Rabu, 28 September 2011

Dasar kuota: Najib khianati Melayu

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Dewan Pemuda PAS menggesa Datuk Seri Najib Razak menarik balik hasrat beliau yang mahu menghapuskan terus kuota dan menggunakan sistem meritokrasi sebagai kaedah baru bagi mendesak usahawan Bumiputera untuk bersaing secara terbuka.
Semalam Perdana Menteri berkata terdapat keperluan untuk menghindari sistem kuota kepada Bumiputera tetapi mereka perlu terus dibantu bagi berkembang.
Beliau berkata kuota menghindarI keupayaan usahawan Bumiputera dari membangunkan kebolehan mereka.
Najib yang juga Menteri Kewangan khuatir “sekiranya kamu memberi mereka kuota, mereka akan bersenang-lenang dan akhirnya tidak memperolehi kepakaran untuk mengurus perniagaan.”
Sehubungan itu kata Ketua Penerangan Pemdua PAS Riduan Mohd Noor, penghapusan kuota Bumiputera ini adalah satu pengkhianatan Umno kepada orang Melayu dan bukan masanya perkara ini dilakukan.
“Jika kuota dihapuskan, apa lagi yang tinggal sedangkan baki yang ada dari 30 peratus dahulu sebenarnya hanyalah tinggal 12.5 peratus.
“Rakyat tidak lupa bahawa pada 2009, Najib jugalah orang yang bertanggungjawab menurunkan kuota ekuit Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus,” katanya.
Riduan berkata demi merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE) kuota Bumiputera dimangsakan sedangkan banyak lagi perkara lain yang belum dilakukan Umno sepanjang hampir 12 penggal pemerintahannya.
Kata beliau, kegagalan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di Jabatan Perdana Menteri memainkan peranannya menunjukan bahawa Najib dan Umno tidak serius dalam menjaga hak dan kepentingan orang Melayu.
“Cadangan mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) juga hanyalah satu helah untuk menunjukan bahawa mereka telah melakukan sesuatu sedangkan MTEM ini hanyalah dianggotai oleh ahli-ahli yang bernaung dalam Biro Ekonomi Umno yang terus menerus diberikan projek-projek khas oleh agensi kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, Pemuda PAS menyeru agar rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan khususnya kalangan Melayu bangkit menentang dasar dizahirkan Najib selaku Presiden Umno semalam.
“Jangan biarkan Presiden Umno sekarang menggadai kepentingan Melayu demi meraihkan pelaburan asing dan juga meningkatkan kekayaan kroni-kroni beliau.
“Rakyat wajib menolak Umno-BN dalam pilihan raya akan datang jika mahu negara ini tidak digadaikan oleh pengkhianat,” katanya.

Related Posts

Dasar kuota: Najib khianati Melayu
4/ 5
Oleh