Selasa, 16 Ogos 2011

Parlimen terakhir untuk anak seorang bangsawan

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-12 (2011) berkemungkinan besar merupakan sesi Parlimen terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ketiga Belas (PRU Ke-13) diadakan. Mengikut takwim Parlimen, Dewan Rakyat dijadualkan untuk bersidang mulai 3 Oktober 2011 sementara Perdana Menteri (PM) merangkap Menteri Kewangan Najib Razak akan membentangkan Belanjawan Negara 2012 pada petang 7 Oktober 2011.

 Ramai yang menjangkakan bahawa Belanjawan akan datang merupakan "belanjawan pilihan raya" di mana pelbagai "gula-gula PRU Ke-13" akan diumumkan untuk menawan hati para pengundi. Belanjawan pilihan raya lumrahnya juga dianggap sebagai mempunyai kecenderungan bersifat populis. PM sendiri, seawal bulan Mei tahun ini, sebelum gelombang tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya menguningkan sebahagian besar halaman Facebook sebelum dan selepas perhimpunan besar-besaran BERSIH 2.0 pada 9 Julai, telah menyatakan bahawa Belanjawan 2012 "adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi", seakan-akan cadangan yang dibentangkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) berhubung pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) telah diterima pakai dan kuota Bumiputera yang termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) semenjak tahun 1970 telah dimansuhkan. Seolah-olah sifat inklusif telah mencorakkan keseluruhan langkah-langkah transformasi dan memanfaatkan segenap rakyat jelata tanpa dipengaruhi faktor-faktor seperti politik naungan, budaya rent-seeking dan perbezaan etnik.

Tatkala itu, agensi penarafan Standard & Poor (S&P) masih belum menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+, trend jualan saham masih belum menyaksikan pasaran saham sedunia, serantau dan dalam negara jatuh secara drastik melibatkan kehangusan nilai berpuluh-puluh bilion, bank pelaburan Goldman Sachs masih belum mengkaji semula dan menurunkan anggaran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini dan tahun depan.

Tatkala itu juga, PM masih mimpikan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mencapai sasaran 6% tahun ini. Dasar "rasionalisasi subsidi" Kerajaan UMNO-BN yang pro-korporat dan membebankan rakyat masih mendominasi dunia buzzword dan hangat dipertahankan oleh ahli politik, badan pemikir dan ahli akademik yang tidak tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2300 atau secara purata RM1500.

Selepas Buku Jingga Pakatan Rakyat (Pakatan) menyarankan untuk "merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat", dan dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, kini, Najib sebagai "anak seorang PM" yang berlatar belakangkan golongan bangsawan dan menjalani kehidupan mewah sedang berbicara tentang bagaimana kerajaan "akan terus menyediakan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat antaranya seperti pemberian subsidi minyak, makanan, bil perubatan", lantas memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baharu dan ketujuh iaitu "Perangi Kos Kehidupan". Kakitangan kerajaan pula diberikan bonus setengah bulan atau sekurang-kurangnya RM500 pada bulan Ramadhan setelah tiga tahun berturut-turut tidak diberikan bonus.

Ciplak atau kebetulan? Buku Jingga Pakatan juga menjanjikan pemberian RM500 yang didakwa ahli politik dan badan pemikir kerajaan kononnya akan membangkrupkan negara! Buku Jingga "mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa." Kalau begitu, apakah pemberian bonus, gula-gula pilihan raya dan subsidi berbentuk insentif kepada syarikat kroni oleh kerajaan tidak membangkrupkan negara? Kalau begitu, apakah pemberian "duit raya" sejumlah RM42.6 juta kepada seramai 112,635 peneroka akan membangkrupkan FELDA?

Tentu tidak! Sebab pemberian-pemberian sedemikian bukan punca kepada kelembapan ekonomi negara. Yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi ialah masalah struktur seperti yang dibangkitkan oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli (gambar kiri) dalam kenyataannya bertajuk "Prestasi ekonomi mutakhir menjadi petanda kegagalan dasar ekonomi Najib" pada 10 Ogos 2011, bahawa setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang menelan pelaburan RM142 bilion, yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lantas "membuktikan bahawa sasaran 92 peratus pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai".

Yang menjadi penghalang kepada transformasi ekonomi dan negara ialah budaya berbau monopolistik seperti yang dibangkitkan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataannya bertajuk "Pakatan Malaysia Airlines dan AirAsia: Berbau monopolistik atau selamatkan ekonomi negara?" pada 12 Ogos 2011, yakni wacana baharu di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 adalah bahawa, negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan berbau monopolistik yang membantutkan semangat persaingan kompetitif. Tetapi sehingga hari ini kita masih menyaksikan realiti yang sebaliknya dalam banyak kes.

Apabila diteliti Belanjawan Negara yang dikemukakan semenjak Najib, anak seorang bangsawan, memegang jawatan Menteri Kewangan, trend projek mega yang bersifat membazir dan pro-kroni besar serta kekurangan ketelusan yang sewajarnya dalam kebanyakan tatakelola dan urusan kewangan masih mencorakkan kerangka pengurusan dan pembangunan ekonomi. Lantaran itu, defisit fiskal tahun ini yang disasarkan pada 5.4% oleh anak seorang bangsawan pasti menghampakan rakyat yang prihatin terhadap status kewangan negara. Dalam konteks ini juga, dakwaan wang zakat digunakan untuk membiayai kos guaman pegawai tinggi kerajaan ekoran ketidaktelusan pentadbiran wang zakat masih tidak dijawab sepenuhnya.

Begitu juga, kemelut yang melanda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn. Bhd, yang melibatkan pekerja Dawama tidak dibayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan seumpamanya, masih menanti-nanti jawapan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan "anak seorang PM dan bangsawan" berhubung pertanyaan-pertanyaan berkisar sekitar nisbah agihan perkongsian keuntungan tidak masuk akal iaitu 80:20 (Dawama-DBP) untuk judul umum dan 70:30 untuk buku teks.

Banyak isu dan persoalan yang menanti jawapan kementerian-kementerian berkaitan dalam siding Parlimen akan datang. Jangan pula wakil rakyat terlupa kepentingan isu-isu berkaitan kerana terlalu asyik dengan soal sama ada diri mereka akan menjadi calon pada PRU Ke-13.

Semasa bulan Merdeka tahun 2009, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen merayu kepada rakyat bahawa "semua parti korup negara-negara seperti Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan telah digantikan, hal ini wajar seterusnya berlaku di Malaysia". Kini menjelang kemerdekaan tahun ini, Sasterawan Negara A. Samad Said (gambar kiri) pula menyeru rakyat Malaysia khasnya golongan muda bahawa, "Saya merasakan sudah tiba masanya kerajaan ini ditukar, cukuplah 54 tahun untuk mereka", semasa beliau merasmikan kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’ pada 8 Ogos 2011.

Tarikh akhir menghantar soalan Parlimen untuk sidang Dewan Rakyat bulan Oktober nanti ialah 9 September 2011, saya sedang merenungkan persoalan ini: Apakah reaksi anak seorang PM dan bangsawan, apabila beliau diajukan dengan soalan parlimen berikut.

"Minta Menteri menyatakan usaha kerajaan untuk meyakinkan Generasi 709 termasuk Pak Samad, bahawa masih belum tiba masanya kerajaan ini ditukar."

Related Posts

Parlimen terakhir untuk anak seorang bangsawan
4/ 5
Oleh