Home » » ANALISA TENTANG PAS

ANALISA TENTANG PAS

Written By kiff isme on Jumaat, 27 Mei 2011 | Mei 27, 2011


Pas harus berubah dari segi pemikiran,jika tidak usah hendak bermimpi untuk menawan Tanah Melayu ini
Aku bukan hendak menghentam parti sendiri,tetapi ingin memperkuatkan kepimpinan parti dengan menyangah perkara-perkara yang melemahkan parti.Kepada pemimpin parti,berjuanglah dengan iklas bukan demi kepentingan diri masing-masing(ini yang semakin mendatang semakin terserlah)


Ikutlah semangat AlMarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor.


Senario yang berubah selepas "tsunami politik" memberi impak kepada semua parti. Masing-masing berlumba-lumba untuk menawarkan sesuatu agar terus mendepani, dan bukannya tenggelam dalam arus perubahan. PKR misalnya, mengambil langkah yang berani dengan memperkenalkan sistem pemilihan langsung dalam parti, kini cuba ditiru UMNO yang tidak mahu dilihat ketinggalan. DAP pula, semakin proaktif untuk menembusi masyarakat Melayu/Muslim, antara usaha terbarunya, perlancaran laman bahasa Malaysia-nya, Roketkini.

Tidak kurang pemerhati politik yang gusar dengan perkembangan PAS - parti yang memainkan peranan kunci ketika politik Malaysia berada di persimpangan jalan. Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, PAS dihantui isu rundingan bersama UMNO. Pendekatan untuk menggarap imaginasi rakyat Malaysia pula sering ditambat langkahnya apabila "kepimpinan ulamak" diketengahkan, meletakkan PAS di jurang antara "harapan rakyat Malaysia" dengan "sentimen akar umbi PAS".

Justeru itu, sasarannya jatuh ke atas Presiden, dan golongan yang cuba membawa perubahan dalam PAS, ketika membincangkan senario terkini. Seperti biasa, pakar perundangan, Profesor Abdul Aziz Bari melepaskan peluru pertamanya dengan mengibaratkan parti yang mempunyai sejuta orang ahli ini sebagai "gajah tak berkepala"; sementara Wan Saiful Wan Jan melontarkan soalan provokasi, "Mengapa golongan yang ingin membawa perubahan dalam PAS (yang dilabel sebagai Erdogan) tidak berani bangkit dan mengakui secara terbuka, 'Ya, ini visi yang ingin kami bawa dalam PAS'?"

Demikianlah perbincangan hangat dalam satu forum berjudul "Pemilihan PAS: Mampukah PAS membuat lonjakan?", anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) dengan kerjasama ILHAM Centre dan Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 24 Mei 2011. Dewan forum penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 150 orang, majoriti golongan muda Melayu.

Forum membariskan ahli parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, ahli parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar - yang kesemuanya dilabel sebagai golongan "Erdogan" dalam PAS. Sementara Abdul Aziz Bari yang sudah terkenal dengan pandangan kritikalnya terhadap penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang sedia ada, turut hadir sebagai ahli panel, dan Wan Saiful sebagai moderator.

Tafsiran Erdogan...

Forum bermula dengan perbincangan konsep "Erdogan", atau lebih tepat label yang dilontarkan kepada segolongan pemimpin dalam PAS. Ahli panel tidak banyak berbeza pandangan dalam konsep ini, ditafsirkan sebagai "pendekatan yang lebih inklusif, mahu engagement dengan semua pihak, lebih terbuka, menekankan aspek universalnya, misalnya keadilan - yang kalau diterjemahkan dalam slogan, ia berbunyi "PAS untuk semua". Keperluan untuk berubah ini disebabkan PAS tidak lagi terkurung dalam kawasan "Malay belt", selepas gelombang Reformasi pada tahun 1998 dan "tsunami politik" pada tahun 2008.

Kamaruddin Jaafar mendakwa bahawa beliau sebenarnya "berbangga" kerana dilabel sebagai Erdogan. Aziz Bari melanjutkan kupasannya dengan menyanggah hujah menyamakan "Erdogan" dengan golongan profesional, dalam konteks PAS di Malaysia. Nik Aziz, misalnya, seorang ulama yang sudah lanjut usianya, tetapi lebih progresif dari segi pemikirannya, kata Aziz Bari.

Perbincangannya kemudian menyentuh persoalan kebuntuan "kepimpinan ulama", apabila Wan Saiful melontarkan pemerhatiannya, bahawa pemimpin PAS tidak terfikir oleh pihak media sebagai orang yang diundang ke rancangan untuk membincangkan isu ekonomi. Kamaruddin Jaafar mengakui bahawa prestasi ahli parlimen PAS agak terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan partinya DAP dan PKR, tetapi tegas bahawa prestasi ahli parlimen PAS lebih baik daripada UMNO.

"Gajah tak berkepala"

Dzulkefly Ahmad mencelah kemudian, "Saya rasa kurang tepat untuk letakkan kekangan untuk maju itu salah kepada pimpinan, seolah-olah mengekang." Beliau mengambil contoh dirinya, bahawa tiada kekangan, malah mendapat sokongan daripada pimpinan tinggi yang sedia ada - agar mewakili PAS untuk terlibat dalam perangkaan manifesto, strategi, bajet, malah dasar bersama, iaitu Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perubahan itu perlu dikendalikan dengan baik. Beliau berkata, "Golongan yang membawa perubahan itu mesti mengukuhkan apa yang ada", supaya mereka yang menjadi asas dan tunggak itu memiliki keselesaan dan tidak rasa tercabar. Malah Dzulkefly Ahmad menekankan bahawa sokongan yang baru perlu dibina atas asas yang sedia ada.

Aziz Bari percaya bahawa tiada tekanan terhadap golongan yang ingin membawa perubahan dalam PAS. Bagaimanapun, beliau mengkritik Presiden PAS, yang kurang terserlah mengikutnya - memberi kenyataan seolah-olah kenyataan itu disuapkan ke dalam mulutnya, dan dikeluarkan begitu sahaja. Dengan kata lain, Hadi Awang tidak sedar apa yang diungkapkan dirinya. Untuk Aziz Bari, ia agak bahaya kerana dalam sistem demokrasi parlimen, ketua sesebuah parti yang menang akan dipilih sebagai Perdana Menteri.

Malah beliau mengambil kesempatan untuk menyiku PAS, yang menurutnya masih terjebak dalam minda Melayu - segan atau enggan nak berubah. Sambil beliau berseloroh mendakwa dirinya mahu mengambil pendekatan yang lebih lembut terhadap PAS, beliau melepaskan pelurunya apabila mengibaratkan PAS sebagai "gajah yang tak berkepala".

Tidak semestinya orang Nombor 1 yang bawa perubahan

Khalid Samad seterusnya menyahut apa yang dikatakan Dzulkefly Ahmad, memastikan agar "yang dikendong itu tidak tercicir" ketika menghambat langkah perubahan. "Kita tak boleh (mempunyai) seorang pemimpin yang terlalu laju, sehingga orang yang bersamanya akan ketinggalan, tercicir, dan akhirnya mungkin akan menyebabkan parti itu berpecah," kata Khalid Samad.

"So, kadang-kala, ada baiknya, dan mungkin inilah apa yang sedang berlaku, perlu orang-orang yang nak membawa perubahan itu, bukan necessary (semestinya) orang yang nombor satu, supaya tidak menjadi terlalu kontroversial sehingga menyebabkan parti itu berpecah. Jadi orang nombor satu mengawal untuk menentukan supaya semua rakan bersama..."

Khalid Samad yang pernah dikenakan tindakan disiplin parti itu meneruskan, "Orang nak bawakan perubahan itu, adalah orang-orang seperti Dr.Dzul, dan saya, Dato KJ (Kamaruddin Jaafar) dan sebagainya, yang mengeluarkan pandangan, tetapi tidak disanggah oleh pemimpin."

Dalam nada untuk membela Hadi Awang, Khalid Samad berkata Presiden memikul tugas yang berat untuk mengendalikan pelbagai pandangan yang berbeza dalam parti, memastikan bahawa perbezaan ini tidak menjurus kepada perpecahan dalam parti - satu keadaan yang mahu dielakkan oleh semua pemimpin PAS. Keadaan berbeza untuk Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat, dengan reputasi dan kedudukan beliau dalam parti yang membolehkan dirinya membawa perubahan tanpa menjejaskan perpaduan dalam parti, kata Khalid Samad.

Wan Saiful memetik ungkapan yang terselit dalam ucapan Khalid Samad, berbunyi "keputusan pemilihan mencerminkan tahap pemikiran ahli PAS". Bertitik tolak daripada itu, Wan Saiful melontarkan soalan kepada Kamaruddin Jaafar - pemikiran ahli PAS kini mahukan Hadi Awang sebagai Presiden, Nasrudin Hassan Tantawi sebagai Ketua Dewan Pemuda dan Harun Taib selaku Ketua Dewan Ulama - apakah barisan pemimpin yang konservatif ini bakal menyukarkan PAS untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Malaysia secara keseluruhannya?

"Ya dan tidak", jawab Kamaruddin Jaafar, mengambil contoh isu kerajaan perpaduan (Unity Government). Beliau berkata hasrat UG tidak kesampaian, kerana tidak direstui ahli - tidak kira siapa orang nombor satu, dua atau tiga-nya. Bagaimanapun, Kamaruddin Jaafar bersetuju bahawa personal pemimpin bakal mempengaruhi persepsi ramai terhadap parti, namun pemimpin tersebut tidak berkuasa mutlak untuk menentukan perjalanan parti.

Calon kalah kalau berkempen?

Kamaruddin Jaafar menekankan pentingnya pemimpin akar umbi dan ahli untuk bersuara, dalam menentukan halatuju parti. Kenyataan ini dipetik Wan Saiful untuk mengasak Dzulkefly Ahmad, mempertikaikan mengapa wujudnya tradisi dalam PAS bahawa seandainya seseorang calon berkempen, maka calon tersebut akan kalah?

Dzulkefly Ahmad memperkenalkan bahawa satu pembaharuan bakal mengambil tempat pada dua tahun yang akan datang, iaitu satu mekanisme untuk memberi calon tampil dan kemukakan manifestonya - yang mana tidak sempat disempurnakan untuk pemilihan kali ini.

Wan Saiful mengasak sekali lagi lantaran daripada kenyataan sedemikian, kerana ia mencerminkan bahawa tiada aktiviti kempen dibenarkan dalam PAS untuk 50 tahun yang lalu, sehingga masih tercari-cari kaedah berkempen pada ketika ini. Malah, Wan Saiful melanjutkannya kepada soalan bagaimana PAS boleh berkempen ketika menentang UMNO, MCA dalam pilihan raya, pada masa yang sama tidak membenarkan kempen dalam parti sendiri?

Wan Saiful tidak berhenti di situ, mendesak lagi dengan memetik kenyataan Dzulkefly Ahmad bahawa tiada masalah untuk ahli mengkritik pimpinan. Wan Saiful cuba "uji" dengan satu soalan, apakah pandangan Dzulkefly Ahmad terhadap prestasi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa?

Dzulkefly Ahmad cuba mempertahankan parti dengan berkata "untuk tempoh tiga tahun kami berkempen dengan prestasi sendiri". Beliau sebaliknya melontarkan soalan bagaimana seorang yang tidak bekerja sepanjang dua tiga tahun, tetapi kembali untuk yakinkan sokongan pengundi dengan kepetahannya berucap? Bagaimanapun, beliau berkata pintu untuk berkempen tetap akan dibuka pada masa dan tempat yang sesuai.

Wan Saiful tidak berputus asa, mengingatkan Dzulkefly Ahmad soalan tentang penilaian prestasi Nasharuddin Mat Isa - Dzulkefly akhirnya memberi jawapan, "antara Mat Sabu dengan Nasharuddin, saya memilih Mat Sabu".

Aziz Bari sedar bahawa bukan senang untuk mengendalikan aktiviti kempen, dalam sebuah parti politik yang mempunyai sejuta orang ahli. Bagaimanapun beliau mengambil contoh bagaimana demokrasi diraih melalui perbahasan antara calon Ketua Angkatan Muda Keadilan, mengingatkan bahawa PAS tidak harus tidur lena ketika berdepan dengan trend ini.

Sekali lagi Khalid Samad menyanggah persepsi bahawa "tiada ruang bersuara dibenarkan" dalam PAS. Beliau mengambil contoh isu "kalimah Allah", di mana dirinya dan Dzulkefly Ahmad dibenarkan untuk menyatakan pandangan, malah PAS akhirnya mengambil pendirian mereka, meskipun Timbalan Mursyidul Am Harun Din berbeza pandangan dalam isu ini ketika itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.