Sabtu, 30 April 2011

Kenapa sejuta Rakyat Kita Berhijrah Ke Luar Negara

Kira-kira sejuta orang bakat Malaysia berhijrah ke luar negeri, dan satu pertiga daripadanya adalah tenaga mahir yang berpendidikan tinggi. Bakat tersebut tertumpu di lima negara, iaitu Singapura, Australia, Brunei, Amerika Syarikat dan Britain. Antaranya, 54% daripada bakat ini bermastautin di Singapura.

Soal selidik yang dijalankan menunjukkan bahawa tiga faktor utama penghijrahan bakat ke luar negeri adalah masa depan kerjaya (career prospects), ketidakadilan sosial (social injustice) dan pendapatan (compensation). Antaranya, fenomena ini paling banyak berlaku di kalangan kaum Cina, dengan nisbah 60% hingga 88% daripada bakat yang berhijrah ini.

Justeru itu, Bank Dunia menganggap bahawa Malaysia perlu meningkatkan produktiviti, malah melaksanakan dasar yang lebih inklusif, untuk menarik lebih ramai bakat dari pentas global, supaya negara kita mampu mengekalkan bakat dan terus membangun. Demikianlah perangkaan sehingga tahun 2010, yang didedahkan dalam laporan Bank Dunia.

Dalam satu ucapan Philip Schellekens, pakar ekonomi kanan Bank Dunia, ketika melancarkan laporan Malaysia Economic Monitor:Brain Drain, beliau berkata penghijrahan bakat menjadi cabaran yang sedang dihadapi Malaysia pada masa kini. Sesungguhnya Malaysia memerlukan lebih bakat untuk merealisasikan Wawasan 2020, namun polanya pula memperlihatkan kecenderungan bakat meninggalkan tanah air sendiri.



Dalam laporan yang baru dikemukakan ini, kira-kira sejuta orang bakat dianggar bertaburan di luar negeri, dan kira-kira satu pertiga daripadanya adalah tenaga mahir yang berpendidikan tinggi.

Singapura menjadi pilihan pertama

Menurut statistik tahun 2000, 83% daripada mereka yang bekerja di luar negeri bermastautin di Singapura, Australia, Brunei, Amerika Syarikat dan Britain, dan Singapura sahaja mencakupi 46%. Menurut Philip, orang Malaysia yang "mengalir" ke Singapura bertambah tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

Selain itu, Singapura menjadi negara pilihan pertama tenaga mahir Malaysia. Menurut Philip, tenaga mahir Malaysia yang bermastautin dan bekerja di Singapura hanya mencatat 10% (daripada warga Malaysia yang bekerja di Singapura) pada tahun 1990, namun meningkat kepada 23% pada tahun 2000, dan meningkat lagi secara mendadak kepada 35% pada tahun 2010.

Menurut penghitungan Bank Dunia, daripada warga Malaysia yang bertaburan di luar negeri, kira-kira 57% daripadanya bermastautin di Singapura; dan antara tenaga mahir yang berpendidikan tinggi, 54% daripadanya bermastautin di Singapura.

Ketidakadilan sosial punca bakat berhijrah

Philip berkata, sementara bakat Malaysia berhijrah ke luar negeri, bakat asing yang mengalir masuk pula tidak cukup untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Keadaan sedemikian telah mengakibatkan kualiti tenaga mahir di Malaysia semakin menurun.

Philip menambah, 60% warga asing yang berhijrah ke Malaysia hanya memiliki taraf pendidikan sekolah rendah atau lebih rendah daripada itu. Selain itu, tenaga kerja asing mahir atau berpendidikan tinggi yang berhijrah ke Malaysia menunjukkan penurunan 25% sejak tahun 2004. Keadaan sedemikian menghakis kualiti bakat Malaysia.

Ketika menyentuh faktor penghijrahan bakat Malaysia ke luar negeri, 66% responden Malaysia menganggap masa depan kerjaya lebih cerah di luar negeri; 60% responden menganggap "ketidakadilan sosial" sebagai punca masalahnya; 54% berkata gaji dan layanan yang ditawarkan luar negeri lebih menarik.

Dasar yang lebih inklusif

Di samping itu, daripada bakat yang berhijrah, 60% hingga 88% adalah dari komuniti Cina. 88% daripada warga Malaysia yang bekerja di Singapura adalah Cina, berbanding 6% Melayu dan 5% India. Sementara itu, 61% daripada warga Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat adalah Cina.

Menurut satu soal siasat yang dijalankan Bank Dunia pada tahun ini, 87% warga Malaysia berpandangan bahawa bakat yang berhijrah hanya akan mempertimbangkan untuk pulang ke tanahair apabila dasar afirmatif yang berdasarkan perkauman ditukar kepada dasar afirmatif berdasarkan keperluan dan merit. Malah, 82% responden berpendapat bahawa bakat hanya akan pulang ke tanahair seandainya kerajaan dan sektor melakukan perubahan yang menyeluruh.

Dalam satu sidang media selepas itu, Menteri Jabatan Perdana Menteri Nor Mohamed Yakcop berkata, dasar yang lebih inklusif telah digubal di bawah gagasan 1Malaysia. Malah, kerajaan cuba menarik balik bakat tempatan melalui program transformasi ekonomi.

Beliau berkata, pengaliran masuk semula bakat tempatan mengambil kira faktor seperti jenayah, pendidikan, perumahan, pengangkutan, persekitaran dan sebagainya. Masalah ini diselesaikan melalui NKRA, dan kerajaan sentiasa berusaha untuk mewujudkan satu suasana yang boleh mengembalikan bakat tempatan.

Lagi berita

30 APRIL -Bank Dunia kelmarin menyatakan terdapat sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Tentu sekali angka ini jauh lebih tinggi daripada apa yang kita pernah diberitahu iaitu antara 300,000 sehingga 500,000 sahaja.

Brain drain memang suatu fenomena yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan kerana ia melibatkan beberapa perkara.

Pertama, tentu sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan tahap tenaga kerja berkemahiran supaya kita sebagai sebuah negara dapat beralih ke rantai nilai teknologi dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi dan canggih.

Kita ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing walaupun pada 2010, pelaburan yang kita terima sebanyak AS$9 bilion lebih baik daripada AS$1.4 bilion yang kita terima pada 2009.

Perbezaan angka dengan negara jiran kita begitu jauh berbeza. Kita hakikatnya tidak mampu menampung pelabur yang membawa masuk teknologi yang memerlukan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan pelbagai peralatan, jentera dan perisian.

Apa yang penting ialah kita menyedari keadaan kita ini. Kita menyedari yang kita ditinggalkan oleh jiran-jiran yang pada suatu masa dulu sama setanding dengan kita.

Di antara usaha yang menunjukkan kita melakukan sesuatu adalah mengiktiraf perlunya kita memberikan tumpuan yang sama kepada sekolah-sekolah vokasional dan teknikal. Bilangan yang disalurkan ke arah sekolah jenis ini dapat ditingkatkan daripada 10 peratus mungkin kepada 30 peratus atau 40 peratus.

Mungkin untuk membantu kita dari segi tenaga pengajar kita boleh mendapat bantuan daripada negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara-negara Eropah seperti Belanda dan negara sebelah sini seperti Australia.

Suatu lagi langkah yang telah pun diumumkan dan ditubuhkan untuk melihat pengaliran keluar mereka yang mahir ini ialah Perbadanan Bakat. Kita percaya perbadanan ini perlulah mengenal pasti pelbagai sebab kenapa seseorang rakyat Malaysia itu sanggup berhijrah ke negara lain.

Perbezaan gaji dan faedah yang tinggi antara bekerja di luar negara dan di negara ini mungkin suatu tarikan tetapi banyak lagi perkara lain yang mungkin dijadikan sebab penghijrahan.

Antara yang disebut-sebut oleh kawan mereka yang berhijrah ialah sistem pendidikan kita yang kepada sesetengah orang menganggap tidak sesuai untuk anak-anak mereka.

Kepada mereka yang menggunakan ini sebagai alasan untuk berhijrah tak mampulah kita hendak menarik mereka balik kecuali kita sanggup mengubah beberapa perkara seperti keutamaan kepada bahasa Inggeris.

Memang tidak dapat kita nafikan suasana di tempat kerja antara negara luar dan negara kita berbeza, misalnya dari segi peluang untuk kenaikan pangkat, imbuhan dan lebih-lebih lagi pengiktirafan pihak majikan yang kadangkala dikatakan bersifat diskriminasi.

Peluang kerjaya masa depan yang tidak jelas dalam syarikat-syarikat kadangkala menjadi perangsang kepada pekerja untuk bekerja di negara lain yang mana prestasi diberikan pengiktirafan.

Tidak hairan juga kalau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu tidak dapat digunakan di negara ini misalnya dalam bidang kedoktoran kerana pengkhususannya begitu canggih, atau kalau boleh digunakan di luar negara lebih diiktiraf dari segi pembayaran gaji dan kemudahan dan sebagainya.

Kita percaya Perbadanan Bakat akan mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu berhijrah supaya kita tidak memujuk balik yang tidak lagi berminat untuk sama-sama menyumbang ke arah hasrat kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sesiapa yang diberikan tanggungjawab mengenal pasti mereka yang layak perlu melihat daripada pelbagai dimensi; betul-betul tidak berat sebelah atau mengorbankan sesuatu proses pemilihan yang telah ditetapkan dan terpengaruh dan unsur-unsur yang kurang sihat.

Related Posts

Kenapa sejuta Rakyat Kita Berhijrah Ke Luar Negara
4/ 5
Oleh