Isnin, 20 September 2010

Tanah KTM antara Malaysia-Singapura

Apakah keputusan Mahkamah Timbangtara Antarabangsa akan menguntungkan malaysia setelah rekot yang di cipta di pulau batu putih.

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju untuk merujuk mengenai caj pembangunan bagi tiga bidang tanah yang terkandung dalam Perjanjian Capai Persetujuan (POA) antara kedua-dua negara menerusi Mahkamah Timbangtara Antarabangsa.

Kedua dua negara menyatakan akan bersetuju menerima keputusan yang diputuskan mahkamah berkenaan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, sebentar tadi. Isu berhubung tanah termasuk pertukaran tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik itu dibincangkan dalam pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, pagi tadi. Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menubuhkan syarikat usaha sama dikenali M-S Pte Ltd bagi memajukan tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah. 



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrir Samad, anggota Parlimen Johor Baharu, berkata "langsung tidak masuk akal untuk menganggap" tanah yang menempatkan landasan dan stesen KTM adalah milik Malaysia sedangkan sebenarnya tanah itu dipajak daripada Singapura khusus bagi tujuan perkhidmatan kereta api yang dikendalikan KTM Bhd.
Menyambut baik perjanjian dua hala bersejarah yang dimeterai Malaysia denganSingapura pada Selasa bagi membangunkan bersama tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjong Pagar, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata perjanjian itu mewujudkan keadaan yang memihak kepada KTM dan Malaysia.
"Bertukar-tukar tanah pajakan kereta api dengan tanah yang tidak memiliki potensi pembangunan dengan nilai setara tetapi dengan tanah yang memiliki potensi pembangunan bermakna KTM sebenarnya yang mendapat faedah daripada pertukaran itu," tegas Shahrir, yang terkenal dengan kelantangan dan pendirian tegasnya mengenai isu nasional, terhadap kritikan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar melahirkan rasa kecewa dengan perjanjian yang dimeterai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien-Loong atas alasan ia dilakukan secara "tergesa-gesa" dan "tanpa butiran terperinci" yang akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara.
Di samping melahirkan rasa khuatir bahawa nilai tanah Marina South dan Ophor Rochir yang diperolehi Malaysia sebagai pertukaran bagi tanah di Tanjong Pagar jauh lebih rendah, Anwar menggesa Najib membentangkan kertas laporan komprehensif pada sidang Dewan Rakyat bulan depan bagi memberikan penjelasan terperinci mengenai perjanjian itu.
Sebagai jawapan kepada kebimbangan Anwar, Shahrir menawarkan persepktif sejarah kepada perkara itu.
Tanah KTM, katanya adalah sebahagian daripada sistem pengangkutan ekonomi penjajah apabila Singapura ketika itu sebuah pelabuhan yang turut dihubungkan ke daerah pedalaman di Malaya yang dijajah British.
"Semenanjung Malaysia dan malahan Johor bukan lagi daerah pedalaman bagi Singapura," katanya.
"Jadi, tidak wajar untuk perkhidmatan KTM dikekalkan di Tanjong Pagar."
Daripada kacamata penumpang KTM, kecuali apa yang disifatkan oleh Shahrir sebagai "sentimen nostalgia-romantik", beliau berkata adalah tidak penting di mana mereka akan turun kerana ia mungkin bukan lagi di Tanjong Pagar tetapi yang penting ialah di Johor Baharu.
Mengenai potensi pendapatan jangka panjang daripada perkhidmatan kereta api itu, Shahrir menjangkakan perjalanan seterusnya ke Singapura dari Johor Baharu ekoran KTM berpeluang memanfaatkan 40,000 tenaga kerja Malaysia yang berulang-alik setiap hari melalui pintuk masuk CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) Johor Baharu sebagai terminal pengangkutan, yang akan menaiki bas awam atau bas kilang untuk menyeberangi Tambak.
"Pada masa ini, KTM hanya membawa mereka ke Woodlands tetapi bukan sebaliknya kerana CIQ Malaysia terletak di Tanjong Pagar dan bukannya Woodlands," katanya.
Shahrir berkata malahan 50 peratus saham dalam perkhidmatan komuter menyeberangi Tambak adalah jauh lebih banyak daripada yang dijana oleh KTM pada masa ini bagi laluan Johor Baharu-Tanjong Pagar.
"Rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik dari Johor Baharu ke Singapura juga akan mendapat faedah daripada kaedah lain pengangkutan untuk menyeberangi Tambak Johor," katanya.
Berkongsi pandangan Shahrir ialah Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan anggota Parlimen Muar, yang menyentuh mengenai faedah daripada perjanjian itu.
"Membiarkan isu ini berlarutan selama ini tidak membawa kebaikan kepada sesiapa," katanya. "Lagipun, ini mungkin akan mengheret kedua-dua negara berjiran ke dalam polemik politik."
Mengakui kebuntuan dalam isu tanah KTM antara Malaysia-Singapura lambat-laun perlu diselesaikan, Razali menegaskan kejayaan perjanjian yang dipersetujui kedua-dua negara mencerminkan "tahap diplomasi dan kenegarawan yang tinggi".
Menjangkakan perjanjian itu akan membuka lembaran baru dan saling bermanfaat, Razali berkata apa yang penting ialah pelaksanaannya tidak diabaikan ke tahap yang akan mengecewakan negara sepertimana di masa lalu.
Melihat perjanjian itu daripada perseptif sebagai seorang ahli ekonomi, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Norraesah Mohamad, menyambut baik perkara itu dan menyifatkan Malaysia sebagai "menang besar".
Beliau berkata Khazanah Nasional, memegang 60 peratus saham dalam syarikat usahasama M-S Pte Ltd, akan menukar "aset yang tidak dimanfaatkan" kepada usahasama komersil bernilai tinggi.
Menyentuh mengenai beberapa "bagasi" negatif dalam sejarah hubungan Malaysia-Singapura, beliau berkata rakyat Malaysia patut "berfikir melampaui sentimen" dan "melihat prospek yang lebih besar daripada sekadar tanah KTM."
"Kita perlu melihat kepada faedah jangka panjang yang bakal diraih dengan memanfaatkan aset bernilai yang selama ini dibiarkan sahaja," katanya.
"Dengan isu tertunggak itu telah diselesaikan, lebih banyak syarikat Singapura akan melabur di Kawasan Pembangunan Iskandar."
Menyatakan stesen baru kereta api yang dicadangkan itu akan menyelaraskan perkhidmatan pengangkutan awam di Johor Baharu dan Singapura secara bersepadu, Norraesah berkata keadaan itu akan menawarkan keselesaan kepada rakyat Malaysia dan Singapura.
Keselesaan, katanya merupakan instrumen penting bagi perniagaan dan pelaburan sepertimana bagaimana IDR mampu menarik pelabur sama ada secara langsung dari Malaysia atau Singapura, untuk menjadi sebuah kawasan maju dan menawarkan lebih banyak peluang kerja.
Daripada segi nilai hartanah di Johor Baharu sendiri, perjanjian itu pasti menjanjikan kelebihan dan kebaikan, kata Norraesah dan menambah kata "nilai tanah akan meningkat manakala penduduk akan menikmati taraf hidup lebih baik."
Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno pula berkata keputusan Najib untuk memeterai perjanjian dengan Singapura mengenai tanah KTM di Tanjong Pagar dibuat demi kepentingan negara.
"Dengan perjanjian itu, PM telah memecahkan kebuntuan yang selama ini menjadi isu tertunggak yang telah mentakrifkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.
"Perjanjian itu akan membolehkan Malaysia memanfaatkan aset bernilai lebih tinggi daripada stesen di Tanjong Pagar.
"Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa tanah di Tanjong Pagar tidak dapat dibangunkan untuk tujuan lain selain daripaad stesen kereta api."
Beliau berpendapat perjanjian itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk membangunkan tanah itu secara komersil daripada terus memegang aset yang tidak boleh dibangunkan untuk tujuan menjana kewangan.
Khairy berkata perjanjian itu "wajar" kerana Malaysia akan dibanjiri pembangunan perdana dan ikonik "daripada memori nostalgia yang menawarkan "faedah komersil dan strategik amat kecil kepada kita." 

Related Posts

Tanah KTM antara Malaysia-Singapura
4/ 5
Oleh