Jumaat, 23 September 2011

Perlembagaan tidak menghalang pelaksanaan hukum hudud sebab tidak ada peruntukan mengatakan tidak boleh melaksanakan undang-undang Islam itu dan Kelantan harus mencabar Akta Mahkamah Syariah 1965, kata pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Di sisi undang-undang hudud boleh dilaksanakan di Malaysia, di peringkat persekutuan atau negeri. Atau di kedua-dua,” kata beliau mengulas kontroversi berkaitan pelaksanaan undang-undang hudud yang muncul semula sejak awal minggu ini.

“Bahkan sebahagian undang-undang Islam telah pun dilaksanakan. Contohnya keluarga Islam, perbankan dan jenayah syariah,” kata beliau sambil menambah, jika pihak kerajaan pusat mengatakan bahawa undang-undang Islam dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan, “apa akan jadi dengan undang-undang itu?”

“Nak mansuhkan?” soal ahli akademik ini merujuk kepada undang-undang semasa.

Jelas beliau, hukum hudud dan qisas bermakna ada keperluan untuk meningkatkan undang-undang jenayah syariah yang sedia ada kerana kini hukuman yang disediakan, contohnya zina, tidak mengikut peruntukan prinsip Islam.

Aziz menambah, sekiranya Umno mendakwa bahawa komited dengan pelaksanaan hukum Islam, ia perlu mengambil inisiatif untuk memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Pada pendapat saya akta ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Islam adalah bidang kuasa negeri sedangkan akta berkenaan ialah undang-undang yang dibuat oleh persekutuan,” kata Aziz hari ini.

“Dan, kita tahu Mahkamah Syariah di bawah kuasa negeri. Jadi mengapa Parlimen buat undang-undang untuk menyekat mahkamah milik negeri? Ini salah di sisi perlembagaan kita yang mengamalkan semangat federalisme,” tambah beliau.

“Kalau Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata belum sampai masa nak buat hudud, itu soal dia. Tapi dia tidak harus menghalang negeri yang hendak buat hudud,” jelas beliau.

Sehubungan itu kata Aziz, ekoran keengganan kerajaan pusat pilihan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri Kelantan ialah mencabar Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Kita lihat bagaimana mahkamah dengan ketua hakim yang baru ini akan bersilat,” katanya.

Aziz juga berkata, apa yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam betul kerana apa yang dihasratkan oleh Kelantan tidak melanggar dasar Pakatan Rakyat.

“Selama ini pun negeri-negeri Pakatan menjalankan dasar-dasar tertentu yang tidak standard di peringkat negeri asalkan ia tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Malah tegas beliau, ini satu kesempatan untuk Pakatan Rakyat menunjukkan betapa mereka mengamalkan kesatuan dalam kepelbagaian.

“Mereka sudah berjaya mengamalkan dasar sama rata di kalangan anggota, tidak seperti BN yang mengamalkan dasar komponen utama yang dimainkan oleh Umno.

“DAP tidak harus berdegil dengan perspektif perlembagaan mereka yang belum tentu betul dan muktamad. Umno sendiri sudah menerima hudud yang secara tidak langsung bermakna ia akur dengan perspektif perlembagaan yang saya nyatakan tadi,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin berkata hukum hudud masih belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini dan menambah, hukum Allah itu akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya keadaan negara ini benar-benar kondusif dengan memastikan keamanan dan keadilan benar-benar wujud terlebih dahulu.

Beliau berkata sebagai negara berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, Malaysia masih belum bersedia untuk memperkenalkan hukum hudud seperti mana yang dilaungkan oleh pemimpin PAS.

Awal pagi tadi, dua pemimpin kanan PAS mengambil tindakan segera ‘merawat mudarat politik’ pagi ini dengan menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat agar memberi fokus ke atas isu-isu kebajikan rakyat dan tidak terperangkap dengan serangan Umno-BN termasuk soal hukum hudud sekarang.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan fokus ke atas isu-isu semasa lebih penting bagi menghadapi pilihan raya umum.

Beliau memberi amaran Pakatan Rakyat akan berakhir jika pemimpin-pemimpinnya tidak berhati-hati dengan terperangkap dengan isu ‘tidak perlu buat masa sekarang’, yang dibesarkan oleh Umno-BN sekarang.

Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu.

Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tengah hari semalam, Anwar secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Kelmarin, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Leave a Reply

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Politik kedai kopi - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -