Sabtu, 29 Oktober 2011

HIMPUN yang tidak Berhimpun

HIMPUN yang tidak Berhimpun

Ada berbagai makna yang hendak disampaikan dalam perkataan HIMPUN, dari segi tata bahasa "himpun" bermakna mengumpul sesuatu atau orang di sesuatu tempat. Berhimpun adalah perbuatan di mana terkumpul semua orang atau sesuatu di sesuatu tempat. Sebab itulah kata "perhimpunan" atau "himpunan" ialah keadaan di mana semua orang dikumpulkan untuk menyatakan sokongan atas sesuatu. Menarik kerana nama sayap baru PAS ialah Dewan Himpunan Penyokong PAS atau singkatannya DHPP di mana bukan Islam dikumpulkan dan disatukan dalam sayap ini.

Namun artikel ini tidak akan menyentuh tentang PAS dan usahanya menarik minat bukan Islam untuk menyertainya, artikel ini ialah tentang satu perhimpunan pada 22 Oktober baru-baru ini yang dinamakan sebagai Himpunan Sejuta Umat.

Selalunya bilangan kehadiran akan menjadi kayu pengukur untuk penganjur menyatakan berjaya atau tidaknya sesuatu perhimpunan. Tema sejuta umat sudah tentu menjadi hasrat penganjur untuk mencapai bilangan yang diinginkan, namun dari sudut quantiti HIMPUN tidak mencapai bilangan yang digembar-gemburkan, dikatakan hanya 5,000 orang sahaja yang hadir. Implikasi kehadiran dalam program seumpama ini amatlah besar untuk kita menilai tahap keupayaan mobilisasi penganjur yang sebelum tarikh perhimpunan telah mendapat liputan yang meluas oleh media arus perdana.

HIMPUN tidak dapat dielak dari menjadi mangsa perbandingan dengan perhimpunan BERSIH 2.0, malah ada sesetengah berpendapat HIMPUN adalah untuk mengatasi BERSIH yang bilangan kehadirannya jauh lebih besar walaupun tidak pernah mensasarkan sejuta peserta. HIMPUN juga dikatakan untuk mengalih isu daripada persoalan demokrasi tempang dan penipuan pilihanraya kepada persoalan aqidah yang perlu diselamatkan. Isu agama memang menarik kerana ia merentasi kepentingan politik namun perhimpunan sejuta umat itu telah membuktikan bahawa tema itu tidak mendapat perhatian umat Islam. Apakah yang telah berlaku? Betulkah gagal mencapai sasaran kehadiran HIMPUN diandaikan umat Islam tidak berminat kepada isu Aqidah dan secara perbandingan dengan BERSIH lebih minat isu demokrasi berpilihanraya?

Saya tidak melihat andaian itu tepat, ini adalah kerana persepsi terhadap perhimpunan HIMPUN mempengaruhi kehadiran. Bagi umat Islam, mereka menanggap bahawa HIMPUN ditaja oleh mereka yang mesra UMNO dan kerana itu berasa berat hati untuk hadir. Walaupun isu Aqidah sesuatu yang menarik minat tetapi umat Islam sudah menghidu bahawa HIMPUN adalah agenda pihak tertentu yang lebih minat untuk menonjolkan dirinya dan kumpulannya daripada memperjuangkan persoalan aqidah yang sebenarnya.

Selain dari tokoh seperti Cikgu Azmi dari TERAS, siapakah yang boleh diyakini daripada tokoh yang hadir akan mempertahankan aqidah umat Islam? NGO seperti PERKASA, GPMS dan pertubuhan belia tajaan UMNO tidak pernah dilihat mempertahankan aqidah apabila dikaitkan dengan UMNO. Saya tidak melihat NGO Islam yang lain mampu mobilisasi pengikutnya dalam jumlah bilangan yang ramai, kehadiran mereka hampir tenggelam dengan penonjolan pihak lain atau kehadiran mereka sengaja tidak ditonjolkan.

Pada 19 Oktober saya menulis satu artikel tentang Himpunan Sejuta Umat yang bakal diadakan. Saya mengandaikan ia sebagai satu agenda yang akan diambil kesempatan oleh pihak lain yang terdesak walaupun niat penganjur itu suci dan murni. Dalam Facebook saya, saya menerima komen bertalu-talu yang menganggap saya keterlaluan menuduh niat murni sekretariat, tetapi pada 22 oktober andaian saya seakan-akan betul apabila kehadiran yang mengecewakan itu seolah-olah menjelaskan persoalan persepsi umat Islam terhadap perhimpunan tersebut.

HIMPUN di sebalik niat murni penganjurnya telah memberikan isyarat yang tidak baik.

Pertama, kehadiran melambangkan lemahnya umat Islam dalam isu mempertahankan aqidah. Secara perspektifnya "musuh Islam" akan ketawa apabila melihat keberangan umat Islam sebenarnya hanyalah ribut dalam cawan sahaja.

Kedua, sikap double standard pihak polis yang memberikan kebenaran kepada HIMPUN dan tidak memberikannya kepada BERSIH. Ini sudah cukup memberikan persepsi yang buruk kepada HIMPUN, walhal isu HIMPUN lebih mendatangkan sensitiviti kepada perpaduan nasional berbanding dengan BERSIH yang secara spesifik menyinggung persoalan demokrasi berpilihanraya yang merentasi semua kaum dan agama.

Ketiga, isu yang diketengahkan di negara ini ditentukan oleh UMNO dan bukan oleh tuntutan massa. Selagi ia menguntungkan UMNO maka Polis dan lain-lain terpaksa tunduk, selagi ia memudaratkan UMNO maka isu itu akan dianggap berbahaya kepada keselamatan awam. Negara kita sudah dijajah oleh UMNO, hanya penjilat sahaja yang akan diberi layanan baik manakala penentang walaupun merupakan aspirasi ramai akan dituduh sebagai pengkhianat negara yang akan mencetuskan huru-hara.

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya mengapa PAS tidak menyertainya? Saya menjawab ringkas, soal pembelaan aqidah sememangnya sinonim dengan PAS. PAS sudahpun mengatakan kebimbangannya sejak 20 tahun yang lampau malah Presiden PAS telahpun membawa usul adanya rang undang undang murtad bagi memelihara aqidah umat Islam. Sahabat ini terus bertanya kalau begitu mengapa tidak bersama? Saya menyatakan, perjuangan kami sampai ke tahap yang lebih matang, kami telahpun mengadakan dialog dengan pihak gereja dan lain-lain agama sebagai hasrat membentuk hubungan agama yang lebih damai, ini bukan bermakna PAS cair dalam sikapnya tetapi kami lebih suka melakukannya dengan cara bersemuka dan dialog. Kepimpinan PAS lebih bijak membaca suasana politik daripada mereka yang berjangka pendek dan tidak arif selok belok politik. Saya bertanya balik kepada sahabat saya, bolehkah dibayangkan kalau Mursyidul Am PAS mengarahkan semua ahli PAS turun dalam program HIMPUN? Mungkin stadium Shah Alam tidak akan dapat menampung kehadiran ahli PAS yang ramai, bolehkah anda bayangkan besarnya peranan PAS dalam menyelamatkan Aqidah umat Islam?

*Mujahid Yusof Rawa adalah ahli parlimen Malaysia, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Khamis, 27 Oktober 2011

Bola sepak perlawanan akhir

Bola sepak perlawanan akhir

Kenapa perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 akan di Stadium Shah Alam dan tidak di Stadium Nasional di Bukit Jalil seperti kebiasaannya? Itu antara persoalan yang bermain dalam kepala sebaik sahaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan gelanggan final tahun ini.

Selepas isu tersebut menjadi tanda tanya tanpa sebarang alasan diberikan, hanya baru-baru ini jawapannya diketahui.

Namun, kalau dahulu faktor padang rosak boleh dijadikan alasan, kali ini apabila alasan yang sama cuba diberikan, ia pasti mengundang lagi rasa sangsi di kalangan orang ramai.

Bumbung stadium berskru longgar dan karat

Laporan media mendedahkan bahawa bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil sebenarnya sudah tidak selamat digunakan sejak 2006 malahan proses membaik pulih masih belum berjalan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, bumbung stadium itu telah tamat tempoh jaminan tiga tahun lalu dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan segera demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Laporan itu yang menyatakan “sebahagian besar bumbung didapati telah terkoyak dan skru kabelnya longgar dan berkarat” turut mendedahkan punca masalah, iaitu kelewatan dan ketiadaan kelulusan peruntukan daripada kerajaan.

Lebih mengejutkan ialah apabila pihak yang menguruskan stadium tersebut, iaitu Merdeka Stadium Corporation (MSC), mengatakan permintaan mereka kepada pihak kerajaan sebanyak empat kali telah ditolak tanpa alasan.

Kalaulah insiden tidak diingini semasa perlawanan jelajah kelab Liga Perdana Inggeris Arsenal, Liverpool dan Chelsea baru-baru ini berlaku, di manakah hendak letak muka dan maruah negara kita?

Lebih membingungkan lagi, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak terutamanya para menteri. Beginikah pemimpin yang dikatakan mahu mementingkan rakyat?

Sudah kebiasaan, sikap kerajaan adalah “bila terhantuk baru terngadah”.

Stadium di Malaysia pernah roboh

Kalau insiden roboh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 2009 berulang di Bukit Jalil, apakah reaksi daripada kerajaan? Adakah dengan sekadar menyalahkan orang lain dan menunding jari dapat menyelesaikan masalah?

Dalam kekalutan permasalahan isu Stadium Nasional Bukit Jalil, dua lagi berita wajar dijadikan perbandingan dan congakan peminat sukan tempatan negara.

Dilaporkan sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan untuk membeli 23 kuda tetapi daripada jumlah itu, hanya lima sahaja layak beraksi di World Endurance Championship (WEC) 2008. Bukankah ini satu pembaziran?

Begitu juga projek ternakan lembu milik kerajaan berjumlah RM73.64 juta yang gagal mendatangkan hasil seperti yang ditetapkan.

Ke mana perginya wang rakyat?

Kemanakah wang-wang ini semua pergi? Adakah Datuk Seri Najib Razak boleh menjawabnya atau sekadar lari daripada memberi jawapan?

Kesimpulannya, memang wajar cadangan daripada wakil DAP Tony Pua yang mahu mewujudkan Suruhanjaya Ketelusan Kewangan (FAC) bagi mengambil tindakan ke atas pegawai kerajaan yang bersalah menguruskan kewangan yang ditetapkan, disokong penuh.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP mencadangkan supaya FAC itu dianggotai oleh pakar profesional dalam bidang audit dan integriti seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Transparency International (TI) Malaysia.

FAC hanya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan diberi kuasa menghukum serta mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah. Mungkin ini dapat mengatasi masalah pembaziran dan salah guna kuasa yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi membahayakan nyawa kita.

Sampai bilakah pembaziran dan kekorupan pegawai kerajaan harus berlalu hingga akhirnya yang merana kita rakyat biasa?

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Rabu, 26 Oktober 2011

Tubuhkan Suruhanjaya untuk elak pembaziran kerajaan

Tubuhkan Suruhanjaya untuk elak pembaziran kerajaan

Pembaziran dan kegilaan kerajaan Barisan Nasional berbelanja boros semakin menjadi-jadi. Ia bukan dakwaan pembangkang, sebaliknya kebenaran pedih dan pahit yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, contoh-contoh pembaziran wang rakyat bukan sahaja mengejutkan tetapi tidak masuk akal seperti Jabatan Taman Laut membayar lebih RM56,000 untuk membeli teropong yang sepatutnya berharga tidak sampai RM2,000, iaitu hampir 30 kali ganda daripada harga pasaran.

Katanya, jabatan itu itu membeli barangan seperti komputer riba, pencetak, TV LCD dan pemain cakera DVD dengan harga kira-kira RM193,000 sedangkan nilainya tidak melebihi RM20,193.

Menurutnya, keadaan yang menyedihkan berlaku di Sabah di mana Kementerian Pelajaran hanya mampu menyiapkan dua makmal komputer setakat akhir tahun lalu walau pun kerajaan telah meluluskan projek bernilai RM160.7 juta untuk dibekalkan makmal berkenaan kepada 300 sekolah menjelang 2008.

“Majlis Amanah Rakyat atau MARA, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan Bumiputera, sekali lagi ditegur oleh Ketua Audit Negara kerana membuat pembelian yang terlalu mahal seperti membeli oven dengan harga RM1,200 sedangkan harga sebenar adalah RM419, membeli katil berlipat dengan harga RM500 sedangkan harga sebenar adalah RM100.

“Walau pun laporan Ketua Audit Negara hanya mengambil contoh-contoh kecil sahaja, kisah-kisah kelemahan dan penyalahgunaan dalam kerajaan adalah begitu besar sekali,” katanya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, apa yang sepatutnya berlaku selepas setiap kali laporan Ketua Audit Negara didedahkan, perlu ada pihak yang dikenakan tindakan tetapi ia amat jarang berlaku di Malaysia.

“Kebanyakan daripada pegawai yang melakukan kesalahan itu hanya diberi surat teguran sahaja dan kes-kes itu kemudiannya ditutup,” tambahnya.

Kesannya, tidak ada insentif untuk pegawai kerajaan meningkatkan kecekapan atau mengurangkan pembaziran, salah urus dan penyalahgunaan kuasa kerana “hadiah” untuk mereka adalah lebih tinggi nilainya daripada hukuman.

Pua menjelaskan bahawa walau pun Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Parlimen mempunyai kuasa untuk memanggil wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan untuk menjelaskan tindakan mereka, PAC tidak mempunyai kuasa untuk menghukum kecuali member “cadangan” kepada kerajaan.

“Ini terbukti tidak berkesan, malah ia menjadi lebih buruk lagi apabila PAC hanya mampu menumpukan kepada beberapa kesalahan sahaja yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Akauntabiliti Kewangan (FAC) yang boleh diwujudkan melalui Akta Parlimen untuk menangani masalah pembaziran dan salah urus wang rakyat oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, FAC tidak boleh dianggotai oleh pegawai atau kakitangan awam untuk mengelakkan konflik kepentingan, sebaliknya diketuai oleh pakar profesional dalam bidang audit dan integriti seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Transparency International (TI) Malaysia.

Katanya, suruhanjaya itu hanya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan diberi kuasa menghukum serta mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah, sebagaimana yang disebutkan dalam laporan Ketua Audit Negara. – Roketkini.com

Ahad, 23 Oktober 2011

300 sertai Umno di Tanah Merah

300 sertai Umno di Tanah Merah

Gimik kononnya 300 penyokong PAS di Taman Perumahan Hulu Kusial menyertai Umno terjawab apabila hanya 20 orang sahaja dikenal pasti ahli dan bekas penyokong PAS.

Selebihnya penyokong Umno menyertai Umno berkali-kali. Strategi itu sudah kerap kali diuar-uarkan di Pasir Puteh sebelum ini.

Namun impian Umno dengan diketuai Datuk Mustapa Mohamed mengumpankan bekas penyokong PAS terbabit tidak kekal lama apabila sebahagiannya mendedahkan sebagai gimik semata-mata.

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Gual Ipoh, Razali Yusof berkata, sebahagian bekas penyokong PAS terbabit ketika ditemui memberi jaminan mahu kembali semula kepada perjuangan asal.

“Mereka hadir pada program penyerahan borang menyertai Umno semata-mata kerana sentimen bersifat sementara,” katanya ketika ditemui pada program ceramah sempena 160 bekas Umno dari lima kampung menyertai PAS di Gual Ipoh malam kelmarin.

Penyokong dan bekas ahli Umno itu diketuai anggota jawatankuasa Umno Cawangan Bukit Kelidang, Rustam Mustafa, 37.

Beliau menyerah borang mewakili rakan-rakannya kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada program yang diadakan di rumah Mohd Yusof Mat Zain, 62, seorang usahawan berjaya di kampung itu.

Sebelum program ceramah bermula diadakan solat hajat dan perasmian dewan terbuka di tapak ceramah milik Mohd Yusof atau lebih dikenali Abe Soh.

Pada 11 Oktober lalu media melaporkan seramai 300 penyokong setia PAS di Hulu Kusial menyertai Umno yang diketuai Zahari Mamat.

Ekoran program itu Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan mendakwa sokongan terhadap Umno semakin pulih.

Rustam yang pernah menjadi perwakilan Umno Tanah Merah ke perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur memberitahu sudah sampai masanya beliau dan rakan-rakan meninggalkan Umno kerana usahanya selama ini tidak dihargai parti itu.

Katanya, Umno hanya mengharap tenaga ketika beliau senang, dan ketika berdepan dengan kesusahan hidup mereka tinggalkan.

“Alhamdulillah Cikgu Wan dan Abe Lie banyak membantu saya memberi kesedaran baru dalam hidup,” katanya.

Hadir pada program itu Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood dan Adun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa.

Tempat ceramah tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai biar pun hujan turun lebat pada sebelah petang.

Manakala lebih 100 lagi ahli dan penyokong Umno akan mengisytihar menyertai PAS di Dun Bukit Panau dalam masa terdekat ini.

Jumaat, 21 Oktober 2011

Ribuan mahasiswa berhimpun kecam penggantungan Aziz Bari

Ribuan mahasiswa berhimpun kecam penggantungan Aziz Bari

GOMBAK 21 Okt : Kira-kira hampir 1000 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa hari ini berhimpun membantah penggantungan Profesor Dr Aziz Bari dari meneruskan kuliahnya.

Mahasiswa itu berhimpun di hadapan Masjid Kampus UIA selepas solat Jumaat dan berjaya menyerahkan memorandum membantah penahanan Aziz Bari kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA, Dr Nik Ahmad Kamil.

Dr Nik Ahmad Kamil yang menerimaa memorandum itu kemudiannya meminta pelajar yang berhimpun untuk bersurai.

Walaupun begitu, pelajar yang mula berhimpun sejak sebelum solat Jumaat bermula lagi kekal berhimpun untuk mendengar ucapan pemimpin-pemimpin pelajar.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Shukri Razak meniup semangat mahasiswa petang itu dengan menyeru mahasiswa untuk mengutuk sekeras-kerasnya penggantungan Aziz Bari yang bersifat membelakangkan kesucian institusi akademik.

“SMM mengecam sekeras-kerasnya penggantungan Dr Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa.
“Tindakan UIA adalah tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip kebebasan akademik,” kata Shukri.

Turut kelihatan di perkarangan masjid bersama mahasiswa adalah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Adun Batu Caves, Amir Shaari, dan mantan Presiden Kumpulan Anak Muda Independen (Kami), Hilman Idham.

Hilman Idham yang baru lagi menamatkan pengajian sempat membakar semangat rkan-rakan seperjuangan yang masih lagi belajar agar terus menegakkan keadilan jika ditindas.
Beliau sempat mengucapkan ‘ terima kasih’ kepada Timbalan Rektor UIA kerana sudi menerima memorandum Solidariti Mahasiswa Malaysia sebelum itu.

Beliau turut menegaskan mahasiswa berkumpul hari ini kerana menegakkan hak mahasiswa.
“Kalau mahasiswa ditekan kita melawan. Kalau pensyarah ditekan lagi kita melawan,” kata Hilman.
Nurul Izzah yang sempat ditemubual berkata kehadirannya adalah untuk memberikan semangat kepada mahasiswa-mahasiswa UIA agar terus berjuang mempertahankan Aziz Bari.
“13 tahun dahulu saya cuba untuk memasuki UIA dan saya ditolak atas sebab kehadiran saya akan memberikan tekanan politik kepada universiti.

“13 tahun selepas itu, bagaimana Dr Aziz Bari seorang ahli akademik yang disegani digantung pihak universiti.

“Maka perjuangan ini wajib diteruskan. Kita mesti pastikan para akademik, pelajar, mahasiswa, mahasiswi dibebaskan daripada tekanan dan juga campurtangan politik yang menggila daripada Barisan Nasional,” kata Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang merupakan ikon perjuangan mahasiswa dahulu menyeru mahasiswa untuk terus bangkit mempertahankan hak mereka.

“Kita datang untuk tunjukkan solidariti kepada Aziz Bari dan juga mahasiswa yang berani.
“Seruan saya, orang muda harus berani bangkit untuk tentang kezaliman.
“Masa depan harus ditentukan orang-orang muda sekarang dan saya rasa bangga anak-anak universiti UIA berani untuk menegakkan keadilan,” kata Tian Chua.

Perhimpunan itu berakhir apabila Tian Chua dan Nurul Izzah selesai memberikan komen ringkas mereka kepada wartawan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com

Rabu, 19 Oktober 2011

Fitnah: Tuduhan palsu, gambar pun palsu

Fitnah: Tuduhan palsu, gambar pun palsu

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin diminta menarik balik kenyataannya yang kurang ajar terhadap anak Lim Guan Eng yang berusia 16 tahun yang telah difitnah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata Khairy perlu menunjukkan kematangannya dengan meminta maaf kepada anak Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Sebagai teladan kepada anak muda Malaysia, dan dia (Khairy) sendiri mendakwa kononnya dia adalah contoh politik baru negara, Khairy mesti bertanggungjawab atas kenyataannya yang tidak patut dikeluarkan itu,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau dan menantu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dalam catatan twitternya pada Isnin lalu berhubung fitnah terhadap anak Guan Eng, telah menulis: “Mungkin dia roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada”, sebagai jawapan kepada fitnah yang dibuat oleh salah seorang blogger pro-UMNO yang terbabit.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, UMNO perlu mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahlinya yang melakukan perbuatan terkutuk itu yang tidak mempedulikan nasib anak-anak remaja, semata-mata kerana mereka ghairah mahu memfitnah para pemimpin Pakatan Rakyat.

Semalam, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan blogger UMNO yang terlibat sebagai bersifat kebinatangan kerana tidak menghormati anak-anak sekolah orang lain, dan antara lain beliau menyatakan: “Jika anda mahu memusnahkan karier saya, lakukanlah terhadap saya sahaja, tetapi jangan heret anak saya yang tidak berdosa itu”.

Sementara itu, Pua mendedahkan bahawa bog-blog pro-UMNO yang menuduh anak Guan Eng melakukan kesalahan itu telah memuatkan gambar palsu, iaitu gambar wanita asing berumur 21 tahun, untuk dikaitkan dengan anak Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.

Gambar wanita itu yang dikatakan sebagai pemain catur Britain telah diubah suai daripada sebuah laman web catur. Sebelum ini, Guan Eng sendiri menjadi mangsa fitnah apabila gambar-gambarnya diubah suai dengan niat fitnah untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang, Pakatan Rakyat dan DAP.

“Ini membuktikan segala tuduhan pecacai UMNO itu hanyalah fitnah dan pembohongan yang tidak bertamadun.

“Mereka cuba memfitnah anak sekolah berusia 16 tahun semata-mata kerana mahu memalukan Guan Eng dan keluarga dengan cerita bohong pencabulan yang tidak berlaku sama sekali,” ujar Pua.

Menurutnya, ia juga bukti betapa rendah tahap minda blogger and pemimpin UMNO yang terlibat dalam penyebaran fitnah itu yang memalukan diri serta menjatuhkan maruah mereka sendiri.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Yeow pula menyifatkan perbuatan terkutuk tersebut mendedahkan betapa politik amalan UMNO sejak lebih 50 tahun telah jatuh kepada tahap yang memalukan.

“Hari ini UMNO bukan sahaja memainkan isu keresahan kaum dan agama tetapi juga mencipta skandal seks sebagai alat yang menghalalkan cara mereka untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat tidak mengamalkan politik longkang ini yang menggunakan anak-anak kecil saingan politik mereka,” katanya


Hanya kerana ketagihkan kuasa yang melampau, beberapa pemimpin dan blogger pro-UMNO sanggup menggunakan fitnah jijik dan tidak bertamadun untuk memusnahkan kehidupan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam kes terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadi mangsa oleh para pemimpin dan blogger UMNO yang bersifat kebinatangan apabila anak lelakinya yang berusia 16 tahun difitnah kononnya telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan.

“Jika anda mahu memusnahkan karier saya, lakukanlah terhadap saya sahaja, tetapi jangan heret anak saya yang tidak berdosa itu.

“Ahli-ahli politik UMNO juga mempunyai anak dan DAP tidak pernah menyerang anak-anak mereka dan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

“Dalam zaman moden ini, adalah sangat sukar bagi anak-anak muda yang membesar, terutamanya apabila ayahnya merupakan seorang Ketua Menteri yang setiap hari menjadi sasaran media pro-Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu difitnah, dikecam dan diserang tanpa sebarang bukti oleh para pemimpin UMNO dan blogger upahan mereka serta lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia dan media umum yang dikawal oleh UMNO-BN, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan mengingatkan agar ahli-ahli politik UMNO memahami perasaan sebagai seorang ayah.

“Anak saya resah gelisah dan mengalami trauma kerana pembohongan ini. Dia juga sudah tidak ke sekolah dua hari. Saya sedih kerana gagal melindungi anak saya daripada pemimpin dan bolgger UMNO yang bersifat binatang ini,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Puteh berkata demikian sebagai respon terhadap kenyatan beberapa pemimpin UMNO dan blogger yang menyebarkan fitnah tentang anaknya yang berpindah sekolah kerana kononnya meramas buah dada seorang pelajar.

Beliau menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku:

“Anak saya telah ditukarkan ke Sekolah St Xavier di Pulau Pinang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Heng Yee kerana saya telah berjanji kepadanya bahawa dia boleh berpindah sekolah mengikut pilihannya jika mendapat memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 6A dalam PMR.

“Apabila dia berjaya mendapat keputusan itu, dia telah dipindahkan pada awal penggal persekolahan tahun ini iaitu pada bulan Januari 2011.

“Anak saya juga mahu pergi ke St Xavier kerana dia tidak mahu rambutnya dipotong menjadi crew cut (seperti rekrut askar) yang diwajibkan terhadap pelajar-pelajar di Heng Yee,” katanya.

Guan Eng juga kesal apabila Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin turut terlibat dalam fitnah yang memalukan itu.

Dalam pautan twitter Khairy ada mesej yang berbunyi: “@PapaGomo Mungkin dia roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada.” (http://twitter.com/#!/Khairykj/status/125841671102529536)

Menurut Guan Eng, Naib Pengerusi UMNO Bahagian Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri juga terlibat dalam penyebaran fitnah yang keji itu.

Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengenakan tindakan terhadap pemimpin-pemimpin partinya yang menyebarkan fitnah tidak bermaruah itu yang bertujuan menjatuhkan beliau.

“Oleh itu, UMNO perlu bertindak terhadap mereka yang cuba untuk menghancurkan hidup anak saya dengan melakukan pembohongan yang keji dan tidak bertamadun itu, hanya kerana mahu menjatuhkan kerjaya politik saya,” katanya.

Beliau mencabar mereka yang menyebarkan fitnah itu agar mencerminkan diri sebagai seorang ayah.

“Tanyalah (diri sendiri) sama ada mereka mahu anak mereka menerima trauma dari penipuan kejam itu,” katanya.

Dalam masa sama, Guan Eng menjelaskan beliau dan isterinya akan tetap sabar dan berdoa serta cuba sedaya upaya memulihkan trauma anaknya itu, akibat kekejaman yang dilemparkan oleh pemimpin dan blogger pro-UMNO itu.

Beliau berkata adalah haknya untuk mengambil apa-apa tindakan lanjut sebagai ketua keluarga yang akan sentiasa mempertahan dan melindungi keluarganya dari sebarang ancaman.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Pengundi diragui: Langkah SPR bukti daftar ragukan, kata Pemuda PAS

Pengundi diragui: Langkah SPR bukti daftar ragukan, kata Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Pemuda PAS mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu mempamerkan 40,000 nama pengundi, yang dikategorikan sebagai kumpulan diragui untuk mendapatkan maklum balas maklumat yang sahih dan tepat.
Bagaimanapun sayap parti Islam itu yang secara berterusan mempertikaikan kesahihan daftar pemilih berkata, pihaknya cukup terkilan dengan sikap Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) yang sebelum ini sering berdolak-dalik berkenaan dengan isu yang cukup serius ini.
“Sebelum ini Abdul Aziz menafikan adanya pemilih yang diragui status pemilih mereka dalam data SPR seperti yang telah didedahkan oleh pihak Pemuda PAS Malaysia sebelum ini.
“Kini terbukti sudah kebenaran seperti yang didakwa dan mungkin angkanya melebihi daripada 40,000 nama seperti di dakwa oleh SPR,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Mohd Sany berkata Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS berharap semoga pihak SPR berlaku telus dan bersungguh-sungguh untuk melakukan pembersihan daftar pemilih ini.
“Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak mahu SPR hanya membuat kenyataan retorik yang hanya bertujuan untuk ‘mengaburi’ mata rakyat bagi menunjukkan kesungguhan SPR melaksanakan reformasi pilihanraya di dalam negara ini,” kata beliau lagi.
Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS katanya, “dengan ini mengarahkan supaya seluruh jentera Pemuda di semua peringkat untuk melakukan siasatan dan mengenal pasti penama-penama yang akan dipamerkan oleh pihak SPR bagi memastikan penama-penama tersebut adalah sebenarnya orang yang mempunyai kelayakan untuk menjadi pemilih  dalam negara ini, dan bukannya ‘orang samaran’ yang diciptakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.”
Selain itu, kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya para pimpinan PAS di semua peringkat, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat serta sekalian rakyat Malaysia supaya melakukan semakan terhadap status diri sendiri sebagai pemilih berdaftar di dalam daftar pemilih kerana pihak Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia  mendapat maklumat ada usaha yang dilakukan oleh pihak SPR untuk “mengeluarkan dan menghilangkan” nama-nama pengundi yang telah berdaftar dan pernah mengundi sebelum ini secara tidak sah dan tanpa pengetahuan mereka melalui operasi pemutihan daftar pemilih ini.
Oleh itu, kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS mengharapkan supaya sayap itu di peringkat kawasan akan memainkan peranan menyediakan perkhidmatan semakan status pengundi kepada masyarakat setempat di pejabat masing-masing secara serius untuk mengelak kejadian kehilangan pengundi daripada daftar pemilih sedia ada dan mengambil tindakan susulan sekiranya berlaku kes kehilangan tersebut kepada peringkat Negeri dan Pusat.
Semalam, Aziz berkata SPR akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.
Kata beliau, nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.
“Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya.
“Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak,” katanya.
 
Hudud: PAS panggil Hu Pang Chaw beri penjelasan

Hudud: PAS panggil Hu Pang Chaw beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 13 Okt – PAS pusat akan memanggil ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan beliau berkaitan isu hukum hudud yang kembali menjadi bahan kontroversi.
Hu menjadi perhatian ekoran pendirian beliau dalam isu hukum hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan.
Beliau mahu bukan Muslim dalam parti itu diambil kira pandangan mereka.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun ruang demokrasi dalam parti itu besar, namun apabila ia melibatkan isu dalaman, anggota parti disarankan supaya menyelesaikan secara bermesyuarat di dalam parti.
“Tidak dinafikan, PAS sebagai parti yang besar juga tidak dapat lari daripada dilanda pelbagai isu dalaman. Atas dasar itu, PAS sudah pun mempunyai pelbagai saluran parti untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan tentang sesuatu isu dalaman.
“Jangan jadikan isu dalaman isu luaran yang seringkali diambil kesempatan oleh musuh untuk menyerang parti,” kata beliau.
“Jangan sesekali beri media perdana, terutamanya yang dikuasai musuh, peluang untuk ‘mengadakan yang tiada dan memperbesarkan yang kecil’ lebih-lebih lagi dalam keadaan PRU-13 (pilihan raya umum ke-13) semakin mendekat,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Hu dilapor berkata media di negara ini berhak mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku dalam PAS terutama dalam soal hukum hudud.
Hu berkata beliau sama sekali tidak akan menyekat usaha media untuk bertemunya dalam menyuarakan pendapat masyarakat bukan Islam terhadap isu itu.
“Dalam situasi parti sedang membuat persiapan akhir bagi memperkemaskan jentera pilihan raya umum, sewajarnya semua ahli PAS dan Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu mengeratkan kerjasama dan muafakat untuk menghadapi musuh,” kata beliau.

Selasa, 11 Oktober 2011

Dewan Himpunan Penyokong PAS nafi keluar PAS

Dewan Himpunan Penyokong PAS nafi keluar PAS

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw hari ini ini menafikan sekeras-kerasnya laporan media bahawa sayap muda parti Islam itu akan  keluar jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
“Sebagai salah seorang pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi dewan, tidak ada sebab saya buat demikian.
“Ia umpama rumah yang dibina dengan duit, masa dan tenaga saya tiba-tiba dibakar oleh saya sendiri atas sebab bocor sikit di dapur,” kata Hu dipetik Harakahdaily hari ini.
Akhbar muka depan Sinar Harian hari ini membawa laporan kononnya 20,000 ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS akan keluar PAS jika hudud dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Hu berkata berkata, PAS berhadapan dengan risiko kehilangan sokongan dan mencetuskan keadaan keluar beramai-ramai dari sayap bukan Muslim jika parti Islam itu tidak mengalah dalam isu hukum hudud.
Menurut Hu, ramai ahli dewan itu tidak gembira dengan langkah PAS mahu memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.
Justeru beliau memberi amaran langkah itu akan menyebabkan ahli-ahli sayap paling muda PAS itu meninggalkan secara besar-besaran, sekali gus menjejaskan peluang parti komponen Pakatan Rakyat itu dalam pilihan raya umum.
Dewan itu dibentuk secara formal tahun lalu dengan dinaikkan taraf daripada sebuah kelab yang wujud sejak enam tahun lalu.
Minggu lalu, Hu mempertahankan pendiriannya bahawa parti itu perlu memberi penjelasan secukupnya kepada masyarakat bukan Islam berhubung cadangan untuk melaksanakan hukum hudud.
Katanya, jika penjelasan itu tidak diberikan dan bukan Islam belum memahaminya, selagi itulah PAS tidak boleh melaksanakan hukum berkenaan di sebuah negara yang didiami masyarakat majmuk.
“PAS perlu mengambil kira dan menerima pandangan saya sebagai ketua dan pemimpin yang mewakili masyarakat bukan Islam,” katanya sebelum ini.
Harakahdaily turut memetik Dewan Pemuda PAS Kelantan meminta Hu agar membincangkan segala masalah dalaman parti melalui meja rundingan.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendirian, Hu yang menerajui dewan itu lebih memahami dasar PAS berbanding dengan ahli-ahli biasa yang rata-ratanya tidak mempunyai sebarang masalah dengan hasrat ini.
Beliau juga mengingatkan Hu agar tidak mengambil kesempatan dari jawatan yang disandang untuk membuat kenyataan seolah-olah menggugut kerajaan negeri dan parti.
Bahkan beliau sepatutnya telah memahami dasar PAS sebelum menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS  yang wujud hanya 15 tahun selepas hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Saya menggesa agar Pang Chow tidak lagi membuat kenyataan terbuka seperti ini, sebarang kemusykilan boleh diselesaikan melalui perbincangan tertutup,” katanya dalam satu kenyataan.
“Saya melihat kenyataan Hu Pang Chow sebagai satu kenyataan yang kurang tepat serta tidak realistik dengan senario politik semasa yang sedang berlaku di Malaysia.
“Justeru, saya ingin mengulangi sekali lagi penegasan yang dibuat oleh pimpinan PAS sama ada Presiden ataupun Mursyidul Am bahawa hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja dengan tidak melibatkan langsung golongan bukan Muslim,” kata beliau.
Latif menambah, “pada hari ini, apa yang diperjuangkan oleh PAS adalah  pelaksanaan hudud di negeri Kelantan sesuai dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan,” kata beliau.
Oleh yang demikian, katanya, Hu selaku ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS sewajarnya lebih bertindak ke arah memberikan penjelasan kepada bukan Islam agar tidak khuatir dan bimbang dengan pelaksanaan hukum hudud serta bukannya mengambil langkah untuk menyongsang arus dan membuat pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan parti.
“Ingin saya ingatkan bahawa kerajaan Kelantan akan terus menjaga dan menjamin hak-hak masyarakat non muslim dan ia diterima oleh rata-rata ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS,” katanya.
Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai 20,000 ahli dikatakan berjaya merapatkan jurang antara PAS dan bukan Islam dan mewujudkan imej baru parti itu di kalangan kaum Cina dan India.
Awal bulan ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau masih menaruh harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
Bulan lalu, Nik Aziz berkata hukum hudud bukan ideologi sebaliknya adalah wajib untuk dilaksanakan dalam undang-undang Islam.
Nik Aziz juga menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud.
Baru-baru ini Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.
Tambah Nik Aziz, hukum hudud hanya melibatkan orang Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

Sabtu, 8 Oktober 2011

Belanjawan 2012 Cedok Bajet Pakatan

Belanjawan 2012 Cedok Bajet Pakatan

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembentangan Bajet 2012 hari ini sebahagian besarnya mencedok Bajet 2012 Pakatan Rakyat yang diumumkan beberapa hari lalu.

Menurut Anwar mencedok idea Pakatan Rakyat itu boleh, tetapi jangan dicedok dengan penyelewengan, rasuah dan ketirisan yang berterusan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan  di lobi Parlimen selepas pembentangan bajet 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan petang tadi.

Anwar juga berkata bahawa Najib turut menyentuh sedikit isi kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat

Sebahagian besar dicedok daripada Pakatan Rakyat.

Anwar berkata dia akan member rumusan Bajet 2011 itu Isnin ini.
Pakatan: Bajet 2012 gula-gula PRU BN, gagal ‘jaga’ semua lapisan

Pakatan: Bajet 2012 gula-gula PRU BN, gagal ‘jaga’ semua lapisan

SHAH ALAM, 8 Okt — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali menyifatkan Bajet 2012 sebagai ‘gula-gula’ yang amat jelas bagi Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi gagal menawan hati semua lapisan rakyat.
“Tidak dapat dinafikan ini adalah bajet pilihan raya, tetapi Pakatan Rakyat (PR) telah bersiap sedia dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan melancarkan bajet Pakatan,” kata beliau sambil mengulas ketidakadilan kerajaan terhadap golongan swasta.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2012 dengan peruntukan RM232.8 bilion.
“Kita tidak menolak kepentingan kakitangan awam kepada kemajuan negara, sumbangan perkhidmatan awam amat penting, namun begitu tumpuan juga harus diselaraskan kepada semua pihak seperti kita lihat dalam pembentangan hari ini (semalam), tidak ada insentif untuk kakitangan swasta,” jelas beliau.
“Untuk menjana ekonomi, Najib seharusnya memberi keadilan kepada kedua-dua sektor, bukan hanya  mengutamakan sebelah pihak untuk diberikan gula-gula pilihan raya dan hanya memberikan tumpuan kepada  kumpulan sasaran mereka,” ujarnya lagi.
“Justeru, pertimbangan saksama seharusnya diberi perhatian, terutamanya kepada  masyarakat berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa kini,” tambah beliau.
Menjelaskan berkenaan keadaan defisit, Azmin (gambar) berkata, Bajet 2012 kerajaan pusat masuk tahun ke-14 dengan mengekalkan amalan tersebut yang dilihatnya sebagai ancaman dalam pembangunan ekonomi negara.
“Masalah fenomena ekonomi global masa kini menuntut pengurusan kewangan tidak dapat dijalankan dalam keadaan bajet berhemah, namun beberapa kaedah harus diberi perhatian seperti kaedah pentadbiran yang cekap, tata kelola yang baik, mengelak ketirisan, dan pengurusan yang cekap, tetapi Perdana Menteri tidak membentangkan perkara ini sewaktu pembentangan bajet,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
“Kerajaan menyasarkan kutipan hasil tahun hadapan berjumlah RM186 bilion tetapi RM181 bilion akan digunakan untuk operasi mengurus manakala baki 50 bilion ringgit akan digunakan untuk tujuan pembangunan,” ujarnya.
Menurut beliau, amalan tata kelola yang baik seharusnya meletakkan bajet pembangunan melebihi bajet bagi perbelanjaan pengurusan tetapi peruntukan bajet kali ini melihatkan peruntukan pengurusan itu melebihi 70 peratus daripada pembangunan.
Peruntukan pengurusan yang melebihi pembangunan akan menjejaskan pendapatan dan ekonomi negara, seterusnya masalah defisit negara tidak akan dapat ditangani.
Azmin melihat pemansuhan yuran persekolahan adalah sesuatu yang amat penting, namun begitu keutamaan seharusnya diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas institusi itu sendiri.
“Ini tidak cukup, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang untuk negara, oleh itu, perhatian seharusnya diberikan kepada pembangunan kemudahan asas infrastruktur tersebut, apa yang dapat dilihat, pendemokrasian pendidikan itu tidak wujud dalam pentadbiran Umno-BN, sebaliknya hanya kontrak-kontrak untuk kepentingan kroni,” jelasnya.
“Tiada guna sekiranya kita berikan mereka komputer percuma jika kemudahan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik tidak dapat disalurkan kepada sekolah-sekolah ini, terutamanya sekolah di kawasan pedalaman yang masih banyak lagi tidak menerima kemudahan tersebut,” tegasnya.
Mengulas isu gaji minimum untuk rakyat, beliau menjelaskan, adalah penting untuk negara yang mengamalkan konsep ekonomi domestik seperti Malaysia memperkukuh dan merancakkan perbelanjaan dalam negara.
“Lebih 60 peratus ekonomi Malaysia berasaskan aktiviti eksport dan sekiranya ekonomi domestik negara tidak kukuh, prestasi ekonomi akan terjejas dan keupayaan berbelanja dan menyimpan rakyat menjadi terhad,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, penetapan gaji minimum, menurut beliau, adalah perlu bagi meningkatkan kuasa beli pengguna.
Oleh yang demikian, katanya, bajet Pakatan Rakyat mengenai gaji minimum bakal menjanjikan keselesaan kepada rakyat dan beliau melihat kerajaan pusat gagal melaksanakan perkara itu ketika pembentangan bajet semalam.
“Bagaimana rakyat nak berbelanja sekiranya pendapatan mereka lemah?” katanya.
Oleh yang demikian, beliau meminta agar rakyat  melihat secara komprehensif tentang bajet yang dibentangkan dan tidak hanya memfokus kepada satu dua perkara yang dilihat sebagai gula-gula pilihan raya BN.
 

Rabu, 5 Oktober 2011

Belanjawan Pakatan: rakyat senang

Belanjawan Pakatan: rakyat senang

KUALA LUMPUR, 5 OKT – Pakatan Rakyat bukan sahaja mahu rakyat senang dalam negara yang kaya tetapi juga mahu rakyat menikmati kebebasan dan hak sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Pakatan Rakyat akan memansuhkan semua undang-undang yang membabitkan tahanan tanpa perbicaraan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri tanpa diganti dengan mana-mana akta baru.

Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan reformasi secara menyeluruh dengan:

Menstruktur semula Biro Pengaduan Awam menjadi sebuah institusi Ombudsman;
Meletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen institusi awam utama seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Perangkaan, Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan institusi Obudsman;
Untuk memastikan kebebasan media dengan menghapuskan keperluan permit dengan pemansuhan sepenuhnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Selaras dengan itu akan ditubuhkan Majlis Media yang bebas dengan kawalan sendiri;
Memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dan dengan itu, membebaskan pelajar-pelajar daripadan cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan kepimpinan universiti-universiti awam akan berdasarkan kepada merit; dan
Memansuhkan sepenuhnya Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat pada setiap peringkat kerajaan dengan dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan. Ini akan memastikan akses kepada maklumat yang menjadi kepentingan awam, terkecuali ialah perkara-perkara yang secara tulen berkait dengan keselamatan negara.
Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuh Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri sebagai diktator melalui langkah-langkah seperti:

* Menyalurkan RM10 bilion dari belanjawan budi bicara Perdana Menteri kepada kementerian-kementerian berkenaan;

* Meneliti cadangan-cadangan perbelanjaan dengan rapi di peringkat jawatankuasa Parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti; dan

* Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti implementasi dan hasil daripada perbelanjaan tersebut.

Pemulihan institusi perlu dilaksanakan bagi memastikan keuntungan dari sumber alam semula jadi Malaysia yang kaya dapat diagihkan kepada rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan Pakatan Rakyat, pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang sepatutnya kerana kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan manakala kumpulan pertengahan yang juga meliputi 40 peratus menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.

Secara keseluruhan 80 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan.

Dari segi kelayakan, 70 peratus penduduk hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi manakala dari segi pekerjaan lebih satu pertiga ketua keluarga dalam sektor tidak rasmi.

“Ia sesuatu yang tidak memeranjatkan dalam ketidaksamaan pendapatan di Malaysia adalah tinggi di mana kumpulan 40 peratus di bawah hanya menikmati pendapatan 15 peratus manakala kumpulan 20 peratus diatas menikmati pendapatan 49 peratus.

“Gejala sebuah negara yang terperangkap dengan kelembapan ternyata wujud di Malaysia berikutan dasar yang telah ketinggalan zaman dan pengurusan ekonomi yang lemah hanya mengutamakan sekumpulan individu,” kata kenyataan Pakatan.

Senario semasa Malaysia di bawah pemerintahan Barisan Nasional adalah keadaan di mana:

i) Ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat yang tidak mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup;

ii) Jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi dan pada yang sama wujud rungutan majikan mengenai kekurangan kemahiran dan bakat;

iii) Perbelanjaan subsidi yang telah melambung naik 10 kali ganda; dan

iv) Pelaburan tempatan dan asing adalah kurang menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar.

Dengan itu, Belanjawan Kesejahteraan 2012 Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.

Belanjawan Kesejahteraan 2012 berhasrat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua melalui dasar dan kerangka yang bertujuan meningkatkan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.

Pengenalan gaji minima, mengurangkan jumlah pekerja asing tidak terlatih, meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara besar-besaran akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Keutamaan adalah memberi perhatian khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, maka gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.

Mempertingkatkan keupayaan pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin tinggi. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan memberi kesan baik kepada perbelanjaan tempatan; sesuatu yang penting dalam persekitaran global yang semakin tidak stabil.

Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia untuk mengurangkan kos. Persaingan akan mengurangkan tekanan inflasi dan menjana lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Pakatan Rakyat juga akan golongan muda diberi keutamaan dengan melaksanakan langkah-langkah:

* Memastikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digantikan dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti. RM747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini;

* Sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian; dan

* RM 50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda. – Roketkini.com
Tujuh kesilapan yang merugikan Pakatan Rakyat

Tujuh kesilapan yang merugikan Pakatan Rakyat

Terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat yang bersemangat menyokong PR dan memerangi BN; tetapi hanya membazir tenaga dan masa dalam FB dalam kerja yang nampaknya bersungguh benar tapi hakikatnya hanya 'merosakkan' sokongan terhadap PR.

Di samping terdapat segolongan besar lagi yang malas memanfaatkan peluang menyebarkan maklumat secara mudah yang terhidang dalam FB.
Saya ingin mengguna kesempatan ruangan ini untuk membetulkan golongan yang hanya bekerja keras (work hard) tetapi tidak bekerja secara baik (work smart) di FB.
Berikut adalah senarai KESILAPAN yang dilakukan oleh rakan FB penyokong PR:

1.Kesilapan terbesar jurukempen alam siber ialah tidak memokuskan tugas utamanya iaitu cuba mengubah minda sasaran. Ramai yang berminat menyindir, mengutuk, menghina, memperlekeh dan merendahkan pihak lawan.

Pihak lawan membalas balik dengan serangan yang lebih ganas, memaki hamun, mencarut, memberi gelaran buruk. Atau pihak lawan yang memulakan dan kita memberi reaksi serupa. Apa hasilnya? Kita adalah penyokong PR tegar manakala mereka adalah penyokong BN tegar. Tiada siapa akan berubah.

Yang akan terubah persepsi ialah rakan-rakan atas pagar yang melihat kedua belah pihak sama saja, 2x5, 5x2. Jadi, betulkan nawaitu serta tujuan kita: Hendak mempengaruhi orang ramai atau hendak melepas geram.
1.Jangan termakan provokasi lawan. Berhujah dengan lunak berasaskan dalil dan fakta. Hujah kita akan dinilai oleh golongan yang rasional. Biarkan pihak lawan melakukan serangan kotor kerana semakin celupar mereka 'berhujah' semakin hilang wibawa mereka. Kita yang untung.
2.Jangan guna gelaran buruk untuk lawan. Contoh: Najis Tun Razak, Wak Sembab (Muhyiddin Yasin), Hisham Aww, Khir Toyol. Ingat tugas anda ialah mempengaruhi golongan atas pagar dan golongan rasional. Pihak lawan sering menggunakan N.ajis, Pork Nick, Aljuburi, Peliwat Tegar, Anugay, Mat Sabun, Mat Shabu, DAPig, hamPAS.. Biarkan, kerana ia 'sangat membantu' kita.
3.Jangan memaki hamun, eg. Babi, anjing, bodoh, bengap, keldai, haramjadah, celaka. Jangan mengejek, eg. Wakakaka, perghh, huahhh. Jangan mencarut. Tiada sasaran yang akan terpengaruh dengan maki hamun dan ejekan, tetapi manusia terpengaruh dengan hujah dan fakta.
4.Jangan menyerang penyokong atau pengikut. Tahap kesetiaan penyokong mana-mana parti adalah berbeza. Penyokong yang lemah dan rasional mempunyai keupayaan untuk berubah tapi jika kita menyerang penyokong BN secara borong, yang lemah pun akan terasa kuat.

Jadi elakkan mengguna perkataan puak-puak tu, penganut UMNO, pengikut buta tuli UMNO, geng songkok tinggi dll. Yang mesti diserang ialah para pemimpin mereka di semua peringkat.
5.Bagi segolongan rakan FB dari kalangan penyokong PR, mereka hanya gemar menjadi pembaca, langsung tidak mahu berperanan sebagai penyebar maklumat. Di luar sana, kita sibuk menyalahkan BN kerana media yang berat sebelah tetapi di alam siber yang beratnya berbelah-belah kita tidak memanfaatkan peluang yang terhidang. Jadilah pencetus dan pengkomen, bukan hanya sekadar pembaca.
6.Masing-masing pemegang akaun FB mempunyai rangkaian rakannya tersendiri. Terlalu banyak bahan kempen yang sampai berupa nota, banner, kartun ataupun klip video. Lakukan 'share' (kongsi), hanya dengan satu sentuhan beribu rangkaian rakan kita akan memperolehnya. Lagi banyak maklumat yang sama disebarkan, lagi teguh kepercayaan orang terhadapnya. Sangat mudah untuk dilakukan mengapa tidak buat?

Hari ini ceramah tidak lagi mendapat sambutan seperti satu atau dua dekad lalu. Maklumat yang mudah diperolehi dari media baru mungkin menjadi sebab. Tenaga dan masa yang diperlu untuk mengatur satu program ceramah sangat besar. Tapi Tuan Guru Nik Aziz boleh 'berceramah' kepada lebih 400 ribu rakan mayanya hanya dengan sentuhan jari.

Kelebihan FB ialah rangkaian rakan-rakannya adalah golongan menengah dan terpelajar dalam masyarakat. Cakap mereka berwibawa dan didengari. Pengaruhi mereka, lalu biarkan mereka mempengaruhi masyarakat.

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

#Dipetik daripada blog Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man#

Selasa, 4 Oktober 2011

Pakatan tawar gaji minimum RM1,100

Pakatan tawar gaji minimum RM1,100

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Sementara pentadbiran Najib sedang membincangkan kadar gaji minimum untuk dilaksanakan akhir tahun ini, Pakatan Rakyat hari ini menawarkan RM1,100 sebagai gaji minimum tenaga kerja negara ini.

“Gaji minimum akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan mengguna pakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minimum sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan,” kata Pakatan Rakyat yang mengumumkan bajet alternatif 2012 hari ini.

Pakatan Rakyat juga menegaskan kemelut tuntutan gaji minimum yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah.

“Kuasa untuk menentukan gaji minimum terus dipusatkan di tangan menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minimum,” katanya lagi.

Pakatan Rakyat mengumumkan belanjawan mereka sementara kerajaan Barisan Nasional akan berbuat demikian Jumaat ini.

Pakatan Rakyat berkata pengenalan gaji minimum dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100.

Selain itu katanya, tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minimum dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan gaji minimum RM1,500 sebulan.

Kementerian Sumber Manusia mengumumkan pelantikan anggota Majlis Perundingan Gaji Negara minggu lalu.

Seiring dengan pengumuman itu, Pakatan Rakyat juga mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga.

“Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minimum dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion.

“Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan mengguna pakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan,” katanya lagi.

Isnin, 3 Oktober 2011

PAS: Penarikan balik RUU Kg. Baru hasil perjuangan rakyat

PAS: Penarikan balik RUU Kg. Baru hasil perjuangan rakyat

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik langkah kerajaan yang menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibacakan kali kedua di Parlimen hari ini. DPPKT menganggap kejayaan ini sebagai hasil perjuangan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru sendiri yang berusaha daripada peringkat awal bagi memperjuangkan tanah hak milik mereka. Dengan penarikan balik bacaan kali kedua ini menunjukkan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengakui bahawa Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru sebenarnya tidak menguntungkan rakyat.

DPPKT mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang memainkan peranan besar dalam menyatukan penduduk Kampung Baru di samping memberi kefahaman yang jelas terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru terhadap penduduk kampung. Bagi DPPKT, perjuangan SPKB selama ini berbaloi dan kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan desakan rakyat yang tidak mahu melihat tanah warisan milik Orang Melayu menjadi korban pembangunan pesat Kuala Lumpur. Tahniah juga diucapkan kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang berjaya sebagai pentadir Kampung Baru selama 111 tahun lamanya serta turut sama terlibat dalam memperjuangkan isu ini. Ini membuktikan peranan MAS diakui penting bagi menjaga hak pemilik Kampung Baru.

Selain SPKB dan MAS, peranan utama yang dimainkan oleh Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa yang selama hayatnya tidak pernah merasa jemu dan letih turun padang bagi membela isu Kampung Baru. Selama tempoh perkhidmatannya yang singkat ini, beliau berjaya membawa isu Kampung Baru sebagai isu nasional dan membela nasib penduduk Kampung Baru ke peringkat tertinggi. Ini menunjukkan prestasi wakil rakyat PAS dan Pakatan Rakyat sebagai pembela rakyat jauh lebih baik daripada wakil rakyat Barisan Nasional yang telah memerintah berpuluh tahun lamanya.

DPPKT mengharapkan penarikan Rang Undang-Undang ini bukanlah bersifat sementara sebagai gimik politik semata-mata bagi mengabui mata rakyat menjelang Pilihnaraya Umum ke-13, sebaliknya kerajaan perlu ikhlas dalam memastikan kebajikan dan hak rakyat terbela pada bila-bila masa.

Ahad, 2 Oktober 2011

Perpecahan dalam MCA

Perpecahan dalam MCA

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyerang balik Datuk Seri Ong Tee Keat sambil menyifatkan bekas presiden itu sebagai tidak relevan kepada MCA.

“Ong Tee Keat tidak relevan kepada kami. Beliau akan kekal sebagai nota kaki dalam sejarah MCA,” kata Dr Chua kepada pemberita hari ini.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider semalam, Ong berkata, parti itu sedang berubah sebagai parti yang tidak relevan lagi.

Ong memberitahu, gabungan BN itu tidak memperlihatkan pembaharuan selepas ia tewas 25 daripada 40 kerusi Parlimen dan 59 daripada 80 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ia tandingi pada pilihan raya umum 2008.

Katanya, MCA masih meneruskan polemik lama daripada membawa dan mengadakan pembaharuan yang diharapkan oleh para pengundi.

“Jika MCA terus menggunakan laluan dan jiwa yang lama, maka sudah pasti ia menuju situasi tidak relevan. Sesetengah sudah pun dengan terus-terang mengatakan bahawa kami sudah pun tidak relevan,” kata Ong yang ditewaskan oleh Dr Chua ketika krisis kepimpinan parti itu 18 bulan yang lalu.

Pagi ini, ketika Dr Chua menyampaikan ucapan pada perhimpunan agung ke-58 parti itu, Ong meneruskan serangan dengan menegaskan, ia bukan sahaja tidak relevan lagi, malah berada dalam sindrom penafian.

Ong mempersoalkan Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang semalam menafikan dakwaan bahawa parti itu tidak relevan lagi.

“Tiong Lai dan Ka Siong menafikan MCA tidak relevan lagi. Kini (parti) dalam keadaan tidak relevan dan (dibayangi) sindrom penafian.

“Penafian Tiong Lai (mengenai kenyataan) MCA sudah tidak relevan lagi bukan sesuatu yang besar jika dibandingkan dengan penafian beliau berkaitan insiden (hospital) Tung Shin (pada 9 Julai lalu),” kata Ong dalam mesej dihantar menerusi Twitter.

Dr Chua yang kelihatan tersinggung dengan kenyataan Ong berkata, bekas presiden MCA itu tidak pernah membawa pembaharuan ke dalam parti ketika memegang jawatan itu, sebaliknya hanya menghukum ahli-ahli yang menentang beliau.

“Beliau pernah ada peluang untuk mengetuai MCA, beliau tidak pernah buat apa-apa untuk membawa pembaharuan.

“Pembaharuan yang hanya kita adakan adalah terlalu banyak EGM (perhimpunan agung tergempar)... selama 17 bulan di bawah Ong, kita ada tiga EGM, jika anda mengira satu yang diadakan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai,” kata Dr Chua dengan menyindir kepimpinan Ong.

Sehubungan itu Dr Chua yang juga bekas menteri kesihatan mencabar Ong agar meletakkan jawatan jika beliau sudah tidak yakin lagi dengan masa depan parti.

“Anda tiada keyakinan ke atas MCA, mengapa anda mahu bertanding sebagai calon di bawah lambang Barisan Nasional, MCA? Letak jawatan jika tiada kepercayaan dalam parti,” kata Dr Chua lagi.