Khamis, 27 Oktober 2011

Bola sepak perlawanan akhir

Kenapa perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 akan di Stadium Shah Alam dan tidak di Stadium Nasional di Bukit Jalil seperti kebiasaannya? Itu antara persoalan yang bermain dalam kepala sebaik sahaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan gelanggan final tahun ini.

Selepas isu tersebut menjadi tanda tanya tanpa sebarang alasan diberikan, hanya baru-baru ini jawapannya diketahui.

Namun, kalau dahulu faktor padang rosak boleh dijadikan alasan, kali ini apabila alasan yang sama cuba diberikan, ia pasti mengundang lagi rasa sangsi di kalangan orang ramai.

Bumbung stadium berskru longgar dan karat

Laporan media mendedahkan bahawa bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil sebenarnya sudah tidak selamat digunakan sejak 2006 malahan proses membaik pulih masih belum berjalan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, bumbung stadium itu telah tamat tempoh jaminan tiga tahun lalu dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan segera demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Laporan itu yang menyatakan “sebahagian besar bumbung didapati telah terkoyak dan skru kabelnya longgar dan berkarat” turut mendedahkan punca masalah, iaitu kelewatan dan ketiadaan kelulusan peruntukan daripada kerajaan.

Lebih mengejutkan ialah apabila pihak yang menguruskan stadium tersebut, iaitu Merdeka Stadium Corporation (MSC), mengatakan permintaan mereka kepada pihak kerajaan sebanyak empat kali telah ditolak tanpa alasan.

Kalaulah insiden tidak diingini semasa perlawanan jelajah kelab Liga Perdana Inggeris Arsenal, Liverpool dan Chelsea baru-baru ini berlaku, di manakah hendak letak muka dan maruah negara kita?

Lebih membingungkan lagi, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak terutamanya para menteri. Beginikah pemimpin yang dikatakan mahu mementingkan rakyat?

Sudah kebiasaan, sikap kerajaan adalah “bila terhantuk baru terngadah”.

Stadium di Malaysia pernah roboh

Kalau insiden roboh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 2009 berulang di Bukit Jalil, apakah reaksi daripada kerajaan? Adakah dengan sekadar menyalahkan orang lain dan menunding jari dapat menyelesaikan masalah?

Dalam kekalutan permasalahan isu Stadium Nasional Bukit Jalil, dua lagi berita wajar dijadikan perbandingan dan congakan peminat sukan tempatan negara.

Dilaporkan sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan untuk membeli 23 kuda tetapi daripada jumlah itu, hanya lima sahaja layak beraksi di World Endurance Championship (WEC) 2008. Bukankah ini satu pembaziran?

Begitu juga projek ternakan lembu milik kerajaan berjumlah RM73.64 juta yang gagal mendatangkan hasil seperti yang ditetapkan.

Ke mana perginya wang rakyat?

Kemanakah wang-wang ini semua pergi? Adakah Datuk Seri Najib Razak boleh menjawabnya atau sekadar lari daripada memberi jawapan?

Kesimpulannya, memang wajar cadangan daripada wakil DAP Tony Pua yang mahu mewujudkan Suruhanjaya Ketelusan Kewangan (FAC) bagi mengambil tindakan ke atas pegawai kerajaan yang bersalah menguruskan kewangan yang ditetapkan, disokong penuh.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP mencadangkan supaya FAC itu dianggotai oleh pakar profesional dalam bidang audit dan integriti seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Transparency International (TI) Malaysia.

FAC hanya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan diberi kuasa menghukum serta mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah. Mungkin ini dapat mengatasi masalah pembaziran dan salah guna kuasa yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi membahayakan nyawa kita.

Sampai bilakah pembaziran dan kekorupan pegawai kerajaan harus berlalu hingga akhirnya yang merana kita rakyat biasa?

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Related Posts

Bola sepak perlawanan akhir
4/ 5
Oleh