Jumaat, 12 November 2010

Kenyataan Mufti Perak Berat Sebelah


Abdullah bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya akan terdapat (akan ada) orang-orang dari umatku yang pandai (amat faham dan ahli) tentang urusan agama dan membaca Al-Quran, mereka berkata:“Kami datang kepada para Raja (pemimpin), biar kami memperolehi keduniaan mereka dan kami tidak akan mencampurkan mereka dengan agama kami.” Tidak terjadi hal yang demikian itu, seperti (umpamanya) tidak akan dapat dipungut dari pohon yang berduri melainkan duri. Demikian pula, tidak akan dapat diambil manfaat dari mendekatkan diri kepada mereka itu melainkan beberapa kesalahan belaka.- Riwayat Ibnu Majah.

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.”-(Surah al-‘Aaraaf 7 : 175-177).

SHAH ALAM 11 NOV : 
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilihat bersikap berat sebelah apabila berkata tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Kadir sebagai tidak syirik dan khurafat.

Sedangkan, Harussani dikatakan tidak menjawab persoalan pokok pemuda PAS Perak, sama ada upacara meletakkan ancak iaitu menaikkan tiang seri rumah di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar, yang dilakukan Zambry, bercanggah dengan Islam mahupun tidak.

" Jawapannya juga saya lihat untuk menyelamatkan Zambry. Namun bagaimana mereka yang hadir pada hari itu," kata Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim kepada HarakahDaily.

Harussani seperti dilapor Berita Harian berkata, Zambry, tidak melakukan syirik dan khurafat kerana tidak mempunyai niat melakukan perkara itu, malah tidak mengetahui majlis berkenaan yang diatur penduduk boleh membawa kepada unsur syirik.

Dewan Pemuda PAS baru-baru ini menghantar memorandum kepada Harussani mendakwa Zambry melanggar ajaran Islam dengan menghadiri upacara meletakkan ancak pada tiang seri rumah.

“Sesudah ini adakah bermakna siapapun boleh hadir dalam apa sahaja yang bercanggah dengan hukum Islam, asalkan tidak mempunyai niat melakukan perkara itu?,” soalnya lagi.

Menurut Khalil lagi, Zambry juga beria-ia mempertahankan tindakannya dengan mengungkit perbuatan Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin memegang lilin pada sidang media memperingati kematian setiausaha exco Selangor, Teoh Beng Hock.

“Saya menafikan dengan keras bahawa kami melakukan upacara sembahyang. Seingat saya ianya sebagai tanda protes kepada kezaliman sehingga menyebabkan kematian seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya tidak berlaku.

“Namun dalam soal ini Harussani ternyata tidak adil dengan berpandukan kepada gambar semata-mata dan soalan yang dikemukan oleh wartawan dia terus mengatakan tindakan kami itu haram,” katanya lagi.

Harussani sebelum ini berkata tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah satu perbuatan haram di
sisi agama.

Perbuatan itu juga ujarnya menyalahi hukum Islam kerana seolah-olah menggambarkan ajaran Kristian.

“Kalau begitulah kenapakah tindakan Zambry tidak dikatakan oleh Harusssani adalah menggambarkan ajaran agama Hindu dan juga hukumnya haram.

"Sebenarnya memegang lilin dalam masyarakat Cina tidak sekadar merujuk kepada pemujaan, atau berkabung.

"Sebaliknya, dalam masyarakat Cina, memegang lilin tidak sekadar dilakukan di kala berlaku kematian, bahkan ia digunakan sebagai satu simbol dalam melakukan
sesuatu protes," katanya.

Khalil turut mencadangkan Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa kerana perbuatan Zambry yang begitu serius dan berkait rapat dengan akidah umat Islam.tvs

Related Posts

Kenyataan Mufti Perak Berat Sebelah
4/ 5
Oleh