Isnin, 6 Jun 2011

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Penasihat-penasihat ekonomi Datuk Seri Najib Razak telah melahirkan rasa khuatir mengenai Model Baru Ekonomi (MBE), yang diilhamkan perdana menteri dua tahun lalu, sebagai hanya satu ‘kempen’ perhubungan awam jangka pendek tanpa impak yang berkekalan.

Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang didedahkan Wikileaks berkata, Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan (NEAC) kecewa dengan tahap respons yang dingin daripada kementerian-kementerian dan kurangnya komitmen politik di luar lingkungan pejabat perdana menteri.

Keseluruhan kabel itu, antara lain memetik pemangku pengarah penyelidikan NEAC Tong Yee Siong dan Nicholas Zeffries dari Dewan Perniagaan Amerika diterbitkan dalam portal berita Malaysia Today hari ini.



Menurut kabel itu, Tong memberitahu bahawa sebarang matlamat ditetapkan oleh NEAC memerlukan iltizam politik untuk menggerakkan perubahan-perubahan dasar yang diperlukan bagi menggalakkan pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan.

“Bagaimanapun, Tong mengulas bahawa anggota-anggota NEAC kecewa dengan situasi kurangnya komitmen politik peringkat tinggi di luar PM Najib dan juga respons dingin daripada menteri-menteri, yang menyekat kemajuan MBE,” demikian menurut kabel.

Kabel itu juga memetik Tong sebagai berkata, “sesetengah anggota NEAC khuatir MBE hanya akan bertindak sebagai kerja perhubungan awam, yang tidak akan ada impat dasar jangka panjang.”

“Zeffries juga memberitahu kami bahawa beliau tidak yakin yang PM Najib ada asas politik kukuh yang mencukupi untuk melaksanakan cadangan-cadangan NEAC,” kata kabel itu lagi.

Najib melancarkan MBE tahun lalu dalam dua bahagian tetapi menggugurkan beberapa komponen termasuk idea agar diadakan Suruhanjaya Peluang Saksama, yang membawa kritikan oleh salah seorang anggota NEAC, Allahyarham Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof.

Zainal Aznam, yang meninggal dunia 30 April lalu mendakwa pentadbiran Najib berhadapan dengan tekanan Perkasa dan kurangnya iltizam politik untuk melaksanakan pembaharuan termasuk pembentukan suruhanjaya itu.

Dalam rumusannya kabel itu menambah, ahli-ahli ekonomi utama Malaysia percaya Najib ikhlas dalam menangani masalah-masalah yang wujud.

Bagaimanapun, katanya, persoalan ialah sama ada ada keupayaan untuk membawa perubahan-perubahan besar dalam dasar-dasar keutamaan Bumiputera, yang dilihat diskriminasi sehingga menjadi punca kepada hakisan pelaburan dan ketidakwujudan bisnes-bisnes baru.

“... dan menyebabkan aliran keluar profesional muda Malaysia yang kecewa dengan batasan peluang di bawah sistem ini,” katanya lagi.-themalaysianinsider

Leave a Reply

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Politik kedai kopi - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -