Home » » 111 Orang meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

111 Orang meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

Written By kiff isme on Sabtu, 28 Mei 2011 | Mei 28, 2011

SELAYANG, 28 Mei: Bekas Ketua Cawangan Umno Kampung Melayu Sri Kundang, Mat Senin Mat Lana mengetuai 111 ahli cawangan itu membuat keputusan meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

Mat Senin bersama bekas ketua pemuda cawangan tersebut, Mohd Khairuddin Abu Bakar dan bekas ketua wanita, Kamariah Meor Baldin secara rasmi menyerahkan borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di majlis Ceramah Perdana PAS Ganti Umno di Dewan JKKK Kampung Setia, Tasik Biru, Kuang malam tadi.

Laungan takbir bergema dari kira-kira 2,000 orang yang hadir memenuhi padang sewaktu pengerusi majlis mengumumkan perkara tersebut.



Difahamkan, selepas mereka meninggalkan Umno, ahli cawangan tersebut tinggal 130 orang dan dikepalai oleh timbalan ketuanya.

Menurut sumber, masih ada beberapa ahli yang ingin mengikut jejak langkah ketua mereka untuk menyertai PAS.

Diberi peluang berucap di atas pentas, Mat Senin menyatakan komitmennya untuk memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada PAS.

"Alhamdulillah saya diberi peluang untuk lompat parti. Bukan lompat parti macam Pasir Mas (Datuk Ibrahim Ali) tu. Dia tak setia.

"Saya masuk PAS insya Allah saya akan beri seratus peratus kesetiaan kepada PAS. Ini ikrar saya," kata beliau disambut laungan takbir hadirin.

Mat Senin turut menjelaskan sebab beliau tertarik dengan PAS sehingga membuat keputusan nekad meninggalkan Umno.

"Saya dah tengok perjuangan PAS, bandingkan perjuangan Umno, 10 tahun saya dalam Umno, banyak penyelewengan, penindasan.

"Cara pengurusan Umno memang tidak Islamik. Suka fitnah, benda tak ada diadakan, tak boleh tengok orang lain mula nak cantas. Ini sistem Umnolah. Sebab itu saya kecewa. Saya percaya PAS Islamik. Bila Islamik sudah tentu adil," katanya yang turut berjanji akan memberi penerangan kepada ahli Umno agar memilih parti yang betul.

Balik asal

Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menyifatkan keptusan Mat Senin itu sebagai "balik asal".

"Keputusan Encik Mat ini bukan lompat parti, tapi balik asal kepada Islam.

"Saya ucap syukur kepada Allah S.W.T. dapat sampai ke sini walaupun dalam keadaan keletihan, letih pun sekadar nak lawan Umno tu boleh sangatlah," katanya disambut gelak ketawa para hadirin yang ternanti-nanti ucapan daripada Menteri Besar Kelantan itu.

Tuan Guru Nik Aziz dalam ceramahnya terus menyelar Umno BN yang menolak dasar Islam sebaliknya mengagungkan dasar kebangsaan.

"Bila Umno ajar kepada kita buang Islam, ambil kebangsaan, Islam ini hak Allah Taala, bukan hak PAS, bukan hak Nabi Muhammad. Islam agama dari langit, bukan dari Makkah, diturunkan melalui nabi-nabi.

"Bagaimana Umno sebagai seorang manusia tolak agama Allah Taala. Bila tolak Islam ganti dengan Melayu, ertinya Umno tolak Allah, tolak Nabi Muhammad, tolak Islam. Macammana Umno ni. Duduk atas muka bumi Allah tapi tolak agama Allah?" Soalnya dengan tegas.

Beliau turut mempersoal tindakan Umno BN yang memisahkan sistem pentadbiran dengan agama dengan beranggapan agama dan politik adalah perkara berbeza.

Sedangkan kata beliau, sejak zaman Nabi Muhammad lagi, baginda sudah mentadbir urusan politik selari dengan agama Islam termasuk mengadakan beberapa perjanjian dengan orang bukan Islam.

"Islam ialah agama yang dibawa Nabi Muhammad, dan Nabi Muhammad sendiri ahli politik.

"Umno sebut agama lain, politik lain. Saya nak tanya Umno, kalau agama lain politik lain, siapa yang jaga politik ketika zaman Nabi Muhammad selama 23 tahun. Bukan British, bukan Amerika yang jaga politik di Makkah dan Madinah zaman nabi dulu.

"Semua nabi yang uruskan, mengadakan perjanjian dengan Yahudi dan sebagainya. Ini menunjukkan nabi juga urus politik dalam masa yang sama pemimpin Islam.

"Islam tidak boleh tidak mesti bersama dengan politik," katanya.

Selain itu, beliau kesal dengan tindakan Umno BN yang sering mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi jika dihadiri ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mana ada demokrasi larang manusia guna hak dia. Hak manusia untuk bercakap. Allah bagi hak untuk bercakap. Bukan sahaja diluluskan oleh PBB.

"Kenapa Umno suka sangat halang kita untuk bercakap, berceramah. Malam ni agaknya mereka tak tahu kita ada ceramah di sini, itu yang tak datang kacau," katanya berseloroh.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi, AJK PAS Pusat, Dr. Dzukefly Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor, ketua muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan, Yang Dipertua PAS Selayang, Zaidi Abdul Talib, ahli Parlimen Selayang, William Leong, dan anggota majlis tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Baharom.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.