Ahad, 31 Julai 2011

DAP anti-Cina kerana utamakan Melayu

DAP anti-Cina kerana utamakan Melayu

Umno kata DAP anti Melayu,MCA kata DAP anti Cina.

Tuduhan MCA bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersikap anti-Cina kerana terlalu mengutamakan kepentingan dan kebajikan orang Melayu telah mendedahkan pekung dalam Barisan Nasional.

Tuduhan itu mengejutkan UMNO dan BN sendiri kerana selama ini UMNO, melalui lidah rasminya Utusan Malaysia, saban hari menuduh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan DAP telah mengabai dan meminggirkan orang Melayu.

Tuduhan MCA

Semalam, Pengerusi Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang mendakwa Guan Eng mengancam kepentingan kaum Cina di negeri itu kerana tidak menganugerah tender projek kepada kontraktor kaum Cina.

Dalam kenyataannya, Tan menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang supaya tidak memberi kontrak kepada Bumiputera secara sewenang-wenangnya semata-mata kerana mahu dilihat adil.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA memetik kenyataan akhbar Guan Eng pada Rabu lalu yang menyatakan kontraktor Bumiputera termasuk India Muslim (serta 20 peratus daripada jumlah itu adalah wanita) telah mendapat 100 peratus kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran.

Malah Tan turut menyindir pemilihan kontraktor-kontraktor Bumiputera itu apabila mendesak Guan Eng supaya “memastikan kontraktor-kontraktor berkenaan mampu menyiapkan projek dan supaya tidak akan timbul masalah kepada infrastuktur negeri bagi menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat.”

Nampaknya sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negeri, Tan tidak sedar perubahan positif untuk rakyat semua kaum yang berlaku di sekelilingnya.

Urus tadbir CAT

Atau beliau sengaja buat-buta lupa apabila berkali-kali Guan Eng menjelaskan bahawa urus tadbir cekap, akauntabel dan telus ( CAT) yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang telah berjaya memartabatkan kontraktor Bumiputera dengan sistem tender terbuka.

“Urus tadbir CAT dan sistem tender terbuka telah membuktikan bahawa kontraktor Melayu memang berdaya saing secara terbuka. Yang tak mampu saing hanya kontraktor UMNO yang lembik, dayus dan bodoh sehingga terpaksa bergantung kepada kabel politik UMNO dan hidup sebagai kontraktor kroni,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Malah, pada tahun lalu, Setiausaha Agung DAP itu juga telah mendedahkan bahawa sejak 2008, UMNO menuduh DAP anti-Melayu manakala MCA pula menyerang DAP dengan tuduhan anti-Cina.

“MCA serang DAP anti-Cina bila kerajaan Pulau Pinang tunjukkan bahawa dalam sistem tender terbuka, kontraktor Melayu memang mampu berdaya saing dengan memenangi sebilangan besar kontrak kerajaan.

“Kontraktor Melayu menangi 100 peratus kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran serta 98 peratus kontrak JKR,” tambah beliau.

Berjaya tanpa perkauman

Malah, usaha kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang tidak berasaskan kaum atau kabel politik telah membuatkannya berjaya mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2008, atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir CAT.

Kejayaan ini bukan sahaja disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara yang mana dicatatkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai pengurusan kewangan terbaik seajk 2008 tetapi juga mendapat pujian Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.

Pengurusan kewangan yang sihat itu telah membolehkan kerajaan Pakatan Pulau Pinang menghasilkan “dividen anti-rasuah” yang digunakan untuk memenuhi keperluan rakyat termasuk mengadakan program terbaru Anak Emas Pulau Pinang, tanpa mengira kaum dan agama.

Apakah MCA mahu menuduh DAP atau kerajaan negeri Pulau Pinang zalim kerana membantu dan menghargai warga negeri tanpa memilih bulu?

Dalam masa tiga tahun sahaja, kerajaan negeri Pakatan telah melaksanakan pelbagai program, sama ada yang memang dikhususkan untuk orang Melayu dan Islam atau untuk semua tanpa mengira kaum, demi kepentingan dan kebajikan anak negeri.

Pulau Pinang telah dan akan terus melaksanakan program penghargaan warga emas dengan member sumbangan RM100 setahun dan RM1,000 sekali sahaja kepada warisnya dan memperluaskannya pemberian RM100 setahun kepada ibu tunggal dan orang kurang uopaya (OKU); dengan kos RM20 juta sehingga tahun lalu.

Pemberian sekurang-kurangnya RM500 sebulan kepada setiap keluarga miskin untuk menarik mereka keluar dari garis kemiskinan tegas dengan kos lebih RM3 juta setahun serta menghapuskan deposit meter air RM70 bagi keluarga termiskin juga dilaksanakan dan diteruskan.

Usaha memperluaskan pemberian bantuan pembangunan kepada sekolah bantuan Cina, Tamil, mubaligh, sekolah menengah bebas Cina dan sekolah agama rakyat (SAR) dengan kos RM12 juta tahun lalu sahaja.

Program rakyat untuk semua kaum

Bagaimana boleh diterima tuduhan MCA bahawa DAP anti-Cina dan tuduhan UMNO bahawa DAP anti-Melayu apabila program dan projek untuk semua kaum telah dan sedang dilaksanakan?

Kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang telah membina dan mengekalkan modal insan dengan menubuhkan Majlis Sains Negeri Pulau Pinang dan Penang Tech Centre melebihi RM100 juta demi menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

Kesesakan lalu lintas juga telah dan sedang diatasi dengan pelbagai usaha serius. Kerajaan negeri telah berjaya mencatat sejarah dengan menyediakan kemudahan bas awam percuma “Bridge Express Shuttle Transit” (BEST) melalui projek Park and Ride.

Sebanyak 16 bas telah disediakan oleh Rapid Penang dengan kerajaan negeri memperuntukan dana berjumlah RM1.05 juta untuk melaksanakannya sejak 1 Mac lalu.

Kerajaan Pakatan pimpinan Guan Eng juga sedang mengkaji cadangan membina jalan dan terowong untuk menghubungkan kawasan kesesakan trafik di bawah kawalan kerajaan negeri dari Jalan Pangkor (Gurney Drive) ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Walau pun anggaran kos RM4 bilion agak besar, ia adalah kerana akan berlaku pengambilan tanah yang mahal. Namun, sistem tender terbuka di bawah urus tadbir CAT dijangka dapat menghasilkan bidaan terbaik dengan kos yang lebih rendah.

Tentunya usaha mengatasi kesesakan lalu lintas ini bukan untuk Cina atau Melayu atau mana-mana satu kaum. Malah, bukan sahaja warga Pulau Pinang akan lebih selesa, pelancong dari seluruh negara serta dari dunia luar juga akan mendapat faedah pengurangan kesesakan lalu lintas.

Beranikah MCA kecam UMNO?

Memang banyak program dan projek yang telah dan sedang diusahakan di Pulau Pinang yang mendapat sambutan serta sokongan rakyat berbilang kaum.

Tidak ada salahnya MCA mengkritik kerajaan negeri Pakatan Rakyat jika ia berasaskan fakta dan maklumat yang tepat serta benar.

Tetapi adalah lebih jujur jika kritikan atau kecaman MCA dilemparkan kepada UMNO dan BN di peringkat pusat serta di negeri-negeri di bawah tadbiran UMNO.

Bukankah di sana kontraktor-kontraktor Cina dikatakan lebih “terpinggir”?

Atau jika mereka tidak diabaikan sekali pun, hanya usahawan besar kaum Cina sahaja yang dikatakan menikmati dasar ekonomi UMNO kerana sering didengar tentang kontraktor-kontraktor UMNO meng“sub”kan projek yang mereka perolehi kepada orang lain… – Roketkini.com
Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno

Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno, menjelang pilihan raya umum ke-13 berikutan kegagalan perdana menteri dalam menangani beberapa isu penting termasuk Bersih 2.0 dan penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.

Justeru menurut Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini, Najib kini terpaksa mencari “talian hayat” dengan menggunakan apa sahaja cara untuk terus kekal berkuasa.

“Mengapa Umno terpaksa singkirkan Najib? Sebabnya banyak dan terus menonjol. Pendeknya, Najib telah menjadi liabiliti paling besar buat Umno di ambang pilihan raya umum ke-13 ini.

“Beliau (Najib) telah menjadi seumpama Tun (Dr Mahathir Mohamad) cuma dalam masa yang jauh lebih singkat, bagi sebuah parti yang penting ialah survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa,” katanya dalam tulisan terbaru beliau.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun memerintah negara Najib telah melakukan banyak perkara untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat, namun ia ternyata satu usaha yang sia-sia.

“Tempoh tiga tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat dan pengundi, malah beliau telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada soalan pandangan awam sehingga sanggup mengungkapkankan bahawa era kerajaan tahu semua telah berlalu.

“Ketika itu kononnya beliau sanggup mendengar rakyat. Najib cuba perbaiki imej partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh dengan mantranya ‘Rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan’, kesemua itu adalah cubaan gigih Najib untuk baik pulih persepsi (rakyat) terhadap partinya,” katanya sambil menambah, Najib juga cuba mendekati rakyat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini, kegagalan Najib menangani isu-isu agama dan penyelewengan yang berlaku membuktikan anak kepada perdana menteri kedua itu adalah seorang pemimpin yang tidak tegas dalam menguruskan negara.

“Pelbagai pergolakan politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta ketirisan dalam pengurusan kewangan dan pembangunan negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib sebenarnya... beliau seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu, beliau semacam dirasuk sindrom penafian.

“Beliau tidak mempunyai jati diri politik yang wajar disanjungi seumpama bapanya, seorang negarawan sebaliknya kata-kata tidak cermat seperti ‘you help me, I help u (anda tolong saya, saya tolong anda)’, beliau sinonim dengan tabiat ‘flip-flop’, satu ciri yang tidak membuktikan ketegasan kerana beliau hanya mahu sokongan semua,” katanya.

Menurut Dzulkefly, Najib kini berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli parti Melayu terbesar itu.

Tambah beliau, gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan menyerlahkan lagi kepimpinan buruk Najib.

“Kini rakyat dan pengundi yang mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Najib gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang semacam mahu terus melindungi yang kotor dalam sistem pilihan raya,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak namun Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) awal 2009.

Selain itu, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Kelmarin polis telah membebaskan enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan selama 28 hari sejak 2 Julai lalu tanpa sebarang syarat.

Sabtu, 30 Julai 2011

Cincin Rosmah RM24.45 juta

Cincin Rosmah RM24.45 juta

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diminta menjelaskan pembelian cincin berlian berharga RM24.45 juta, sebelum menafikan ia sebagai fitnah.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Rosmah tidak memberikan jawapan berhubung maklumat diperoleh pada sistem Kastam di Raja Malaysia (KDRM), malah penafiannya hanya mengundang spekulasi.
“Saya tidak tuduh, Rosmah kena tampil kerana nama kamu ada tertera dalam skrin sistem Kastam. Bukan menepis dengan mengatakan itu semua fitnah,” kata Badrul atau popular dengan Chegu Bard.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga ada membuat siasatan, selepas SAMM membuat laporan pada 13 Julai lalu.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan penafian Rosmah, dua minggu selepas isu itu ditimbulkan.
“Kenapa baru lepas dua minggu, Rosmah baru nak tampil. Kenapa tidak jawab dua minggu lepas. Kita mahu tahu untuk apa cincin berlian itu dibawa masuk?,”
“Minta penjelasan, bukan rekayasa selepas pendedahan itu,” kata beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Rembau.
Pada 13 Julai lalu, Badrul membuat laporan pada SPRM, berhubung pembelian berlian yang dikenali sebagai“Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond”, yang dibeli dari syarikat pengeluar Berlian terkenal Amerika Syarikat, Jacob & Co.
Chegubard mendedahkan bukti pembelian cincin itu didapatinya melalui skrin sistem maklumat KDRM, yang tertera nama Rosmah
sebagai pengimport.
Namun, sebaik sahaja SAMM membuat laporan kepada SPRM, sistem KDRM dilapor mengalami kerosakan selama tiga jam, dipercayai sebagai usaha untuk melindungi siasatan.
Pihak Kastam juga dikesan mengeluarkan borang kedua, bagi membuktikan berlian itu dibawa keluar ke Singapura, 4 hari selepas dibawa masuk ke negara ini.
Selepas dua minggu isu itu didedahkan, Rosmah hari ini tampil menafikan pembelian berlian itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Jumaat, 29 Julai 2011

PRU 13: SPR Setuju  ekoran desakan Bersih 2.0

PRU 13: SPR Setuju ekoran desakan Bersih 2.0

PETALING JAYA 29 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berjanji menetapkan tempoh lebih dari seminggu sebagai jangka waktu berkempen untuk pilihanraya umum ke 13 ekoran desakan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat.

“Kita akan menetapkan tempoh kempen yang sesuai untuk kepuasan hati semua orang. Itu tidak ada masalah. Jangan anggap kempen (adalah untuk) 7-8 hari. Itu perkara sejarah,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad berkata pihaknya bagaimanapun tidak dapat memenuhi tuntuan supaya janga masa berkempen ditetapkan selama 21 hari kerana menurut beliau, polis tidak memberi kerjasama.

"Polis tidak dapat bekerjasama selama 24 jam (untuk 21 hari) kerana ianya tempoh yang lama," ujar beliau di forum Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) di sini petang tadi.

Jangka masa kempen pada PRU sebelum ini adalah antara seminggu hingga sembilan hari yang disifatkan parti pembangkang sebagai tidak memadai.

Sebelum bersetuju menetapkan tempoh kempen yang lebih lama, Wan Ahmad mendakwa tidak ada keperluan mengadakan tempoh berkempen panjang kerana parti politik yang bertanding sudah pun dikenali pengundi.

Gabungan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat lantang mendesak SPR menetapkan tempoh berkempen 21 hari untuk membolehkan mesej parti-parti politik sampai ke akar umbi.

Keperluan itu amat penting khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kekangan lojistik serta kepadatan penduduk tinggi di kawasan pendalaman.

Pada wacana hari ini, Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan menolak alasan yang diberikan oleh Wan Ahmad.

"Tempoh (kempen) 21 hari boleh diguna untuk pastikan rakyat dapat maklumat, khususnya mengenai calon. Ya, pengundi boleh tahu semua mengenai parti tersebut tapi (apabila) tempoh pendek ia tidak cukup untuk mengenali calon,” tegas beliau.

Sepanjang wawacana bersama Ambiga dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean, Datuk Muhammad Mohd Shafee Abdullah itu, Wan Ahmad sekali lagi meletakkan segala keresahan rakyat terhadap ketelusan pilihanraya kepada kuasa-kuasa terhad yang diberikan kepada SPR.

Katanya SPR hanya sebagai sebuah badan yang mengendalikan pilihan raya selain memantau poster yang dinaikkan oleh parti-parti yang bertanding.

Keberkesanan SPR bergantung sepenuhnya terhadap sejauh mana pejabat Peguam Negara dan Parlimen mencadang dan meluluskan pindaan undang-undang yang ada sekarang, jelas beliau.

"Ianya amat susah untuk puaskan hati semua orang bila anda berada di tengah-tengah," kata beliau.

Seperti wacana Selasa lalu, Wan Ahmad menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa-kuasa penguatkuasaan dan ia hanya sebuah badan yang menguruskan pilihan raya.

Justeru beliau berkata aduan-aduan mengenai pembelian undi, sogokan dan rasuah politik semasa kempen pilihanraya harus dirujuk kepada SPRM dan bukan pihaknya.

"Tidak pernah SPR ambil tindakan orang yang rasuah dalam pilihan raya ke mahkamah. SPRM ada (kuasa) untuk mendakwa," ujar beliau lagi.

Ambiga menggesa SPR untuk bangkit mempertahankan kewibawaannya sebagai sebuah badan yang bebas dari pengaruh mana-mana pihak, baik kerajaan atau pembangkang.

Beliau mahukan SPR menguatkuasakan Perkara 115(2) Akta Pilihan Raya 1958 SPR.

Ia memberikan SPR kuasa untuk melantik pasukan penguatkuasa untuk bertindak terhadap pihak yang mengamalkan rasuah dan kesalahan lain semasa PRU.

"Akta Pilihan Raya beri kuasa kepada SPR kerana ia menyebut pasukan penguatkuasa SPR berhak 'memastikan undang-undang bertulis diikuti pihak terlibat,' kata beliau.

“Jadi mereka berhak memanggil pihak berkuasa terlibat untuk membantu mereka jika mereka lihat aktiviti yang menyalahi akta itu. Mereka lihat dan mereka boleh lapor kepada polis atau sesiapa,” tambah Ambiga.

Khamis, 28 Julai 2011

Wan Ahmad dan SPR

Wan Ahmad dan SPR

Melatah itu dikatakan hanya ada pada orang Melayu, sebagaimana amok yang menjadikan budayanya unik.

Sifat-sifat kemelayuan itu turut berlaku dalam dunia moden hari ini, termasuk dalam satu acara dialog di antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan dan Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari UKM, yang telah berlangsung baru-baru ini.

Latah Wan Ahmad tidaklah seperti mana yang biasa dikaitkan dengan seorang nenek atau datuk yang diusik oleh anak atau cucunya.

Sebaliknya melatah versi SPR ini adalah dengan bentuk terlepas cakap, tersasul atau ‘kantoi’ dengan menyebut antaranya “Barisan Nasional tak hentam SPR”, ketika membezakan layanan SPR terhadap Bersih 2.0, Pakatan Rakyat dan BN.

Lawak seram

Begitu juga ayat susunan Wan Ahmad, “kita (SPR) memang ada hubungan yang baik dengan Bukit Aman”, ketika beliau cuba menggambarkan sistem pengurusan SPR yang dianggap cekap dan lengkap termasuk hubungan ‘istimewa’nya dengan Polis Diraja Malaysia.

Selepas tersasul menyebut ayat-ayat ini, hadirin dalam dialog yang diadakan di Shah Alam pada Selasa lalu dapat melihat perubahan air muka beliau yang semacam tersedar akan kata-katanya. Dan, beliau mula mengambil masa untuk ‘melarikan’ topik itu. Lucu sungguh!

Latah secara spontan ini, secara tidak langsung telah memberi gambaran sebenar kepada penonton ‘debat’ yang menyaksikannya melalui siaran langsung TV intertent dan kita sendiri bahawa itulah realiti bawah-sedar yang terjadi selama ini kepada pihak SPR.

Bagaimana kita menerima dan memahaminya?

Selain melatah dengan ‘bertandak’, biasanya sindrom ini akan diikuti dengan sebutan kata-kata yang diucap tanpa dikawal oleh individu tersebut. Kadangkala bunyinya mencarut, kadangkala pula tersebut perkara ‘rahsia’.

Bagi individu yang berkedudukan penting seperti Wan Ahmad ini, pastilah ia menjadi tragedi seram baginya dan SPR sendiri. Bagi yang mahu kepada pilihan raya yang bebas, bersih dan adil, ia tidak ubah seperti menonton satu lawak seram.

Bagaimana ianya berlaku?

Melihat pada suhu dialog pada ketika itu, kedudukan Timbalan Pengerusi SPR itu semasa sedang berdebat dengan Ambiga dan juga menghadapi persoalan daripada hadirin, beliau berada dalam keadaan amat defensif. Malah sedang berada dalam tekanan kesan dari asakan bertubi-tubi yang datang dari mood hadirin pada masa itu.

Kita memahami tekanan yang dialaminya tetapi tidak pula menyangka beliau akan ‘kantoi’ menyebut perkara-perkara seperti itu.

“Itu kerja kerani”

Salah seorang penonton bertanya kepada Wan Ahmad, soalannya amat objektif, jelas dan dengan membawa bukti tentang kelemahan sistem SPR iaitu bagaimana seorang polis dengan dua kad pengenalan (kad pengenalan polis dan kad pengenalan awam) telah menggunakan kedua-dua kad pengenalannya itu untuk mengundi dua kali di dua tempat yang berlainan.

Jawapan yang paling baik dari Wan Ahmad adalah: “Itu kerja kerani, bukan kerja orang di peringkat kami (pegawai atasan)”.

Keangkuhan beliau telah menjengkelkan hati para audiens yang mendengarnya.

Rumusannya, beliau telah memberi persepsi yang lekeh tentang SPR kepada orang awam.

Emosi

Satu lagi perkara yang paling terkesan sewaktu dialog itu ialah apabila kita dapat lihat dan dengar dengan jelas bagaimana orang UMNO turut melatah, khususnya apabila mendengar penjelasan dari pihak Ambiga.

Seorang peguam UMNO di majlis itu bangkit dengan niat untuk bertanya, tetapi telah bertukar menjadi ulasan penuh perasaan, emosi dan kemarahan.

Ironis sekali seorang yang berkerjaya sebagai peguam gagal mengawal emosi, lebih-lebih lagi dalam acara awam. Malah beliau menjerit-jerit sedangkan ia cuma mahu menyatakan pendapatnya.

Adakah ini pun sudah menjadi budaya Melayu atau mungkin sekadar budaya Melayu yang khusus untuk orang UMNO sahaja?

Keadaan emosi lebih terserlah apabila ahli akademik Dr Wong Chin Huat yang juga salah seorang ahli jawatankuasa Bersih 2.0 yang dijemput oleh moderator Wan Saiful Wan Jan untuk memberi sedikit penerangan tentang proses pilihan raya di Malaysia.

Dr Wong memaparkan kepada hadirin beberapa hasil kajiannya tentang apa yang telah dan sedang berlaku dalam sistem pilihanraya kita.

Sebaliknya huraian beliau yang penuh dengan fakta dan maklumat disambut oleh sesetengah hadirin dengan jeitan kata-kata “Sudahlah sudahlah! Tak kena tempat” untuk memaksanya berhenti dari memberi penerangan.

Agak pelik bagi kita kerana acara ini diadakan untuk semua pihak berbincang dan menjelaskan tentang keadaan sebenar menerusi pelbagai fakta dan bukti sebagai sandaran untuk berhujah, tetapi sesetengah hadirian tidak mahu kepada fakta dan maklumat berkenaan.

Adakah audiens yang rata-ratanya Melayu itu tidak mahu atau tidak mampu menggarap fakta dan maklumat?

Kalau itu hendak dikatakan budaya Melayu, bagaimana pula tradisi Melayu ada pepatah yang mengatakan, ikut rasa binasa ikut hati mati.

Budaya yang matang

Usaha murni Sinar Harian dan Karangkraf dalam membudayakan wacana ilmiah menerusi dialog dan perbincangan seperti itu amatlah baik dan wajar dicontohi oleh akhbar lain khususnya Utusan Malaysia yang menjaja dirinya sebagai lidah rasmi UMNO.

Kita yakin, jika media cetak di negara kita bergerak atas pasaran yang terbuka, sudah pasti akhbar Sinar Harian ini akan menjadi akhbar yang paling digemari, laris dan paling berpengaruh berbanding Utusan dan Berita Harian.

Pada masa yang sama, mungkin sesetengah hadirin yang datang dengan jerit dan jerkah itu tidak perlu dimarah atau dikecam sangat kerana ada antara mereka begitu baru dengan budaya keterbukaan.

Lagi pun mungkin sesetengah mereka menyangka menjerit dan memaki-hamun itu tidak ada salahnya kerana kadang-kadang itu yang diperlihatkan dalam sidang Dewan Rakyat. Maklumlah Ahli-Ahli Parlimen tidak diberi peruntukan kewangan untuk membolehkan mereka mempunyai pengkaji dan penyelidik.

Jadi perbahasan di Dewan Rakyat kadang-kalanya tidak berilmiah sama sekali dan hampir sama dengan kanak-kanak bergaduh berebut guli.

Rakyat bertatih mengenali demokrasi

Justeru itu, beberapa hadirin di dialog Selasa lalu mungkin baru hendak mula meraikan ruang demokrasi ini. Anggaplah ia sekadar anak-anak yang sedang bertatih mahu berjalan.

Lama-kelamaan, sifat keanakanakan ini akan hilang bila mereka telah memahami etika menghadiri majlis ilmu.

Ini juga menjadi bukti, bagaimana Utusan dan agensi-agensi kerajaan yang selama ini memerintah dengan agenda tutup minda telah membungkam acara-acara ilmiah dan terbuka di dalam masyarakat.

Kerana itu, masih ada kelompok di kalangan masyarakat kita, walau pun bertaraf profesional, amat mudah melatah dan penuh emosi.

Begitu juga dengan kegigihan Wan Ahmad menangkis dan membalas hujah yang harus dipuji. Sekurang-kurangnya beliau hadir di majlis itu dan tidak lari dari berdepan dengan rakyat.

Kita tahu bahawa tangannya terikat dan lidahnya kelu untuk menyatakan kebenaran kerana budaya pemerintahan UMNO-BN tidak menggalakkan penyebaran dan perkongsian kebenaran fakta dan maklumat.

Atas sebab itu juga kita perlu sedar bahawa pentingnya negara mempunyai pembangkang yang kuat, dalam contoh ini, Pakatan Rakyat dan kumpulan-kumpulan masyarakat madani seperti Bersih, untuk memastikan kerajaan tidak boleh bersembunyi dengan kebejatan mereka.

Hanya dengan desakan Pakatan Rakyat dan Bersih, maka budaya wacana yang bebas dan terbuka dapat tumbuh dan hidup subur. Bukankah ianya baik untuk kita semua? – Roketkini.com

Selasa, 26 Julai 2011

Rais Yatim ketinggalan zaman

Rais Yatim ketinggalan zaman

Geli hati apabila membaca seruan Rais Yatim supaya rakyat hanya melihat video BERSIH 2.0 yang ditayang oleh Polis Diraja Malaysia. Selepas ini mungkin Menteri Penerangan ini akan mencadangkan rakyat Malaysia hanya membaca Utusan Malaysia sahaja, kerana akhbar lain semunya tidak benar.

Saranan beliau di zaman ini untuk memaksa rakyat hanya mempercayai apa yang disiarkan oleh PDRM dan media kerajaan, sama seperti pepatah Arab "kamu boleh paksa kuda pergi minum air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air".

Macam mana beliau yang memegang Kementerian ini tidak menyedari zaman revolusi maklumat. Sekarang bukan zaman media yang wujud ketika beliau menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46. Sekarang ialah zaman lebuhraya maklumat yang begitu pantas. Tentu beliau masih ingat ketika isu tengkolok Tengku Razaleigh yang diputar belit oleh media mengatakan Tengku Razaleigh telah murtad kerana memakai lambang salib, sehingga pengundi Melayu telah menolak Parti Semangat 46 beberapa hari dalam pilihanraya tahun 1990. Zaman penipuan media yang dimonopoli oleh kerajaan BN sudah berlalu. Kita mengharapkan Rais Yatim juga bergerak sealiran dengan zaman sesuai dengan kementerian yang beliau ketuai. Jangan dikatakan orang menteri yang jaga mengenai komunikasi tidak bergerak mengikut peredaran zaman.

Kenyataan media oleh Idris Ahmad selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ahad, 24 Julai 2011

PRU-13: Tinggal beberapa bulan sahaja lagi

PRU-13: Tinggal beberapa bulan sahaja lagi

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua parti komponen dan anggota gabungan Barisan Nasional (BN) merapatkan barisan menjadi satu pasukan BN mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata perpaduan di kalangan parti komponen dan anggota gabungan ialah pra-syarat utama yang mesti diberi tumpuan utama ia boleh memberi kesan kepada PRU.

“Kita tidak mempunyai banyak masa. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan kita mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mempunyai pasukan yang mantap untuk berdepan pilihan raya umum.

“Kalau sebelum ini kita mempunyai Team 1, Team 2 dan sebagainya, saya mahu mulai sekarang, kita hanya mempunyai satu team sahaja iaitu Team BN,” katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-19 parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-19 di Seri Kembangan di sini hari ini.

IPF yang diasaskan mendiang Tan Sri M.G Pandithan pada tahun 1991 telah diterima sebagai anggota gabungan BN pada awal tahun ini. Ini juga merupakan kali pertama persidangan tahunan parti itu dirasmikan oleh pemimpin tertinggi negara.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin berkata dasar kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat adalah pra-syarat kedua yang perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu beliau menegaskan, semua anggota parti komponen BN harus terus mendukung perjuangan kerajaan dalam mendahulukan rakyat dalam setiap aspek sosial dan ekonomi.

Ini merupakan teras penubuhan parti-parti komponen BN yang mahu memperjuang dan membela nasib rakyat, kata Muhyiddin.

“Seperti juga IPF, perjuangannya bukan untuk mendiang Pandithan, tetapi untuk membela nasib rakyat jelata supaya menjadi lebih baik dan usaha ini perlu diteruskan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perpaduan nasional negara ini perlu dipertahankan dan mana-mana anasir jahat harus ditentang.

Mengambil contoh serangan berkembar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Oslo, Norway yang kini telah mengorbankan lebih 90 nyawa, Muhyiddin berkata perkara sedemikian tidak harus dibenarkan berlaku di sini.

“Kalau ada pihak yang mahu memporak-perandakan kita dengan politik sempit, kita harus menentang mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya kepada hampir 2,000 anggota IPF, Timbalan Perdana Menteri mengiktiraf sokongan dan peranan IPF kepada BN selama ini walaupun hasratnya untuk menjadi parti komponen BN belum tercapai.

Beliau mencadangkan supaya Presiden IPF M. Sambathan menyediakan dan mengemukakan kepada beliau projek yang mahu dilaksanakan oleh parti itu dalam membantu rakyat.

“Saya juga berjanji akan memberi peruntukan untuk pelaksanaan operasi...aktiviti-aktiviti boleh dijalankan dengan sebaik-baiknya,” katanya.


Jumaat, 22 Julai 2011

Kerajaan Mampu Jimat RM20 Bilion Projek MRT, Kata Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil

Kerajaan Mampu Jimat RM20 Bilion Projek MRT, Kata Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil

KUALA LUMPUR 22 JULAI: Kerajaan mampu menjimatkan sehingga RM20 bilion sekiranya projek Sistem Aliran Transit Massa (MRT) menggunakan mekanisma tender antarabangsa, kata Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu melahirkan kegusaran terhadap langkah kerajaan mempertanggungjawabkan projek bernilai RM37 bilion itu secara langsung kepada syarikat MMC-Gamuda.

Syarikat itu dikategorikan sebagai Rakan Perlaksanaan Projek oleh kerajaan dan membolehkan MMC-Gamuda untuk melebarkan pengaruh dalam proses pemberian tender dan pemilihan kontraktor.

"Saya (dalam) bab ini sudah lama tidak tidur lena sebab sangat besar. Saya jumpa ramai pegawai kerajaan dan GLC yang menyatakan mereka lemas sebab terpaksa menyalurkan duit.Projek besar sebegitu boleh buka tender antarabangsa. Mungkin dengan kaedah ini kita boleh jimat RM20 bilion," kata beliau.

Abdul Kadir yang memegang pelbagai portfolio dalam kerajaan Tun Mahathir Mohamad berpendapat kos projek MRT akan meningkat dari masa ke semasa memandangkan terdapat kos sampingan yang perlu diambil kira.

"RM20 bilion kalau kita boleh jimat, kita boleh beri rumah kepada semua rakyat yang tidak mempunyai rumah," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang dipengerusikan oleh bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah di ibu negara pagi tadi.

Sehari sebelum perhimpuan Bersih 2.0 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan projek itu yang juga dikenali sebagai Sistem Pengangkutan Bersepadu Lembah Klang dengan mengumumkan jajaran muktamad bagi laluan Sungai Buloh-Kajang.

Ia adalah fasa pertama daripada beberapa laluan yang sedang diteliti untuk menyokong perkhidmatan rel keretapi sedia ada di negara ini.

Pakatan Rakyat sebelum ini menyatakan kegusaran terhadap lonjakkan kadar keberhutangan negara melebihi paras 60 peratus hutang daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila projek tersebut siap.

Turut membimbangkan sekiranya kerajaan mengulangi skandal pembinaan sistem Aliran Transit Ringan (LRT) sehingga rakyat terpaksa menanggung hutang sebanyak RM8 bilion sehingga kini.

Dalam pada itu Abdul Kadir dalam ucapannya turut menyentuh badan kehakiman negara yang seharusnya menjadi institusi bebas daripada sebarang unsur ketidaktelusan.

Kadir berkata beliau was-was tentang badan kehakiman yang dipertahankan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) ketika ini susulan kritikan masyarakat bersabit pelbagai keputusan yang dilihat lebih untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

"Kehakiman kita benar-benar bebas ke? Saya pun tidak tahu dan saya tidak mahu kata apa-apa," ujar beliau.

Beliau juga mengecam gejala rasuah yang memperlekeh aspek kebertanggungjawaban sedangkan rakyat melihat perkara tersebut sebagai isu utama yang membelenggui negara.

"Dalam (usaha) menguruskan wang rakyat, tidak boleh ada rasuah. Negara kita ini tidak ada rasuah ke? Rakyat semua cakap macam-macam. Ini satu lagi amanah merdeka. Kita mahu menjadi pro perniagaan, kerajaan mahu banyak duit tapi kita mahu mereka gunakan wang tersebut dengan baik kerana setiap sen adalah hak rakyat. Negara ini milik rakyat, jangan lupa itu," tambahnya lagi.

Amanah turut dianggotai oleh bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam, dan pemimpinh-pemimpin Sarawak seperti Datuk Daniel Tajem, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis.

Pertubuhan badan bukan kerajaan itu yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah mengajak rakyat untuk bersama-sama melakukan perubahan terhadap negara dengan menghapuskan gejala rasuah dan kronism selain menyalakan semangat amanah merdeka.




Khamis, 21 Julai 2011

Bersih : Polis Tutup Kezaliman Diri

Bersih : Polis Tutup Kezaliman Diri

KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Sejak arahan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bukti video ‘kebaikan’ polis ditunjukkan kepada orang ramai, polis belum berbuat demikian walau pun setelah hampir dua minggu perhimpunan Bersih berlangsung.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, sejak arahan Muhyiddin dikeluarkan, polis seperti melengah-lengahkan arahan tersebut dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan ganjil seperti kononnya orang ramai enggan beri kerjasama dan video-video perhimpunan telah diubah suai.

Mereka kata hendak tayangkan kepada media pada minggu ini, tetapi sehingga hari ini masih belum berani berbuat demikian.

“Adakah polis sengaja melengahkan masa supaya dapat mengambil masa menyunting video-video itu?” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai respons muka depan Utusan Malaysia hari ini bertajuk ‘Ubah video perhimpunan’ yang menuduh “portal-portal pembangkang” mengubah suai video-video perhimpunan tersebut.

Semalam, lidah rasmi UMNO itu melaporkan peserta perhimpunan aman Bersih enggan memberi kerjasama dengan pihak polis.

Pua sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi bersama bukti video dan gambar berhubung penafian pihak polis atas serangan yang dilakukan mereka terhadap Hospital Tung Shin pada 9 Julai lalu.

Sebaliknya desakan beliau agar Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan kerajaan Barisan Nasional supaya meminta maaf kepada rakyat Malaysia, sehingga hari ini tidak dilayan.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, DAP masih kekal dengan pendirian untuk mengemukakan saksi dan bukti kepada pihak polis.

Beliau bersama Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari bersedia untuk memberi keterangan pada bila-bila masa.

Bagaimana pun, berhubung video yang akan ditunjukkan oleh polis itu, Pua berkata, pihak polis tidak akan boleh menyunting ribuan video-video kekejaman mereka itu kerana ianya sudah tersebar di seluruh pelusuk dunia.

“Mungkin polis sendiri yang akan jadi saksi sebab orang ramai tidak mahu dan sudah tahu (perkara sebenar),” katanya.

Sementara itu Zairil yang juga berada di kawasan Hospital Tung Shin apabila gas pemedih mata ditembak pada 9 Julai lalu, berkata rakyat yang menyertai perhimpunan aman itu tahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Saya berada di kawasan itu apabila ditembak gas pemedih mata dan disembur air. Ramai orang sudah pun menyiarkan klip video mereka ke seluruh dunia.

“Adakah pihak polis cuba membikin filem baru pula?” katanya.

Lagi berita

Di sebalik pengakuan polis bahawa meriam air dipancutkan ke kawasan Hospital Tung Shin, polis hakikatnya tidak menjawab secara keseluruhan tentang keganasan yang dilakukan terhadap ribuan peserta Himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Selain puluhan malah mungkin ratusan video yang didedahkan di internet, malah paling penting ribuan saksi mata yang melihat keganasan polis pada 9 Julai lalu, polis ironinya terus bertindak menafikan dengan menyajikan rakyat rakaman video terpilih, kata peguam hak asasi manusia, N Surendran.

" Apa jawapan polis tentang kecederaan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ke atas pengawal peribadi Anwar, Yew Boon Lye dan ramai yang berada di dalam terowong termasuk Datuk Seri Anwar. Bukankah mereka cedera? Bukankah kita sudah tunjuk keterangan video dan gambar. Tiada jawapan.

" Penafian polis hari ini mereka menggunakan rakaman yang terpilih. Tidak menunjukkan keseluruhannya sedangkan kita telah menunjukkan banyak video tentang berlaku banyaknya keganasan. Apa jawapan polis tentang tembakan 12 das di terowong KL Sentral?,"katanya kepada Tv Selangor.

Dalam insiden 9 Julai lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia menyertai himpunan aman menuntut pilihan raya yang adil walaupun terpaksa meredah pancutan air kimia dan tembakan gas pemedih mata polis.

Dunia hari itu menyaksikan Malaysia mencatat sejarah apabila menahan lebih 1,600 rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman di ibu negara.

Selain puluhan mengalami kecederaan, seorang meninggal dunia.

" Mereka seolah-olah berpura-pura bahawa tidak ada isu. Walhal sebenarnya banyak keterangan dan isu telah dibawa tetapi tidak dijawab. Bagaimana kes Mohamad Sabu, kes Baharuddin, bagaimana pula orang ramai yang dipukul dan dikasari oleh pihak polis,"soal Surendran.

Malah naib presiden PKR itu turut mempersoalkan bagaimana video-video rakaman media antarabangsa yang memaparkan aksi ganas polis.

" Bagaimana rakaman daripada Al-Jazeera yang menunjukkan pihak polis menyepak mereka yang berhimpun secara aman? Tidak ada jawapan untuk semua ini,'kata Surendran.

Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua ketika dihubungi Tv Selangor menyerahkan hal ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk membuat siasatan.

Malah katanya beliau yakin, saksi-saksi keganasan polis pada hari kejadian akan tampil menceritakan hal sebenar sekaligus menafikan kenyataan dan video yang dipaparkan polis hari ini.

" Polis tidak ada kredibiliti. Oleh itu apa jua video yang mereka tunjuk, ia tidak menunjukkan apa yang berlaku. Beribu-ribu orang di sana menjadi saksi dan kita lihat banyak lagi video lain.

" SUHAKAM selepas ini akan membuat inkuiri awam dan kita tunggu lah orang-orang ramai untuk kemukakan bukti. Kita harap polis pun akan kemukakan bukti mereka juga,"katanya.

SUHAKAM sebelum ini memutuskan akan mengadakan inkuiri awam menyiasat dakwaan keganasan polis bulan depan.

Menurut naib pengerusi SUHAKAM, pihaknya yang turut menghantar pasukan pemantaunya ketika perhimpunan Bersih 2.0 juga akan bergantung pada maklumat yang mereka perolehi pada hari terbabit.

Kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menolak penafian polis menindas peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 dan menyifatkan rakaman video yang dikemukakan oleh badan itu sebagai cubaan terdesak untuk menutup kezalimannya.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku, sudah tentu polis (akan) menafikan (tindakan) polis. Perkara ini seharusnya dilaksanakan oleh jawatankuasa penyiasat(bebas), kalau tanya Polis memang mereka akan memberi kenyataan macam itu," kata beliau kepada TvSelangor.

Selepas hampir dua minggu, Polis Bukit Aman tampil hari ini untuk menayangkan video yang menurut badan itu menunjukkan polis bertindak mengikut batas undang-undang dalam menyuraikan perhimpunan aman Bersih.

Puluhan ribu orang menyertai perhimpuan itu untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.

Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera.

Seorang meninggal dunia, namun polis hari ini mendakwa kematian Baharuddin Ahmad, 59, adalah akibat sakit jantung dan bukan kerana tindakan polis.

Malah, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid menuduh Mohamad Sabu mereka cipta dakwaan bahawa beliau dirempuh oleh sebuah Land Rover yang dipandu anggota polis sebelum dibawa ke hospital.

Salleh sebaliknya mendakwa pemimpin pembangkang itu jatuh daripada motorsikal selepas melanggar penghadang jalan.

Timbalan Presiden PAS itu membidas Salleh dan berkata beliau bersedia membuktikan keterangannya di mahkamah jika perlu.

Beliau berkata penafian polis hari ini adalah cubaan tersasar pihak berkuasa untuk menutup kesalahannya.

"Saya tak mahu buat apa-apa kenyataan (bersabit insiden itu) melainkan di mahkamah," kata beliau.

Mohamad Sabu berkata penafian polis hari ini adalah cubaan tersasar kerajaan untuk menutup kesalahan pihak berkuasa.

"Kita ada SUHAKAM(Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia), kalau kenyataan dari SUHAKAM atau mana-mana badan bebas lain, kita terima. Ini gunakan polis. Sudah tentu mereka berkata begitu," kata beliau.

"Bagaimana dengan mereka yang pecah kepala, nasib yang menimpa YB Khalid Samad(Ahli Parlimen Shah Alam) dan sesiapa sahaja yang tercedera? Siapa yang bertanggungjawab?. Oleh kerana itulah kita perlu laporan daripada SUHAKAM ataupun badan bebas dan bukannya polis," tegasnya.

Mohamad Sabu berkata, kelewatan polis sendiri untuk tampil dengan rakaman video menimbulkan pelbagai kecurigaan.

"Dua minggu baru keluar video siapa boleh terima, jadi penafian polis tidak boleh diterima. Kita perlu badan lain, Polis memang suka berbohong."tambahnya.




Sabtu, 9 Julai 2011

Jam 2.40, 126 nama sudah disahkan ditangkap termasuk  Presiden Pas

Jam 2.40, 126 nama sudah disahkan ditangkap termasuk Presiden Pas

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Pasukan Peguam PAS telah merekodkan 119 nama dari lebih 300 yang ditangkap oleh polis sehingga jam 2 petang dengan Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar antara pemimpin kanan PAS yang ditangkap.

Salahudin dan Mahfuz ditangkap di KL Sentral dan dibawa ke Balai Polis Jinjang berhampiran Kepong. Turut ditangkap adalah Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Srenavasan dan Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR.
Ramai pemimpin Bersih berada di Hotel Hilton, Kuala Lumpur termasuk Datuk Seri Anwar.
Nama yang paling awal direkodkan oleh Peguam PAS adalah Lokman bin Ramli yang ditangkap pada jam 10.20 pagi di Stesen LRT Masjid Jamek.

Mengikut pengumuman Bersih 2.0, perhimpunan akan berlangsung di Stadium Merdeka mulai jam 2 hingga 4 petang namun polis dan pihak berkuasa stadium tidak memberikan kebenaran untuk berbuat demikian.
Sekatan polis dibuat di seluruh Kuala Lumpur untuk menyekat peserta perhimpunan ini memasuki Kuala Lumpur namun sehingga kini kira-kira 50,000 peserta dikatakan berada di sikitar ibu kota dan sentiasa dikejar polis.
Pasukan terbesar yang berjaya bergabung adalah di Jalan Pudu berhampiran Menara Maybank iaitu kira-kira 30,000 peserta namun dipecahkan oleh polis dengan water canon dan gas pemedih mata.

Selain stesen LRT, turut menjadi pusat tangkapan polis adalah Masjid Jamek, Jalan Tun Sambanthan, Kampung Baru, KL Sentral, Bank Negara, LRT Taman Melati, Masjid Negara dan juga Dataran Merdeka.
Sehingga kini dua tempat dijadikan pusat tahanan sementara oleh polis menurut mereka iaitu Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak dan Balai Polis Jinjang.

46 peguam bertugas untuk Pasukan Peguam PAS untuk membantu peserta perhimpunan Bersih 2.0 dengan diketuai sendiri oleh Haji Asmuni Awi dan Mohamed Hanipa Maidin pengerusi dan timbalan pengerusi Lajnah Guaman PAS.

Di samping PAS, Majlis Peguam menyediakan 120 peguam bagi membantu peserta perhimpunan kali ini.

Nama Yang Ditangkap menurut Pasukan Peguam PAS

Lokman bin Ramli
mahazir hashim
Mohd Zamri bin Mat Desa
Azizan bin Husin
Hj Salleh b Hj Ahmad
Mohd Isa b. Ahmad
Hj Yadi
Mohd Yusof Md Zain
Mohd Amizan bin Md Zain
Abd Wahab
Syed Abu Bakar Sakran bin Syed Abdullah
Hj Adnan Mat Isa
Roseli Man
Md Niakmat bin Dahlan
Zulhisyam
Md Arifin Abd Manaf
Shukri Naim
Nurul Ain bt Mohd Aqid
Siti Mastura bt Mohd
Sha Zaharah Syed Imam
Nur Ayuni bt Roslam
Hj Md Isa (Larut)
Hj Borhan
Raja Azlan Ismail Husin
Shahir
Salleh Ismail Talib
Muhamad Izwan Affandi bin Isahak
Nadzirah bt Ridzuan
Husna Rosli
Abd Latif Mohd
Mat Zai
Dato Dr Mahfoz Mohd
Nushi Mahfoz
Ust Ramlan Mahmud S/U Kemaman
Azman bin Sirun
Mohd Haris Azman
Mohd Hafiz Azman
Nor Azmi bin Abd Wahid
Nazni bt Ahmad Nazri
Nur bt Daud
Barzani bin Rosman
Ahmad Ali Nazmi bin Ab Rahman
Fahizar bin Abdullah
Abu Bakar Putih
Mohd Musaidyad Ibrahim
Mohd Alhadi Mohd Rashid
Mohd Al Amin
Zalman Mamat
M.Fauzi M.Sharif
Syarhan Hamaizi Abd Halim
Mamat Jusoh
Wan Suhairi
Khairul Aswan
Mohd Syamil
Dhiyaul Hanis bt Susterisno
Nor Fazreen Farid Azmeen
Nur Fidaiy Abd Samad
Zainab bt Bachok
Nor Alia Ahmad
Che Omar Bkt Gantang
Mohd Zabani bin Jaafar
Ahmad Fuad Hamzah
Zamri Hanif
Razman Zakaria
Hj Md Nor
YB Salahudin Ayub
Khairul Anuar Abas
Mohd Shahrul Helmi
Mohd Azwan Wahab
Wan Zawawi
Mohd Saud Said
Ahmad Khamis
Zaidi Nordin
Mohd Izadin Shah Isahak
Salim Saari
Shahnizan Arafi
Ahmad Sufian Abdullah
Zahman bin Mamat
Aisyah Abd Wahid
Zulkarnain Muhd
Ismail/Shahidan
Shahida Azman
Mohd Fauzi Mohd Sharif
Mohd Yusof Zakaria
Mohd Ikram Hakimi
Rosnah Zaharah
Ahmad Shairozi Atiqullah
Zulhasnan Ismail
Ishak Ismail
Norashikin
Siti Nor Atiqah Rowi
Fatin Najihah Abd Ghani
Mohd Yusof Ab Rahman
Salleh bin Ri
Fadhullah Aminuddin
Mohd Iazaq Farommi bin Hamad
Md Rosdi bin Ahmad Abu
Ishak
Hamid Salim
Ahmad Safwan bin Dihan
Abd Manan
Supian b Hassim
Mohd Najhan
Mohd Azlan
Syed Mohd Fitri
Mohd Asri Che Nawi
Hj Wan Ali Jusoh
Mariah Zakaria
Syamil Awang
Abd Manaf
Haq UIA
Mohd Yatim Ab Majid
Istina Ahmad Jafri
Che Razali Che Adam
Tajul Arifin bin Baharudin
Mohd Wafi Mohd Ramlan
Mohd Zaid Mohd Azlan
Nor Shafiqah Ismail
Ismail Tahir
Zakuan Husin
Mahyudin bin Sulaiman
Mujahid Amin bin Roslan
Umar Saifullah Abd Samad
Rozaina Hamzih
Norhana Muhidin

Berikut adalah laporan lintas langsung dari beberapa tempat himpunan akan mula berarak:

3.05 petang: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut ditangkap polis di Pasar Seni.

3.00 petang: Sebahagian peserta himpunan dilapor telah mula membanjiri Stadium Merdeka.

2.57 petang: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua ditangkap dan kini berada dalam trak polis.

2.55 petang: Pengerusi Bersih 2.0, S. Ambiga dan anak DS Anwar, Nurul Izzah dan Nurul Hana ditangkap polis.

2.55 petang: Sehingga jam 2 petang, sumber PDRM menyatakan 644 ditahan – 597 lelaki dan 47 wanita.

2.50 petang: Seorang wartawan TV Selangor, Radzi Razak dilapor dikasari pihak polis. Beliau didakwa turut dipijak beberapa anggota polis.

2.38 petang:Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar dilaporkan cedera di KL Sentral. Manakala pengawal peribadi beliau dikasari dan turut dipukul. Anwar kini dikatakan kembali semula ke Hotel Hilton.

2.36 petang : Pengerusi Bersih, Ambiga dan ahli jawatankuasa Bersih, Maria ChinAbdullah ditangkap polis

2.26 tengahari: Menurut harakahdaily, kira-kira 20 ditahan di depan di Dataran Maybank.

2.10 tengahari: Polis dilapor bertindak ganas dengan mengheret dan memukul orang ramai di depan Pudu Raya. Seorang cedera dengan kepala berdarah.

1.59 tengahari: Di Menara Maybank pula, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang kini dianggarkan berjumlah tidak kurang 10,000 orang. mereka berarak di hadapan Menara Maybank dan sepanjang Jalan Tun Razak. Manakala kumpulan dari Masjid Jamek pula menuju ke Pudu Raya.

1.52 tengahari: Terdapat sekurang-kurangnya empat trak polis di stesen LRT Masjid Jamek. Orang ramai berpecah selepas polis melepaskan gas pemedih mata, tetapi dijangka berkumpul semula.

1.50 tengahari: Tinjauan berhampiran Masjid Bukhary Jln Hang Tuah, polis menghalang umat Islam menunaikan solat Zuhur di masjid.

1.46 tengahari: Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga memaklumkan 10 wakil Bersih akan mengadap Yang DiPertuan Agong menyerahkan memorandum.

1.44 tengahari: Trak meriam air melepaskan tembakan ke atas orang ramai untuk kali kedua – kali ini menggunakan air bercampur kimia dan pewarna biru.

1.43 tengahari: Sekumpulan kira-kira 10 pegawai polis tugas am yang memakai topeng gas, mengejar orang ramai ke dalam kawasan Masjid India.

1.36 tengahari: Kumpulan dari Plaza Pudu telah bergabung di hadapan Menara Maybank. Dianggarkan lebih 10,000 hadir.

1.32 tengahari: Polis lepas gas pemedih mata ketika azan di Masjid India. Jemaah solat dengan mata pedih.

1.30 tengahari: Selepas sidang media di Hotel Hilton, pimpinan Pakatan Rakyat dijangka akan bergerak ke Stadium Merdeka.

1.20 tengahari: Rasmi dari polis: 514 ditangkap (478 lelaki dan 36 wanita)

1.17 tengahari: Lebih 5,000 lagi berkumpul di dataran Menara Maybank.

1.15 tengahari: Kira-kira 5,000 peserta berarak dari Petaling Street ke Stadium Merdeka. Bilangannya dijangka terus meningkat dari pelbagai arah.

1.10 tengahari: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak Pakatan Rakyat mengutuk keganasan polis. Bersih bersama pimpinan Pakatan mengadakan sidang media di Hotel Hilton.

Pemimpin utama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat dan Sasterawan Negara A Samad Said juga berada di Hotel Hilton. Mereka disertai ahli politik William Leong, Datuk Kamaruddin Jaafar, Zaid Kamaruddin, Syed Azman Syed Nawawi dan Tian Chua.

1.05 tengahari: Menurut catatan twitter Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Khalid Jaafar, beliau ditangkap dan berada dalam trak polis bersama 17 yang lain.

1.05 tengahari: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali ditahan dan dibawa ke Pulapol, Jalan Semarak.

12.56 tengahari : Polis melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai di depan Agro Bank

12.55 tengahari: Kira-kira 100 anggota polis sedang menuju ke arah Pasar Seni untuk melakukan tangkapan

12.50 tengahari: Lebih 1,000 orang mula bergerak dari stesen lama KTM menuju Dataran Merdeka, lapor Malaysiakini.

12.50 tengahari: Polis menahan pergerakan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah di KL Sentral. Turut bersamanya,ahli MPP, Latheefah Koya.

12.42 tengahari: menurut malaysiakini, Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata mereka memandang berat terhadap tangkapan beramai-ramai setakat ini.

12.40 tengahari : FRU dan Polis melepaskan tembakan di hadapan Agro Bank.

12.40 tengahari: Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dilaporkan ditahan di KL Sentral. Kedua mereka dibawa ke Balai Polis Jinjang.

12.36 tengahari Polis dilaporkan menghalau orang ramai yang berkumpul berhampiran Masjid Jamek. Trak FRU yg diparkir di kawasan berhampiran mula bergerak.

12.30 tengahari: Kumpulan peserta himpunan dari Masjid Negara dilaporkan telah bergabung dengan kumpulan dari Pasar Seni menuju ke Stadium Merdeka.

12.15 tengahari : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bersiap sedia di Hilton KL untuk berarak ke Stadium Merdeka. Turut bersama beliau adalah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung keadilan, Saifuddin Nasution Ismail, dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.


Pemimpin Bersih 2.0, Pakatan berarak ke Stadium Merdeka dari KL Sentral

Pemimpin Bersih 2.0, Pakatan berarak ke Stadium Merdeka dari KL Sentral

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Bersih 2.0, dengan diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenavasan dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang memulakan perarakan mereka ke arah Stadium Merdeka petang ini.

Dengan dikelilingi ratusan penyokong mereka, dengan bergandingan tangan, meninggalkan Hotel KL Hilton di kawasan KL Sentral sekitar 2 petang tadi.

Mereka melaungkan “Hidup rakyat!” dan “Bersih” sambil melepasi sekatan tiga barisan anggota polis.

Isnin, 4 Julai 2011

Mampukah Hishammuddin berlaku adil

Mampukah Hishammuddin berlaku adil

GEORGETOWN, 4 JULAI – DAP hari ini membidas pendirian Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kononnya mahu bersikap adil tetapi tidak berani mengambil tindakan terhadap demonstrasi ganas oleh para penyokong UMNO dan Perkasa di Pulau Pinang baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Menteri Dalam Negeri itu hanya bertindak berlebihan untuk mengharamkan perhimpunan aman Bersih 2.0 sedangkan tiada halangan dibuat terhadap penyokong-penyokong UMNO dan Perkasa yang menghuruharakan bandaraya serta Jambatan Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Demonstrasi di Komtar dan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang 10km, malah ada penunjuk perasaan telah menyerang dua wartawan.

Senator UMNO Ezam Mohd Nor bersama tujuh yang lain telah ditahan oleh pihak polis selepas demonstrasi tersebut tetapi dibebaskan serta-merta.

Guan Eng mempersoal kewibawaan Hishammuddin yang tidak menahan Ezam di bawah Ordinan Darurat sebagaimana yang dilakukan terhadap pemimpin dan penyokong Parti Sosialis Malaysia baru-baru ini.

Katanya Ezam telah mengancam untuk tidak perlu menunggu pilihan raya umum, malah mahu mengadakan lebih banyak demonstrasi bagi memaksa Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang meletak jawatan.

“Adakah Hishammuddin berani untuk mengharamkan Perkasa sebagaimana beliau telah mengharamkan Bersih 2.0 atau menangkap Ezam dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sepertimana juga polis telah menahan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj di bawah Ordinan Darurat bagi membuktikan pihak polis tidak mengamalkan ‘double-standard’ atau pilih kasih?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, penahanan Dr Jeyakumar dan lima ahli PSM di bawah Ordinan Darurat adalah tidak adil kerana tiada sebarang bukti kukuh mereka mahu “melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tuduhan menyebarkan fahaman komunis adalah tidak masuk akal apabila kerajaan Malaysia sendiri sememangnya telah lama mengadakan hubungan akrab dengan negara-negara komunis seperti Cuba, China dan Vietnam,” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO mahu menghidupkan semula fahaman komunis melalui penubuhan sebuah jawatankuasa tetap pada 12 Oktober 2009 bagi mengukuhkan hubungan di antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Belia Komunis China (Communist Youth League of China).

“Jelas sekali, penyokong Bersih yang ditahan minggu lalu dan serbuan sekretariat pada Rabu lalu hanya dijadikan mangsa oleh kerajaan Barisan Nasional, sedangkan mereka tidak menganjurkan sebarang demonstrasi, walhal demonstrasi UMNO dan Perkasa dibenarkan berlangsung tanpa sebarang hukuman,” katanya.

Beliau menjelaskan DAP akan tetap menyokong sebarang perhimpunan aman sebagaimana yang diperuntukkan hak oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi mengutuk sekeras-kerasnya perhimpunan yang ganas dan kejam.

Beliau juga menyokong kenyataan Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh penunjuk perasaan terhadap wartawan ketika tunjuk perasaan haram tersebut.

“Apa yang mengejutkan adalah kenyataan Pewaju bahawa serangan terhadap dua wartawan tersebut berlaku di hadapan mata pihak polis.

“Tindakan ini adalah tidak adil dan hanya mencemari imej dan rekod Malaysia di mata dunia kerana tidak menghormati hak asasi manusia,” tambah beliau. – Roketkini.com
Hishammuddin:Bahan komunis OK ,jangan Bersih

Hishammuddin:Bahan komunis OK ,jangan Bersih

KAJANG, 4 Julai — Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kesemua bahan berkaitan komunisme dan bekas pemimpin komunis akan melalui proses pemeriksaan biasa selagi ia tiada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Menteri Dalam Negeri berkata buku-buku dan terbitan lain yang mempromosikan “ideologi subversif” akan diberi pertimbangan sewajarnya jika tidak menghasut orang ramai agar menyertai perhimpunan anjuran Bersih 2.0.

“Kandungan berbaur hasutan yang boleh menyebabkan kemarahan dan membangkitkan emosi menjelang 9 Julai, yang menjadi fokus polis,” kata Hishammuddin kepada pemberita di sini hari ini.

“Ada elemen pihak ketiga, beberapa ideologi, yang mahu menghasut orang ramai dan menggalakkan orang ramai berhimpun. Ini yang menyebabkan kami melihat pada aspek ini... dengan cepat,” katanya.

Ulasan:
Membernarkan kata-kata bahawa Umno menyokong Komunis.
Boleh baca tajuk ini  Umno diresapi komunis bukan PR
BERSIH 2.0:KL-SCAH seru agar semua pihak berunding

BERSIH 2.0:KL-SCAH seru agar semua pihak berunding

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merancang untuk mengadakan perarakan pada 9 Julai yang bertujuan menyampaikan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk meminta kerajaan melaksanakan lapan tuntutan reformasi sistem pilihanraya. Setelah perancangan perarakan tersebut dikemukakan, pihak Kerajaan telah mengambil tindakan untuk menahan individu yang memakai baju kuning yang berlambang BERSIH. Tindakan sedemikian telah mencungkil kontroversi di kalangan masyarakat tempatan.

KL-SCAH berpendapat bahawa Titah Khas Seri Paduka Baginda  mengenai perhimpunan beramai-ramai anjuran BERSIH mampu meredakan keadaan yang tegang pada masa sekarang dan juga menunjukkan prihatin dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda terhadap hal ehwal Negara.

Malah Tuanku Mizan bertitah kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya, Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun. Setiap permasalahan yang timbul, hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Presiden KL-SCAH, Tan Yew Sing menyeru semua pihak termasuk Kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, BERSIH, Pemuda UMNO, dan PERKASA dapat menyahut saranan Seri Paduka Baginda supaya mengadakan rundingan untuk menagani isu ini.

Tan juga mencadangkan pihak polis supaya membebaskan kesemua tahanan yang ditahan baru-baru ini dan berhenti untuk menahan individu yang memakai baju kuning BERSIH. Pada masa yang sama, pihak kerajaan harus membuat respon yang khusus dan jelas dalam usaha untuk mengukuhkan sistem pilihan raya dan menigkatkan imej serta kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

KL-SCAH berpendapat bahawa melalui rundingan, rakyat mampu melaksanakan hak asasi seseorang warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan yang rasional dan aman.

Ahad, 3 Julai 2011

Kerana Kempen Kebersihan Polis Tahan MP Bakri

Kerana Kempen Kebersihan Polis Tahan MP Bakri

Sekarang ini orang ramai jangan sesekali menyebut Perkataan 'Bersih' nanti akan ditangkap

KUALA LUMPUR 3 JULAI : Ahli parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa; pemimpin Pemuda DAP Johor Tan Hong Ping dan empat yang lain ditahan dan dibawa ke balai polis Taman Pelangi, Kuala Lumpur, dalam satu lagi episod tindakan polis terhadap sebarang aktiviti 'Bersih'.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Er menafikan kehadiran mereka di pasar Taman Pelangi pagi ini ada kena mengena dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai.

Portal Malaysiakini memetik Er sebagai berkata, beliau dan Tan hanya menjalankan kempen kebersihan 'gotong-royong' dengan tema "Negara Bersih, Rakyat bertuah".

"Saya fikir pihak polis terlalu sensitif. Tema kami adalah Negara Bersih, Rakyat Bertuah, tetapi mereka tidak mahu menerima penjelasan mengenainya," kata pemimpin DAP itu.

Baju kuning yang mereka pakai juga direkabentuk berbeza dari baju-T Bersih yang sehingga ini menyebabkan lebih 100 aktivis politik dan sosial ditahan minggu lalu.

"Kami juga menyebut bahawa kempen itu tidak berkaitan dengan perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur pada 9 Julai," kata Er, tetapi ia tidak dapat menyakinkan 20 anggota polis yang tiba di pasar itu sejurus selepas mengetahui tentang aktiviti kumpulan tersebut.

Lagi tentang bersih

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram.

Naib Presiden PKR, N. Surendran dalam satu kenyataan media mempersoalkan bagaimana sebuah pergerakan yang menuntut sebuah pilihan raya adil dilaksanakan di negara ini boleh dianggap mengancam keselematan negara.

"Bagaimanakah sebuah perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni menjadi ancaman kepada keselamatan awam?,"soal Surendran.

Malah menurut peguam muda itu, arahan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 5 Akta Pertubuhan adalah bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.

"Menteri turut menyalahgunakan kuasanya di dalam mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan BN,"katanya lagi.

Oleh yang demikian, PKR menuntut perintah tersebut dibatalkan dan semua yang ditahan kerana dikaitkan dengan Bersih 2.0 segera dibebaskan.

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) telah diisytiharkan haram oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuatkuasa pada Jumaat.

Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata perisytiharaan itu dibuat oleh Hishammuddin mengikut seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.
Kekejaman mempunyai tarikh lupus

Kekejaman mempunyai tarikh lupus

Perkembangaan senario politik terkini sesungguhnya sesuatu yang agak merunsingkan buat seniman dan karyawan, namun sasterawan negara A Samad Said tetap tidak berganjak langkah dari pendiriannya ketika berdepan dengan kuasa pemerintah. Sambil bersikap sinis terhadap kerajaan yang "takut dengan warna", A Samad Said menyuntik semangat dengan peringatan bahawa "kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!"

A Samad Said dipanggil polis untuk disoal-siasat pada 27 Jun, lantaran kehadiran beliau dalam majlis pelancaran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun 2011. Beliau kembali ke bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam, untuk menghadiri majlis perlancaran buku kartun Zunar, "EVEN MY PEN HAS A STAND".

Sekurang-kurang dua kali A Samad Said berjenaka bahawa Zunar dan dirinya mungkin ditangkap selepas majlis tersebut, namun disusuli dengan kenyataan bahawa dirinya sudah "bersedia". Beliau mengulas perkembangan yang terbaru ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Zunar, mengambil pendirian untuk mempertahankan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, di samping membidas penahanan menggunakan Ordinan Darurat sebagai satu kekejaman.

Kelompok "Carma"

A Samad Said menyifatkan sesetengah kelompok seniman dan karyawan yang "selalu bersedia untuk tidak bersikap" sebagai "carma", iaitu cari makan. Dan sikap sedemikian menurutnya, memberi laluan kepada segala kemungkaran yang sedang berlaku dengan dahsyatnya pada hari ini.

Beliau mengisahkan bahawa dirinya langsung tidak membaca media arus perdana seperti Utusan Melayu, Berita Harian, New Straits Times dan The Star sebelum ini, "oleh kerana dengan tak membacanya pun, saya tahu". Namun, perkembangan terbaru mendorong dirinya untuk membeli dan membaca akhbar-akhbar tersebut, pada dua tiga hari kebelakangan.

"Daripada medium mainstream, bersih tu kotor. Saya sekarang pun hairan juga mengapa orang akhbar yang begitu berpengalaman, mendapat anugerah itu dan ini boleh mengotorkan bersih? Saya tidak faham, tapi saya tahulah di sana ada kelompok-kelompok semata-mata carma, cari makan."

A Samad Said turut menyanggah tuduhan "sasterawan negara baru" terhadap dirinya, bahawa A Samad menggunakan anugerahnya untuk memecah-belahkan bangsa. A Samad Said membela dirinya bahawa sepanjang usianya, beliau hanya "menyatukan bukan mengecaikan".

Ambiga tidak bersalah!

Satu hal lain yang merunsingkan A Samad Said adalah, munculnya satu kelompok yang mendakwa dirinya wira khusus untuk bangsa Melayu, ingin menyaingi BERSIH 2.0, setelah BERSIH 2.0 mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi murninya.

"Dan saya kira, kalaulah terjadi pertelagahan, saya lebih menyalahkan polis. Sebab polis lebih awal tahu bahawasanya beberapa bulan yang lalu kelompok BERSIH ini sudah pun meminta ruang dan hari untuk membolehkannya berdemonstrasi jujur. "

Beliau memuji niat BERSIH yang bagus, namun apa yang berlaku adalah polis dengan sengaja, atau disuruh tidak membenarkannya. "Dan saya tidak hairan kalau Puan Ambiga, kerana tidak dibenarkan, dia teruskan. Bukan salahnya! Dia minta, tapi tidak dibenarkan. Jadi, apakah BERSIH yang salah, ataupun yang tak bersih tu yang salah?" persoal beliau.

Malah, beliau berkata niat polis adalah jelas, iaitu untuk menakutkan rakyat - ketika mengulas kejadian di mana 70 anggota polis mengelilingi tujuh orang yang ingin ditangkap. "Sebab mustahil ada, tiba-tiba ada 70 orang polis," katanya, sambil meneruskan "Niatnya ialah untuk menakutkan. Jadi sekarang ini zaman menakutkan, supaya rakyat berhati-hati..."

Timbulkan soal komunis

A Samad Said tidak lupa untuk membidas, bahawa iklim siasah kita sudah mula beralih menjadi "amat kasar", apabila soal komunis ditimbulkan. Beliau berkata isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk mempermudahkan penangkapan dengan undang-undang yang lama. Beliau sempat menyindir "pengkhayalan" mereka yang berkuasa, "Dan saya fikir pengkhayalan itu hanya dua orang, tak payah saya sebut namalah...", sambil menambah "Kadang-kala khayalan polis juga luar biasa".

Enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula dengan Ordinan Darurat pada 2 Julai, yang membenarkan tempoh penahanan 60 hari tanpa perbicaraan. Mereka sebelum ini dituduh cuba menghidupkan semula komunisme, dan berniat memerangi Yang Di-Pertuan Agong. A Samad Said berterus-terang, "Saya kira ini adalah satu kekejaman."

Beliau mempersoalkan, "Sebab kita juga hidup dalam satu dunia demokrasi, di mana suara harus didengar, harus dipertimbang. Mengapa tiba-tiba kita harus berada dalam satu situasi yang tidak boleh bercakap pun, malah warna pun tidak boleh hidup?"

Beliau kemudian membidas bahawa warna kuning sebagai warna yang murni, warna simbolis sampai ke puncaknya, warna yang dihormati - kini cuba dikuburkan, selepas beliau menyindir, "Dengan warna pun dia takut?"

"Dengan kesombongan kuasa yang ada, yang mengatakan tak mahu berunding lagi, itu sudah tidak demokrasi." A Samad Said berkata, "Tidak mahu berunding lagi, maksudnya, permulaan zaman menangkap!"

Dengan kain kuning yang dililitkan oleh Zunar pada lengannya, A Samad berkata, "Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" Beliau terus meluahkan keresahannya, "Saya khuatir kalau ini dibiarkan, ada tanda-tanda yang kemungkinan yang sangat besar negara kita akan menjadi negara polis. Ada tanda-tanda itu."

Sebelum mengakhiri ucapannya, A Samad Said sekali lagi melontarkan jenaka, "Saya nampak banyak gambar rambut", dalam buku Zunar. Pembaca yang masak dengan kartun Zunar menyedari bahawa kartun tersebut membawa sindiran tersirat terhadap isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. A Samad mengakhiri ucapannya, "Saya takut dengan rambut!"

Sabtu, 2 Julai 2011

Pewaju mengecam Pemuda UMNO

Pewaju mengecam Pemuda UMNO

Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) mengutuk sekeras-kerasnya dengan perkara wartawan diserang dan diancam oleh Pemuda UMNO dan PERKASA dalam demonstrasi kelmarin. Pewaju juga rasa kesal dan tidak puas hati dengan pihak polis yang gagal menjalankan tugas untuk melindungi rakyat.

Dalam satu demonstrasi telah dijalankan bawah pimpinan peniaga KOMTAR yang Mohamed Ghani Abd Jiman yang mendakwa dirinya sebagai wakil NGO, sekurang-kurangnya tiga wartawan diserang atau diancam oleh penyokong demonstrasi sepanjang masa perjalanan. "Serangan atau ancaman daripada penyokong demonstrasi ini berlaku tanpa menghirau kewujudan polis. Maka, bolehkah rakyat Malaysia yakin dengan keadaan keselamatan dalam negara?"

Pewaju berasa bahawa wartawan merupakan pihak yang paling dekat dengan tempat kejadian dan perlu membuat liputa berita yang paling tepat kepada masyarakat. Maka, wartawan memerlukan tingkat kerjasama yang paling tinggi dalam proses membuat liputan atau dengan gangguan yang paling minima.

Tetapi apabila seorang wartawan cuba mengambil gambar penyokong demonstrasi, seorang penyokong berpakaian baju Pemuda UMNO yang tidak diketahui namanya mengeluarkan kata ancaman berbunyi "kau nak berenang di bawahkah?", dengan jelasnya membawa maksud hendak mencampak warwatan ke dalam laut. Perkara yang lebih teruk berlaku apabila beberapa penyokong demonstrasi mengelilingi wartwawan tersebut dan mengacaunya dengan bendera. Akhirnya, wartawan itu kena satu tumbukan di belakang oleh salah satu penyokong yang juga tidak diketahui nama. Perkara ini adalah serius sehingga mewujudkan suasana ancaman kepada wartawan semasa membuat liputan.

Selain itu, Pewaju juga mengutuk pihak polis yang gagal menjalankan tugasnya semasa bertindak dalam demonstrasi yang berunsur keganasan ini. Polis tidak menghalang penyokong yang menimbulkan kekacauan di atas jambatan Pulau Pinang selama setengah jam merupakan contoh yang terbaik.

"Kenapa pihak polis tidak mengambil sebarang langkah pencegahan padahalnya telah mengetahui demonstrasi ini sehari sebelum nya?"

Pertanyaan Pewaju juga timbul apabila polis mengambil tindakan yang tegas terhadap himpunan Bersih2.0 sebelum ianya dijalankan tetapi jelasnya membenarkan demonstrasi di Komtar yang ganas ini. Adakah ini double standard polis semasa menguatkuasa?

Pewaju menegaskan pendirian bahawa, himpunan merupakan hak yang dijamin bawah perlembagaan negara. Maka Pewaju sokong penuh bahawa rakyat mempunyai hak untuk berhimpun, tetapi bantah sekeras-kerasnya dengan himpunan berunsur keganasan.

Kini dua wartawan telah membuat laporan kepada polis pada kelmarin juga, Pewaju mendesak pihak polis membuat siasatan dengan secepat mungkin dan mengumunkan keputusan siasatan kepada orang ramai untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap polis.
20 NGO belia sertai himpunan BERSIH 2.0

20 NGO belia sertai himpunan BERSIH 2.0

Setelah PAS memberi arahan kepada seluruh ahlinya menyertai perhimpunan BERSIH, dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tegaskan bahawa mahasiswa menyokong sepenuhnya himpunan berkenaan, 20 NGO belia turut menyeru ahlinya, pemuda-pemudi dan masyarakat Cina berani menyertai Himpunan Aman BERSIH 2.0 bersama dengan masyarakat Melayu, masyarakat India dan masyarakat orang asal pada 9 Julai 2011 jam 2 petang di Kuala Lumpur.

Di samping itu, pihak kami mengecam pengecut yang menghantar pesanan ringkas (SMS) mengugut untuk membunuh pemimpin NGO Ambiga Sreenevasan. Pihak kami meminta pihak polis menangkap orang yang menghantar SMS ugutan bunuh tersebut. Menganjurkan dan menyertai perhimpunan aman tidak melanggar mana-mana undang-undang, sebaliknya, sesetengah pihak yang mahu gunakan cara kekerasan untuk mencapai tujuan bagi menghentikan perhimpunan aman BERSIH adalah kesalahan serius yang tidak dapat dan tidak boleh diterima oleh seluruh warganegara Malaysia yang mencintai tanahair.

Merujuk kepada kata-kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa SPR bersedia mengadakan pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dengan syarat gabungan tersebut membatalkan perhimpunannya pada 9 Julai ini, pihak kami langsung tidak boleh terima. Jika mesyuarat itu dapat menyelesaikan masalah penyelewengan, boleh memberi tekanan ke atas SPR, maka banyak perkara yang tidak adil dalam pilihan raya akan diselesaikan sejak dahulu. Kita difahamkan, telah berlakunya pelbagai penyelewengan dan juga terdapat terlalu banyak aduan dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, tetapi langsung tiada sebarang tindakan pembetulan atau siasatan dengan jawapan yang munasabah dilaksanakan oleh SPR.

Tugas SPR adalah memastikan pilihan raya telus dan bersih tanpa sebarang penyelewengan, iaitu membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor, serta bukannya menghalang atau mencabul hak rakyat berhimpun.

Selain itu, pihak kami ingin mengingatkan pihak polis bahawa hak untuk berhimpun adalah hak asasi yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR Artikel 20) dan Konvensyen Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 (Artikel 21). Pencabulan hak asasi perhimpunan aman adalah kesalahan di sisi Perlembagaan dan UDHR. Tanggungjawab polis adalah menjaga keselamatan rakyat yang berhimpun dan bukannya menyurai dan menyerang rakyat yang berhimpun.

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan aman BERSIH tidak akan seperti Ibrahim Ali yang katakan, akan wujud konflik dengan Melayu, ini kerana perhimpunan aman tersebut tiada kaitan dengan isu-isu perkauman. Ibrahim Ali berpendapat bahawa masyarakat Cina dan masyarakat Melayu yang menghadiri perhimpunan aman akan saling konflik, pemikiran tersebut adalah tidak logik, serta dia meletakkan semua hal berasaskan kaum patut dikritik. Akhirnya, pihak kami menyeru seluruh belia negara berani turun ke jalan raya, semua kaum berpaduan dan bersama menjana tenaga demokrasi, demi sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Organisasi yang menyokong kenyantaan bersama:
1. Pemuda Dewan Perhimpunan China Selangor dan Kuala Lumpur (Pemuda KLSCAH)
2. Bahagian Pemuda Persatuan Hokkien Selangor & Kuala Lumpur
3. Bahagian Belia Persatuan Sheng An Selangor & Kuala Lunpur
4. Bahagian Belia Persatuan HoPo Kuala Lumpur & Selangor
5. The Kuala Lumpur And Selangor Teo Chew Association, Youth Section
6. Persatuan Alumni PBTUSM Selangor & Kuala Lumpur
7. Bahagian Pemuda Persatuan Wui Leng Selangor & Kuala Lumpur
8. Bahagian Pemuda Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Yu Hua Kajang Selangor
9. Malaysia Youth and Students Democratic Movement( DEMA)
10. Kesatuan Mahasiswa New Era Kolej
11. University Malaya New Youth Association
12. Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya
13. UTM Chinese Student Council
14. Solidariti Mahasiswa Malaysia
15. Persatuan Bahasa Cina UM
16. Persatuan Bahasa Tiong Hua UPM
17. UUM Student Progressive Front
18. USM Student Progressive Front
19. UPM Student Progressive Front
20. New Era College Student Progressive Front

Jumaat, 1 Julai 2011

Bersih: Jangan panik jika polis tangkap anda – peguam

Bersih: Jangan panik jika polis tangkap anda – peguam

Peserta Perhimpunan Bersih 2.0 dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya ditangkap polis, kata peguam Hak Asasi Manusia, Lawyers For Liberty (LFL) dalam forum anjurannya bertajuk ‘Hak Untuk Berhimpun’.

Forum tersebut menampilkan panel yang terdiri daripada N. Surendran, R. Sivarsa dan Latheeya Koya yang dipengerusikan Fadiah Nadwa Fikri di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, semalam.

Latheefa berkata, perkara asas yang perlu dilakukan apabila seseorang ditangkap kerana menyertai perhimpunan aman ialah bertenang dan menggunakan sebaik mungkin hak yang mereka ada.

“Jika Polis itu tidak berpakaian seragam, pastikan dia menunjukkan kad kuasanya dan jika kad kuasa itu berwarna merah, bermakna pegawai itu sedang digantung tugas dan tiada kuasa apa-apa terhadap anda,” katanya di hadapan lebih 100 orang.

Menurutnya, jika sebaliknya, orang ramai perlu memastikan nama, nombor ID, nombor pendaftaran kereta atau motorsikal mereka dicatat kerana semua itu amat penting.

Latheefa berkata, seseorang hanya ditahan sekiranya mereka bertanya ‘Adakah saya ditangkap’ dan dijawab ‘ya’ oleh pihak polis, atau tidak dibenarkan berlalu, atau mahu dibawa ke balai polis, atau digari.
Namun katanya, tangkapan tidak sah sekiranya pihak polis tidak memberitahu alasan tangkapan itu dibuat.

“Pastinya, semasa tangkapan, Polis tiada hak memukul atau merampas barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit kecuali selepas anda dihantar ke lokap untuk tahanan.
“Barang itu perlu direkodkan dalam Borang Senarai Rampasan dengan memastikan barangan dipulangkan sebaik anda dibebaskan,” katanya.

Pastikan balai atau lokap yang dihantar

Orang ramai yang ditahan juga perlu memastikan mereka dihantar ke lokap yang dinyatakan pegawai polis dan bukan dibawa ke tempat lain atau balai Polis lain.

“Semasa ditangkap, setiap tahanan berhak membuat satu panggilan telefon kepada keluarga, rakan dan peguam dengan memaklumkan masa, tempat, alasan ditangkap dan di balai polis mana anda di bawa dengan tempoh siasatan terhad dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Jika Polis ingin meneruskan tempoh itu, mereka mestilah membawa anda ke hadapan Majistret dan pastikan anda tahu nama serta pangkat Polis yang menyoal siasat anda,” katanya.
Semasa soal siasat, katanya, lazimnya polis bersifat mesra pada awalnya dengan bertanyakan pelbagai perkara untuk mencungkil maklumat.

“Namun hanya nama, alamat, pekerjaan, dan umur sahaja yang boleh anda berikan dan selain itu anda wajar berdiam diri dengan berkata ‘Saya menggunakan hak berdiam diri di bawah seksyen 112 (2) atau ‘saya menggunakan hak berdiam diri dan akan menjawab di mahkamah’,” katanya.

Latheefa berkata ia penting bagi mengelakkan tahanan terperangkap dengan soalan mengelirukan kerana setiap rekod akan menjadi bukti di mahkamah.

“Jika anda diugut atau dipaksa memberi kenyataan, anda berhak membuat laporan polis terhadap pegawai itu,” katanya.

Sekiranya, seseorang di hadapkan ke mahkamah kerana berhimpun secara aman, mereka disaran supaya tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan.
“Selepas itu, anda juga berhak dilepaskan, dengan ikat jamin Mahkamah di bawah seksyen 29 Kanun Acara Jenayah serta boleh memohon mengurangkan ikat jamin dengan mengemukakan tanggungan anda,” katanya.

sumber: http://www.keadilandaily.com
Demonstrasi Bantah Perhimpunan Bersih

Demonstrasi Bantah Perhimpunan Bersih

GEORGE TOWN, 1 Julai – Seramai kira-kira 1,500 orang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan demonstrasi secara aman dengan berarak dari Masjid Melayu Lebuh Aceh ke Komplek Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Perarakan sejauh kira-kira enam kilometer yang bermula 2.45 petang itu bagi membantah perhimpunan haram yang dijadualkan pada 9 Julai ini dan membantah pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa menyokong perhimpunan itu.

Antara NGO terlibat ialah Pertubuhan Suara Anak-anak Malaysia, Pertubuhan Insan Mulia dan Pribumi Perkasa Negara.

Sepanjang perarakan itu kumpulan berkenaan membawa sepanduk ‘Jangan Berani Bangkitkan Komunis’, ‘Pulau Pinang Hak Kami’ dan ‘Guan Eng Dalang Perpecahan Melayu’.

Sejurus tiba di Komtar, mereka berarak mengelilingi bangunan itu dan setibanya di Jalan Penang pada kira-kira 3.10 petang, kumpulan itu bertindak nekad dengan duduk di atas jalan raya selama 10 minit.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Ezam Mohd Nor yang turut menyertai demonstrasi itu berkata Malaysia perlu dipertahankan daripada kumpulan yang ingin merosakkan keharmonian negara.

“Perhimpunan ini untuk memberi mesej jelas kepada pengkhianat-pengkhianat ini bahawa negara kita masih ramai anak-anak Melayu, Cina dan India yang akan mempertahankan maruah negara,” katanya.

Demonstrasi itu menyebabkan kesesakan di sekitar Georgetown dan banyak premis di sekitar Komtar ditutup.

Sementara itu, selepas diarahkan bersurai pada kira-kira 3.25 petang, kira-kira 30 orang daripada kumpulan itu bergerak ke Jambatan Pulau Pinang bagi mengadakan demonstrasi di tengah-tengah jambatan.

Tindakan itu menyebabkan kesesakan selama lebih dua jam sepanjang kira-kira lapan km dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di bahagian Pulau ke pertengahan jambatan, menuju ke Seberang Perai.

Ulasan:
Mereka berdemo hanya untuk menunjukan bahawa Demonstrasi akan menyusakan rakyat tetapi mereka terlupa bahawa Bersih akan dilancarkan diwaktu hari cuti bukannya hari berkerja sebagai mana mereka lakukan.

Inilah bahananya bila pemimpin bahalol dipilih yang tidak dapat membuat keputusan yang baik.
Zahid Hamidi cakap tak serupa bikin

Zahid Hamidi cakap tak serupa bikin

KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa badan bukan kerajaan (NGO) berperanan sebagai pengkritik yang membina, sama ada terhadap kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata jika kerajaan atau pembangkang melakukan kesalahan, NGO perlu menegur sebagai pertubuhan yang memberi kritikan bagi memperkasakan, dan bukan merosakkan.

“NGO perlu memainkan peranan bersesuaian dengan keadaan, kita bukan merdeka dengan buluh runcing atau pemberontakan atau demokrasi jalanan, seperti yang kita tahu berlaku di negara jiran.

“Kalau niat nak ubah kerajaan, kena melalui peti undi dan parti politik,” katanya selepas merasmikan Forum Peranan NGO Dalam Menghadapi Isu-Isu Semasa dan Membentuk Masa Depan Negara di sini hari ini.

Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Anggota Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan bertindak sebagai ahli panel forum itu.

ulasan.
Apabila berbagai NGO mengkritik kerajaan supaya berlaku adil terhadap pilihanraya mereka diangap pembangkang,jadi dimana kebenaran cakap-cakap menteri-menteri umno ini.

Bersih dilanjarkan apabila kerajaan tidak lagi mengendahkan suara rakyat.
Lebih Dua Juta Orang Terima Taraf Kewarganegaraan

Lebih Dua Juta Orang Terima Taraf Kewarganegaraan

Akhirnya umno/bn akui memberi Taraf Kewarganegaraan Malaysia kepada ramai orang.

Seramai 2,033,857 orang penduduk dianugerahkan Taraf Kewarganegaraan Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga April tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bilangan Pemastautin Tetap di dalam negara adalah seramai 289,705 orang.

Beliau berkata sedemikian dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang ingin tahu bilangan Pemastautin Tetap di dalam negara dan bilangan mereka yang diberikan kewarganegaraan selepas merdeka.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dalam satu jawapan bertulis berasingan kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) berkata beberapa inisiatif diambil kementerian bagi menggalak dan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan daripada 47 peratus ketika ini kepada 55 peratus menjelang 2015.

Menjawab soalan Chong Eng mengenai pelan tindakan bagi meningkatkan kadar penyertaan wanita bekerja, beliau berkata usaha dibuat menerusi pengemaskinian akta berkaitan pekerjaan, antaranya Peraturan Kerja Separa Masa (Pekerja-Pekerja Separa Masa) 2010 dan pindaan Akta Kerja 1955.

“Kerajaan mewartakan peraturan kerja itu berkuatkuasa 1 Okt tahun lalu bagi menggalakkan golongan tenaga kerja berpotensi tetapi belum memasuki pasaran pekerjaan khususnya suri rumah, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan warga emas untuk menyertai pasaran buruh negara sekali gus menjana pertumbuhan negara,” katanya.

Kementerian juga bercadang meminda Akta Kerja dengan menambahbaik peruntukan sedia ada dan beberapa peruntukan berkaitan penggajian wanita seperti perlindungan kepada wanita semasa cuti bersalin dan mekanisme dalaman bagi menangani aduan gangguan sosial.

“Peruntukan gangguan seksual tidak terhad kepada pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 tetapi turut melindungi semua pekerja tanpa mengira hadupah mereka, malah peruntukan khusus memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja (KPTK) untuk mengarahkan majikan menyiasat aduan gangguan seksual,” katanya.

Subramaniam berkata menerusi pelbagai program termasuk Program Penempatan Pekerjaan (3P), seramai 56,782 wanita ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan sehingga Mei lalu.

sumber:http://umno-online.com/?p=40615
SPR alat UMNO/BN

SPR alat UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Tidak mengejutkan jika pemimpin-pemimpin Barisan Nasional cuba membohongi rakyat dengan mendakwa Bersih 2.0 adalah alat Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan.

Tetapi amat mengejutkan apabila dakwaan seperti itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang kini dengan jelas mendedahkan bahawa SPR bukan sebuah badan yang bebas.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata kenyataan Wan Ahmad telah mendedahkan tembelang SPR yang tidak bebas, tidak adil dan tidak berwibawa serta melanggar peranannya yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tembelang Wan Ahmad dan SPR kini menjadi bukti jelas melalui kecaman terhadap Bersih 2.0 dalam forum “Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR?” anjuran Institut Perkembangan Minda (Inmind) yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO di sini semalam.

Laporan media memetika Wan Ahmad sebagai Pakatan Rakyat mula risau dengan kebangkitan BN yang telah menang dalam beberapa pilihan raya kecil tahun lalu, dan dengan itu Pakatan akan menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Wan Ahmad juga dipetik sebagai berkata: “BN sudah mula menang… (saya rasa) mereka sudah mula risau, trend (kemenangan dalam pilihan raya) sudah berubah (memihak kepada BN).”

Sikap berat sebelah SPR yang dilihat menyokong UMNO dan BN telah menyebabkan Bersih 2.0 yang dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenavasan perlu meneruskan dengan usaha mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut pilihan raya bebas, adil dan bersih pada 9 Julai ini.

Menurut Kit Siang, jika SPR benar-benar bebas, semua pesuruhjaya SPR perlu mengadakan mesyuarat tergempar untuk mendesak Wan Ahmad meletak jawatan kerana telah berpihak kepada UMNO dan BN.

“Jika ini tidak dilakukan, kenyataan Wan Ahmad hanya mengesahkan apa yang memnag terbuku dalam fikiran rakyat – SPR hanyalah alat BN, menjadi orang suruhan BN dan bukannya melaksanakan tugas yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata kenyataan Wan Ahmad yang tidak bertanggungjawab itu menunjukkan watak sebenar beliau yang selama ini menjadi alat kepada UMNO dan sistem politik negara yang rosak.

“Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas,” katanya.

Beliau mahu Wan Ahmad menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR.

“Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik UMNO dan menyertai pilihan raya umum ke-13,” tambah beliau.
Azmin kepada Wan Ahmad: Letak jawatan dan bertanding dalam PRU

Azmin kepada Wan Ahmad: Letak jawatan dan bertanding dalam PRU

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar yang dilaporkan oleh laman portal Malaysiakini.com bertarikh 30 Jun 2011 bertajuk "SPR: Ambiga diperalat, BERSIH kian kusut".

Menurut laporan tersebut, Wan Ahmad mendakwa bahawa Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), Ambiga Sreevenasan - telah diperalatkan oleh pemimpin politik pembangkang untuk membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kenyataan Wan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab dan menzahirkan watak sebenar beliau yang selama ini dilihat sebagai alat kepada pimpinan UMNO dan sistem yang rosak. Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

Adalah malang apabila Wan Ahmad gagal memperlihatkan profesionalisme sebagai penjawat awam yang seharusnya bersifat berkecuali. Ketaatan membuta-tuli beliau kepada UMNO jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada "government of the day" dengan taat kepada "governing party".

Beliau turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu.

Pilihan raya yang bebas dan adil tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui siapakah yang akan menang dalam sesuatu pilihan raya.

Sebaliknya, apabila Wan Ahmad menzahirkan kenyataannya bahawa Barisan Nasional semakin kuat, maka timbul persoalan apakah beliau sudah merancang sesuatu bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional? Kalau inilah peranan yang dicatur oleh Wan Ahmad, maka pilihan raya di Malaysia sememangnya tidak lagi bebas dan adil!

Wan Ahmad seharusnya faham dan menghayati peranan SPR yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Asas utama dalam mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil ialah daftar pemilih yang bersih untuk menjamin tidak berlaku pengundian berganda oleh seorang pemilih berdaftar termasuk undi pos.

Saya telah menyahut cabaran Wan Ahmad dan telah membuktikan secara berfakta bahawa Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011 adalah daftar pemilih yang terkotor dalam sejarah pilihan raya dan dakwaan saya telah diakui benar oleh SPR dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria bertarikh 24 Jun 2011. Wan Ahmad harus memikul tanggungjawab ini dan meletakkan jawatan serta merta. Beliau tidak lagi punyai maruah dan kredibiliti untuk memimpin SPR.

Wan Ahmad-juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH.

Lapan (8) tuntutan BERSIH iaitu (i) pembersihan senarai pengundi; (ii) reformasi undi pos; (iii) penggunaan dakwat kekal; (iv) tempoh kempen minima 21 hari; (v) memperkukuh institusi awam; (vi) menghentikan rasuah pilihan raya dan; (viii) menghentikan politik kotor; adalah bertujuan untuk menyuburkan demokrasi dalam negara dan memperkukuhkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Tuntutan-tuntutan ini sewajarnya dipandang serius dan positif oleh SPR dalam usaha untuk memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus, bebas dan adil. SPR harus berlapang dada untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat demi memperbaiki imej dan kredibiliti SPR yang dilihat sebagai tidak berwibawa dan bersikap berat sebelah.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat senantiasa mendukung sebarang usaha yang proaktif demi rakyat dan demi menjamin satu sistem demokrasi yang menjanjikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR. Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik UMNO dan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13!-Mohamed Azmin Ali