Selasa, 31 Mei 2011

Bagi kebanyakan remaja yang menghadiri pesta Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya sepanjang hujung minggu lalu, ia memang menjadi sumber hiburan kepada mereka. Lagi pun ia persembahan percuma, hasil kutipan wang sumber asli negara dan cukai rakyat.

Bermacam-macam acara diadakan selama tiga hari yang berakhir malam tadi. Acara-acara yang penuh meriah ini meliputi persembahan artis, karnival, forum, pesta buku, acara keagamaan, gerai pameran dan jualan, perhimpunan persatuan anak-anak yatim, perhimpunan warga belia OKU, belia orang asli, pertandingan nyanyian dan hiburan, kempen-kempen kesedaran dan keselamatan oleh badan-badan berkanun, pertandingan sukan motor, sukan lasak dan sebagainya.

Dari satu segi, ia boleh dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menghargai peranan belia dalam pembangunan negara. Pesta ini menghimpunkan ribuan pengunjung yang bukan sahaja dari golongan belia, malah bapa-bapa dan ibu-ibu belia pun turut sibuk dengan pelbagai acara itu.



Dari segi yang lain pula, ia mendedahkan betapa terdesaknya Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan undi orang muda berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional. Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu secara terang-terang menjadikan pesta hiburan itu sebagai medan propaganda politik.

“Kalaulah di Mesir, sejuta belia negara itu berhimpun di Dataran Tahrir untuk menunjuk perasaan supaya pucuk pimpinan kerajaannya diganti dengan yang lain tetapi di Malaysia, sejuta belia berhimpun untuk mempertahankan Putrajaya.

“Sanggupkah belia pertahankan Putrajaya? Sanggupkah?” bersungguh-sungguh Najib merayu di di hadapan hadirian pada malam minggu yang lalu.

Mengapa perlu Putrajaya dipertahankan? Daripada siapa Putrajaya mahu dipertahankan? Siapa musuh negara? Apakah yang cuba dimaksudkan oleh Najib dengan menggunakan perkataan tersebut secara terbuka di khalayak?

Seperti para pemimpin UMNO yang lain, Najib masih menganggap kebanyakan belia tidak ada kesedaran politik, tidak peduli tentang masalah negara, dan dengan itu menganggap mudah untuk dicucuk hidung mereka.

Yang Najib mahu hanyalah belia mempertahankan Putrajaya agar UMNO dan BN terus berkuasa. Tidak salah dari segi propaganda politik kalau guna duit parti tetapi masalahnya UMNO dan BN adalah parti politik – jadi bagaimana mungkin acara rasmi anjuran kerajaan, peruntukan wang kerajaan dan jentera kerajaan yang semuanya hasil wang sumber negara dan cukai rakyat, boleh menjadi medan untuk kempen parti politik mereka?

Kenyataan Najib ini tidak menggambarkan beliau mewakili kerajaan untuk semua rakyat, sebaliknya kerajaan yang pro-UMNO sahaja. Ucapan Najib amat bertentangan dengan ungkapan Abraham Lincoln iaitu “government of the people, by the people and for the people”. Malah Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Perdana Menteri sebagai “rayuan BN yang sudah terdesak” hingga sanggup menyalahgunakan pentas “rakyat” untuk kempen sempit parti politik mereka.

Dan, tambah menarik lagi, adakah ini bererti Najib mahu menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk melakukan perkara yang sama – menggunakan pentas kerajaan untuk kempen politik?

Garis pemisah di antara keperluan kempen untuk parti dan peranan sebagai kerajaan harus jelas dan dipraktikkan. Agar kita semua melaksanakan apa yang kita pernah katakan. Jadikanlah peristiwa ini sebagai teladan buat kita pada masa hadapan. Menyalahgunakan tempat, harta dan kuasa adalah budaya yang harus ditinggalkan oleh kita semua.

Memang UMNO sudah kemaruk undi khususnya undi belia. Pakatan sepatutnya lebih tinggi standard dan tidak perlu mengikut jejak langkah UMNO dan BN yang terus menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka.

Mungkin Najib tidak sedar apabila para belia berteriak balas “Sanggup” untuk mempertahankan Putrajaya, mungkin mereka maksudkan mahu memastikan Putrajaya bersih dari anasir-anasir korup, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Bukankah itu yang dilakukan oleh sejuta belia di Kaherah dahulu? – Roketkini.com

Related Posts

4/ 5
Oleh