Isnin, 23 April 2012

Kita Jadi Kuli kepada Warga Asing



SENAWANG: “Penduduk amat tertekan kerana kawasan ini seolah-olah sudah menjadi perkampungan mereka merangkumi kira-kira 1,000 pekerja asing yang menjadi penghuni di beberapa unit rumah dan rumah kedai,” kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jasmin, Mohamad Azman Md Safar.

Menurut beliau, tindakan pihak tertentu menjadikan ia sebagai asrama pekerja asing menyebabkan penduduk taman berkenaan berada dalam keadaan tertekan berikutan sikap warga asing terbabit yang tidak disenangi mereka.

Kata Mohamad Azman, kehadiran pekerja asing terbabit yang tidak memahami dan menghormati budaya tempatan selain sikap pengotor mereka menyebabkan ketenteraman penduduk tempatan terjejas.

“Kelakuan mereka yang suka membuang sampah merata-rata menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan kerana kawasan perumahan ini menjadi kotor. Penduduk tempatan seolah-olah menjadi kuli mereka kerana terpaksa membuang sampah dan membersihkan kawasan.

“Selain itu, penduduk semakin hilang sabar dengan sikap warga asing itu yang turut menconteng bangunan dan berkelakuan kurang sopan seperti berpakaian menjolok mata.

“Mereka juga didapati meminum minuman keras di luar asrama tanpa menghiraukan jiran sekeliling selain menjadikan taman awam sebagai tempat pergaulan bebas lelaki dan perempuan,” katanya. Menurutnya, penduduk bimbang sikap negatif itu boleh mempengaruhi remaja tempatan sekali gus memberi kesan tidak baik kepada pembangunan sahsiah mereka.

Dakwa Mohamad Azman, masalah itu sudah berlarutan sejak lebih enam tahun lalu namun bilangan pekerja asing berkenaan tidak ramai berbanding kini sehingga seolah-olah taman perumahan itu menjadi perkampungan mereka.

“Ahli jawatankuasa KRT pernah menasihati warga asing terbabit supaya memberi kerjasama dan tidak mengulangi perbuatan itu selain cuba memahami budaya penduduk tempatan, tetapi ia masih berterusan,” katanya.

Bagi penduduk, Mohd Faizal Rahim, 35, masalah itu sudah lama berlaku dan menyebabkan mereka tidak tahan lagi.

Dia yang menetap di situ lebih enam tahun lalu berkata, sejak taman itu dijadikan ‘perkampungan warga asing’, pelbagai masalah sosial berlaku dan tidak menolak kemungkinan ada berlaku kes persundalan membabitkan mereka.

“Saya amat tidak menyenangi kehadiran mereka kerana banyak membawa keburukan,” katanya.

BERITA 2

KUALA LUMPUR – “Saya ketua sini. Sekarang tidak ada jawatan kosong di kaunter tapi jika mau jadi pencuci tandas, boleh isi borang ini.”

Itu jawapan seorang warga Bangladesh yang bertugas di sebuah stesen minyak di sini ketika wartawan Kosmo! Ahad menyamar mencari kerja sebagai juruwang.

Warga Bangladesh yang memakai tanda nama Nadeem itu rupa-rupanya ketua kepada semua pekerja di stesen minyak tersebut dan dia diamanahkan memilih pekerja baru termasuk rakyat tempatan jika ada kekosongan.

Ia diakui seorang warga Bangladesh yang dikenali sebagai Fahmed yang bekerja setempat dengan Nadeem dan memberitahu, dia bersama empat rakan senegaranya serta dua rakyat tempatan bekerja di situ.

“Nadeem bos kami dan dia jaga dan menetapkan tugasan kami kerana dia sudah kerja lama dan menjadi orang kepercayaan bos besar,” kata Fahmed.

Ketika ditanya berapakah gaji yang diperoleh, katanya gaji pokok yang diterima cuma RM500 tetapi dicampur dengan kerja lebih masa, pendapatannya mencecah RM1,100 sebulan.

“Mula-mula kami jadi tukang cuci atau buat kerja-kerja berat tetapi selepas lama kerja, kami naik pangkat,” katanya.

Senario itu bukan sahaja membuktikan dakwaan ramai tetapi dalam masa yang sama menyebabkan wartawan Kosmo! Ahad sebagai warga tempatan terasa hina seolah-olah ‘merempat’ di negara sendiri.

Apa lagi dalam suasana rakyat Malaysia masih menyambut ulang tahun Kemerdekaan kali ke-51 tetapi itulah hakikat yang dapat dilihat dalam sektor pekerjaan di negara ini sejak kebelakangan ini.

Ternyata pekerja asing bukan sahaja berkhidmat sebagai kakitangan pembantu dalam banyak sektor malah kini mereka diiktiraf dan diberi kepercayaan menjadi pekerja barisan hadapan di sesebuah syarikat.

Sementara itu, tinjauan ke sebuah lagi stesen minyak, senario lain pula berlaku apabila semua pekerja bawahan adalah anak tempatan sedangkan tugasan juruwang diserahkan kepada tiga orang warga Bangladesh.

Ketiga-tiga pekerja warga asing ini bekerja mengikut giliran dan tidak ada kelibat anak tempatan dapat dilihat di kaunter juruwang.

Ketika wartawan Kosmo! Ahad menyamar sekali lagi memohon pekerjaan sebagai juruwang, seorang daripada mereka lantas menjawab tiada kekosongan.

Seorang pengunjung stesen minyak yang ditemui, Azman Idris, 34, meletakkan kedudukan warga asing kini jauh lebih baik dari anak tempatan.

“Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana yang menggaji dan memberi kepercayaan kepada mereka ialah pemilik stesen yang merupakan warga tempatan,” jelasnya.

Seorang kakitangan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Rashid menegaskan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Memang sekarang kita boleh lihat di mana-mana stesen minyak akan ada warga asing yang jadi juruwang dan orang kita jadi tukang pam minyak atau pencuci.

“Ada yang berlagak seolah-olah mereka lebih hebat daripada kita kerana jawatan yang diberi sehingga kita tak boleh bersuara,” katanya.

Rashid bagaimanapun menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha stesen minyak yang mengutamakan warga asing.

Apa pendapat / pandangan anda tentang isu ini ?

Sumber Berita : Kosmo! Online

Related Posts

Kita Jadi Kuli kepada Warga Asing
4/ 5
Oleh