiga kaki) panjang.Satu sumber menggambarkan senjata dari awal hingga pertengahan abad ke-17, menyenaraikan panjang laras Terakul kancing roda (wheel lock) sekitar 28 cm (sebelas inci), berbanding 41 cm (enam belas inci) panjang bagi Pemuras.





Orang-orang Melayu memanggilnya sebagai Terakol atau Tarkul. Dragoon atau Terakol.Dalam masyarakat Melayu, senjata Pemuras dan Tarkul adalah agak popular berbanding di dunia barat. Penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digambarkan di dalam peristiwa perang Melayu berbanding istinggar atau Flintlock Musket.

Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu. Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi ‘wheel lock (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan ‘fius’. Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah, Datu dan Sultan-sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga askar Brunei menentang Rajah Brooke.

Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka. Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan. Sekitar tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat.




Istinggar (Bahasa Inggeris:musket) pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau wheel lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi flintlock (kancing batu api). Penggunaan flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api. Mula diperkenalkan pada 1630 sebagai flintlock musket, istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal,seperti mekanisme kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis. Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis. Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.




Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama didunia. Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan keatas dan kebawah serta boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih Rentaka juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran.

Dalam Bahasa Inggeris, ia disebut Lantakas (gabungan Lela dan Rentaka). Rentaka adalah senjata khas orang Melayu, kerana mereka sendiri yang menciptanya, sebab itu orang Inggeris menyebutnya dengan Lantakas. Ini adalah sesuatu yang menarik kerana Rentaka adalah setanding dengan keris dan ia adalah senjata Melayu yang terkenal di dunia Barat.

Kebiasaannya rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran diantara 50cm hinggalah 2 meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong. Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. Mereka menggelarnya sebagai arquebuses, portable cannons or swivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa, rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat, naga, buaya, cicak, ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.

Pahlawan Moro adalah diantara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat rentaka yang terbaik . Orang Moro telah menggunakan rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol. Tentera Sepanyol dikatakan amat takut dengan senjata tersebut kerana diantara banyak-banyak senjata, rentaka adalah salah satu senjata yang menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka. Selain daripada orang Moro, Kerajaan Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar rentaka terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. kebanyakan daripada rentaka yang ada di Muzium di seluruh dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei kalau tidak Filipina. Di Semenanjung, Jawa dan Sumatera, penggunaan rentaka adalah kurang terutama setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.



Meriam mempunyai sejarah yang panjang,terahsia dan digelapkan dalam sejarah Melayu.Meriam digunakan di tembok-tembok kota Melaka. Meriam digunakan di semasa peperangan melawan penjajah di Selangor dan  digunakan juga di Pasir Salak.

Meriam adalah cukup sinonim dengan seni peperangan Melayu. Jika Brunei dan Sulu terkenal mengeluarkan Rentaka (meriam mudah alih) terbaik, maka Patani pula adalah pengeluar meriam paling terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.

Sebelum kemunculan meriam,pada awalnya teknologi artileri atau bedilan ini diperkenalkan oleh orang-orang Cina. Kemudian meriam diperkenalkan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah, yang juga merupakan pembuat meriam yang menggerunkan seluruh Eropah ketika itu.Kemudian pedagang Belanda pula memperkenalkannya.

Meriam yang paling terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seri Nagara,Seri Patani dan Mahalela. Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Menariknya bukan orang lain yang membuat dan memilikinya, tetapi orang Melayu juga.
Meriam-meriam ini adalah milik Kerajaan Patani.Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Pattani pada waktu itu iaitu Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan. Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Setelah mengetahui fakta sejarah yang digelapkan dari pengetahuan kita ini,adakah kita masih berfikir nenek moyang kita berperang menggunakan sumpit,lembing dan keris? Jika nenek moyang kita berperang dengan senjata-senjata itu sahaja, alamat kita sekarang bukanlah duduk di Malaysia, tetapi di sebuah negeri Inggeris lain,seperti Australia. Sebab orang-orang Melayu mempunyai senjata-senjata beginilah mereka mampu mempertahankan takhta raja-raja mereka dan sedikit sebanyak mengawal tindak tanduk penjajah yang ganas dan tamak.

Sebenarnya jika kita bersemangat mempertahankan warisan budaya kita sendiri, orang lain pun akan segan dan hormat pada kita. Seperti juga hari ini, jika kita acuh tak acuh dengan warisan kita sendiri, sebagai contoh Tulisan Jawi, Jika kita sendiri tidak berusaha mengambil berat diri kita sendiri, siapa lagi hendak diharapkan menjaga segala warisan dan identiti bahkan pegangan agama kita sendiri? (siapa yang menghapuskan tulisan jawi?)

Kesimpulannya, dengan pendedahan ini yakinlah kita bahawa orang Melayu  bukanlah bangsa yang lemah dan hanya mengenal keris dan tombak sahaja malah pandai menggunakan meriam dan membuatnya juga. Orang Melayu juga biasa menggunakan musket (Istinggar) dan pistol (Terakol).

Maka bukalah minda kita semasa berfikir,dan fikirkan juga siapa yang menghina bangsa sendiri.

Related Posts

Senjata Melayu yang di nafikan oleh melayu sendiri
4/ 5
Oleh