Home » » Isu Kewarganegaraan : Umno Hulu Selangor Digesa Beri Kerjasama

Isu Kewarganegaraan : Umno Hulu Selangor Digesa Beri Kerjasama

Written By kiff isme on Rabu, 11 Mei 2011 | Mei 11, 2011

SHAH ALAM 11 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Umno khususnya bahagian Hulu Selangor memberi kerjasama baik kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung surat rasmi memohon kelulusan menukar taraf kewarganegaraan kira-kira 2,000 warga asing demi memastikan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata kerjasama dari pejabat Umno kawasan itu amat diperlukan bagi merungkai masalah yang bukan sahaja melibatkan proses keadilan di negara ini, sebaliknya sesuatu yang boleh mengancam keselamatan negara.

"PKR Selangor menggesa Umno khususnya Bahagian Hulu Selangor agar memberi kerjasama kepada polis apabila siasatan dijalankan dengan membenarkan pihak polis untuk meneliti surat dan fail yang terdapat di dalam pejabat mereka sekaligus ia mampu untuk membuktikan mereka benar atau salah," katanya kepada Tv Selangor.



PKR hari ini membuat laporan polis berhubung satu surat permohonan oleh Umno bahagian Hulu Selangor yang mengemukakan senarai warga asing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diberikan sijil kewarganegaraan bagi tujuan meningkatkan jumlah undi parti itu pada PRU ke-13 nanti.

Surat berkenaan dibocorkan oleh seorang pegawai kakitangan awam yang tidak tahan dengan penipuan yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, kewujudan surat terbabit dinafikan oleh Ketua Umno cawangan itu, Mohamed Idris Abu Bakar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lee Chee Leong.

PKR bagaimanapun menyerahkan tanggungjawab itu kepada polis untuk mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR turut menjelaskan pihaknya tidak menemui sebarang kesangsian pada surat terbabit kerana ia datangnya dari sumber yang boleh dipercayai.

"PKR memang tidak sangsi dengan kehadiran surat tersebut, sumber yang diperoleh ini adalah adalah daripada sumber yang sahih dan amat boleh dipercayai, malangnya pihak kami tidak boleh mendedahkan personaliti ini kerana khuatir merbahayakan keselamatan mereka, yang jelas di sini Umno-BN terdesak dalam menggunakan apa jua cara untuk merampas negeri Selangor,"katanya lagi.

Mengulas kenyataan Mohamed Idris bahawa beliau tidak menandatangani sebarang surat seperti yang didedahkan, ia kata Zuraida adalah alasan biasa yang digunakan Umno apabila berada dalam keadaan tersepit.

Amalan berdolak dalik ini juga kata Zuraida turut dikesan oleh seorang pemberita dari media alternatif yang menghubungi pejabat Umno Bahagian itu yang pada mulanya mengakui ada mengeluarkan surat sokongan berhubung hal sama.

Namun kenyataan itu berubah apabila pemberita yang sama menghubungi pejabat itu untuk reaksi susulan apabila berita mengenai isu itu terdedah semalam.

"Mereka menyatakan ada menghubungi pejabat Datuk Idris, bertanya kepada kerani dan kerani memberitahu ada satu surat sokongan dikeluarkan tetapi kali kedua menghubungi mereka menafikannya, seperti yang saya katakan mereka sering menafikannya dan saya berharap polis akan menyiasat untuk mendapatkan kebenarannya,"tegas Zuraida.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.