Ahad, 10 Februari 2013

Tunku Abdul Rahman pernah berkempin untuk DAP

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, jika Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman masih hidup sudah tentu dia kecewa apabila melihat keadaan Malaysia mundur berbanding kemajuan yang dicapai Korea Selatan sekarang.

Katanya, kekecewaan itu bukan sahaja dalam konteks demokrasi dan tadbir urus yang baik, perkembangan ekonomi, kemajuan teknologi, pembangunan modan insan, seni dan budaya, malah dalam bidang sukan yang Korea Selatan jauh mendahului Malaysia dalam setengah abad lalu.

"Selaku Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ketika itu mengadakan pertandingan Pestabola Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan dan pada tahun 60-an dan 70-an, dengan aksi bintang bola sepak terkenal negara seperti Soh Chin Aun, R Arumugam, Isa Bakar, Santokh Singh, James Wong dan Mokhtar Dahari, menyaksikan pasukan kebangsaan tidak sukar untuk mengalahkan Korea Selatran.

"Malaysia juga memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 dan layak ke Olimpik Moscow pada 1980. Bagaimanapun, hari ini, Malaysia hanya menduduki tempat ke-158 daripada 207 negara, berbanding Korea Selatan di tempat ke-34 senarai FIFA dan memenangi pingat gangsa dalam bola sepak sukan Olimpik London 2012," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina 2013, dan Pengiraan Detik 62 Hari ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, malah Tunku Abdul Rahman pasti sedih kerana Malaysia ketinggalan jauh di belakang Korea Selatan dalam kemajuan ekonomi dan pendemokrasian untuk menamatkan hagemoni politik UMNO dengan mewujudkan sistem dua perikatan yang akan membawa keamanan dan kuasa politik bergilir-gilir mengambil tempat melalui peti undi.

Beliau berkata, hari ini adalah ulang tahun ke-110 kelahiran Bapa Malaysia iaitu dua hari sebelum Tahun Baru Cina atau dua atau tiga minggu sebelum pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-13 diadakan.

"Tunku Abdul Rahman pernah berkempen untuk DAP dan Gagasan Rakyat pada PRU 1990, 23 tahun lalu dan berharap mewujudkan penggiliran kuasa daripada UMNO/BN kepada Gagasan Rakyat dan memperkenalkan sistem dua perikatan di Malaysia.

"Saya masih ingat Bapa Malaysia yang berusia 87 tahun ketika itu bertegas mahu berkempen untuk DAP dan Gagasan Rakyat serta berucap di dewan masyarakat Batu Lanchang di Pulau Pinang meskipun dia tidak begitu sihat.

"Oleh itu cara terbaik untuk memperingati ulangtahun kelahirannya Tunku ke-110 adalah memenuhi impian dan kehendaknya pada PRU 1990 pada PRU-13 nanti untuk memperkenalkan sistem dua perikatan dan meletakkan asas demokrasi yang kukuh untuk Malaysia mencapai satu tahap baru perkembangan ekonomi dan pembangunan dengan melakukan perubahan politik dan demokratik pertama dalam tempoh 56 tahun.

"Hanya pada waktu itu Malaysia boleh mula merapatkan jurang dengan Korea Selatan dalam semua bidang. Tidak akan ada cara lebih baik untuk meninggalkan kesan pada Tahun Baru Cina 2013. Saya mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia selamat menyambut Tahun Baru Cina," katanya.

Menurut Kit Siang, pada hari kedua Tahun Baru Cina pula bintang pop Korea Selatan, Psy yang video "Gangnam Stylenya' ditonton lebih satu bilion (rekod terkini: 1.27 bilion) di Youtube, dijemput ke Pulau Pinang untuk menjadikan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak satu acara yang julung kali dan bersejarah.

"Rakyat Malaysia sepatutnya bergembira dengan persembahan Psy, tetapi sebelum dan selepas berhibur, mereka perlu memikirkan nasib negara sepanjang setengah abad lalu yang menjadikan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan yang kini sebuah negara kaya walaupun ketika mencapai Kemerdekaan pada 1957, Malaysia tiga kali ganda lebih kaya daripada Korea Selatan," katanya.

Daripada data International Monetary Fund, 1980 adalah tahun terakhir Malaysia memperoleh KDNK perkapita lebih tinggi iaitu US$1,769 berbanding Korea Selatan hanya US$1,689.

Selepas itu, Korea Selatan jauh meninggalkan Malaysia selepas berlakunya proses pendemokrasian di negara itu pada 1987 yang mana ekonomi Korea Selatan mencapai satu tahap baru dalam inovasi dengan anjakan terakhir dalam ruang ekonomi yang maju, terkeluar daripada "perangkap pendapatan pertengahan" yang mana Malaysia masih bergelut untuk melepaskan diri.

Magnitud perubahan nasib antara Malaysia dan Korea Selatan boleh dilihat daripada data KDNK perkapita untuk kedua-dua negara bagi setengah abad lalu daripada data Bank Dunia dan International Monetary Fund, iaitu:

Dalam setengah abad daripada 1960 hingga 2012, KDNK per kapita malaysia meningkat 35 kali ganda, sangat kecil berbanding peningkatan 148.5 ganda KDNK per kapita Korea Selatan ketika itu.

Sejak 1987, Korea Selatan melalui dua peralihan kuasa yang aman dan berjaya melalui peti undi di antara dua perikatan politik apabila calon oposisi memenangi pilihan raya presiden menewaskan calon perikatan pemerintah – pertama kalinya pada 1998 di bawah Kim Dae-jung dan kedua ketika di bawah Lee Myung-bak pada 2007.

Menurutnya, bolehkah Malaysia mengambil langkah pertama untuk proses pendemokrasian pada PRU-13 dengan mewujudkan peralihan kuasa dengan memindahkan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya daripada UMNO/BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat.- Roketkini.com


post-by- email

Related Posts

Tunku Abdul Rahman pernah berkempin untuk DAP
4/ 5
Oleh