Home » » Selangor menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor

Selangor menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor

Written By kiff isme on Rabu, 29 Disember 2010 | Disember 29, 2010


Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Munir Bani yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kami menegaskan bahawa tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu. Tambahan pula, jawatan Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya hanya tamat pada 20 Mac 2011.

Perlu ditegaskan di sini, Kerajaan Negeri telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan yang sejajar dengan Nota Amalan Perkhidmatan Awam.

Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis Kerajaan Negeri iaitu Hasan Mohamed Ali dan Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia.

Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon dan Menteri Besar telah pada 17 Disember 2010, mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan DYMM Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan.

Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab. Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan.

Pakatan Rakyat Selangor kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka. Isu Khusrin Munawi ini timbul sejurus sebelum UMNO mengumumkan Najib Razak kekal sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor. Justeru, Pakatan Rakyat Selangor memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik.

Pentadbiran ini menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada DYMM Sultan Selangor dan pemimpin Negeri dalam menangani salah faham ini (miscommunication). Begitu juga kepada masyarakat bukan Islam digalakkan menjalankan upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing.

*Kenyataan media oleh Faekah Husin  selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.Mr

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.