Khamis, 16 Mei 2013

Pengerusi Persatuan Sekolah Mubaligh Kristian jadi Timbalan Menteri Pelajaran



Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan pembentukan kabinet baharu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai bukti bahawa perjuangan akidah dan bangsa bukanlah merupakan agenda utama UMNO dan Barisan Nasional

Ini terbukti apabila berisan kabinet tersebut tidak banyak mengetengahkan individu-individu yang dilihat vokal dalam isu akidah dan bangsa Melayu.

Dari sudut akidah sebagai contoh, Datuk Seri Najib jelas mengambil risiko dengan melantik Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia ( Federation of Councils of Christian Mission Schools Malaysia) adalah merupakan antara tokoh yang memperjuangan status sekolah mubaligh agar disamakan dengan sekolah kebangsaan. Hasil perjuangan beliau juga, sebanyak RM100 juta diagihkan kepada sekolah mubaligh di bawah Bajet 2013.

DPPNK ingin mempersoalkan apakah agenda Datuk Seri Najib membawa masuk individu sebegini di dalam Kementeria Pelajaran jika tidak untuk memperkasakan lagi sekolah-sekolah mubaligh dan dalam masa yang sama tiada tokoh yang akan memperjuangkan sekolah agama rakyat? Tidakkah ini juga merupakan tindakan berisiko untuk silibus pengajian murid-murid di sekolah kebangsaan yang pastinya akan turut menerima kesan ialah anak-anak kita semua?

Demikian juga tindakan Datuk Seri Najib membawa masuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy ke dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengenepikan suara-suara badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan bangsa Melayu turut dianggap sebagai umpan untuk menarik kembali undi bukan Melayu kepada Barisan Nasional.

Dalam hal ini, DPPNK ingin sekali mengetahui sikap badan-badan bukan kerajaan seperti PERKASA dan JATI yang jelas hanya dibakulsampahkan dalam pembentukan kabinet ini.

Selain itu, kegagalan Datuk Seri Najib untuk membawa masuk lebih ramai tokoh agama ke dalam kabinet membayangkan slogan UMNO selama ini sebagai pejuang agama Islam hanyalah retorik semata-mata.

Jika sebelum ini sekurang-kurangnya kabinet Malaysia mempunyai Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Masyitah Ibrahim, kini hanya tinggal satu nama iaitu Jamil sebagai tokoh yang berlatarbelakangkan agama dalam kabinet baharu ini.

Di mana suara para ulama yang sebelum ini kuat membela UMNO/Barisan Nasional dalam isu kalimah Allah dan sebagainya? Adakah sudah menjadi kukur kelapa yang digunakan ketika kenduri dan disandar di hujung dapur apabila musim kenduri sudah habis?

Bagaimanapun konteks Kelantan, DPPNK mengharapkan agar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dilantik untuk penggal seterusnya dapat memainkan peranan yang lebih aktif membantu membawa pembangunan ke Kelantan. Ini ditambah pula dengan kejayaan besar beliau memenangi DUN Ayer Lanas dengan majoriti 47 undi membolehkan beliau untuk menajdi jambatan penghubung di antara kerajaan Kelantan dan kerajaan Pusat.

Apapun, bagi pihak DPPNK, tiada yang mengejutkan dalam kabinet baharu Datuk Seri Najib ini, transformasi yang dilaungkan hanyalah transformasi label dan pembungkus sahaja sedangkan isi dalamannya masih sama bahkan lebih tidak mustahil lebih teruk daripada yang sebelumnya.


MENJELANG pilihan raya umum lalu, seorang penceramah agama berdoa, "Ya Allah ya Tuhanku, menangkanlah BN dalam pilihan raya ini. HambaMu ini bimbang ya Allah, kalau-kalau surau kami ini bertukar menjadi gereja jika Pakatan menang."

Doa ini dibacakan oleh seorang bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah di negeri Terengganu yang bergelar datuk, bukan calang-calang guru agama Umno.

Ia dibacakan sebaik sahaja dia selesai memberikan kuliah bulanan di surau yang asalnya masjid itu di bawah parlimen Marang.

Namun memandangkan Marang adalah kubu kuat PAS dan politik bandar mempengaruhinya, sentimen tidak betul ini ditolak oleh masyarakatnya.

Calon BN kalah di peringkat DUN dan juga Parlimennya. Namun, menggunakan sentimen masjid akan bertukar gereja jika Pakatan menang, PAS jadi tunggangan DAP dan nasib orang Melayu akan tergadai di bawah Pakatan, Terengganu tidak berjaya berubah sepenuhnya.

Sentimen yang sama juga berjaya menambahkan bilangan anggota Parlimen Umno dan mengekang kerajaan Pusat dari jatuh ke tengan Pakatan Rakyat.

Sentimen yang sama juga berjaya menghalang orang Melayu di kebanyakan kawasan di Johor masih mengundi BN walaupun semua rakan-rakan Cina mereka sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.

Semuanya kerana orang Melayu khasnya yang tidak terdedah kepada maklumat mengundi dengan sentimen sedangkan orang Cina mengundi dengan fakta.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak selesai membentuk kabinetnya walaupun tidak berapa lengkap. Salah seorang yang dipilih menyertai kabinet beliau adalah Datuk Mary Ya Kain Ching, Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia.

Perlantikan Mary sebagai timbalan menteri menimbulkan persoalan kerana dalam masa yang sama Pakatan yang dituduh mahu menukarkan masjid ke gereja, Kristian akan menjadi agama rasmi dan sebagainya. Sekarang boleh kah orang ramai menuduh Najib mahu mengkristiankan sekolah-sekolah di Malaysia? Tentu tidak lojik tetapi ia satu yang wajar diperkatakan.

Mary dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dalam kabinet yang diumumkan oleh Najib semalam. Menteri Pelajaran adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin manakala Menteri Pelajaran II adalah Datuk Seri Idris Jusoh yang ditolak untuk menjadi Menteri Besar Terengganu oleh istana.

Perlantikan Mary dibuat ketika Najib mengumumkan berlakunya 'tsunami Cina' dalam pilihan raya umum ke 13 baru-baru ini.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia pula menyiarkan kenyataan agen Umno yang mengajak "Bersatulah Melayu". Sebelum itu, Utusan jugalah yang menyiarkan berita di muka depannya, "Apa lagi yang Cina mahu".

Inilah hipokritnya politik BN. Di bawah, jentera penerangan dan kempennya berkempen Kristian akan menjadi agama rasmi jika Pakatan menang.

Surau dan masjid pula akan jadi gereja jika Pakatan menang. Mereka yang tidak cukup maklumat dan hanya membaca Utusan dan menonton TV3 termakan dengan kempen ini. Ia kerana kempen ini menggunakan sentimen bukannya fakta. Sampai bila sebenarnya Umno mahu bergantung dengan kempen sebegini? Rakyat Malaysia semakin bermaklumat. Semakin hari semakin ramai rakyat yang akan akses kepada maklumat melalui internet.

Kita berharap, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru faham sentimen ini. Janganlah menipu rakyat dan percayalah jika hendak ditipupun, hanya sekali orang akan percaya. Tetapi selepas dua atau tiga kali kena tipu, percayalah rakyat akan humban kamu ke tong sampah zaman.

Kita terkedu apabila mereka meluluskan pembinaan gereja terbesar Asia Tenggara di Bukit Jalil yang telah pun siap dan dibuka pada 1 April 2013. Kini kita disajikan dengan berita Datuk Mary Ya Kain Ching, Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia dipilih menganggotai kabinet Najib.

Related Posts

Pengerusi Persatuan Sekolah Mubaligh Kristian jadi Timbalan Menteri Pelajaran
4/ 5
Oleh