Sabtu, 13 November 2010

PAS perlu menang dengan kekuatan sendiri


PAS perlu menang dalam pilihan raya dengan kekuatan sendiri bukan menumpang kelemahan Umno BN, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, biarpun Umno lemah namun kekuatan itu perlu dibina kerana cabaran paling besar adalah bukan untuk menang, tetapi kekuatan untuk mengisi kemenangan.

"Kita mahu supaya parti kita mencapai kejayaan dengan kekuatan kita sendiri, bukan dengan kelemahan yang ada pada lawan kita.

"Kita sedar bukan sahaja mahu menang, tapi mengisi kemengan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar 'PAS Sedia Ganti Umno' di sini hari ini.

Antara pemimpin PAS Pusat yang hadir pada seminar itu ialah timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib, Salahuddin Ayub, ketua muslimat, Nuridah Mohd Salleh, setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali, pengarah pilihan raya, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman,

Dalam ucapan sebelum itu, beliau menggariskan tiga perkara bagi membina kekuatan dalam PAS agar parti itu mampu memerintah negara.

Pertama, katanya adalah kekuatan aqidah Islam di kalangan setiap ahli.

Ianya termasuk persoalan akhlak, ibadah dan tarbiyah yang mantap untuk melalui perjuangan yang penuh liku.

"Kalau sama sahaja kita dengan Umno, sama-sama tak sembahyang, sama-sama tak berjemaah, dan tak kuat hubungan dengan Allah, kita tidak akan menang," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kedua, ujarnya adalah kekuatan pada organisasi yang baik termasuk cawangan yang banyak dan bergerak dan ahli yang ramai.

Antara sebab kawasan PAS kalah pada pilihan raya, katanya adalah kerana tidak mempunyai cawangan yang banyak dan tidak bergerak.

"Berlawan dengan Umno ni lebih teruk berlawan dengan orang gila dan bodoh.

"Orang gila dan bodoh tak boleh buat undang-undang, tapi Umno boleh buat apa sahaja untuk menangkan mereka. Sebab itu kita kena kuat," tambahnya lagi.

Manakala perkara ketiga katanya adalah strategi yang baik dan digerakkan ke akar umbi.

Strategi di semua peringkat jelasnya perlu diselaras agar memberi kesan yang besar pada setiap tindakan yang dibuat.

Selain itu beliau turut meminta Umno mengaku kelemahan mereka dan berundur secara demokratik dengan memberi laluan kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara.

Ia kerana parti itu sudah jelas lemah dan tidak mampu mengurus rakyat dan negara dengan baik.

"Hari ini Umno adalah teras kepada kepimpinan negara. Kita tahu masalah yang dihadapi walaupun cuba nak sembunyi dengan pelbagai undang-undang tapi akhirnya terdedah.

"Sebab itu kita mintak secara terhormat dan demokratik seperti berlaku di negara-negara lain, pilihan raya adil dan bebas di mana parti pemerintah yang mengalami masalah, sedia berundur. Tapi keadaan ini tak berlaku dalam negara kita," katanya.

Beliau bagaimanapun turut menggesa ahli agar meneruskan usaha dakwah kepada rakyat termasuk ahli Umno agar melakukan perubahan.

Menurutnya, PAS tidak akan menang dengan hanya mengharapkan kepada undi ahli sahaja malah juga memerlukan undi orang Umno.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad akan membentang kertas kerja bertajuk "PAS Ganti Umno; Rasional dan Tindakan".

Manakala AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar akan membentangkan tajuk "Umno dan Krisis Ketuanan Melayu".Hd

Related Posts

PAS perlu menang dengan kekuatan sendiri
4/ 5
Oleh