Khamis, 10 November 2011

Skandal NFC: Wanita PKR gesa Shahrizat letak jawatan

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Ketua Wanita PKR menggesa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar meninggalkan politik dan letak jawatan jika benar-benar mengambil berat tentang Pergerakan Wanita Umno ekoran pendedahan masalah berkaitan projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Zuraida Kamaruddin, yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu seharusnya mengutamakan kepentingan Barisan Nasional (BN) dan wajar menunjukkan bahawa wanita lebih berwibawa dan berintegriti.

"Tindakan paling hormat untuk beliau lakukan adalah berhenti daripada kerajaan dan meninggalkan politik kerana tidak akan ada lagi pendedahan berkenaan projek ini," kata beliau pada sidang media hari ini.

Katanya, hanya tindakan meletak jawatan boleh menyelamatkan imej ahli-ahli Wanita Umno yang turut berhadapan dengan skandal tersebut, yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Semalam, Shahrizat mendakwa serangan ke atas beliau berhubung NFC adalah satu agenda politik pembangkang yang mahu memusnahkan Pergerakan Wanita Umno.

"Ini adalah agenda politik oleh pembangkang untuk melemahkan Wanita Umno. Tetapi kami bukan begitu mudah untuk dimusnahkan," katanya.

"Saya rasa malu ada seorang wanita rakyat Malaysia seperti Ketua Wanita PKR," kata senator ini dengan merujuk kepada Zuraida yang sebelum ini mendakwa projek NFC gagal meskipun diberi pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5,000 ekar.

Zuraida berkata "saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil yang akhirnya tampil memberi sedikit penerangan mengenai kontroversi membabitkan NFC yang dimiliki keluarga beliau."

Katanya, keberanian menteri itu sedikit sebanyak meredakan kemarahan rakyat yang bingung dengan pelbagai kenyataan caca merba yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional mengenai NFC setakat ini.

"Namun, saya amat kesal apabila beliau turut membuat komen yang berbentuk peribadi dengan menuduh saya dan PKR mahu merosakkan Wanita Umno dengan mendedahkan penyelewengan di NFC.

"Isu pokok yang perlu diberi perhatian adalah soal pertanggungjawaban wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada syarikat milik keluarga beliau walaupun prestasinya tidak menepati sasaran," katanya.

Kata Zuraida, ia menyentuh nasib ribuan petani dan penternak yang lebih memerlukan bantuan dana oleh kerajaan berbanding syarikat keluarga beliau.

"Skandal NFC menyentuh soal tata kelola kewangan negara yang lemah hingga wang rakyat dibelanjakan sesuka hati.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat dan seorang pemimpin wanita untuk membawa isu ini supaya sebarang penyelewengan dapat dihentikan segera," katanya.

Tambah Zuriada, beliau langsung tidak mempunyai motif peribadi, sebaliknya hanya melaksanakan amanah yang dipikul.

"Oleh yang demikian, saya berharap Datuk Seri Shahrizat Jalil juga kembali kepada amanah yang beliau pikul sebagai pemimpin wanita utama negara dan menerangkan sepenuhnya pelbagai pendedahan yang dibuat PKR setakat ini. "Pendedahan-pendedahan ini masih belum dijawab dengan baik oleh mana-mana pimpinan Barisan Nasional," katanya lagi.

Related Posts

Skandal NFC: Wanita PKR gesa Shahrizat letak jawatan
4/ 5
Oleh