Rabu, 26 Oktober 2011

Pembaziran dan kegilaan kerajaan Barisan Nasional berbelanja boros semakin menjadi-jadi. Ia bukan dakwaan pembangkang, sebaliknya kebenaran pedih dan pahit yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, contoh-contoh pembaziran wang rakyat bukan sahaja mengejutkan tetapi tidak masuk akal seperti Jabatan Taman Laut membayar lebih RM56,000 untuk membeli teropong yang sepatutnya berharga tidak sampai RM2,000, iaitu hampir 30 kali ganda daripada harga pasaran.

Katanya, jabatan itu itu membeli barangan seperti komputer riba, pencetak, TV LCD dan pemain cakera DVD dengan harga kira-kira RM193,000 sedangkan nilainya tidak melebihi RM20,193.

Menurutnya, keadaan yang menyedihkan berlaku di Sabah di mana Kementerian Pelajaran hanya mampu menyiapkan dua makmal komputer setakat akhir tahun lalu walau pun kerajaan telah meluluskan projek bernilai RM160.7 juta untuk dibekalkan makmal berkenaan kepada 300 sekolah menjelang 2008.

“Majlis Amanah Rakyat atau MARA, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan Bumiputera, sekali lagi ditegur oleh Ketua Audit Negara kerana membuat pembelian yang terlalu mahal seperti membeli oven dengan harga RM1,200 sedangkan harga sebenar adalah RM419, membeli katil berlipat dengan harga RM500 sedangkan harga sebenar adalah RM100.

“Walau pun laporan Ketua Audit Negara hanya mengambil contoh-contoh kecil sahaja, kisah-kisah kelemahan dan penyalahgunaan dalam kerajaan adalah begitu besar sekali,” katanya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, apa yang sepatutnya berlaku selepas setiap kali laporan Ketua Audit Negara didedahkan, perlu ada pihak yang dikenakan tindakan tetapi ia amat jarang berlaku di Malaysia.

“Kebanyakan daripada pegawai yang melakukan kesalahan itu hanya diberi surat teguran sahaja dan kes-kes itu kemudiannya ditutup,” tambahnya.

Kesannya, tidak ada insentif untuk pegawai kerajaan meningkatkan kecekapan atau mengurangkan pembaziran, salah urus dan penyalahgunaan kuasa kerana “hadiah” untuk mereka adalah lebih tinggi nilainya daripada hukuman.

Pua menjelaskan bahawa walau pun Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Parlimen mempunyai kuasa untuk memanggil wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan untuk menjelaskan tindakan mereka, PAC tidak mempunyai kuasa untuk menghukum kecuali member “cadangan” kepada kerajaan.

“Ini terbukti tidak berkesan, malah ia menjadi lebih buruk lagi apabila PAC hanya mampu menumpukan kepada beberapa kesalahan sahaja yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Akauntabiliti Kewangan (FAC) yang boleh diwujudkan melalui Akta Parlimen untuk menangani masalah pembaziran dan salah urus wang rakyat oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, FAC tidak boleh dianggotai oleh pegawai atau kakitangan awam untuk mengelakkan konflik kepentingan, sebaliknya diketuai oleh pakar profesional dalam bidang audit dan integriti seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Transparency International (TI) Malaysia.

Katanya, suruhanjaya itu hanya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan diberi kuasa menghukum serta mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah, sebagaimana yang disebutkan dalam laporan Ketua Audit Negara. – Roketkini.com

Leave a Reply

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Politik kedai kopi - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -