Ahad, 26 Jun 2011

Bersih 2.0: Seksyen 122 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Ampang, Fadzlul Rahimi bersama empat anggotanya ditangkap polis di Masjid Taman Kosas kira-kira 11 pagi tadi, kerana memakai t-shirt Bersih 2.0 dalam tulisan jawi.

Bercakap kepada KeadilanDaily, ahli Unit Amal PAS Ampang, Israq Ismail berkata, tangkapan dibuat ketika Fadzlul bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz sedang mengadakan program sempena Konvoi Belia DUN Lembah Jaya.

“Turut ditahan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ampang, Shahril Suhaimi, Setiausaha Pemuda PAS Ampang, Engku Faizan Engku Husin dan dua Unit amal iaitu Satullah Azam dan Adha Yusof.

“Mereka kini berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang. Alasan tangkapan ialah kelima-limanya berpakaian kuning dan tertera perkataan Bersih dalam tulisan Jawi,” katanya.

Tangkapan itu menggambarkan ketakutan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap Gelombang Kuning melalui Himpunan Bersih 2.0, dengan memperalatkan polis. Sebelum ini, Beberapa pemimpin dan ahli Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut ditahan atas alasan sama.

Seramai 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar Devaraj akan dihadapkan di mahkamah sekitar 3 petang ini untuk perintah tahanan reman.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, kata polis.

Semalam, polis menahan 31 orang termasuk wakil rakyat itu, kesemuanya aktivis PSM di plaza Tol Sungai Dua.

Menurut laporan media semalam, kesemua mereka menaiki sebuah bas persiaran sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah untuk menghadiri majlis di Pulau Pinang yang berkaitan dengan Himpunan Bersih 2.0, yang dijadualkan akan diadakan 9 Julai.

Mereka terdiri daripada 14 wanita dan 17 lelaki dan ditahan di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara untuk dirakam percakapan.

Bagaimanapun seorang yang ditahan telah dibebaskan kerana bawah umur.

Pada sidang media di sini hari ini, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar yang dipetik saluran Astro Awani berkata, perintah tahanan reman dipohon bagi siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122,” kata beliau.

Seksyen yang sama pernah digunakan dalam kes rampasan senjata oleh kumpulan pelampau Al-Maunah.

Polis mendapati perhimpunan yang dirancang itu juga cuba membawa semula fahaman komunis kerana pihaknya menemui bahan berkaitan dengan pertubuhan yang telah diharamkan itu.

Ketika ditahan semalam, polis turut merampas beberapa sepanduk, risalah dan kemeja-T yang didakwa menghasut.

Penganjur Bersih 2.0 sejak kelmarin mengadakan program jelajah di beberapa bandar utama di seluruh negara.

MENYUSUL LAGI

Related Posts

Bersih 2.0: Seksyen 122 Kanun Keseksaan
4/ 5
Oleh