Home » » Kain rentang sokong BERSIH 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor

Kain rentang sokong BERSIH 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor

Written By kiff isme on Selasa, 28 Jun 2011 | Jun 28, 2011



Kain rentang "Bersama Berhimpun untuk pilihanraya bersih dan adil" telah digantung di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH), sebagai tanda sokongan terhadap tuntutan dan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai 2011.

Kain rentang tersebut telah digantung di dinding bangunan tersebut, menghadap tempat letak kereta di perkarangan bangunan, pada jam kira-kira 9.10 pagi, hari ini. Setiausaha Agung KL-SCAH Stanley Yong ketika dihubungi MerdekaReview, menjelaskan bahawa bendera dan kain rentang digantung pada hari ini untuk menunjukkan semangat patriotik badan dan pertubuhan masyarakat sivil, di samping sokongan terhadap tuntutan BERSIH 2.0.

Stanley menganggap kerajaan harus mendengar suara rakyat, dan harus respon kepada rakyat secara serius apabila rakyat mengetengahkan pandangan atau kritikan.

"Di Malaysia, sering kali kerajaan mendakwa bahawa rakyat diberi saluran untuk meluahkan pandangan. Namun demikian, kita kekurangan saluran secara 'terus-terang dan tulus ikhlas'. Meskipun terdapat liputan media yang melaporkan ketidakpuasan rakyat, namun kebanyakan masanya kerajaan kelihatan tidak mengendahkan kritikan tersebut, atau mendakwa sedang diuruskan. Kemudian, ia berakhir begitu sahaja," kata Stanley Yong.

Stanley  mempercayai bahawa keputusan BERSIH 2.0 untuk turun ke jalanraya adalah kerana desakan daripada realiti, kerana BERSIH 2.0 telah cuba sedaya upaya untuk menyatakan masalah penyelewengan pilihan raya, dan membangkitkan tindak-tanduk sesetengah "little napoleon", namun kerajaan tidak memperbetulkan keadaan dengan sikap bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, rakyat secara umumnya berharap agar kerajaan respon dengan tindakan setelah kritikan diketengahkan. Dalam keadaan di mana kerajaan tidak respon dengan tepat persoalan daripada rakyat, maka satu-satunya jalan rakyat adalah jalan raya - sebagai manifestasi ketidakpuasan dan tindakan protes secara kolektif.

Sokong gagasan Masyarakat Sivil

Stanley Yong menambah, usaha menggantung kain rentang itu adalah untuk memberitahu masyarakat awam bahawa KL-SCAH mendukung gagasan demokrasi dan masyarakat sivil. Hanya apabila rakyat menikmati ruang kebebasan, barulah negara ini boleh ditadbir dengan baik, katanya.

Bagaimanapun, Stanley Yong mengakui bahawa lembaga pengarah dalam KL-SCAH belum mencapai pandangan sebulat suara dalam isu BERSIH 2.0. Mesyuarat yang bakal diadakan pada 1 Julai akan membincangkan isu ini, dan apakah sokongan yang boleh diberikan kepada BERSIH 2.0.

"Tapi sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan adalah menggantung bendera jalur gemilang dan kain rentang untuk menyokong BERSIH 2.0 pada hari ini," katanya.

Meskipun belum mencapai muafakat sebulat suara, Stanley Yong menganggap seandainya sebahagian pengarah turut serta dalam himpunan BERSIH 2.0, maka ia mampu menyuntik semangat.

Selain itu, Stanley Yong berharap agar kerajaan melihat himpunan ini secara positif, dan beliau percaya himpunan BERSIH 2.0 tidak akan mencetuskan huru-hara. Seandainya berlaku kejadian seperti penangkapan, maka ia akan menjadikan keadaan lebih tegang, dan akhirnya kedua-dua pihak tidak boleh berkompromi antara satu sama lain dalam keadaan sebegitu.

Beliau menekankan bahawa adalah hak rakyat untuk menyuarakan pandangan dan kritikan, maka KL-SCAH menyatakan pendirian untuk menyokong himpunan BERSIH 2.0.-MerdekaReview,

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.