Ahad, 29 Mei 2011

MyDaftar JPN:Cara Umno untuk menang PRU nanti

Program MyDaftar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah sekolah di sini agak kelam kabut apabila diserbu ramai penduduk terutamanya berasal dari negara jiran.
Ketika kaunter pendaftaran yang juga melibatkan Jabatan Imigresen dibuka jam 8.30 pagi ruang dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur diserbu orang ramai.

Sebahagian besar mereka berasal dari Thailand yang mendakwa sudah lama menetap di Pengkalan Kubur. Ada juga kelihatan datang menggunakan kenderaan nombor berdaftar negara jiran.

Malah malam tadi Umno dipercayai melancarkan kempen supaya warga asing yang belum memiliki kad pengenalan datang ke program berkenaan.



Hebahan mengenai program berkenaan juga dibuat sejak dua minggu lalu melalui mimbar-mimbar khutbah Jumaat.

Bagaimanapun program terbabit tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sehingga menimbulkan banyak persoalan ekoran terbongkar sindiket membuat kad pengenalan melibatkan warga asing untuk mendaftar sebagai pemilih di Selangor.

Ekoran itu PAS memantau program yang berlangsung hari ini bagi memastikan tidak ada unsur-unsur tidak sihat digunakan bagi tujuan politik.

Turut memantau dari dekat program tersebut anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusli Wan Ibrahim dan penghulu.

Kehadiran orang ramai pada program itu di luar jangkaan JPN apabila sambutan hangat sekali sehingga tidak terlayan pada sebelah pagi.

Malah ada yang datang membawa surat pengesahan sebagai anak mukim hanya menggunakan surat ditandatangani Ketua Cawangan Umno Pengkalan Kubur.

Ada juga wanita dari Thailand yang datang memberitahu mereka diberitahu pihak tertentu supaya menuntut kad pengenalan di kaunter JPN pada program berkenaan.

Bagaimanapun ramai pulang hampa memandangkan proses untuk memohon kad pengenalan tidak semudah disangka.

Pengarah Bahagian Pendaftaran Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, Mohd Azimin Hassan berkata, pihaknya tidak menerima pengesahan sebagai anak mukim hanya berdasar surat ditandatangani ketua cawangan Umno.

”JPN mempunyai prosedur yang ketat untuk melayakkan seseorang boleh memohon kad pengenalan,” katanya pada sidang media bersama Kamaruddin di sini.

Menurutnya program tersebut dimulakan sejak 2008 bagi memberi penjelasan mengenai proses pendaftaran kelahiran, kematian dan permohonan kad pengenalan.

Kata beliau terdapat seramai 751 kes daftar lewat kelahiran di Kelantan sekarang melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan.

Kamaruddin berkata, PAS mendapat maklumat program tersebut dikatakan memberi ruang lebih mudah kepada bukan warga negara mendapat kad pengenalan.

Katanya, sebelum ini dikesan di Selangor di mana ada warga asing mendapat taraf pemastautin tetap bagi membolehkan mereka mengundi.

”Jadi berasaskan maklumat tersebut PAS dan pemimpin masyarakat di Tumpat memantau program hari ini kerana bimbang perkara yang berlaku di Selangor boleh berulang di sini.

”Bagaimanapun berdasar kepada penjelasan dibuat pegawai kanan JPN di sini kita agak berpuas hati terhadap perkembangan setakat ini.

”Kita tidak mahu program MyDaftar direbut peluang oleh pihak tertentu bagi mendaftarkan warga asing sebagai pemilih secara mudah,” katanya.

Beliau juga berkata, Umno menggunakan sepenuhnya program terbabit sehingga ada ketua cawangan mengesahkan status anak mukim orang tertentu, sedangkan ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Mohd Zaki pula bimbang kerana ramai warga Thailand datang ke program berkenaan semata-mata untuk memohon mendapatkan kad pengenalan.

Katanya, ramai di kalangan mereka ketika ditemui menjelaskan datang ke sini kerana diberitahu pihak tertentu JPN membuka peluang bukan warga negara mendapatkan kad pengenalan.

”Kami juga berharap kerajaan negeri mendapatkan maklumat lebih lengkap daripada JPN mengenai program MyDaftar bagi mengetahui perkara sebenar,” ujarnya.

Wan Rusdi bimbang program MyDaftar dianjur JPN dan Jabatan Imigresen tersembunyi agenda lain, biar pun diakui tidak berlaku sebarang penyelewengan seperti disebut pegawai kanan JPN.

Related Posts

MyDaftar JPN:Cara Umno untuk menang PRU nanti
4/ 5
Oleh