Selasa, 20 September 2011

Akta Kg Baru: MAS OK jika pindaan ditunai, pemilik masih ragu

KUALA LUMPUR, 20 Sept - Walaupun Putrajaya tetap berhasrat meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru bulan depan, namun pemilik tanah di kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu tetap menentang keras akta itu.

Ketika ditemui The Malaysian Insider semalam, rata-rata pemilik dan pewaris tanah berusia 111 tahun itu mahu Putrajaya membatalkan terus cadangan penubuhan sebuah perbadanan khas.

Selain itu, ada juga antara mereka menegaskan tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang digubal bagi membangunkan kawasan itu.

Kamal Hussein, 78, menegaskan cadangan menubuhkan sebuah perbadanan untuk membangunkan kawasan itu tidak diperlukan.

Selain itu, kata anak jati Kampung Baru ini, kerajaan tidak perlu mengadakan rang undang-undang baru, sebaliknya membantu pemilik dan pewaris dalam bentuk kewangan untuk membangunkan sendiri kawasan tersebut.

“Mengapa kerajaan berhasrat sangat untuk membangunkan Kampung Baru? Apa matlamat sebenarnya kerajaan... selama ini kami bantah pembangunan di kawasan ini, tetapi itu tidak bermakna kami menolak pembangunan.

“Kami mahukan pembangunan tapi biarlah mengikut saluran yang betul. Apa faedah yang kami dapat jika rang undang-undang ini dilaksanakan, yang kami sendiri masih kurang jelas tentang matlamat sebenarnya,” katanya.

Kata Kamal, Kampung Baru tidak memerlukan pembangunan yang moden, sebaliknya ia harus kekal dengan imej kampung Melayu yang menjadi tarikan.

“Imej Kampung Baru sebagai kampung Melayu harus dikekalkan, bangunan tinggi tidak diperlukan cuma menaik taraf mana-mana yang patut.

“Eloklah kalau kampung Melayu ada, lagipun Kampung Baru ini terkenal, kalau tiada imej kampung Melayu apa gunanya Kampung Baru,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati masih ramai penduduk di kawasan itu meletakkan kain rentang sebagai membantah cadangan rang undang-undang itu.

Sabtu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, rang undang-undang yang tertangguh tiga kali sebelum ini akan dibawa ke Parlimen pada sesi yang bermula bulan depan bagi membolehkan pembangunan dilakukan di kawasan itu.

Beliau berkata, input dalam rang undang-undang itu antara lain adalah hasil perbincangan mendalam dengan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan, pemilik dan waris tanah di kawasan itu.

Tambah beliau, pihak Peguam Negara juga meneliti rang undang-undang tersebut tanpa membelakangkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

Raja Nong Chik berkata, dengan adanya akta khusus bagi pembangunan Kampung Baru, ia akan membawa kawasan itu setanding dengan lain-lain kawasan yang pesat membangun di bandar raya ini.

Sementara itu pemilik tanah generasi keempat Kampung Baru Mohamad Efendi Ishak, 36, berkata walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah membuat penjelasan kepada pemilik dan pewaris tanah, namun ia masih gagal untuk meraih sokongan mereka.

“Ia masih tidak jelas, kita tidak tahu apa yang kerajaan mahu lakukan dengan rang undang-undang ini, sebab itu ramai di kalangan kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan ini.

“Kami tidak membantah pembangunan tapi apa yang kami bantah adalah rang undang-undang ini. Kalau kerajaan betul-betul ikhlas nak bantu kami, rang undang-undang tidak diperlukan,” katanya menambah Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) boleh membangunkan kawasan itu dengan bantuan kewangan kerajaan.

Yusof Abu Bakar, 55 pula berkata masih terdapat banyak keraguan tentang cadangan itu termasuk jaminan bahawa tanah akan kekal menjadi milik pemilik dan pewaris meskipun pembangunan dilaksanakan kelak.

“Sebelum ini kami tidak bersetuju dengan beberapa perkara terutamanya tentang pembubaran MAS, jumlah anggota dalam perbadanan dan peruntukan yang beri kuasa penuh kepada menteri selain tidak boleh dicabar.

“Dalam sesi penerangan, kerajaan bagi jaminan pindaan akan dilakukan dan klausa-klausa ini akan dikeluarkan dalam rang undang-undang tapi sekarang apa perkembanga terkini? Adakah ia akan dibawa dulu ke Parlimen atau bawa kepada kami dulu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi berkata tiga klausa penting yang mendapat bantahan keras daripada pemilik dan pewaris tanah harus dipinda sebelum ia dibawa untuk bacaan kali kedua di Parlimen Oktober ini.

“Kita mahu MAS tidak dibubarkan, keanggotaan kepada pemilik dan pewaris tanah ditambah dan imuniti kepada perbadanan dipinda, ini yang perlu dilakukan.

“Sebelum ini ia telah banyak kali dibincangkan dan kerajaan bersetuju untuk meminda tiga perkara ini, jadi saya harap ia dilaksanakan,” katanya.

Ditanya mengenai borang referendum yang dihantar kepada pemilik dan pewaris tanah untuk membuat keputusan, Shamsuri berkata pihaknya masih belum mendapat maklumat terkini.

Sebaliknya beliau meminta agar perkara itu dipanjangkan kepada wakil Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang ditugaskan.

“Saya tidak tahu maklumat terkini, elok ditanya sendiri kepada kementerian,” jawabnya ringkas.

Rang undang-undang itu sepatutnya dibahaskan semula di Parlimen pada sesi Jun lalu.

Bagaimanapun pada akhir Jun lalu, majlis pentadbir Kampung Baru meminta Putrajaya agar menangguhkan bacaan kali kedua memandangkan respons ke atas referendum melibatkan pemilik tanah eksekutif orang Melayu itu dingin

Related Posts

Akta Kg Baru: MAS OK jika pindaan ditunai, pemilik masih ragu
4/ 5
Oleh