Sabtu, 25 Jun 2011

PR Mahu Ambil Alih Teraju Negara, Bersihkan 'Kekotoran' Sedia Ada

LENGGONG 25 JUN : Pakatan Rakyat (PR) perlu terus bergerak dengan yakin demi meraih sokongan rakyat dan seterusnya menyingkirkan Umno-Barisan Nasional (BN) dengan mengambilalih teraju kepimpinan negara.

Tindakan sebegitu perlu dilakukan demi memperbetulkan segala kepincangan yang dilakukan selama ini oleh Umno-BN yang telah berkuasa lebih 53 tahun lamanya.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PR perlu memantapkan strategi di samping mendengar suara rakyat yang dahagakan perubahan.

“Saya menaruh harapan yang cukup besar.. jangan kita anggap susah. Selain Cina dan India, orang Melayu ada cabarannya. Kita kena buat kerja sikit bawa perubahan untuk kebaikan kita. Kena buat... jangan kita pertahankan yang ada (Umno-BN) dan kalau Allah takdirkan berlaku (menang PRU)…Insya-Allah,”kata Anwar ketika berucap dalam Ceramah Pakatan Rakyat di hadapan kira-kira 4,000 hadirin di sini malam tadi.

Menurut beliau, PR semakin hampir dengan sasaran yang ditetapkan bagi menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional dan sekiranya sokongan rakyat terus kepada
gagasan itu, tidak mustahil kerajaan pemerintah akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Keyakinan itu sebelum ini disuarakan Anwar pada Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa PR hanya memerlukan lima peratus sahaja lagi sokongan rakyat untuk menakluk Putrajaya.

Namun katanya, beliau juga yakin, Umno-BN akan menggunakan seluruh kekuatan dan cara untuk memberi gambaran yang buruk terhadap Pakatan Rakyat.

Jabatan kerajaan yang berada di bawah kawalannya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan sebaiknya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada
parti pemerintah.

“Tok Guru Nik Aziz misalnya sudah 20 tahun Menteri Besar, tanah dia tak ambil, balak tak ambil, kontrak tak ambil. Itu pun mereka (Umno) kata dia rasuah.

“Yang makan (rasuah) banyak-banyak ni… lepas semua. Yang komisyen kapal selam RM500 juta tak nampak,” katanya.

Menurut Anwar, PR sudah menunjukkan perubahan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dengan memberikan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat.

Nasib dan ekonomi rakyat kian terbela dengan adanya inisiatif-inisiatif seperti dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Gusar dengan perubahan dan perkembangan ekonomi negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, Umno-BN katanya terus menyerang dari pelbagai sudut termasuk mengaitkan keperibadian beliau dengan perbuatan tidak bermoral.

“Sebut pasal ambil tanah orang… tidak, ambil saham bumiputera…tidak, ambil balak…tidak.. maka dia selak kain. Ini politik selak kain kerana mereka tidak ada cara lain,” katanya.

Oleh yang demikian kata Anwar, rakyat perlu memberikan sokongan kepada PR bagi mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-BN kerana apa yang berlaku ketika ini ialah yang kaya terus kaya apabila kerajaan mengambil sikap mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka sahaja.

Ekoran daripada itu katanya, masalah rasuah semakin berleluasa dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak menjadi semakin parah.

Related Posts

PR Mahu Ambil Alih Teraju Negara, Bersihkan 'Kekotoran' Sedia Ada
4/ 5
Oleh