Rabu, 7 September 2011

PAS: Jangan sampai isu tauliah jadi bahan gurau masyarakat

KUALA LUMPUR, 7 Sept – PAS pusat mengingatkan agensi-agensi agama tidak menjadi penghalang kepada pengembangan agama, sekali gus urusan pemberian tauliah menjadi “bahan ketawa” ekoran ketegasan keterlaluan Jais ke atas dua pemimpin parti itu di Selangor.

 Mengikut laporan semalam, Jais atau Jabatan Agama Islam Selangor mengenakan tuduhan ke atas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana menyampaikan tazkirah tanpa tauliah manakala tauliah Adun Meru Dr Rani Osman pula ditarik balik ketika Ramadan baru lalu.

Dr Rani dan Khalid masing-masing merupakan Pesuruhjaya PAS dan Timbalan Pesuruhaya PAS Selangor.

Dalam kenyataannya petang ini, Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika pihak berkuasa agama membimbangi mereka terbabit menyampaikan ajaran salah atau bercanggah dengan syarak, “bagaimana pula dengan kuliahnya di universiti dan tempat lain?”

Bahkan, katanya, kalau seseorang mufti pun kena memohon tauliah, sudah tentu ia menjadi bahan tertawa orang jahil dan ini antara sebab utama mengapa wibawa institusi agama sangat rendah di mata masyarakat.

“Itulah juga antara sebab mengapa pendakwaan mengajar atau menyampaikan kuliah tanpa tauliah kini mengundang pelbagai gurau senda dalam masyarakat.

“Bagi mengatasi masalah ini, jabatan agama Islam negeri-negeri mesti memudahkan pemberian tauliah kepada golongan yang ingin membantu mendidik masyarakat ini. Lebih-lebih lagi dengan hakikat bahawa mereka yang mengajar ini tidak pernah meminta upah dari pengajaran yang disampaikannya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, para ilmuan Islam mempunyai tanggungjawab agama bagi menyampaikan ilmu agama selaras dengan hadis, “sampaikanlah apa yang kamu terima dariku, walau sepotong ayat.”

“Di atas asas ini, maka golongan agama mempunyai amanah menyampaikan ilmu yang wajib disampaikan.

“Tugas utama menyampai dan membimbing rakyat adalah terpikul di atas bahu para pemimpin Islam di akhirat. Sejajar itu, golongan agama bertanggungjawab membantu para pemimpin ini untuk meringankan hisaban di akhirat,” katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, para pemimpin yang dibantu ini hendaklah berterima kasih kepada golongan agama kerana membantunya meringankan hisaban di akhirat dan melepaskan bebanan mengurangkan kejahilan rakyatnya.

“Untuk itu, pemerintah mestilah menyediakan ilmuan Islam yang cukup bagi mendidik masyarakat ke arah penghayatan Islam yang syumul. Adalah satu kesalahan besar bagi seseorang pemimpin untuk membiarkan rakyatnya terus jahil.

“Ulama atau golongan agamawan pula dipertanggungjawabkan mesti memelihara amanah ilmu dengan menyampaikan ilmu tersebut walau pahit sekalipun rintangan yang bakal dihadapinya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, masjid dan surau adalah antara tempat strategik dan sistematik untuk menyampaikan Islam dan mengukuhkan kefahaman umat Islam terhadap cara hidup berlandaskan syariat Islamiah.

Katanya, ia bagai benteng akhir bagi umat Islam untuk berpaut guna menyelamatkan fikrah dan akidah mereka dan terlalu sukar untuk mencari kelas atau majlis pengajian Islam secara terancang dan sistematik selain masjid dan surau.

Tetapi, katanya, alangkah malang bagi masa depan umat Islam jika masjid dan surau juga terdapat kekangan atau halangan untuk menyampaikan Islam dan peringatan kepada umat Islam agar menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama.

“Saya yakin bahawa penyebaran Islam mesti dipantau serta dipastikan tulen prinsip dan maudhunya. Tetapi pastikan juga pengajian dan penyebarannya berjalan lancar tanpa sebarang kekangan terutama saat umat Islam sangat memerlukan agamanya untuk hidup selamat dan diredhai oleh Allah swt,” katanya.

Nasrudin menambah, tauliah adalah untuk memastikan usaha jua aktiviti penyebaran Islam dan kelas-kelas pengajiannya berjalan secara terancang, sistematik dan mampu menampung keperluan ummat Islam masa kini terhadap agama yang mereka anut. Pihak berkuasa agama mesti mempunyai satu mekanisme yang berkesan bagaimana mengurus tauliah.

“Tidak munasabah, seorang yang mahu menyampaikan Islam dan memberikan peringatan kepada masyarakat khasnya umat Islam agar sedar tanggungjawab dan amanah hidup sebagai seorang Muslim terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang semata-mata kerana isu tauliah.

“Munasabahnya ialah pihak berkuasa agama selayaknya membantu, membiayai, menyokong dan memudahkan usaha murni tersebut bukan menyusahkan. Jika tauliah menjadi isunya, kenapa tidak ditauliahkan kepada mereka yang boleh menyampaikan Islam dengan baik dan berkesan,” katanya.

Tegas beliau, pada masa sekarang tauliah menjadi igauan dan hambatan yang menyulitkan para pendakwah dan ilmuan untuk menyampaikan Islam dan mendidik umat Islam sedang terperangkap dalam iklim sosial yang mendorong mereka untuk rosak dan binasa akhlak, pemikiran dan akidah mereka.

“Apakah pihak berkuasa agama tidak peka perkara ini?” katanya.

Katanya, masjid dan surau terlalu banyak, ruang pengajian dan dakwah yang perlu dimanafaatkan juga terlalu banyak.

“Cendekiawan Islam yang diiktiraf ilmu mereka oleh universiti di mana mereka menuntut dan akhirnya pula dengan segulung ijazah, sarjana atau PhD juga terlalu ramai, tetapi berapa jumlah tauliah yang dikeluarkan?

“Jika tuan-tuan guru, alim ulama, para ilmuan Islam, cendekiawan Muslim masih belum layak mendapat tauliah, kriteria bagaimana yang layak untuk dapatkan tauliah tersebut ? Atau pihak berkuasa agama nantinya digelar sebagai pihak penghalang agama!” katanya lagi.

Related Posts

PAS: Jangan sampai isu tauliah jadi bahan gurau masyarakat
4/ 5
Oleh