Home » » Rafizi Ramli :Berapa lagi perjanjian pinjaman seperti NFC

Rafizi Ramli :Berapa lagi perjanjian pinjaman seperti NFC

Written By kiff isme on Selasa, 14 Februari 2012 | Februari 14, 2012

Saya merujuk kepada kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana wang tersebut boleh digunakan. NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

Pengakuan ini menimbulkan seribu satu persoalan baru:

1. Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

2. Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

3. Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

4. Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

Untuk merungkai segala persoalan ini, saya mengesyorkan supaya Najib Razak dan Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada umum supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

Pendedahan ini juga mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.