Home » » Sepakan tiga penjuru untuk Khalid

Sepakan tiga penjuru untuk Khalid

Written By kiff isme on Isnin, 6 September 2010 | September 06, 2010

Sebagai penjaga gol,apakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mampu menahan sepakan penalti tiga penjuru ini.


KUALA SELANGOR 5 Sept. - Pemilihan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor tahun ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor akan dicabar tiga lagi calon.

Tiga calon yang telah mengesahkan akan bertanding menentang Abdul Khalid ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mazli Saring, 42; bekas Ketua Wanita PKR Bahagian Kuala Selangor, Fauziah Sulaiman, 51, dan pesara guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah, 44.

Pemilihan akan berlangsung pada 3 Oktober iaitu semasa Mesyuarat Agung Tahunan Kuala Selangor 2010 di Stadium Tertutup Kuala Selangor yang turut menyaksikan lebih 100 pencalonan untuk jawatan-jawatan lain dalam bahagian.
Situasi yang berlaku jelas menunjukkan tentangan hebat ahli-ahli PKR terhadap kepimpinan Abdul Khalid sebagai Ketua Bahagian yang sebelum ini mendapat kritikan teruk daripada ahli-ahli akar umbi.

Malah jumlah calon yang ramai bertanding untuk merebut kerusi disandang Abdul Khalid membuktikan ahli-ahli PKR Kuala Selangor mahu ada pemimpin baru meneraju bahagian itu.

Pemilihan ini dianggap yang pertama oleh beberapa calon yang bertanding (selain Abdul Khalid) kerana sebelum ini ahli jawatankuasa bahagian dipilih tanpa pertandingan.

Sementara itu, Mazli yang ditemui pemberita selepas mengisi borang pencalonan berkata, beliau mahu membina kembali PKR Bahagian Kuala Selangor dengan lebih tersusun, mantap dan dinamik jika diberi mandat oleh ahli-ahli.
Selain atas seruan demokrasi, beliau mahu pemimpin bahagian baru yang dapat mematuhi perlembagaan PKR selain menumpukan perhatian sepenuhnya kepada politik bahagian.

''Saya cakap begitu kerana berdasarkan apa yang pernah saya bangkitkan sebelum ini. Contohnya pada 15 Mac yang lalu apabila Mesyuarat Agung Bahagian diadakan ahli-ahli tidak dimaklumkan dengan cara yang betul hingga 50 ahli yang tidak puas hati keluar dewan.

''Untuk pemilihan kali ini juga masih belum ada notis diberikan sehingga ke hari ini mengikut cara yang ditetapkan perlembagaan," katanya.

Bagi Muhammad Kamil pula yang sebelum ini tidak memegang apa-apa jawatan dan hanya ahli cawangan Batang Berjuntai di sini, semua ahli parti mempunyai hak untuk bertanding dan beliau mahu menyahut suara akar umbi yang inginkan perubahan dalam bahagian.

''Saya bertanding atas dasar demokrasi dan hak saya sebagai ahli. Tiada niat untuk saya menentang penyandang sedia ada," katanya.

Seorang lagi calon iaitu Fauziah hanya mengesahkan pencalonan dan enggan memberikan sebarang komen.
Beliau merupakan isteri kepada Timbalan Ketua Bahagian Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar yang sedang digantung selama enam bulan oleh PKR pusat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.