Ahad, 29 Mei 2011

Najib Mohon simpati Belia Pertahan Putrajaya untuk Berkuasa dan Kaya

Fikirkanlah wahai belia semua...
Kerajaan ketuanan Rakyat atau Kerajaan Ketuanan Kroni

PUTRAJAYA 29 MEI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang sekali gus membolehkan Barisan Nasional (BN) terus kekal berkuasa.

Dalam ucapannya ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 semalam, Najib merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat.

Menurut Najib, beliau gembira dengan kehadiran sejuta orang anak muda di Putrajaya untuk menyokong pentadbirannya berbanding kebangkitan rakyat di Mesir awal tahun ini yang menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak.

“Di Malaysia, satu juta pemuda berhimpun untuk mempertahankan Putrajaya,” katanya.

"Saya percaya kita boleh tunjuk kepada dunia... negara (kita) aman dan stabil. Kita tidak bergolak. Apa yang berlaku di Mesir dan Tripoli itu soal negara lain.



“Adakah anda bersedia untuk mempertahankan Putrajaya?” tanya beliau berulang kali ketika berucap di hadapan sekitar 8,000 orang hadirin hari ini.

Sebelum ini pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu, Najib juga menjaja tema yang sama meminta ahli Umno bersamanya mempertahankan Putrajaya.

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" kata Najib yang juga presiden Umno pada Oktober tahun lalu.

Walaupun Najib tidak menyebut mana-mana parti politik dalam ucapannya, tetapi ia jelas merujuk kepada Pakatan Rakyat.

Najib berkata sambutan yang menggalakkan pada Hari Belia semalam juga mencerminkan sokongan golongan itu terhadap kerajaan dan mendakwa mereka tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan pembangkang.

"Satu hari di kalangan belia yang berhimpun hari ini akan duduk di kerusi di Putrajaya. Inilah niat kita. Pembangkang nak lelong Putrajaya... adakah anda benarkan? Tidak!

"Kita tidak akan biarkan mereka melelong Putrajaya kerana sejuta belia akan mempertahankannya,” katanya.

Najib mendakwa kerajaan sentiasa bekerja keras demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan belia kerana mereka adalah pemangkin kepada transformasi yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Walaupun tidak sampai ke peringkat membuat keputusan, memadailah anda (belia) mendukung dan menyokong pelan transformasi negara. Saya cukup hargai.

"Negara kita, milik kita dan para belia hari ini tahu bahawa masa depan mereka bergantung kepada kejayaan dan pelan transformasi negara," katanya.

Pada perhimpunan itu, Najib juga mengumumkan beberapa habuan untuk memikat golongan belia antaranya memperkenalkan khidmat sukarelawan, portal belia, ikon remaja dan mewujudkan 'youth park' di sekitar Putrajaya.

Beliau juga berkata kerajaan akan mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan citarasa golongan belia di negara ini.

Katanya, wakil pemimpin belia dalam Parlimen tersebut terdiri daripada mereka yang dipilih oleh golongan belia itu sendiri.

"Syarat umur (wakil belia dalam Parlimen itu) mungkin bawah 40 tahun.

"Para belia (boleh) memilih wakil mereka, boleh membahas usul-usul, boleh membuat cadangan dan kerajaan akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap cadangan-cadangan itu," kata Najib.

Himpunan belia yang bermula Jumaat dan berakhir hari ini, menampilkan lebih 200 acara dan program bagi golongan belia seperti sukan, kreativiti, seni dan sukan lasak.

Related Posts

Najib Mohon simpati Belia Pertahan Putrajaya untuk Berkuasa dan Kaya
4/ 5
Oleh