Jumaat, 24 Jun 2011

PETALING JAYA, 24 JUN – Tidak ada tanda-tanda kerajaan Barisan Nasional akan menarik balik subsidi mewah yang diberikan kepada syarikat-syarikat korporat penjana kuasa bebas (IPP) walau pun rakyat terus menanggung beban kenaikan tarif elektrik dan kadar inflasi.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata sikap kerajaan BN yang berdolak-dalik tentang “rundingan semula” dengan IPP hanya helah untuk mencuri masa sehingga kontrak perjanjian pembelian tenaga (PPA) tamat mulai 2015.

Katanya rakyat kecewa dengan sikap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin yang bermati-matian mempertahankan PPA di antara IPP dan Tenaga Nasional Berhad dengan alasan subsidi kepada IPP adalah untuk lebihan simpanan atau reserve margin sebanyak 45 peratus.

Reserve margin bermaksud tenaga yang ada tetapi tidak dijana, dan hanya “disimpan” sebagai persedian. Simpanan ini hanya akan dikeluarkan jika penjanaan yang ada telah rosak atau secara tiba-tiba ada banyak permintaan jangka pendek.

Ini bererti rakyat membayar 45 peratus untuk subsidi bagi reserve margin walau pun tidak ada sebarang penjanaan kuasa dilakukan.

Pua menjelaskan, reserve margin sebanyak 45 peratus itu adalah terlalu tinggi berbanding Thailand yang hanya menyimpan 25.4 peratus dan Pulau Jawa di Indonesia pula hanya 26 peratus.

Beliau membuat perbandingan itu untuk membuktikan bahawa dengan simpanan yang hampir separuh kurang daripada Malaysia, kedua-dua negara jiran itu berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi berbanding Malaysia sejak lima tahun berturut-turut.

“Menteri sepatutnya menjelaskan kepada rakyat apa yang istimewa sangat dengan Malaysia sehingga kita memerlukan lebihan simpanan hampir 50 peratus sejak satu dekad yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua juga mempertikaikan hujah Chin yang mendakwa kononnya IPP tidak mendapat faedah daripada subsidi kerajaan walau pun hakikatnya IPP menjual tenaga elektrik kepada TNB dengan harga yang tinggi.

Sebagai contoh, beliau berkata, Thailand yang mendapat subsidi kurang jika dibandingkan dengan Malaysia, gas asli dijual kepada IPP di Thailand dengan harga RM23.10 per million metric British thermal unit (MMBtu) berbanding RM13.70 per MMBtu di Malaysia – kerana kadar subsidi rendah, tarif elektrik di Thailand adalah sama dengan Malaysia, kalau pun tidak lebih murah.

Kadar purata tarif elektrik di Malaysia sekarang adalah RM40 bagi setiap kilowatt-hour (kWh) selepas kenaikan tarif baru-baru ini manakala di Thailand pula adalah RM38 per kWh.

Pua berkata kajian yang dibuat oleh Research for Social Advancement (REFSA) menunjukkan jika subsidi gas di Malaysia dihapuskan sama sekali, kos penjanaan IPP akan menjadi 80 peratus lebih tinggi daripada penjana kuasa di Singapura yang tidak mendapat satu sen pun subsidi daripada wang rakyat.

Mengikut kajian REFSA:

1.Secara purata IPP di Malaysia mengenakan bayaran 25 sen untuk setiap kWh untuk tenaga elektrik yang dijana apabila harga gas adalah pada kadar RM10.70/MMBtu;
2.Jika harga gas naik kepada paras pasaran RM47.42/MMBtu, dianggarkan IPP akan mengenakan bayaran 74 sen/kWh;
3.Bandingkan dengan Singapura, di mana tiada subsidi dan harga minyak dijual berdasarkan harga pasaran, kos penjanaan elektrik hanya 41 sen/kWh. Selepas ditambah kos pengedaran dan sebagainya, pengguna hanya membayar 52 sen/kWh.

Pengarah Eksekutif REFSA Teh Chi-Chang berkata IPP Malaysia akan “tutup kedai” jika beroperasi di Singapura kerana rakyat di republik itu hanya membayar 52 sen sedangkan IPP mengenakan bayaran 74 sen per kWh.

“Mungkin keadaan itu berlaku kerana struktur kos IPP di Malaysia terlalu tembam dan wujud masalah ketidakcekapan yang serius,” katanya.

Menurutnya, butir-butir perjanjian di antara IPP dan TNB perlu didedahkan kepada rakyat walau pun ada pihak mendakwa bahawa pendedahan PPA tidak boleh dibuat kerana ia adalah perjanjian antara dua pihak swasta (IPP dan TNB).

“REFSA akur bahawa TNB adalah syarikat awam tersenarai. Tetapi entiti kerajaan, termasuk Khazanah dan KWSP, menguasai 83 peratus daripada pemilikan saham TNB. Tambahan pula, kerajaan mempunyai saham emas (golden share) yang memberi kuasa besar membuat keputusan untuk TNB,” jelasnya.

Beliau menambah, pendedahan butir-butir PPA akan membolehkan rakyat Malaysia memperolehi maklumat dan perangkaan tepat untuk membahaskan isu-isu yang ada secara lebih munasabah dan membina.

Leave a Reply

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Politik kedai kopi - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -