Selasa, 5 April 2011

video seks :Bercanggah norma Islam, kata Persatuan Ulama

KUALA LUMPUR, 5 April — Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyifatkan tindakan pihak tertentu termasuk media arus perdana menyiarkan gambar aksi seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertentangan dengan norma masyarakat Melayu dan Islam.

Malah perkembangan itu turut dikecam Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP), yang memandang serius pendedahan video seks di YouTube membabitkan nama Anwar.



Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Md Nor berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu dan menyifatkan langkah tersebut berniat jahat dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya.

“Atas nama apa alasan sekalipun penyebaran ini adalah satu tindakan jahat, fitnah dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya malah menyalahi etika kewartawanan yang serius.

“Trend membuka aib dan menyebar fitnah bukan norma budaya Melayu Islam, malah menyalahi undang-undang dan etika mana sekalipun di dunia ini,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga berhasrat untuk memohon campur tangan Majlis Raja-Raja sekiranya pihak berkuasa dan kerajaan gagal untuk menghentikan penyebaran rakaman video seks itu.

“Menyedari kegagalan pihak berkuasa sedia ada, PUM akan memohon campur tangan Majlis Raja-Raja untuk bertindak dengan segera bagi mengambil tindakan menghentikan kejahatan dan maksiat yang dipromosikan ini,” katanya.

Beliau berkata, individu yang terlibat dalam pembikinan dan penyebaran rakaman video seks itu adalah haram di sisi agama Islam.

“Mereka yang terlibat dalam pembikinan video, penyimpanan, penyebarannya adalah jelas haram dalam Islam.

“Mereka bukan sahaja merosakkan diri, keluarga dan masyarakat, malah turut mempromosikan kejahatan yang bakal mengundang laknat dan bala daripada Allah,” katanya.

Kata Mohd Roslan, pihaknya juga kesal kerana ada pihak yang terlebih dahulu menjatuhkan “hukuman” terhadap Anwar selepas rakaman video seks itu didedahkan kepada umum pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Malah semalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” tersebar dimuatkan dalam Youtube dan beberapa blog pro-Umno.

Klip itu yang panjangnya 107 saat menunjukkan dua lelaki dan seorang wanita berada di sebuah bilik sebelum aksi seks dengan pelacur berkenaan, didakwa dari China.

Rakaman asal yang dipertontonkan kepada media di hotel Carcosa Seri Negara dua minggu lalu dilaporkan panjangnya 21 minit.

Klip video hitam putih itu turut membawa jalur warna putih di bahagian bawah dengan tulisan Thailand, yang tidak terdapat pada rakaman yang didedahkan kepada media sebelum ini.

“PUM kesal kerana media telah menjatuhkan “hukuman” setelah keaiban dan fitnah didedahkan, di samping itu, Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi medan membahaskan usul dan isu besar negara kini turut mahu dijadikan panggung wayang video seks.

“PUM membantah keras penyebaran video yang mengaibkan ini dan tindakan untuk mendedahkannya melalui media dan cadangan untuk ditayang di Dewan Rakyat adalah suatu kerendahan moral Parlimen dan menjatuhkannya ke tahap yang hina dan tidak masuk akal,” kata Mohd Roslan.

Beliau juga menegaskan pihaknya turut kesal dengan “golongan” yang bersungguh-sungguh mahu menjadikan rakaman video seks itu sebagai tumpuan dalam negara berbanding isu-isu nasional lain.

“Saling cabar-mencabar dalam Parlimen untuk menyaksi video lucah menandakan kerendahan akal budi wakil rakyat ketika mereka dianggap sebagai insan yang mempunyai daya pemikiran dan budi yang tinggi.

”Pihak yang beralasan bahawa wakil rakyat terlindung dari undang-undang yang membolehkan mereka menonton video lucah sebenarnya dijangkiti penyakit barah politik “sampah” yang busuk dan hanyir,” katanya.

Justeru Mohd Roslan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan gambar video seks itu kerana ia jelas bertentangan dengan kehendak undang-undang.

“Bukan sahaja mereka mahu semuanya dihalalkan malah permainan politik sudah tidak lagi dikawal oleh sebarang batas agama mahupun moral. Pokoknya apa sahaja boleh dilakukan demi mempertahankan kuasa.

Dalam pada itu, Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP) memandang serius pendedahan video seks di YouTube membabitkan nama Anwar.

“Ia amat keterlaluan dan mencemarkan nilai budaya politik Malaysia. Sama ada video tersebut tulen atau tidak bukanlah menjadi persoalan pada tahap ini, tetapi yang lebih penting adalah mengawal penyebarannya agar tidak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat,” kata presidennya Mustafsa Kamil Ayub.

Bekas naib presiden PKR itu berkata, kenyataan Ketua Polis Negara mengenai ketulenan video tersebut menimbulkan kekeliruan persepsi di kalangan sebahagian rakyat.

“Tindakan menayangkan dan membiarkan penyebarannya juga bermakna menghukum bersalah terhadap sesaorang sebelum keputusan hukuman mahkamah.

“MAP menyeru semua pihak bergerak ke arah politik nilai yang menekan kepada penjagaan akhlak sesama insan, proses undang-undang yang telus, mengutamakan kepentingan rakyat serta menjaga kemurnian budaya murni Malaysia,” katanya.

Related Posts

video seks :Bercanggah norma Islam, kata Persatuan Ulama
4/ 5
Oleh