Jumaat, 11 November 2011

Lima sebab P.Pinang tak bubar DUN

Kerajaan negeri Pulau Pinang menyenaraikan lima sebab ia tidak akan mengikut langkah Barisan Nasional (BN) jika Parlimen dibubarkan sekarang untuk membuka laluan bagi pilihan raya umum tergempar.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih bertegas mahu memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini, maka Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan memanggil sidang khas untuk membawa usul bahawa pilihan raya negeri tidak akan diadakan bersama pilihan raya umum Parlimen.

Salah satu sebab menurut Lim ialah pentadbiran Najib masih belum menunaikan janji memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pengagihan RM500 yang dijanjikan untuk keluarga berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Memandangkan spekulasi semakin rancak sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil pilihan raya umum pada tarikh bertuah 11 November (2011), ada lima sebab mengapa Pulau Pinang tidak akan ikut dan tidak akan mengadakan pilihan raya seiring dengan pilihan raya umum Parlimen tahun ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Di sebalik spekulasi itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini petang ini, yang dijangka antara lain akan membincangkan soal pengagihan kerusi.

"Persoalan timbul sama ada BN hanya akan mengadakan pengubahsuaian kosmetik berbanding memansuhkan ISA, sebaliknya menggantikan dengan dua undang-undang mirip ISA, menyebabkan rakyat Malaysia berhadapan dengan dua ISA berbanding satu sebelum ini," kata beliau lagi.

Keduanya kata Lim, adalah tidak adil mengadakan pilihan raya umum sekarang memandangkan jemaah haji belum pulang ke tanah air dan mereka akan dinafikan hak untuk mengundi, sekali gus menentukan kerajaan akan datang.

Kumpulan terakhir jemaah haji hanya akan pulang ke tanah air pada 11 Disember ini.

"Ketiga, kegagalan dan keengganan kerajaan BN untuk menjelaskan salah guna dana, penyelewengan yang jelas dan salah guna kuasa sebagaimana digariskan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Laporan Ketua Audit Negara mengingatkan rakyat Malaysia tentang setiap perkara yang salah di pihak kerajaan persekutuan BN," kata beliau, yang antara lain merujuk kepada perbelanjaan berlebihan oleh sembilan kementerian atau agensi kerajaan pusat dan projek kontroversi ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan milik keluarga Ketua Wanita Umno, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul.

Lim berkata, pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri memandangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen masih menghalusi syor mengenai pembaharuan bagi mengadakan sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

"Kegagalan untuk berbuat demikian akan membenarkan pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah dengan kewujudan pengundi-pengundi hantu dan pendatang asing tanpa izin yang diberikan status kerakyatan dan menjadi pengundi dalam beberapa jam. Apakah nasib Malaysia akan ditentukan oleh rakyat Malaysia atau pengundi hantu dan pendatang asing tanpa izin ini?" katanya lagi.

Selain itu menurut beliau, agenda nasional seharusnya difokus ke atas usaha mengelakkan banjir.

"Malaysia seharusnya belajar daripada keperitan masalah banjir di Thailand. Untuk mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh apabila mangsa banjir lebih memikirkan keselamatan daripada mengundi, (kita) bukan sahaja menafikan hak demokratik mereka tetapi bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Related Posts

Lima sebab P.Pinang tak bubar DUN
4/ 5
Oleh