Selasa, 17 Mei 2011

Najib: Subsidi ibarat candu,PRU semakin menghampiri

Apabila PRU ke13 semakin menghampiri,para menteri pun cakap berlapik,harga minyak akan dinaikan dan penerangan kenapa perlu dinaikan harga minyak dilakukan.
Tidak seperti sebelum ini,hendak naik terus dinaikan.

OXFORD, 17 Mei — Subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.

Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.

“Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan,” katanya lagi.

Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015.

“Kami perlu menaikkan harga (bahan api) secara berperingkat-peringkat, kami tidak boleh melakukannya dalam satu malam. (Jadi) ada kos politik dalam mengurangkan subsidi,” katanya lagi.

“Saya perlu menguruskannya antara urus tadbir yang baik dan dapat dipilih semula,” katanya.

Pentadbiran Najib memperkenalkan dasar pelarasan subsidi sejak tahun lalu, yang sekali gus membawa kepada kenaikan harga beberapa barang kawalan.

Semalam, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.

Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.

Laporan media memetik Ismail Sabri berkata, kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata, kemungkinan itu ada memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

“Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,” katanya.

Pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan harga barang kemungkinan naik kerana kemungkinan kerajaan mengkaji balik subsidi ekoran peningkatan kos subsidi tahun ini berbanding tahun lalu.

Justeru, dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak.

Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu.

Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa minggu lalu.

Lagi petanda PRU semakin menghampiri:
Ganjaran guru  pancing undi PRU-13
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan kerajaan memberi lima kaedah kenaikan pangkat baru di bawah skim perkhidmatan guru dilakukan sepanjang masa dan bukan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha kerajaan untuk menambah baik skim perguruan akan diteruskan sebagai kesinambungan kepada keperluan transformai kecemerlangan perkhidmatan berkenaan.

“Boleh kita tekan bahawa perkhidmatan perguruan di negara ini mendapat layanan yang adil,” katanya dipetik laporan Bernama.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2011, peringkat kebangsaan ke-40 di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memberi tumpuan istimewa kepada profesion perguruan walaupun negara sedang mengawal defisit kewangan.

Katanya, pengumuman Najib melalui tayangan rakam video pada majlis bertema “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” itu adalah satu berita yang amat baik bagi warga pendidik.

Dalam meneliti berita baik yang diumumkan itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan terus berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan terus mencari kaedah terbaik, khasnya untuk guru siswazah yang terletak di kategori jawatan diploma.

Beliau yang merasa bangga dengan perkhidmatan guru yang semakin cemerlang, berkata jika dulu didapati amat sukar untuk menyukat tahap kecemerlangan guru, kini kementerian mempunyai pendekatan baru melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Lagi wayang ditayangkan,mengapa harus dihapuskan Tol yang murah,Tidak yang mahal
Tol Metramac dihapuskan
Kutipan tol di Plaza Tol Arah Cheras dan Petaling Jaya di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) di sini dimansuhkan berkuat kuasa 8.30 malam ini, sekali gus memberi kelegaan kepada kira-kira 100,000 pengguna lebuh raya tersebut.

Pengumuman pemansuhan kutipan tol yang berharga 50 sen di lebuh raya itu diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Shaziman berkata, kerajaan mengambil kira beban rakyat apabila membuat keputusan untuk memansuhkan tol itu tujuh tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi yang sepatutnya tamat pada 31 Mei 2018.

Pada masa yang sama beliau menambah, kerajaan tidak membuat sebarang bayaran pampasan kepada syarikat konsesi di atas persetujuan penutupan lebih awal plaza tol tersebut.

"Ini merupakan hadiah daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat khususnya pengguna lebuh raya ini. Ia juga bukti kesungguhan kerajaan untuk mendahulukan rakyat," katanya.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Shaziman berkata, dengan penutupan tersebut, kira-kira 100,000 pengguna lebuh raya itu tidak perlu membayar sehingga RM180 juta untuk tujuh tahun akan datang jika mengikut konsesi asal.

Menurut beliau, keputusan memansuhkan tol itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu yang mahu kutipan tol di lebuh raya tersebut ditamatkan lebih awal.

Dalam pada itu, Shaziman menjelaskan, kesungguhan kerajaan untuk memansuhkan tol tersebut juga bukti tuduhan pembangkang yang gemar mengaitkan BN dengan kenaikan harga barang adalah tidak benar.

"Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk meringankan beban rakyat sama ada dari segi harga bahan kegunaan mahu pun kos-kos lain termasuk aspek pengangkutan.

"Jadi inilah buktinya. Ini contoh keprihatinan kerajaan. Soal kenaikan harga barang yang lain itu disebabkan oleh faktor dunia yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan tetapi kita sebaik mungkin cuba untuk meringankan beban rakyat," katanya.

Related Posts

Najib: Subsidi ibarat candu,PRU semakin menghampiri
4/ 5
Oleh