Jumaat, 27 Mei 2011

Himpunan Kebangkitan Warga Felda Pahang 27-28 Mei Ini

Himpunan kebangkitan warga Felda Pahang akan diadakan pada 27 dan 28 Mei ini di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau dan Felda Jengka 16 dan 19.

Program yang disusun rapi oleh Badan Perhubungan PAS Pahang dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) itu bertemakan ‘sertai kebangkitan bersama tokoh-tokoh pimpinan rakyat’ akan dimulakan dengan program pertama pada 27 Mei iaitu ceramah perdana bermula jam 7 hingga 12 tengah malam.

Ceramah perdana itu akan diadakan di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau dengan menampilkan penceramah khas iaitu Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala barisan penceramah lain pada malam itu ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Presiden ANAK, Mazlan Aliman dan calon PAS di Dun Tenang, Normala Sudirman.



Seterusnya pada 28 Mei pula dua program dijadualkan bermula jam 2 petang masing-masing di Markas PAS Jengka 16 dan Simpang Jengka 19.

Bagi program di Markas PAS Jengka 16, diadakan Forum Bicara Peneroka jam 2 hingga 5.30 petang. Forum itu akan diadakan sesi dialog berkenaan hal ehwal peneroka felda berkaitan dengan Kadar Perahan Gred (KPG), Wang TTS, harta pusaka dan lain-lain lagi.

Antara panel yang dijemput berdialog terdiri daripada Presiden ANAK yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, dua orang peguam iaitu Mohd Fadly Ramli dan Harris Abdullah.

Manakala bagi program kedua yang juga berlangsung jam 2 hingga 6.30 petang itu akan menampilkan tetamu istimewa iaitu Bob Lokman di Simpang Jengka 19 dalam slot program santai petang.

Antara aktiviti sepanjang program itu ialah klinik dan demonstrasi permotoran oleh Yasir Saad, minum petang bersama Mat Sabu Mohamad, bual belia serta aktiviti amal. Turut dibuka di program tersebuat kaunter daftar pemilih dan pendaftaran keahlian ANAK.

Kemuncak program dua hari itu akan dilabuhkan tirainya dengan pidato perdana bermula jam 9 malam di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau.

Antara barisan pemidato pada malam tersebut terdiri daripada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mat Sabu Mohamed dan Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail.-keadilandaily

Related Posts

Himpunan Kebangkitan Warga Felda Pahang 27-28 Mei Ini
4/ 5
Oleh