Isnin, 23 Mei 2011

Tanah runtuh : KEADILAN seru agar UMNO jangan berpolitik

Tanah runtuh : KEADILAN seru agar UMNO jangan berpolitik


Setakat kenyataan media ini dikeluarkan masih ada anak yatim di rumah Anak Yatim Al-Takwa, yang masih tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat ini. Diharap semua pihak dapat bersama menyumbang tenaga dalam usaha menyelamat oleh pihak keselamatan.

Saya mewakili KEADILAN Selangor mengucapkan takziah kepada seluruh tenaga pengajar dan anak-anak yatim yang terkorban dalam tragedi ini.

Hujan lebat yang turun beberapa hari di kawasan Hulu Langat ini memungkinkan kejadian tanah runtuh ini berlaku. Selain dari menerima ini sebagai satu bencana alam yang sudah ditentukanNya, kita wajar menginsafi kejadian sebegini dan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan ia dari terus berulang. Ini adalah kerana kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sedikit masa dahulu yang antara lain faktor penyumbangnya adalah kerana kecuaian manusia, tiada kawalan ketat oleh pihak berwajib untuk menjalankan pembangunan dengan kawal selia yang cekap dan ketat
Jesteru KEADILAN Selangor mendesak Kerajaan Negeri membekukan serta merta aktiviti berhampiran tanah berstruktur lemah dan di lereng bukit. Apatah lagi projek pembanggunan di atas bukit seperti yang banyak terdapat di Bukit Antarabangsa, Ampang dan Bukit Cermin Putra Heights, kawasan Subang Jaya.

KEADILAN Selangor sedar, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor telah pun mengambil inisiatif supaya kawalan lebih ketat dalam meluluskan sebarang aktiviti dan pembangunan di kawasan lereng bukit yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh dan bencana runtuhan. Namun terdapat rungutan melampau apabila ia mula dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor perlu mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan belasan nyawa yang terkorban dan kerosakan harta benda di samping perubahan ekologi persekitaran.

Jika dikaji memang ada kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menyebabkan banyak pembangunan yang diluluskan tanpa kawalan ketat dari segi keselamatannya dan inilah masanya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bertindak tegas.

KEADILAN Selangor juga suka untuk mengingatkan kepada UMNO Selangor supaya tidak perlu menunjuk lagak hero dalam tragedi ini kerana disini bukanlah medan untuk berpolitik, sebaliknya bersamalah berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dalam membantu Anak-Anak Rumah Yatim Al-Takwa ini.

KEADILAN juga dukacita dengan kejadian semalam, di mana tindakan Puteri UMNO yang beriya-iya benar mahu mempolitikkan tragedi ini sehinggakan mangsa yang terselamat dari tanah runtuh ini didesak untuk bergambar bersama Puteri UMNO demi menunjukkan bukti kepada pimpinan atasan mereka yang kononnya mereka prihatin dan ini amat dikesali.

KEADILAN menyeru semua pihak termasuk UMNO Selangor supaya jangan sekali kali jadikan tragedi ini sebagai medan beradu politik. Marilah kita berjiwa besar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan pihak keselamatan di peringkat kerajaan Persekutuan bersama-sama membantu mangsa kejadian tanah runtuh ini. Pihak Polis perlulah memberi kerjasama baik kepada wakil kerajaan Negeri yang hadir ke kawasan runtuhan setiap hari bagi membantu menyelaras bantuan. Semalam, tindakan pihak Polis menyekat EXCO Kerajaan Negeri Selangor menghampiri kawasan runtuhan, pada masa sama membenarkan pimpinan UMNO dan wakil Kerajaan Pusat masuk kekawasan runtuhan adalah tindakan yang tidak wajar.

Dalam keadaan bencana seperti itu, semua pihak seperti Majlis Tempatan, BOMBA, Polis, Jabatan Kerja Raya dan semua agensi milik kerajaan Negeri dan Pusat mempunyai tugas berat dan digesa berkerjasama bagi menyelamatkan mangsa dan Kerajaan Negeri punyai tanggungjawap lebih besar membantu mangsa.

KEADILAN Selangor mencadangkan agar Menteri Besar Selangor yang sedang berada di Amerika Syarikat agar kembali segera bagi mengepalai usaha bantuan yang lebih pantas kepada semua mangsa terlibat.

Buat seluruh keluarga besar Rumah Anak Yatim Al- Takwa Hulu Langat, KEADILAN Selangor akan mempastikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor menyegerakan bantuan dalam apa sahaja bentuk demi meringankan bebanan keluarga mangsa.

Komitmen dan keazaman KEADILAN Selangor untuk terus berbakti kepada Rakyat Selangor bertambah kukuh selepas seharian dan semalaman berada di kawasan runtuhan ini.

Semoga semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa dan diterima sebagai para syuhada yang di jamin tempatnya di Syurga.

*Kenyataan media oleh Shuhaimi Haji Shafiei selaku Ketua Penerangan KEADILAN Selangor dan ADUN Sri Muda.

Related Posts

Tanah runtuh : KEADILAN seru agar UMNO jangan berpolitik
4/ 5
Oleh