Home » » Video seks: Siasatan ‘Datuk T’ edar bahan lucah selesai

Video seks: Siasatan ‘Datuk T’ edar bahan lucah selesai

Written By kiff isme on Ahad, 17 April 2011 | April 17, 2011

Video seks: Siasatan ‘Datuk T’ edar bahan lucah selesai


KUALA LUMPUR, 17 April — Laporan siasatan rakaman video aksi seks, didedahkan “Datuk T” tiga minggu lalu, yang pelakunya didakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap, kata polis hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah),” kata beliau dipetik Bernama Online hari ini.


Oleh itu kata beliau, terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula atas arahan Peguam Negara, “kita akan siasatlah.”

Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit.

“Kita tunggu sahajalah . . . kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu,” katanya.

Jam tangan itu merupakan antara dua barang bukti, selain rakaman video seks, yang diserahkan kepada polis oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuiab Lazim bagi tujuan siasatan berhubung video itu.

Susulan itu, polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat berkenaan bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya dan memberikan tempoh seminggu untuk syarikat itu memberikan jawapan.

“Identiti pemilik jam itu bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu,” kata Acryl.

Pada 21 Mac lalu, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai “Datuk T” di Carcosa Seri Negara.

Misteri Datuk T yang bermaksud “Trio” itu terjawab pada satu sidang akhbar di sebuah hotel pada 23 Mac lepas apabila Rahim, Shazryl Eskay dan Shuib mengaku terlibat dalam penayangan video berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.