Home » » Guan Eng:Umno terus menggunakan isu perkauman

Guan Eng:Umno terus menggunakan isu perkauman

Written By kiff isme on Ahad, 4 Disember 2011 | Disember 04, 2011

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Umno terus menggunakan “senjata perkauman” untuk mencari undi pilihan raya umum ke-13 selepas gagal meraih kelemahan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sebaliknya Lim dengan merujuk kepada kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan-kerajaan negeri mereka kini sudah mampu menawarkan harapan baru kepada rakyat Malaysia.

“Kegagalan mencari kelemahan kepimpinan Pakatan Rakyat yang berteraskan integriti ini yang menyebabkan Umno menggunakan senjata perkauman dan fitnah termasuk ke atas anak pelajar pemimpin Pakatan Rakyat.

“Umno sebenarnya pengecut kerana rela memfitnah anak 15 tahun saya mencabul kehormatan seorang gadis dan saya telah bayar RM200,000 untuk menutup kes ini,” kata beliau lagi dengan siri ucapan dan kenyataan pada perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno 2011 yang berakhir semalam.

Menurut Lim, dalam Perhimpunan Agung Umno pula parti itu memainkan perkauman dengan menyasarkan DAP dan cuba menakutkan rakyat bahawa kononnya ia mahu merampas jawatan perdana menteri sedangkan ramai tahu bahawa hanya bertanding bilangan kerusi Parlimen yang paling kecil di kalangan komponen Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen manakala PAS 66 dan PKR pula di 97 kawasan.

“Macam mana sebuah parti yang hanya bertanding 47 kerusi boleh memimpin Pakatan Rakyat? Jelas ini adalah permainan perkauman bahaya untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan ke atas DAP dan bukan Melayu,” kata beliau pada Kongres DAP Wanita Pulau Pinang Pertama Di Red Rock Hotel, George Town hari ini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata walaupun pada awalnya DAP dan Pakatan Rakyat dilihat sebagai tidak berpengalaman untuk mentadbir kerajaan, namun kejayaan mentadbir Pulau Pinang serta di negeri Kedah, Selangor dan Kelantan telah menunjukkan bahawa “kita tidak berpengalaman tentang rasuah dan kronisme yang dibudayakan dalam parti pemerintah (BN) di peringkat kerajaan pusat.”

“Dalam aspek ini, wanita memainkan peranan penting untuk menggerakkan perubahan untuk Bersihkan Malaysia. Bagai seorang ibu kepada anaknya, wanita mampu memberikan harapan kepada generasi muda negara bahawa masa depan akan lebih baik kerana kita semua sanggup berusaha untuk menjamin kesejahteraan mereka,” katanya lagi.

“Lihatlah, sungguhpun kaum wanita lebih bermoral dan beretika serta jauhi diri daripada rasuah dan penyelewengan bila masuk Umno dan BN jadi lain pula. Sampai seorang Ahli Parlimen Umno (Datuk) Bung Moktar (Radin) yang suka menghina kaum wanita tidak boleh memandu dan yang lagi kesat dan lucah sehingga tidak senonoh untuk disebut di sini boleh menjadi hero kerana berani minta Menteri Pembangunan Wanita (Datuk Seri Shahrizat Jalil) itu letak jawatan,” katanya lagi.

Lim menambah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang martabatkan Wanita di Pulau Pinang, pemimpin wanita diberi peluang untuk berdiri sama tegak dengan pemimpin lelaki dalam menerajui tampuk pentadbiran negeri.

“Kita amat bangga kerana daripada daripada 148 Yang Dipertua dan Datuk Bandar di Malaysia, hanya terdapat empat orang wanita dan daripada empat ini, dua adalah di Pulau Pinang iaitu Yang Dipertua MPPP dan MPSP.

“Kita juga mempunyai Pegawai Daerah wanita yang pertama di Semenanjung Malaysia, dan wanita-wanita berkaliber sedang menjawat jawatan paling tinggi dalam badan-badan kerajaan negeri termasuk George Town World Heritage Incorporation, Penang Global Tourism dan InvestPenang,” katanya.

Lim juga berkata, rakyat mesti membersihkan Malaysia demi menghalang BN menang balik Pulau Pinang dan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13, di mana akan dipimpin oleh puak rasis yang anggap bukan Melayu warganegara kelas ketiga dan Melayu mudah ditipu supaya rasuah yang bermaharajalela.

“Pada hari ini, negara dan negeri kita berada di ambang perubahan. Di satu pihak kita sedang menghadapi krisis moral di peringkat kerajaan persekutuan yang bukan sahaja diselubungi gejala rasuah berleluasa, malah dicemari dengan agenda serta retorik ketuanan dan perkauman.

“Pada hari ini, negara terus meruncing kerana pentadbiran yang tidak telus oleh Umno-BN. Kepimpinan yang lemah oleh Perdana Menteri Najib Razak menyebabkan agenda transformasi yang dilaung-laungkan oleh kerajaan persekutuan gagal sama sekali,” katanya lagi.

Malah kata beliau, laporan Indeks Persepsi Rasuah terbaru menunjukkan Malaysia merundum lagi, kali ini di tangga ke-60 daripada tangga ke-56 tahun lepas.

“Ini merupakan prestasi paling teruk dalam tempoh 10 tahun,” katanya lagi.

Katanya, DAP dan Pakatan Rakyat menawarkan satu harapan baru kepada rakyat Malaysia bahawanya negara tidak perlu menuju ke arah kemerosotan seperti masa kini.

“Kita di Pulau Pinang telah membuktikan bahawa, kerajaan yang cekap, amanah dan telus mampu membela kebajikan rakyat dan bukan setakat itu, malah mampu memacu ekonomi ke paras yang lebih tinggi,” katanya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.