Home » » Perpaduan Melayu: Umno silap

Perpaduan Melayu: Umno silap

Written By kiff isme on Jumaat, 10 Jun 2011 | Jun 10, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Mohamad Sabu menegaskan kepimpinan PAS termasuk barisan pemimpin pusat yang baru tidak menolak idea perpaduan Melayu, sebaliknya Umno sengaja menggunakan soal itu sebagai bahan kempen menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Jelas timbalan presiden PAS itu, “Umno silap” jika mendakwa keputusan PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu bermakna ia akan memecahbelahkan orang Melayu.

“Umno mula pertikaikan perpaduan Melayu apabila kepimpinan sudah jatuh tetapi sebaliknya jika mula kuat, mereka jadi takbur,” ujar Mohamad  lagi.

“Umno sebenarnya sudah lemas, sebab itu membangkitkan isu perpaduan Melayu. Kami (kepimpinan baru PAS) tetap perjuangkan perpaduan Melayu tetapi berlandaskan keadilan untuk kepentingan semua masyarakat,” kata timbalan presiden PAS ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kelmarin, timbakan pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir melahirkan rasa tidak gembira kerana PAS tidak mahu perpaduan Melayu apabila PAS terus menolak kerjasama dengan Umno.

Pandangan yang serupa juga dilahirkan oleh timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.

Beliau menegaskan, PAS tiada masalah untuk mewujudkan hubungan peribadi tetapi tidak dalam hubungan politik.

Katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat untuk membina politik baru tanpa sebarang acuan Umno.

Sementara itu, salah seorang naib presidennya Salahudin Ayub berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menolak idea perpaduan Melayu kerana perpaduan itu sudah lama wujud sejak negara merdeka.

“Perpaduan itu telah lama wujud. Bukan sahaja perpaduan dengan orang Melayu, bahkan juga perpaduan dengan masyarakat lain berlainan agama.

“Perpaduan Melayu itu tetap wujud dan tidak akan hilang sama sekali selagi kita tetap pegang pada prinsip perpaduan, mengamalkan budaya Melayu, beretika ikut cara Melayu dan ikut acuan bangsa Melayu,” katanya.

Selain itu, Salahudin berpendapat, Umno memberi kenyataan sedemikian kerana mereka mengalami “musim kemarau yang panjang.”

Jelasnya, mereka ketandusan idea untuk menjatuhkan PAS sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan begitu sedangkan hakikatnya langsung tiada kena-mengena dengan perpaduan Melayu.

Ditanya mengenai PAS mahu memecahbelahkan Melayu untuk kepentingan mereka, beliau menegaskan, perpecahan Melayu hanya akan terjadi seandainya “kita memutuskan ikatan silaturrahim.”

“Itu baru dikatakan sengaja elak perpaduan dan pecah belahkan orang Melayu,” katanya.

Jelas beliau lagi, dalam arena politik memang wujud parti Umno-PAS yang tidak sealiran parti politik.

“Tetapi, adakah dengan berbeza parti dan tidak bergabung menjadi satu parti sudah dianggap PAS sengaja tidak mahu perpaduan dan mahu pecah belahkan Melayu?

“Adakah dengan gabungan PAS-Umno sudah dikira perpaduan Melayu telah wujud?” ujarnya lagi.

Beliau juga berpendapat kenyataan Umno itu sebenarnya satu hujah yang naif.

“Itu hanya momokan daripada mereka yang sengaja mahu menakut-nakutkan orang Melayu.

“Mungkin mereka bimbang dan teruja dengan kepimpinan baru PAS yang lebih progresif dan kontemporari dalam memberi saingan pada pilihan raya umum yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyarankan supaya seluruh masyarakat khususnya orang Melayu tidak bimbang dengan kenyataan Umno itu.

Ujarnya, kepimpinan PAS tidak akan menyentuh perpaduan Melayu kerana tetap tegas perpaduan Melayu tidak pernah hilang.

“Umno berkata sedemikian sebagai satu cara menjauhkan pengundi PAS pada pilhan raya umum nanti,” ulasnya lanjut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.