Home » » SUARAM mengecam ganggu ceramah PKR

SUARAM mengecam ganggu ceramah PKR

Written By kiff isme on Isnin, 4 April 2011 | April 04, 2011

SUARAM mengecam ganggu ceramah PKR


SUARAM mengecam tindakan pihak polis yang mengganggu beberapa siri aktiviti pakatan rakyat terutama ceramah yang melibatkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim.

Terbaru, pihak polis menggangu satu majlis makan malam dan ceramah yang dihadiri oleh ketua umum PKR yang diadakan di Bentong, Sri Aman, Sarawak pada 3 April, 2011. Gangguan sama turut berlaku di Kuching dan Satok.



Pada 25 Mac lepas, polis juga menghentikan ucapan Anwar Ibrahim  dalam satu perhimpunan ceramah tertutup di Taman Melawati, Hulu Kelang. Tindakan polis tersebut telah mencetuskan kekecohan di antara hadirin dengan pihak polis.

Pada 30 Mac, tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Gombak, Azmin Ali, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Batu Cave, Amiruddin Shari telah dipanggil oleh pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk merakam kenyataan. Polis telah menggunakan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 untuk menjalankan siasatan.

Tindakan polis yang menggangu aktiviti PR dan penggunaan seksyen-seksyen tersebut bagi menyoal siasat ahli PR merupakan sesuatu yang menjengkelkan dan sering dilakukan khususnya menjelang pilihan raya. Februari tahun lepas, sebanyak sembilan ahli politik pakatan rakyat yang dipanggil polis selepas mereka menghadiri ceramah politik pada masa itu di Pulau Pinang dan Perak.

SUARAM mengkritik tindakan pihak polis kerana mencabuli hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya dalam Artikel 10 yang berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

SUARAM yakin bahawa sekatan-sekatan ke atas kebebasan yang juga terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia (1948) itu bermotifkan politik. Ia merupakan usaha bagi menghalang ahli PR untuk mendedahkan pelbagai isu yang melibatkan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Akta Polis Sekyen (27) yang memberi kuasa mutlak kepada pihak polis untuk mengeluarkan permit perhimpunan awam jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 mendedahkan ketidakcekapan polis dalam menguruskan hal ehwal berkenaan permit perhimpunan awam. Salah satu ketidakcekapan polis adalah kelemahan dari aspek mematuhi piawaian hak asasi manusia. Ketidakcekapan ini dilihat semakin berleluasa khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri di Sarawak pada 16 April 2011dan Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

SUARAM akan meneruskan usaha menuntut kerajaan melakukan penggubalan Akta Polis terutama Seksyen 27 yang mudah untuk disalah gunakan oleh pihak polis dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC).

Kami menuntut pihak polis untuk menghentikan segala tindakan gangguan dan siasatan terhadap ahli-ahli Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim terutamanya dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan politik dan kemasyarakatan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.