Isnin, 5 September 2011

Sejarah ciptaan UMNO

5 SEPTEMBER – Dalam mencari-cari makna pengkhianatan, pembelotan dan penzalim, kita terlupa bagaimana fakta diputar-belit dan diseludup ke dalam minda masyarakat.

 Hantu-hantu seperti perkauman, ajaran sesat, cauvinis hinggalah kepada isu yang sedang hangat pada hari ini iaitu komunis sedang dilemparkan secara membabi-buta oleh kerajaan UMNO-BN kepada sesiapa sahaja yang tidak senada dengan mereka dalam isu kemerdekaan, sejarah dan pejuangnya..

Dalam isu ini, kita sebagai insan waras yang secara jelas menolak sebarang tohmahan dan putar-belit fakta tidak pernah mempertikaikan semangat dan sumbangan tokoh-tokoh UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang sememangnya ada membuat jasa dalam proses negara mencapai kemerdekaan. Tidak kita nafikan itu semua..

Tetapi, adakah dengan bersetuju dengan fakta itu maka kita menafikan fakta lain bahawa bukan tokoh-tokoh ini sahaja yang telah berjuang untuk watan Malaysia, sebaliknya pejuang-pejuang yang sama menentang penjajahan ke atas tanahair kita juga perlu diberi perhatian dan diiktiraf sumbangan dan jasa mereka..

Lain padang lain belalang.

Hanya perbezaan cara atau jalan atau pendekatan menentang penjajahan British itu sahaja yang berbeza, bukan bererti tokoh-tokoh ini juga penjarah. Mana mungkin anak nusa seperti Mat Indera, Rashid Maidin, Shamsiah Fakih, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy (sebahagian nama) yang tidak senada jalan perjuangan dengan UMNO pada masa itu, maka mereka boleh dianggap sebagai penjarah..

Perjuangan mereka adalah menentang penjajah. Mahu mengusir penjajah keluar dari ibu pertiwi. Adakah kerana mereka tidak bersekongkol dengan penjajah British sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO, maka hari ini mereka digelar komunis, pengkhianat bangsa?.

UMNO melabel anak-anak watan ini lebih buruk dari penjajah British. Betulkah persepsi ini? Cuba kita fikirkan secara waras dan mendalam. Berfikir waras dan mendalam ini bukan suatu dosa, jadi jangan takut atau was-was untuk berfikir waras..

Cuba kita renungkan kembali, barangkali jika kita boleh kedepankan sejarah pada masa itu kepada apa yang sedang berlaku pada hari ini. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan Nik Aziz berjuang untuk membebaskan masyarakat kita dari belenggu kejahilan dan penyalahgunaan kuasa yang ditimba UMNO kepada rakyat Malaysia..

Pemimpin Pakatan Rakyat ini sedang berjuang untuk membantu, mengubah dan menyelamatkan ekonomi dan nasib rakyat Malaysia. Tetapi jalan perjuangan yang mereka ambi tidak sama dengan cara yang sedang UMNO lakukan, justeru adakah mereka-mereka ini layaknya digelar pengkhianat atau penjarah atau komunis?.

Hanya berbeza pendekatan dengan UMNO, maka Pakatan Rakyat atau pemimpin atau penyokongnya dengan mudah dilabel sebagai pengkhianat bangsa?.

Jika inilah tanggapan UMNO, pesan kita kepada ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang, sudah tiba masanya menggunakan akal fikiran kurniaan Allah SWT – bersihkan UMNO dari pimpinan yang korup dan menyeleweng, atau tinggalkan sahaja UMNO..

Siakap senohong gelama ikan duri.

Jangan pula kita lupa, jika perasaan tidak selamat itu wujud, hakikatnya ia hanya dirasai oleh elit UMNO yang semakin terhimpit dan kuasa mereka sedang terhakis. Begitulah apa yang penjajah British rasainya suatu waktu dahulu..

Maka semua yang tidak senada dengan cara mereka maka kita akan dilabel sebagai pengkhianat, pembelot dan komunis. Malah asal-usul perkataan ‘pengganas’ komunis adalah ciptaan British yang ditelan bulat-bulat oleh UMNO. Sehinggakan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kekal hingga hari ini adalah warisan penjajah British (sedangkan undang-undang kejam itu tidak pernah wujud di bumi Inggeris sendiri)..

Mereka yang melabel orang lain yang berbeza pandangan dan pendirian sebagai pengkhianat sebenarnya orang yang menjarah tanah dan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Sikap dan perangai mereka sama seperti komunis Stalin yang kononnya mereka benci itu..

Untuk menutup kezaliman mereka, sering pula bohong demi penipuan dibuat di muka media kawalan mereka. Mula-mula cakap bohong kemudian mencuri hak-hak rakyat..

Rakyat perlu hentikan segera pembohongan dan penindasan ini..

Harimau mati meninggalkan belang.

Permintaan kita amat mudah dan sangat jelas. Berikan keadilan kepada tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan kita secara adil dan tidak berat sebelah. Hapuskan label ‘pengkhianat bangsa’ atau ‘pembelot’ dari nama tokoh-tokoh ini. Berikan pengiktirafan kepada mereka sesuai dengan sumbang dan jasa mereka..

Jika tidak ada keadilan kepada mereka, apa ertinya perjuangan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said, Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh, Rentap dan banyak lagi yang menentang penjajah dan penjarah Inggeris..

Roh mereka tidak meminta apa-apa pun dari kita atau UMNO. Tetapi kita sebagai pewaris yang mendapat hasil dari darah dan air mata perjuangan merekalah maka kita boleh mengenal Malaysia seperti hari ini..

Kita yang melakar sejarah, mengapa takut mengubah sejarah untuk kebaikan dan masa depan bangsa Malaysia? Mendahulukan hak rakyat lebih utama dari survival politik sempit UMNO..

Jika ini pun pemimpin UMNO gagal lakukan, jelas sudah UMNO sama teruk dari penjajah British. Malah, seteruk-teruk British pun, mereka tidak pernah merosakkan dokumen penting negara kita. Dokumen sejarah inilah yang telah dan sedang diputar-belit oleh UMNO. – Roketkini.com

Related Posts

Sejarah ciptaan UMNO
4/ 5
Oleh