Saya merujuk kepada laporan berterusan oleh Utusan Malaysia, media perdana dan blogger-blogger UMNO yang mempertikaikan kononnya masa pesanan-pesanan yang dibuat di laman Twitter pada 21 Februari 2011 adalah masa yang tepat. Mereka mendakwa Anwar Ibrahim hanya mula menghantar pesanan pada jam 11:40 malam, seperti yang dipetik di laman Twitter.
Oleh itu, mereka mempersendakan kenyataan saya pada 26 Mac lalu yang menerangkan bagaimana Anwar Ibrahim telah membuat 9 pesanan melalui akaun Twitter yang turut dipamerkan di laman Facebook bermula jam 10:38 malam, 21 Februari 2011. Pesanan-pesanan ini secara jelas menunjukkan adalah mustahil Anwar Ibrahim adalah pelaku di dalam video seperti yang difitnah oleh Rahim Thamby Chik dan Shazryl Eskay Abdullah.
Saya dengan sengaja meninggalkan penerangan mengenai kenapa pesanan yang dipaparkan di laman Twitter adalah sejam lebih cepat berbanding di lama Facebook pada 21 Februari 2011 itu, untuk memberi peluang kepada Utusan Malaysia, media perdana dan blogger UMNO mengkaji dengan lebih mendalam demi kebenaran. Saya menjangkakan mereka tidak akan berusaha memahami bagaimana laman Twitter dan Facebook berfungsi, sebaliknya akan terus memfitnah dan menggunakan perkara itu.
Tekaan saya tepat. Utusan Malaysia dan blogger-blogger UMNO tanpa usul periksa terus memutar belitkan perbezaan satu jam itu. Mereka tidak sedar bahawa tindakan itu mengiyakan pandangan umum bahawa mereka tidak pernah meletakkan kebenaran sebagai asas untuk membawa berita. Penulisan mereka adalah bermatlamatkan agenda politik busuk dan semua berita diselewengkan untuk menjalankan agenda politik busuk.
Perbezaan satu jam pada 21 Februari 2011 itu boleh diterangkan dengan mudah sekiranya mereka benar-benar memahami konsep daylight time saving dan bagaimana laman Twitter dan Facebook berfungsi. Masa yang dipamerkan di laman Facebook adalah masa tempatan, kerana Facebook merujuk kepada masa yang ditetapkan di dalam komputer peribadi atau laptop semasa akaun dibuka.
Oleh sebab itu, berbeza dengan akaun Twitter, Facebook tidak membenarkan pengguna menetapkan zon masa kerana rujukan masa dibuat secara terus kepada masa yang ditetapkan di dalam komputer peribadi pengguna. Oleh itu, mereka yang arif mengenai teknologi maklumat tahu bahawa masa yang dipamerkan di laman Facebook adalah masa tempatan di mana pengguna Facebook berada.
Sebaliknya, laman Twitter merujuk kepada masa di dalam pelayannya (server) yang berada di San Francisco, Amerika Syarikat. Masa setiap pesanan dibuat oleh pengguna dari seluruh dunia akan merujuk kepada masa di pelayannya kemudian ditambah perbezaan masa mengikut zon masa dunia. Oleh sebab itulah, laman Twitter menetapkan bahawa pengguna perlu memilih zon masa semasa mula-mula membuka akaun.
Ini akan melibatkan isu perbezaan masa di antara zon-zon masa dunia dengan San Francisco, Amerika Syarikat dan juga perubahan jam pada bulan Mac dan November setiap tahun.
Oleh kerana Amerika Syarikat mengamalkan perubahan jam mengikut daylight saving, setiap tahun jam akan diubah pada hari Ahad kedua bulan Mac, dan diubah kembali pada hari Ahad pertama bulan November.
Ini akan memberi kesan kepada perbezaan masa di antara zon-zon masa dunia, apabila jam diubah di Amerika Syarikat; yang bermakna masa di pelayan laman Twitter juga akan berubah.
Semasa waktu yang digunapakai bagi musim sejuk (November hingga Mac), perbezaan masa di antara zon masa di San Francisco dan Malaysia adalah 16 jam. Setiap pesanan yang dibuat ke laman Twitter dalam tempoh masa itu akan berbeza selama 16 jam dan pelayan laman Twitter akan secara automatik mengira waktu di tempat asal berdasarkan perbezaan 16 jam itu.
Ini boleh ditunjukkan seperti berikut, mengambil kira pesanan yang dibuat pada jam 10:40 malam di Malaysia pada 21 Februari 2011 adalah bersamaan dengan jam 7:40 pagi di San Franciso (kerana jam Malaysia tidak diubah mengikut daylight saving). Tetapi pelayan Twitter akan menambah 16 jam, maka masa yang dipamerkan di laman Twitter adalah satu jam lebih cepat iaitu 11:40 malam (lihat bagaimana waktu di Malaysia menjadi 1 jam lebih cepat berbanding waktu sebenar, kerana Malaysia tidak mengubah jam seperti di Amerika Syarikat).
Apabila jam diubah semula bermula hari Ahad kedua bulan Mac mengikut daylight saving, perbezaan di antara zon masa Malaysia dan San Francisco menjadi 15 jam. Maka, pesanan yang dibuat ke laman Twitter mempamerkan masa yang seragam dengan masa tempatan, seperti berikut (mengambil contoh 21 Mac 2011):
Perkara yang semudah ini tidak dapat difikirkan secara rasional oleh Utusan Malaysia dan blogger UMNO kerana mereka taksub dan tenggelam dengan fitnah mereka sendiri. Mereka lupa prinsip mudah iaitu yang bertukar jam adalah pelayan Twitter di San Francisco kerana Amerika Syarikat menggunapakai sistem daylight saving sedangkan Malaysia tidak.
Oleh itu, masa yang ditunjukkan oleh laman Facebook yang menggunakan masa tempatan mengikut masa komputer peribadi dan laptop masing-masinglah adalah masa yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh perubahan satu jam akibat daylight saving itu.
Ini dapat dibuktikan dengan merujuk kepada pesanan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada 5 Disember 2010:
Beliau menghantar pesanan melalui laman Twitternya bahawa "PM @NajibRazak sedang memberi ucaptama di Konvenseyen BN". Laman Twitter mempamerkan masa pesanan itu dibuat pada jam 9:55 pagi iaitu satu jam lebih cepat dari yang ditunjukkan oleh laman Facebook beliau.
Saya jemput Utusan Malaysia dan semua blogger UMNO untuk menyemak kembali aturcara Konvensyen BN pada 5 Disember 2010 dan mereka perlu menerima hakikat bahawa ucapatama Perdana Menteri bermula sekitar jam 8:30 pagi, sekaligus membuktikan bahawa masa yang dipamerkan di laman Facebook adalah tepat.
Saya mengulangi desakan yang telah dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat bahawa tindakan Perdana Menteri dan UMNO yang mengalih perhatian kepada video seks lucah tanpa mengambil hukuman berat ke atas dalangnya, membuktikan bahawa ia satu lagi konspirasi jahat UMNO.
Isunya bukanlah perbezaan satu jam atau aktiviti Twitter Anwar Ibrahim. Isunya adalah nama dan maruah negara yang dimalukan kerana cubaan fitnah ini. Isunya adalah perlakuan jenayah oleh beberapa orang kuat UMNO yang sehingga kini masih bebas dan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Isunya adalah tindakan pihak berkuasa membenarkan kegiatan jenayah itu berlaku di tempat awam yang rapat dengan kerajaan. Isunya adalah perlakuan rasuah yang cuba membeli Ahli Parlimen KEADILAN yang sehingga kini belum diambil tindakan oleh SPR mahupun SPRM.
Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategi PKR.
Apabila media perdana dan blogger UMNO buta IT
4/
5
Oleh
Admin