Isnin, 30 Januari 2012

Hartanah Medini mencurigakan atau Penyelewengan

Hartanah Medini mencurigakan atau Penyelewengan

LANGKAH diambil Khazanah Nasional (Khazanah) dalam urusan korporat sudah tentu mendapat perhatian umum kerana bukan saja ia milik Kementerian Kewangan, tetapi setiap perjanjian jual beli yang dibuat oleh Khazanah melibatkan wang berbilion ringgit.

Persoalannya, siapakah di dalam kerajaan yang memantau kegiatan Khazanah? Pemantauan di sini bukan sekadar mendapatkan taklimat atau penjelasan daripada Khazanah. Tetapi, siapakah di dalam kerajaan yang membuat analisis atau kajian terperinci mengenai tindakan-tindakan Khazanah sebelum kelulusan diberikan terhadap langkah-langkah korporat mereka?

Antara kegiatan Khazanah yang besar di dalam portfolio mereka adalah pembangunan wilayah Iskandar Malaysia. Khazanah memiliki dua syarikat pemaju utama di kawasan Nusajaya - UEM Land dan Iskandar Investment Berhad (IIB). Kedua-dua syarikat ini memiliki tanah yang besar di sana, berjumlah lebih kurang 24,000 ekar melalui pegangan mereka di dalam anak-anak syarikat yang diwujudkan untuk membangunkan projek di sana.

UEM Land adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur dan wujud sebelum Iskandar Malaysia dilancarkan pada 2006. IIB pula diwujudkan untuk menjadi pemaju besar kawasan Iskandar Malaysia bagi membangunkan projek-projek pemangkin yang dapat membawa nilai pengganda tinggi untuk ekonomi negara.

Antara kawasan utama yang dibangunkan oleh IIB adalah Medini yang terletak bersebelahan dengan Kota Iskandar. Tanah seluas 2,200 ekar ini pada asalnya adalah tanah UEM yang disuntik masuk oleh Khazanah ke dalam IIB. Ia dirancang untuk menjadi tapak pembangunan bercampur bersepadu bagi menarik pelabur-pelabur yang terlibat di dalam 6 sektor perkhidmatan yang diberi insentif oleh kerajaan Malaysia iaitu sektor pendidikan, kreatif, kewangan, logistik, kesihatan dan pelancongan.

Pada Mei 2008, IIB menandatangani perjanjian penjualan hak pembangunan hartanah Medini dengan dua konsortium Arab - Mubadala dari Abu Dhabi dan Kuwait Finance House dari Kuwait. Perjanjian itu ditaksirkan bernilai AS$ 1.2 bilion, atau RM4.2 bilion (berdasarkan kadar tukaran asing pada masa itu). Jumlah transaksi yang besar ini menjadi berita hangat di seluruh negara, sekali gus memberi harapan besar untuk merealisasikan wawasan Iskandar Malaysia.

Hampir empat tahun berlalu, Medini menyaksikan beberapa pengumuman tentang komitmen pelaburan di dalam projek perumahan, taman tema Legoland, pusat membeli-belah dan hospital swasta. Baru-baru ini Khazanah mengumumkan projek kerjasama mereka dengan Temasek dan Sunway untuk membangunkan Zon E dan F di Medini. Sekali lagi, nampak seolah- olah Khazanah berjaya menarik pelaburan ke dalam Medini.

Namun, terdapat desas-desus di Johor mengenai Medini yang sepatutnya diselidiki oleh kerajaan. Soalan yang dikemukakan oleh mereka bukanlah soalan seperti berapa ramai kontraktor Melayu mendapat tender projek di Medini atau berapa ramai setinggan Melayu yang dihalau dari kawasan perkampungan mereka, tetapi lebih merujuk kepada bagaimana Medini telah menjadi satu skema projek hartanah yang mencurigakan.

Antara yang menjadi persoalan adalah atas dasar apakah IIB mewujudkan syarikat Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (MIMSB) melalui kerjasama dengan sebuah syarikat British Virgin Island bernama UWI Capital (One) Ltd, yang diwakili oleh seorang warga asing dalam nisbah 75:25?

Sekiranya warga asing itu telah membantu IIB mendapatkan kedua-dua konsortium Arab melabur di Medini, bukankah lebih patut beliau dibayar komisen 2-3% daripada nilai pelaburan yang dibawa masuk, dan tertakluk kepada jumlah sebenar yang dibayar oleh pelabur-pelabur ini. Mengapa perlu memberi individu ini saham 25% di dalam Medini?

Yang lebih menghairankan, individu ini juga mewakili dua syarikat British Virgin Island lain - Alpha Four dan Alpha Five Ltd yang memegang 10% di dalam kedua-dua konsortium Arab yang melabur di Medini. Bukankah ini bermaksud individu ini mengaut keuntungan daripada penjual (Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.) dan pembeli (Mubadala dan Kuwait Finance House)?

Umum mengetahui individu berkenaan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah di dalam ketiga-tiga syarikat ini, sehingga menimbulkan persoalan, siapakah sebenarnya individu ini? Apakah beliau memegang kepentingan orang-orang lain yang tidak dapat diketahui disebabkan kesemua syarikat pesisir (offshore) yang diwakilinya berpangkalan di British Virgin Island?

Persoalan kedua ialah apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh konsortium-konsortium Arab dalam menarik pelaburan Asia Barat ke Medini? Jika dikaji semula keratan akhbar mengenai projek-projek Medini, hampir semuanya melibatkan Khazanah dan anak-anak syarikatnya sendiri.

Sebagai contoh, projek pusat membeli-belah di Zon A Medini akan diusahakan oleh UEM Land (anak syarikat Khazanah), projek hospital Gleaneagles adalah milik Khazanah, projek pembangunan bercampur di Zon E dan F pun akan diusahakan oleh syarikat kerjasama Khazanah dengan Temasek dan Sunway.

Taman tema Legoland pun tidak boleh dilihat sebagai pelaburan asing ke Medini kerana sebahagian besar kos pembinaan RM720 juta dibiayai oleh pinjaman mudah kerajaan dan dana mudahcara. Ini bermaksud pembayar cukailah yang membiayai projek tersebut.

Sekiranya tiada usaha sebenar yang dilakukan oleh kedua-dua konsortium Arab untuk membawa masuk pelabur-pelabur Asia Barat ke Medini, dan ditambah pula dengan kenyataan bahawa Khazanah yang akhirnya melabur di Medini melalui anak-anak syarikatnya sendiri, mengapa perlu mewujudkan beberapa syarikat orang tengah?

Mengapa Khazanah tidak terus menjual tanah kepada Khazanah-Sunway JV? Mengapa transaksi tanah ini perlu melalui pelbagai syarikat tengah seperti IIB, Medini Iskandar Malaysia dan konsortium Arab? Bukankah ini membolehkan warga asing yang disebut tadi mengaut keuntungan daripada syarikat-syarikat orang tengah ini?

Persoalan ketiga yang perlu diselidiki ialah sekiranya Khazanah sendiri yang melabur di dalam projek Legoland, hospital swasta dan pusat membeli-belah di Zon A Medini, apakah ini bermaksud Khazanah atau IIB membeli semula tanah yang pada asalnya dijual kepada konsortium Arab? Desas-desus di Johor mengatakan bahawa IIB terpaksa membeli semula sebahagian dari tanah-tanah yang dijual kepada konsortium Mubadala akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Khazanah bagi pihak IIB.

Apa yang perlu disiasat ialah apakah harga tanah yang dibeli semula oleh IIB lebih tinggi dari harga yang dijual kepada konsortium Mubadala? Jika ini benar, bukankah ia boleh membawa maksud konsortium Mubadala mendapat untung atas angin daripada perjanjian jual-beli dengan IIB.

Satu lagi yang perlu diketahui ialah apakah konsortium-konsortium Arab ini mematuhi jadual pembayaran kepada MIMSB? Desas-desus di Johor ada mengatakan bahawa MIMSB dibebankan dengan masalah aliran tunai akibat kelewatan pembayaran oleh kedua-dua konsortium Arab ini, yang mungkin berkait dengan kegagalan mereka menarik pelabur asing ke Medini.

Kegagalan membawa masuk pelabur lain ke Medini jugalah yang menyebabkan mereka terpaksa menjual semula atau memulangkan sebahagian tanah Medini kepada IIB dan MIMSB. Dalam hal sebegini, Khazanah perlu telus dengan memberitahu berapa banyakkah tanah Medini yang telah dijual balik atau dipulangkan semula kepada IIB dan anak-anak syarikatnya.

Apakah harga jualan kepada konsortium Arab ini masih kekal pada harga AS$ 1.2 bilion?

Sejauh manakah pengurangan dari jumlah asal ini sekiranya terdapat sebahagian tanah yang telah dijual balik atau dipulangkan semula kepada IIB atau MIMSB?

Yang menghairankan, walaupun MIMSB menghadapi masalah aliran tunai akibat kelewatan pembayaran dan pemulangan semula sebahagian tanah Medini oleh Mubadala, syarikat tersebut masih boleh membayar dividen sebanyak RM475 juta pada 2008? Perlu diingatkan, 25% daripada dividen ini ialah milik syarikat British Virgin Island yang diwakili oleh individu berkenaan. Mengapa MIMSB tidak sabar-sabar mahu mengagihkan dividen pada tahun tersebut sedangkan bayaran daripada konsortium-konsortium Arab belum diterima sepenuhnya.

Bukankah fokus sepatutnya diberikan untuk membelanjakan wang ke arah pembinaan infrastruktur Medini, bukannya pengagihan dividen? Apakah IIB membeli balik tanah pada harga lebih mahal daripada Temasek dan Sunway? Mengenai penjualan semula tanah Medini kepada IIB, Khazanah juga perlu telus mengenai berapakah harga tanah yang dibeli balik oleh IIB daripada konsortium Mubadala. Harga ini perlu dibandingkan dengan harga yang dibayar oleh syarikat kerjasama Khazanah dengan Temasek dan Sunway untuk Zon E dan F Medini.

Mengikut apa yang dilaporkan di Bursa Saham Kuala Lumpur, harga yang dibayar untuk Zon E dan F ialah lebih kurang RM25 sekaki persegi kawasan lantai kasar (Gross Floor Area). Berapakah harga yang dibayar oleh IIB?

Sekiranya IIB membeli semula tanah dari konsortium Mubadala pada harga yang lebih tinggi (dalam nilai RM sebenar, bukan USD) daripada apa yang dibayar oleh Sunway dan Temasek, ini bermaksud IIB disepit oleh perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Khazanah.

Bagaimana pula dengan pemulangan semula sebahagian tanah Medini kepada MIMSB? Siapakah yang dilantik oleh MIMSB atau anak syarikatnya sebagai ejen untuk mencari pelabur-pelabur asing ke Medini? Desas-desus orang Johor menceritakan bahawa sebuah syarikat tempatan yang dilantik menjadi ejen hartanah untuk pihak MIMSB. Dikatakan bahawa syarikat itu mendapat hak eksklusif untuk menjadi ejen hartanah pada kadar komisyen 30%.

Banyak perkara lain yang boleh dibangkitkan di sini mengenai peliknya skema hartanah Medini yang diuruskan oleh Khazanah pada awal penubuhan IIB. Persoalan yang penting ialah apakah pemegang saham IIB yang lain - Kumpulan Wang Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KPRJ) - diberi taklimat jelas mengenai risiko-risiko ini? Kita semua mengetahui KWSP ialah sebuah institusi pelaburan yang konservatif, tidak mungkin skema hartanah sebegini boleh diluluskan oleh Panel Pelaburan KWSP, melainkan sekiranya kertas kerja Lembaga Pengarah IIB tidak menghuraikan risiko-risiko sebegini.

Skema hartanah Medini yang dihuraikan di sini nyata sekali mencurigakan dan perlu disiasat. Transaksi-transaksi hartanah yang berlaku di Medini distrukturkan secara canggih dan rumit, berselindung di sebalik perjanjian-perjanjian jual-beli yang sukar difahami dan mengundang pelbagai soalan, seolah-olah terdapat konspirasi besar yang mahu mengaburi mata rakyat.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan memantau lebih kuat syarikat-syarikat GLC. Memantau bukan bermaksud sekadar mendengar taklimat daripada syarikat-syarikat ini, tetapi menyiasat, mengkaji, membuat analisis dan membangkitkan soalan-soalan yang boleh memastikan tidak ada perjanjian berat sebelah yang menggadai kepentingan negara.

RAKYAT JOHOR PRIHATIN,
Johor Bahru

Ahad, 29 Januari 2012

Faekah: Noh Omar buka mulut tapi gagal jelas dakwaan salahguna dana

Faekah: Noh Omar buka mulut tapi gagal jelas dakwaan salahguna dana

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh Omar sejak akhir-akhir ini berjaya mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik dan dikatakan berkait rapat dengan impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas semula pentadbiran Negeri Selangor.

Semalam, sekali lagi beliau mendapat liputan hebat dengan memberi penjelasan tehadap skandal salah guna wang rakyat dalam projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan dana RM250 juta.

Namun agak mengecewakan apabila Noh Omar gagal memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan kredibiliti dan integriti beliau sebagai pemimpin yang baik sebaliknya telah membongkar betapa dangkalnya pemahaman beliau selaku menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap isu mega tersebut.  Beliau menggunakan alasan-alasan teknikal untuk mengatakan projek RM250 juta NFC ini tidak gagal - meskipun begitu beliau tidak berani pula untuk mengatakan ianya berjaya, memadai dengan "tidak gagal".

Sebagai Menteri, mustahil beliau tidak memahami isu sebenar NFC.  Kalau pakcik-pakcik tua di kedai-kedai kopi pun faham isu pengkhianatan wang rakyat ini masakan Noh Omar selaku menteri tega buat-buat bodoh dengan menyimpang dari isu sebenar.  Hujah yang beliau bangkitkan gagal menjawab isu pokok iaitu salah guna dana dan pertanggungjawaban dalam menggunakan dana RM250 juta menggunakan wang rakyat untuk projek ini.

Jika Noh mahukan publisiti dengan menjawab isu berkaitan NFC ini selaku Menteri, beliau seharusnya menjelaskan secara terperinci siapakah dan untuk apakah harta mewah itu dibeli; apakah relevan pembelian kereta Mercedez Benz menggunakan dana NFC dan apa kaitannya pembayaran bil-bil untuk ahli keluarga seorang Menteri menggunakan dana NFC?  Jika Noh mahu bermain politik selamat, seeloknya Noh berdiam diri sebagaimana yang dilakukan bosnya Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat jelas melihat Noh sebagai seorang menteri yang tiada kredibiliti dan integriti. Seperti mana yang digariskan oleh Institut Integriti Negara - institusi yang diwujudkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sendiri - sesungguhnya integriti seorang pemimpin akan terjejas jika beliau "cakap tak serupa bikin", kurang berteladan dan lemah iltizam.

Beliau mendabik dada kononnya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi membiarkan pembaziran dan salah guna kuasa yang berlaku di bawah portfolio pertaniannya - cakap tak serupa bikin.  Beliau seolah-olah menghalalkan perkara jahat ini berlaku - kurang berteladan.  Beliau tidak mempunyai kekuatan diri untuk secara berani membicarakan isu rasuah dan salah guna kuasa dan seterusnya mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya - lemah iltizam.

Dengan tiga kelemahan ketara tersebut, saya cadangkan Noh Omar kembali meminta nasihat daripada Institut Integriti Negara apakah elemen yang perlu ada untuk menyelenggara dana amanah rakyat.  Lebih elok lagi jika beliau mengambil kursus perjawatan mahupun peperiksaan integriti kelolaan institut tersebut agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan matlamat institut tersebut ditubuhkan.  Jika tidak, lupakan saja cita-cita mahu menjadi jaguh di Selangor ataupun terpilih semula di dalam PRU13 nanti kerana bimbang negara ini menjadi kucar-kacir seperti yang berlaku terhadap NFC.

Sabtu, 28 Januari 2012

Hadi lahir hasrat mahu berundur, tidak mahu bertanding dalam PRU-13

Hadi lahir hasrat mahu berundur, tidak mahu bertanding dalam PRU-13

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Disebalik persiapan dan harapan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan hasrat mahu berundur daripada bertanding pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Kata Hadi, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.
“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.
Bagaimanapun Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam pilihan raya ke-13.
“Terpulang kepada parti untuk menilai kerusi mana yang sesuai untuk saya sama ada Dun atau Parlimen,” katanya menambah menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
Jelas Hadi, ramai pemimpin pelapis dalam parti Islam itu yang boleh diberi peluang untuk membawa hala tuju parti di masa depan.
Katanya, penglibatannya dalam arena politik sezaman dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya kebetulan mengikuti parti sejak zaman Tun, zaman generasi kedua (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sampailah kini.
“Saya diberi amanah kepimpinan dan kerusi pada usia terlalu muda, saya menjadi naib presiden semasa berusia 30-an, sudah terlalu lama,” katanya.
Hasrat Hadi ini mungkin akan memberikan rasa kurang senang dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP.
Sejak bergabung di bawah Pakatan Rakyat, parti perikatan ini telah mencipta sejarah pada pilihan raya umum 2008 apabila berjaya menawan Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990.
Selain itu Pakatan Rakyat turut menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

Selasa, 24 Januari 2012

Ibrahim Ali Persenda  Sultan Selangor

Ibrahim Ali Persenda Sultan Selangor

Tindakan kurang bermoral Datuk Ibrahim Ali yang cuba mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu pelantikan exco kerajaan negeri baru-baru ini amat tidak wajar kerana mempersenda keputusan baginda Sultan Selangor.

Sebaliknya tindakan tersebut membuktikan beliau adalah seorang ahli politik yang kehabisan modal, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Faekah dalam kenyataan medianya turut menyatakan Ibrahim Ali kini sedang mencuba sedaya upaya untuk menjadikan dirinya masih relevan di arena politik tanahair.

Malah menurut Faekah, beliau juga hairan dengan percubaan Ibrahim Ali untuk melaga-lagakan PAS dengan Kerajaan Selangor sedangkan Ibrahim sebelum ini mempunyai sejarah tersendiri dengan PAS.

"Siapa yang dapat melupakan bagaimana beliau mengkhianati PAS umpama parasit setelah parti itu memberi beliau tiket bertanding pada 2008. Hari ini beliau terhegeh-hegeh pula dengan UMNO sedangkan parti yang bakal tumbang ini pun melihatnya sebagai liabiliti dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti.

Kita tidak mempersoal tindakan Ibrahim Ali yang kini begitu akrab dan bersekongkol dengan mantan Exco Agama, Datuk Dr Hasan Ali, namun keceluparan Ibrahim mempertikaikan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Exco Hal Ehwal Islam merupakan satu penghinaan kepada DYMM Sultan Selangor yang sesungguhnya adalah Ketua Agama Islam di Selangor," tegasnya.

Faekah berkata, keputusan Abdul Khalid memegang portfolio ini dibuat setelah mengadakan perbincangan dan mendapat perkenan DYMM Sultan memandangkan pentadbiran di Selangor mengamalkan amalan konsultasi berterusan dengan pihak istana dalam pelbagai hal.

Tambahnya, tuduhan Ibrahim Ali bahawa pelantikan Abdul Khalid untuk memegang portfolio Hal Ehwal Islam hanya akan menyemarakkan rumah maksiat di Selangor juga disifatkan sebagai amat keterlaluan.

"Kita ingatkan Ibrahim Ali bahawa keutuhan dan kesucian agama Islam di Selangor, pengawalan kegiatan tidak bermoral, termasuk perjudian dan rumah-rumah maksiat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kedua-duanya dalam pemerhatian rapat Baginda Tuanku.

Menuduh bahawa Tan Sri Khalid akan merelakan kegiatan tidak bermoral atas perkiraan politik seolah-olah mempersenda kedua-dua institusi agama tersebut termasuk baginda Sultan. Pada perkiraan Ibrahim semua ahli politik akan menggadai maruah demi undi sebagaimana dirinya yang sanggup mengkhianati PAS walaupun parti tersebut mengutipnya setelah dicampak oleh Umno," katanya lagi.

Beliau berkata, selaku umat Islam, Ibrahim Ali seharusnya mendoakan setiap pemimpin berkhidmat dengan ikhlas, mentaati hukum dan menggalas jawatan sebagai amanah Allah supaya negeri menjadi aman sejahtera dan bukannya menuduh bahawa Selangor akan menjadi negeri peliwat.

Menurutnya, kenyataan itu sekaligus menggambarkan betapa kotornya pemikiran 'politikus' tua Ibrahim Ali yang bercakap tanpa iman, penuh dendam dan nafsu serakah.

Tegasnya, dakwaan itu merupakan satu penghinaan kepada seluruh rakyat Selangor dan Ibrahim Ali seharusnya dihalang dari menjejakkan kaki di negeri berdaulat ini.

"Menteri Besar amat memandang serius tohmahan jahat ini dan akan membincangkan isu ini dengan semua agensi terbabit dan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri termasuk juga pihak Istana. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali kerana keceluparan melampau beliau semata-mata mendapatkan publisiti murahan," jelasnya.

Rabu, 18 Januari 2012

Kenapa Najib kena marah.

Kenapa Najib kena marah.

Kenapa katak-katak yang mempertahankan melayu dan islam,berdiam diri?

Selasa, 17 Januari 2012

Bersih lantik A Samad Said pengerusi bersama

Bersih lantik A Samad Said pengerusi bersama

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Datuk A Samad Said akan dilantik sebagai pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dilihat akan memberi tekanan dalam menuntut transformasi pilihan raya negara.
Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga mengesahkan pelantikan itu kepada The Malaysian Insider, menambah satu pengumuman rasmi akan dibuat hari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).

“Ya. Saya sahkan mengenainya tetapi kami juga akan mengumuman lain,” katanya apabila ditanya sama ada pelantikan Samad sudah dibuat secara rasmi atau tidak.

Samad, Sasterawan Negara berusia 76 tahun ini yang mencipta fenomena baru semasa Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu bagaimanapun enggan menjawab persoalan itu, sebaliknya mengulas sedang sibuk dengan “rancangan utama” Bersih.

“Saya tidak boleh hendak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu tetapi akan ada satu pengumuman, elok anda datang dan dengar sendiri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Samad menjadi perhatian selepas sajaknya bertajuk “Unggun Bersih” dideklamasikan semasa pelancaran Bersih 2.0, yang turut menyaksikan beliau dipanggil ke balai polis untuk soal siasat.

Penulis veteran ini merupakan antara peserta Bersih 2.0 yang berjaya tiba di Stadium Negara untuk mendesak pilihan raya bersih dan adil bersama Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Sementara peserta lain termasuk Ambiga dan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat ditahan pihak berkuasa.

Samad telah dinamakan sebagai pengerusi bersama Bersih melalui kenyataan akhbar baru-baru ini.

“Sidang media esok (hari ini) memang mengenai saya tapi saya tidak tahu secara terperinci. Saya juga diminta hadir lebih awal sebelum sidangh media diadakan,” katanya.

Ditanya sama ada akan menerima jawatan itu, Samad bagaimanapun ketawa sambil berkata ia akan diulas semasa sidang media diadakan.

“Apa-apa saya akan jawab semasa sidang media (sama ada mahu terima atau tidak), kita tunggu sahaja nanti,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan Bersih akan mengumumkan kempen terbarunya hari ini serta respons kepada prestasi semasa Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) yang diarahkan melihat cadangan pembaharuan pilihan raya.

“Kami akan umumkan kempen terbaru dan pandangan kami mengenai PSC,” kata Ambiga

Ahad, 15 Januari 2012

Pakatan bersedia ke Putrajaya

Pakatan bersedia ke Putrajaya

Pakatan Rakyat (PR) harus mengekalkan matlamat untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN) dan menawan pentadbiran persekutuan, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Manusia hanya mampu merancang. Kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian, tapi janganlah itu menghapuskan matlamat kita ... Tuhan menentukan,” kata Ketua Pembangkang itu ketika Konvensyen ke-3 PKR di sini.

“Kita janganlah berasa terancam, terperangkap kerana duit. Kita harus konsisten dan memberikan komitmen penuh untuk menjulang keadilan untuk rakyat Malaysia.”

Tegas Anwar, tiada ruang dalam PKR buat mereka yang terpedaya dengan pujukan janji dan wang, dan mendesak parti komponennya mengamalkan budaya bersih.

“Adalah lebih baik sekiranya kita membersihkan Pakatan Rakyat daripada mereka yang gila kuasa dan duit, bukannya bertentangan ideologi,” tambahnya mengulas berkenaan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS.

“Saya ucapkan tahniah kepada Hadi Awang dan pimpinan PAS kerana mengambil tindakan tegas dan membuktikan parti akan tetap mempertahankan ideologi dan prinsip, dan sanggup berdepan dengan masalah dalaman parti memperjuangkan kesatuan dalam Pakatan Rakyat.”

Rabu, 11 Januari 2012

Aunty Ah Mei berpuasa untuk pembebasan Anwar



Sungguhpun di luar jangkaan, namun tidak kurang yang terharu dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah dan dibebaskan dalam kes liwat 2. Dari klip video yang dimuatkan ke laman Youtube, seorang lelaki India kelihatan menangis (minit 3.32) apabila Naib Presiden PKR Tian Chua mengumumkan keputusan itu di luar mahkamah kepada khalayak ramai.

Seorang lelaki Melayu, Kamarul Hatta mencukur rambutnya selepas kemenangan memihak kepada Anwar Ibrahim di penghujung perbicaraan yang menelan masa kira-kira tiga setengah tahun. Malah, seorang wanita Cina, Tuw Ah Mei, 71, telah mengambil keputusan untuk berpuasa selama lima hari, kerana hajatnya agar Anwar dibebaskan termakbul.

Tuw Ah Mei seorang buddhist, dengan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Beliau turun untuk perhimpunan 901 di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada awal pagi 9 Januari, sambil membawa mesej menentang pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan.

Menurut Ketua Ranting PKR Air Putih, Lee Chean Chung, yang melawat Tuw Ah Mei bersama Kamarul Hatta di rumahnya pada hari ini, ianya bukan kali pertama Tuw Ah Mei "berpuasa". Sebelum ini, Ah Mei pernah mogok lapar apabila Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sekarang dijatuhkan hukuman penjara. Beliau mengulangi protesnya ketika zaman Reformasi, apabila Tian Chua dan rakan-rakan perjuangnnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berbeza dengan dua kali yang lalu, Ah Mei bukan "mogok lapar" kali ini, tetapi "berpuasa" kerana beliau telah bersembahyang, mendoakan agar Anwar dibebaskan. Beliau berjanji untuk berpuasa selama lima hari, seandainya hajatnya termakbul. Ketika dihubungi , Chean Chung berkata Ah Mei kini dalam keadaan yang baik, meskipun telah berpuasa sejak 9 Januari, dengan hanya minum air kosong. Mereka menasihat agar Ah Mei memendekkan tempoh tersebut, memandangkan usianya yang lanjut, tetapi Ah Mei tetap dengan keputusan asalnya.

Ah Mei seorang anggota DAP, sebelum menjadi aktivis yang bergiat aktif di Kuantan. Beliau pernah mencukur kepalanya, sebagai tanda protes apabila Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Damansara ditutup pada tahun 2001. Beliau juga pernah mencukur rambutnya, meraihkan kemenangan calon PKR Fuziah Salleh di Kuantan, dalam PRU 12 pada tahun 2008.

Chean Chung berkata, sudah banyak kali Ah Mei mengulangi bahawa dirinya tidak mahu lagi terlibat dengan aktiviti sebegini, kerana usianya yang lanjut. Namun, akhirnya Ah Mei tampil ke depan juga, apabila mendapati tagak kurang orang berbuat demikian, khususnya dari kaum Cina dan wanita. Menurut Chean Chung, Ah Mei sentiasa berada di barisan paling depan dalam protes jalanan, mendakwa dirinya sudah tua - dan tidak mengapa seandainya sesuatu terjadi kepada dirinya.

Ahad, 8 Januari 2012

Hasan Ali menghina Presiden PAS

Hasan Ali menghina Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Datuk Dr Hasan Ali telah menghina presiden parti Islam itu kerana mengeluarkan kenyataan “melawan arus” yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin.

Menurut Mahfuz, kenyataan Dr Hasan yang menolak perhimpunan 901 pada Isnin ini dan menyifatkan ia sebagai perbuatan sia-sia telah menjatuhkan imej dan maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi parti selain disanjung tinggi oleh pemimpin luar negara.

“Bagi saya beliau (Dr Hasan) menghina presiden PAS...presiden telah mengatakan akan hadir sama dalam perhimpunan itu namun Dr Hasan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu adalah perkara yang sia-sia.

“Beliau juga mengatakan pergi ke mahkamah adalah perbuatan yang sia-sia, ini adalah satu penghinaan kepada presiden PAS dan satu perkara yang amat memilukan apabila seorang presiden dihina oleh seorang pemimpin yang kononnya menyanjung tinggi ulama namun tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang menghina presiden sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini berkata menolak perhimpunan 901 an menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Dr Hasan berkata semua pihak termasuk pemimpin yang terlibat harus memikirkan sedalam-dalamnya perkara itu kerana ia memberikan kesan bukan sahaja kepada negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Hasan berkata perbicaraan itu telah berlangsung lebih tiga tahun dan Anwar telah diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya oleh mahkamah.

Semalam Abdul Hadi berkata akan menyertai perhimpunan 901 menambah ”untuk ahli PAS pula terserah kepada masing-masing.”

Ekoran kenyataan Dr Hasan itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendesak PAS mengambil tindakan sewajarnya terhadap exco kerajaan negeri Selangor itu.

Azmin berkata kenyataan Dr Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Esok PAS akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat dan kemungkinan besar isu Dr Hasan akan dibangkitkan.

Tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, PAS akan memanggil Dr Hasan untuk memberikan penjelasan dan tindakan akan diambil dengan mengikut perlembagaan parti.

Beliau menambah tindakan yang akan diambil PAS bukan disebabkan pengaruh atau desakan sesiapa.

“Tindakan PAS tidak berasaskan kepada apa orang cakap, kita buat tindakan mengikut bidang kuasa kita...tindakan ini bukan disebabkan Azmin Ali atau pemimpin lain.

“Begitu juga semasa pertemuan presiden dengan Dr Hasan Ali sebelum ini, ia bukan disuruh oleh sesiapa tetapi adalah tindakan PAS sendiri...kita mempunyai prosedur dan pendirian sendiri,” katanya.

Mahfuz berkata sebarang bentuk hukuman akan diputuskan oleh kepimpinan PAS.

“Apa yang berlaku ini sangat mendukacitakan...ahli merungut dan kecewa dengan tindakan Dr Hasan Ali yang telah merosakkan suasana dalam parti,” katanya.

Jumaat, 6 Januari 2012

Mahasiswa: Serahkan bukti keganasan polis

Mahasiswa: Serahkan bukti keganasan polis

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Kumpulan mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini akan menyerahkan bukti keganasan polis di Bukit Aman selepas solat Jumaat.

Menurut aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, selain serahkan bukti keganasan polis kumpulan mahasiswa itu juga akan menyerahkan memorandum.

“Kita akan serahkan bukti penting keganasan polis di UPSI pada petang ini di Bukti Aman.

“Kita ada banyak bukti keganasan polis, kita ada dalam bentuk video dan juga gambar yang menunjukkan polis bertindak kasar terhadap mahasiswa,” katanya selepas memberikan keterangan berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini.

Turut hadir peguam Adam Adli , Fadiah Nadwa Fikri dan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang — yang mendakwa dipukul polis semasa polis cuba menghuraikan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI.

Muhammad Safwan yang mengalami kecederaan dalam insiden itu hadir dengan berkerusi roda.

Adam Adli, 22, menjadi perhatian dan dikritik kerana bertindak menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu.

Dua kumpulan mahasiswa yang akan menyerahkan bukti keganasan polis adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Bebas.

“Muhammad Safwan mempunyai tesmoni dan saksi yang dapat buktikan polis telah bertindak ganas semasa menahannya.

“Kita mempunyai bukti-bukti ini dan kita akan dedahkan pada petang ini,” kata Adam Adli yang menuntut di UPSI.

Justeru beliau berharap dengan pendedahan itu dapat menutup mulut individu-individu yang mengkritik dan menuduh mereka membuat cerita palsu berhubung perkara itu.

“Saya nak tanya pada malam ini berapa ramai anggota polis yang cedera? Tiada sesiapapun yang cedera malah mereka menahan aktivis mahasiswa dengan ganas dan kasar.

“Sekarang kita ada bukti itu, kita nak tutup mulut orang yang tidak bertanggungajwab... kami akan buktikan,” katanya.

Polis sebelum ini telah menafikan dakwaan memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di UPSI, menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat.

Mahasiswa dan ahli politik pembangkang telah mendakwa beberapa mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik telah dipukul dan ditangkap awal pagi selepas ingkar arahan agar bersurai.

Seramai 17 aktivis mahasiswa telah ditahan dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi dan kesemua mereka dibawa ke balai polis Tanjung Malim.

Dalam demonstrasi yang diadakan pada malam sambutan tahun baru itu, Muhammad Safwan dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri.

PKR mendakwa Muhammad Safwan telah dipukul oleh lapan anggota polis dan anggota Unit Cawangan Khas.

Khamis, 5 Januari 2012

Nostalgia perjuangan guru

Nostalgia perjuangan guru

Sebut sahaja nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), rata-rata rakyat yang hidup sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua meremang bulu roma mereka hasil daripada tiupan semangat nasionalisme kelahiran para guru dari situ.

Apakan tidak, di awal penubuhannya sahaja sudah cukup meyakinkan rakyat untuk mengakui kebangkitan para gurulah yang mendorong gerakan kebangsaan untuk memulai wacana kemerdekaan negara.

Pasti, slogan mahasiswa khususnya bakal guru sebagai ‘juru bicara’ rakyat bukanlah hal yang asing dan terpisah dari masyarakat.

Dahulu, kita sudah menyaksikan anak-anak bangsa kita yang berjuang menuntut kemerdekaan adalah merupakan mahasiswa perguruan. Jadi, atas teras inilah golongan yang memperkecilkan kelompok pelajar perguruan bermakna mereka tidak ubah seperti berusaha menterbalikkan sejarah yang sahih di sisi masyarakat.

Tidak usahlah kita memperkecilkan potensi pelajar pada hari ini atas alasan mahasiswa kita akan ketinggalan, abai pada perintah dan harapan ibu-bapa, dilalaikan di dalam larut politik semasa.

Apakah pejuang kemerdekaan yang terbit daripada semangat pencerahan para guru suatu ketika dahulu sebenarnya berpijak di ruang yang fana dan berpaksi di atas kayangan? Sudah-sudahlah memperkecilkan bakal pendidik ini.

Dan akhirnya kita terpaksa akur bahawa dongak dan tunduknya bangsa kita ini adalah tersandar dengan tidur atau sedarnya bakal pendidik kita. Merekalah pencorak generasi dan penentu utama masa hadapan Malaysia.

Kebangkitan perjuangan guru

Melintas kembali romantisnya sejarah perjuangan pelajar perguruan MPSI yang kini dikenali dengan nama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), cetusan gerakan kemerdekaan awal menerusi Kesatuan Melayu Muda sekitar 1930 adalah diasaskan oleh seorang graduan MPSI yang bernama Ibrahim Haji Yaakob.

Bermulanya gerakan radikal yang saya kira mungkin detik pertama dalam usaha memerdekakan tanahair kita ini disulami kebangkitan golongan terpelajar tidak lain tidak bukan dari UPSI sendiri.

Siapa pula Harun Aminurrashid? Apa latar belakang pendidikan pendeta Za’ba ( Bapa Kesusasteraan Melayu Moden) atau tahukah kita dari manakah bermula perjuangan Aminuddin Baki? Seorang reformis pendidikan kita yang merupakan sebahagian lingkaran kebangkitan para guru untuk meniup semangat kebangsaan negara.

Jadi, penerus kebangkitan nilai kebangsaan ini bermula dengan jatuh bangunnya pelajar perguruan. Kalau mahu bercerita sumbangan besar mereka, saya kira satu hari pun belum tentu cukup untuk menggambarkan betapa pentingnya kebangkitan guru dalam menegakkan keadilan dan hak rakyat yang tertindas.

Memori luka

Kini, memori luka perjuangan pelajar perguruan yang juga pejuang kemerdekaan negara agak sedikit tersadur menerusi penerusan mahasiswa-mahasiswa yang aktif memperjuangkan hak mereka.

Kita sudah cukup penat untuk dibebani dengan krisis yang melanda para guru kita. Dari satu hak kepada hak yang lain ditarik, dibebani dengan beban tanggungjawab mendidik dan memerdekakan minda anak bangsa tetapi persoalan utama inikah layanan sebenar pihak berkuasa terhadap bakal pendidik kita dengan diherdik dan diperlakukan sebegini lupa?

Sudahlah begitu, parti pemerintah yang suatu masa dahulu bergantung kepada sumbangan para guru telah meminggirkan mereka kerana ghairah dengan ‘tokoh korporat’ dan ‘profesional’. Akhirnya ia terpalit dengan jenayah dan dosa rasuah serta penyelewengan yang juga bertaraf ‘korporat’ dan ‘profesional’.

Adakah pemerintah sedar apa yang mereka lakukan ini seumpama membunuh masa depan bangsa Malaysia kita?

Sebutkan pada mereka di celah mana sekalipun, sejarah kebangkitan rakyat seluruh dunia tidak satu pun yang memperkecilkan sumbangan mahasiswa dalam mendalangi peristiwa-peristiwa terbabit.

Hal kemuncak kebangkitan mahasiwa sendiri seperti yang dunia lihat adalah menerusi protes pelajar 15 April 1989 di Tiananmen Square di China dimana kebangkitan yang didokongi gerakan pelajar bukanlah fakta yang diruncit tanpa penjelasan fakta sejarah yang kukuh. Begitu juga kebangkitan mahasiswa dan bakal guru di Indonesia dalam reformasi 1998.

Jadi, di mana letaknya kumpulan pelajar ini di sisi masyarakat kita? Adakah mahasiswa kita sudah cukup tercerah sekiranya mereka hanya larut di dalam sistem yang melahirkan pelajar secara teknikal berilmiah tetapi tidak mampu bersifat kritis terhadap ranah pendidikan kebangsaan ini?

Sampai bila untuk kita sanggup melihat kegagalan demi kegagalan tercipta hanya untuk menutup kerang busuk yang membuat onar. Saya percaya peristiwa pembantaian mahasiswa 1 Januari lepas seharusnya menjadi titik tolak untuk sama-sama kita berganding tangan menentang kemusnahan yang sedang tercipta.

Sedar dari lena yang panjang

Mahasiswa ini bukan menuntut ruang untuk berhibur dan berfoya-foya tetapi mereka cuba mengabdikan diri mereka untuk terbabit dalam tanggungjawab kenegaraan. Suara-suara kecil mereka mahu didengari sebagai senjata yang membela rakyat jelata supaya tidak ditipu penguasa.

Akhir sekali, kita harus akur bahawa kebangkitan guru dan bakal guru inilah sumbu yang menyalakan pelita kebangkitan rakyat menentang kezaliman penguasa. Tinggal apa lagi ~ sedarlah para guru dari lena yang panjang, tiupan kebangkitan hanya tunggu tersebar bila anda semua bangkit melawan kebobrokan.

Oleh Muhammad Nazreen

Ahad, 1 Januari 2012

Anak Muda banggun menentang,Hayat UMNO mangkin singkat

Anak Muda banggun menentang,Hayat UMNO mangkin singkat

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Beberapa aktivis mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik mendakwa telah dipukul dan ditahan polis berikutan ingkar arahan pihak berkuasa berkenaan agar bersurai awal pagi tadi.
Dikatakan 17 daripada mereka telah ditahan sekitar jam 2 pagi tadi menurut peguam yang mewakili mereka, Fadiah Najwa Fikri. Tambahnya, mereka masih lagi berada dalam tahanan polis.
Koordinator “Lawyers for Liberty” itu berkata, pihak polis bertindak kasar terhadap mahasiswa berkenaan, yang menyaksikan seorang daripada mereka, Muhammad Safwan Anang, Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) di hantar ke Hospital slim River kerana tidak sedarkan diri.
“Mereka dipukul, ditendang dan ditumbuk. Menurut saksi, Safwan turut mengalami patah beberapa batang gigi,” jelas Fadiah Najwa ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Menurutnya lagi, pihaknya tidak pasti jumlah sebenar anggota polis yang terlibat memukul Safwan, “tetapi memang ramai”.
Menurutnya, mahasiswa yang dianggarkan sekitar 60 orang itu telah duduk dan mengadakan demonstrasi di kampus bermula malam tadi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim.
Adam Adli, 21, telah menjadi tajuk utama UPSI kerana menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razakdi luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
Pihak polis berpakaian uniform dan preman mula masuk campur sekitar 30 minit kemudian.
“Ramai di antara mereka telah dipukul,” kata Fadiah, dan menambah, salah seorang daripada penunjuk perasaan cuba menolong Safwan tetapi turut ditahan.
“Saya tidak pasti sama ada keluarga pelajar yang ditahan itu akan dimaklumkan, polis turut merampas telefon bimbit mereka.
Tambah Fadiah setakat ini pihak polis masih lagi tidak membenarkan peguam berjumpa mereka yang kini di tahan di Balai Polis Tanjung Malim.
“Mereka ditahan di balai polis, tetapi difahamkan peguam tidak dibenarkan berjumpa mereka,” katanya, dan menyatakan tiada wakil guaman untuk mahasiswa berkenaan.
“Adam ada menghantar pesanan ringkas selepas insiden berkenaan, tetapi saya tidak mendengar khabar lagi selepas itu,” katanya.
Tambahnya, polis turut mengadakan sekatan jalan raya menghala ke Tanjung Malim berikutan insiden tersebut berdasarkan maklumat daripada Twitter.
“Sekarang ini sepanjang lebuh raya menghala ke Tanjung Malim polis membuat sekatan jalan raya. Ini kerja gila,” tambah peguam ini lagi.
Insiden awal pagi berkenaan ketika sambutan tahun baru itu telah mendapat perhatian parti pembangkang yang menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengemukakan penjelasan terhadap keganasan pihak polis terhadap kummpulan mahasiswa berkenaan.