Home » » Kemerdekaan: PAS dakwa Umno hanya buat pusingan akhir

Kemerdekaan: PAS dakwa Umno hanya buat pusingan akhir

Written By kiff isme on Jumaat, 9 September 2011 | September 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Sept ─ Sementara kontroversi semasa masuk minggu ketiga, PAS menjelaskan pendiriannya dalam isu sejarah kemerdekaan hari ini menerusi lapan perkara, antara lain menegaskan, Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan, sebaliknya mengambil nama dengan muncul di peringkat akhir.

 PAS berkata, apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah..

“Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini..

Kontroversi semasa tercetus ekoran dakwaan media Umno bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengagung-agungkan komunis dalam ceramahnya di Pulau Pinang 21 Ogos lalu..

Pun begitu tegas Tuan Ibrahim, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara..

“Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British,” katanya..

Oleh itu, tambah beliau, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu..

“Ini pendirian PAS dalam mentafsir sejarah prakemerdekaan, sudah tentunya ia berbeza dengan pendapat Umno..

“Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu,” tegas Tuan Ibrahim..

Pesuruhjaya PAS Pahang ini menjelaskan, PAS percaya sebagaimana jelas pun pendirian parti, media perdana milik Umno tetap akan memutar kenyataan untuk menutup segala isu-isu rakyat yang lebih meruncing seperti kenaikan harga barang, penyelewengan daftar pilihanraya, memberikan kerakyatan untuk mendapatkan undi, rasuah, pembaziran Kementerian Pertahanan, penjualan saham Esso dan MAS, cincin RM24 juta, Bersih 2.0 dan terbaru cukai kad prabayar Telco enam peratus..

Tuan Ibrahim juga mengingatkan semua pihak bahawa prinsip utama dalam mentafsir sejarah ialah perlunya “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini..

“Untuk pihak yang tidak bersetuju, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-memfitnah di media,” tambah beliau..

“Kita harus bersetuju untuk tidak bersetuju dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat,” katanya..

Mengenai soal status Ahmad Indera atau Mat Indera, Tuan Ibrahim menyarankan semua pihak bersangka baik ketika menilai status beliau sedangkan tiada siapa tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya..

“Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau,” tambah beliau..

Malah katanya, fakta yang ada sekarang saling bertentangan antara satu sama lain..

“Di satu pihak, Mat Indera dikatakan tidak pernah menganut fahaman komunis, seorang penghafal Quran, berakhlak baik sebagaimana yang ditulis dalam buku Pengukir Nama Johor..

“Belah satu lagi pula membuat pelbagai tuduhan negatif yang menyatakan beliau adalah sebaliknya..

“Yang ada hanyalah warisnya yang membuat penafian semua tudahan liar itu. Apakah ada yang lebih hampir selain waris bagi kita berbaik sangka kepada beliau?” kata beliau.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.