Khamis, 23 Jun 2011

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Cadangan penubuhan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC) tidak akan memberi banyak faedah kepada pekerja kerana kuasa penuh berada dalam tangan Menteri Sumber Manusia yang tertakluk pula kepada kuasa kerajaan pusat.

Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata majlis itu hanya berfungsi untuk membuat kajian dan cadangan kepada kerajaan mengenai gaji minimum pekerja.

Kata, ia bermakna majlis itu cuma bersifat perundingan dan keputusannya, walau pun mungkin baik untuk pekerja, boleh ditolak oleh kerajaan.

“Semua cadangan majlis perlu ditujukan kepada menteri yang diberi kuasa membuat keputusan muktamad. Ahli-ahli majlis pula dilantik oleh menteri.

“Maknanya, menteri mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan mengenai gaji minimum. Malah, menteri boleh menentukan gaji minimum dengan bantuan satu jawatankuasa teknikal dari Kementerian Sumber Manusia yang berada di bawah pentadbiran beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan itu, beliau berkata NWCC akan membazirkan wang rakyat dan memperkenalkan satu lagi lapisan birokratik yang tidak akan membantu pekerja.

Sehubungan itu, Charles yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor mencadangkan struktur NWCC diubah serta-merta untuk menjadikannya sebuah badan bebas tanpa perlu tunduk kepada menteri dan kerajaan, yang berfungsi untuk kepentingan bersama pihak pekerja, majikan dan kerajaan.

Beliau mencadangkan majlis itu berfungsi sebagai badan tiga pihak tripartisme – pekerja, majikan dan kerajaan – dengan pihak ketiga yang menjadi orang tengah di antara pekerja dan majikan – yang berasaskan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Antara ciri-ciri ahli majlis yang beliau cadangkan adalah wakil-wakil pekerja dan majikan dipilih oleh persatuan dan kesatuan masing-masing manakala pihak ketiga mesti mempunyai kelayakan dan kelulusan serta berpengetahuan dalam pasaran sumber manusia dan undang-undang buruh.

Rang undang-undang NWCC yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam telah mencetuskan bantahan di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang melihat usaha itu sebagai tidak perlu kerana selain daripada alternatif majlis perundingan, kerajaan boleh secara langsung terus membentangkan rang undang-undang gaji minimum di Parlimen.

“Daripada menghabiskan duit rakyat, lebih baik mengadakan sistem tripartisme, amalan biasa di seluruh dunia yang disarankan oleh Pertubuhan Buruh Antrabangsa (ILO) supaya ianya tidak ada campur tangan luar dalam majlis itu,” kata Charles.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok mempersoalkan tindakan kerajaan yang meluluskan gaji minimum untuk pengawal keselamatan tetapi tidak membenarkannya untuk pekerja-pekerja sektor lain.

Dalam jawapan kepada Teresa selaku Ahli Parlimen Seputeh di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak menjelaskan sebab-sebab pengawal keselamatan mendapat gaji minimum tetapi hanya menyatakan bahawa ia diluluskan setelah satu suruhanjaya selesai membuat kajian.

Leave a Reply

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Politik kedai kopi - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -